My Sweetie Readers

Wednesday 9 October 2013

AKU JATUH CINTA LAGI (BAB 6)


BAB 6

by- ANIA MALAN
HCT



Aku merenung pasport di tangan.  Hatiku resah gelisah saat ini.  Bohong jika aku katakan aku rela dengan keputusan ini kerana masih ada keraguan di hati.  Sejujurnya aku masih belum ikhlas dengan keputusan yang terlalu berat ini namun aku rasakan perlu.  Perlu bagi mengubati hatiku yang telah hancur luluh, perlu untuk memulihkan semangatku yang telah hilang, perlu bagi menguatkan jiwaku yang telah pecah berderai ini.  Sesungguhnya aku pasrah Ya ALLAH.  Berikanlah aku secebis kekuatan.
            Aku berdoa agar kehidupanku di Beijing nanti akan memberi seribu makna buatku.  Yang mampu mengubah segalanya, yang akan membuatkan aku lebih tabah menghadapi hidup.  Aku perlukan kehidupan baru yang mampu mengajarku erti kehidupan yang sebenar.  Tanpa mama dan papa di sisi tentunya sukar namun aku harus teruskan.  Sampai bila hidupku akan terus bergantung kepada mama dan papa?
            Panggilan kedua untuk penerbangan ke Beijing berkumandang lagi.   Tiada siapa yang menghantarku kali ini.  Aku beria meminta mama dan papa agar tidak menghantarku kerana aku bimbang aku tidak sanggup untuk pergi meninggalkan mama dan papa.  Pasti rasa bersalah menyelubungi diriku.  Bersalah kerana berbohong kepada mama dan papa. 
            Berat sekali terasa untuk kaki melangkah namun aku gagahkan juga.  Mampukah aku bertahan tanpa bantuan sesiapa di Beijing nanti?  Pasti boleh, aku yakin.  Aku harus kuat.  Bukankah itu matlamat utamaku.  Aku mahu hidup berdikari, tidak mahu lagi digelar hidup di sebalik bayang-bayang mama dan papa, tidak mampu berdikari.  Moga Allah permudahkan segala urusanku.
………………………………………………………………………………………………......
            “Bagaimana keadaan anak-anak saya doktor.”  Datuk Shamsul bertanya sebaik sahaja doktor keluar dari bilik kecemasan.  Kami semua sama-sama berdiri menunggu jawapan yang akan keluar dari mulut doktor.
            “Alhamdulillah, kedua-dua anak Datuk selamat.  Encik Ikhwan tidak mengalami kecederaan yang serius, dia patah tangan kiri dan sedikit luka di kepala dan dia dalam keadaan yang tidak membimbangkan.”
            Kami semua menarik nafas lega.  Aku memeluk mama seeratnya.  Tangisanku masih belum berhenti dan ketika ini tangisanku adalah kerana rasa kesyukuran kepada Allah, Ikhwan selamat.  Badanku masih menggeletar dengan berita kemalangan Ikhwan.
            “Bagaimana dengan anak perempuan kami doktor?”  Pertanyaan Datin Diana menyentakku.  Ya ALLAH, aku hampir terlupa akan Fatin.  Doktor masih belum memberitahu keadaannya.
            “Pihak kami minta maaf Datin, anak perempuan Datin mengalami kecederaan yang teruk pada matanya.  Akibat daripada kaca-kaca yang telah memasuki matanya, matanya rosak dan kami tak dapat menyelamatkan matanya.  Anak Datuk dan Datin…..”  Doktor muda itu menarik nafas sedalamnya sebelum meneruskan kata-kata.  “… telah disahkan buta.”
            “Ya ALLAH.”  Datin Diana jatuh terjelepuk ke lantai.
            “Astaghfirullahalazim.”  Datuk Shamsul meraup kedua-dua belah mukanya.  Papa menghampiri Datuk Shamsul dan memeluk erat Datuk Shamsul.
            Aku dan mama meleraikan pelukan.  Kami sama-sama menghampiri Datin Diana.  Aku mula memeluk tubuh Datin Diana.  Cuba menyalurkan sedikit kekuatan buatnya setelah menerima berita yang cukup menyedihkan dan menyayat hati.  Datin Diana menangis di bahuku.  Mama menepuk perlahan belakang Datin Diana.  Air mataku tetap mengalir laju.  Turut bersedih dengan nasib yang telah menimpa Fatin.
…………………………………………………………………………………………………..
            Aku terjaga saat terasa ada sentuhan lembut di kepalaku.  Perlahan-lahan kubuka mata dan Ikhwan tersenyum ke arahku.  Aku membalas senyumannya.  Tangan Ikhwan masih lagi membelai kepalaku yang berbalut selendang.  Terasa cukup bahagia apabila dibelai oleh Ikhwan.  Tangan Ikhwan kutarik dan kugenggam lalu kukucup lembut.
            Aku tiba di hospital tiga jam yang lepas dan ketika itu Ikhwan sedang tidur dan kata doktor akibat penangan ubat yang baru dimakannya.  Aku setia menunggu Ikhwan sedar dan akhirnya aku pula yang tertidur di sisi Ikhwan.
            “Sayang, awak tak cukup tidur ya?”  Tanya Ikhwan dengan nada yang agak lemah.
            “Mana ada.”  Aku menjawab sambil menggelengkan kepala.
            “Tengok mata tu dah macam mata panda, muka pucat.”  Tangan Ikhwan dibawa ke wajahku dan pipiku dibelainya lembut.
            “Taklah sayang.”  Aku masih cuba menidakkan walau itulah kenyataannya.
            Sudah tiga hari Ikhwan di hospital dan sudah tiga hari juga aku tidak menjamah makanan, hanya minum sahaja sekadar syarat agar aku punya tenaga.  Tenaga untuk datang ke hospital melawat Ikhwan dan menemaninya.  Tidak sanggup rasanya berjauhan daripada Ikhwan. 
            Selama dua malam jugalah aku tidak dapat tidur kerana kerisauanku terhadap tunang tercinta tidak dapat dibuang.  Setiap malam aku menunaikan solat hajat memohon agar Ikhwan sembuh seperti sedia kala.  Membaca al-Quran dan berzikir untuk menenangkan hati yang resah gelisah.  Aku bagaikan dapat merasa kesakitan yang dialami oleh Ikhwan.
            Baby, jangan tipu saya.”  Sesungguhnya Ikhwan cukup memahamiku.  Walau aku cuba menipunya, ia tetap tidak berkesan.
            “Saya takut sangat.”  Air mataku sudah mengalir ke pipi.
            “Kenapa nak takut?  Saya bukan mati lagi sayang.”
            “Sayang.”  Aku jadi lebih takut bila Ikhwan menyebut perkataan mati.  Terasa jantungku bagai berhenti berdegup.
            Okay, saya tak cakap macam tu dah ya.”
            “Janji.”
            “Janji tapi awak pun kena janji dengan saya, boleh?”  Aku hanya mengangguk mendengar permintaan daripada Ikhwan.  “Janji yang awak kena makan dan tidur, kalau tidak nanti awak sakit.  Saya pulak yang risau nanti.”
            Aku mengangguk perlahan.  Ikhwan benar-benar kenal denganku.  Walau tidak diberitahu aku tidak makan dan tidur, dia tetap dapat menghidunya.  Air mataku makin deras mengalir di pipi.  Ikhwan mengelap air mata di pipiku dan aku membiarkannya.  Sesungguhnya, aku tidak sanggup kehilangan insan yang bernama Ikhwan Hafizi.
…………………………………………………………………………………………………..
            “Adik buat apa tu?”  Mama menegurku dan aku berhenti menyusun roti ke dalam bekas.
            “Nak buat puding roti untuk Ikhwan.  Ikhwan tak sempat lagi makan puding roti yang adik buat.”  Aku kembali menyambung kerja.
            “Sayang, Ikhwan mana boleh makan puding roti lagi.  Puding roti ni manis, tak elok untuk orang sakit.  Tunggulah Ikhwan sembuh sepenuhnya.”  Aku terhenti setelah mendengar kata-kata mama.
            Kenapalah aku tidak terfikirkan perkara ini.  Ya ALLAH, Afrina Imani kenapalah kau ni dungu betul.  Aku memarahi diri sendiri.  Benda kecil macam ni pun aku tidak terfikir.  Teruk betullah.  Mujur juga mama nampak, jika tidak memang selamba aje aku bawa puding roti untuk Ikhwan.
            “Mama, kenapa adik ni bodoh sangat?”  Aku mengakui kelemahan diri.
            ‘Ishh, tak baiklah cakap macam tu.  Adik cuma excited nak Ikhwan rasa puding roti adik kan?”  Mama ternyata cukup memahamiku.
            “Ya mama, adik nak buat Ikhwan happy tapi tak bertempat pulak.”  Nadaku sedih dan aku tertunduk memandang roti.
            “Adik, mama faham perasaan adik.”  Mama menarikku ke dalam pelukannya.
            Aku memeluk mama dengan cukup erat.  Ternyata ini adalah sumber kekuatanku untuk terus berdiri kuat walau hakikatnya aku sangat lemah.  Lemah dengan perasaan sendiri.  Aku tewas dengan ketakutan yang membelenggu diri.  Ketakutan yang tidak sanggup untuk kuhadapi.  Walau doktor telah mengesahkan Ikhwan selamat dan tiada kecederaan yang serius, hatiku masih bersarang dengan rasa takut.  Takut kehilangannya.
…………………………………………………………………………………………………..
            Aku melangkah masuk ke wad Fatin.  Sebuah bilik yang cukup eksklusif dan lengkap dengan bilik air di dalamnya, tersedia juga katil tempat waris yang menemani di waktu malam.  Kasih sayang Datuk Shamsul terhadap Fatin tidak berbelah bahagi.  Dia ternyata menyayangi Fatin seperti kasihnya pada seorang anak.
            Fatin sedang duduk di atas katil.  Belakangnya diletakkan bantal, untuk keselesannya mungkin.  Di tangannya ada tasbih melilit.  Bibirnya pula bergerak-gerak, tentunya sedang berzikir.  Aku bertambah sayu melihat matanya yang masih berbalut kain putih.  Ya Allah, kasihannya Fatin.  Ujian ini terlalu berat buatnya, moga Allah kurniakan kekuatan buatnya.
            Aku melangkah perlahan mendekatinya.  Tidak mahu mengganggunya yang sedang berzikir.  Kerusi di tepi katil kutarik seperlahan mungkin dan setelah itu aku duduk.  Wajah suci Fatin kutatap dan tidak sedar air mata mengalir ke pipi.
            “Siapa?”  Fatin bersuara sambil tangannya tergapai-gapai.
            “Kak Afrina.”  Aku mencapai tangannya dan tangan lembut itu kugenggam.
            “Oh akak.  Lama dah akak sampai?”  Tanya Fatin dengan cukup sopan.  Dia mengukir senyuman dan kubalas senyumannya walau dia tidak dapat melihat senyumanku.
            “Baru je lagi.”  Suaraku sedikit bergetar.
            “Akak, akak menangis ke?”  Fatin cepat sahaja menghidu keadaanku.
            “Taklah.”  Aku cuba berselindung dan air mata makin deras mengalir.  Aku mengelap air mata dengan hujung jari namun itu semua sia-sia kerana air mata yang gugur terlalu deras.  Pipiku basah kembali.
            Aku merasa cukup bersalah kerana pernah buruk sangka terhadap gadis sebaik Fatin.  Terasa diriku sungguh jahat.  Ya ALLAH, mengapa aku boleh berfikiran yang tidak elok terhadapnya.  Dia terlalu baik.  Tabah menerima ujian yang menimpa dirinya.  Imannya juga tetap utuh dalam keadaan begini.
            “Akak, jangan menangisi setiap apa yang berlaku.  Ini takdir Fatin, Fatin redha dan Fatin tak mahu orang-orang di sekeliling Fatin menangisi nasib diri Fatin.  Sesungguhnya Fatin ikhlas terima ketentuan Allah.”
            Ya ALLAH, kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut Fatin terus menusuk hatiku.  Dadaku makin sebak dan aku tidak berdaya menahan esakan.  Esak tangisku terlerai.  Tabahnya gadis di hadapanku ini.  Aku bangun dari duduk dan memeluk Fatin seeratnya.  Terasa diriku cukup lemah dibandingkan Fatin namun aku tetap mahu memberikan semangat buat Fatin.  Sekurang-kurangnya dia tahu, aku juga ada untuknya.
…………………………………………………………………………………………………..
            Hari ini hari yang cukup membahagiakanku kerana hari ini Ikhwan akan keluar dari hospital.  Setelah sepuluh hari ditahan di hospital, akhirnya Ikhwan dibenarkan pulang.  Setelah sarapan aku terus bersiap untuk ke hospital.  Tidak sabar rasanya ingin menatap wajah kesayanganku itu.  Semalam ketika aku melawat Ikhwan di hospital dia sedang tidur.  Rindu di hati terasa cukup menebal walau baru sehari tidak berbicara dengan Ikhwan.
            “Sayang.”  Mama masuk ke bilikku.
            “Ya mama.”  Aku tersenyum riang ke arah mama.
            “Adik tak payah ke hospital ya sayang.”  Senyumanku hilang apabila mendengar kata-kata mama.
            “Kenapa ma?”
            “Kita terus ke rumah Ikhwan, kita tunggu Ikhwan dekat sana.”  Kata-kata mama membuatkan aku tersenyum kembali.  Mama menghadiahkan senyuman namun ada sesuatu di sebalik senyuman mama.
            “Kiranya kita sambut Ikhwan di rumah dia ya ma?  Okay jugak tu.”  Aku tetap mengukir senyuman manis.  Senyuman mama mati dan mama terus berlalu keluar. 
            Aku mula rasa tidak sedap hati.  Mengapa mama nampak lain hari ini?  Bagaikan ada sesuatu yang mama sedang sembunyikan.  Aku cepat-cepat membuang jauh fikiran yang bukan-bukan.  Selalunya fikiranku ini silap.
…………………………………………………………………………………………………..
            Keadaan di ruang tamu tampak sungguh kelam dan suram.  Aku memandang semua yang ada di ruang tamu silih berganti.  Bermula dengan Papa kemudian beralih kepada Datuk Shamsul dan seterusnya Ikhwan yang duduk di sebelah daddynya.  Mataku kemudian beralih pula kepada Datin Diana yang duduk di sebelah kananku.  Akhir sekali aku beralih kepada mama yang duduk di sebelah kiriku.        
            Sejak Ikhwan dan Datuk Shamsul tiba di rumah kira-kira sepuluh minit yang lalu, Ikhwan langsung tidak memandangku.  Aku tidak tahu mengapa, aku cuba juga menceriakan suasana namun sambutan hambar dan akhirnya aku memilih untuk berdiam diri.  Entah mengapa, mulut setiap orang bagaikan terkunci.  Banglo Datuk Shamsul yang selalunya riuh rendah, sunyi sepi bagai tiada penghuni.
            “Biar saya mulakan.”  Ikhwan tiba-tiba bersuara.  Aku terus memandang wajahnya namun dia langsung tidak memandangku.
            Mama menggenggam tanganku.  Kemas sekali, aku dapat rasakan tangan mama sedikit menggeletar dan sejuk.  Pelik, sedangkan suhu pendingin hawa tidaklah terlalu rendah.  Mengapa mama sampai menggigil kesejukan?
            “Afrina Imani, saya mintak maaf.  Kita kena batalkan perkahwinan kita.”  Aku tersentak mendengar kenyataan Ikhwan namun masih cuba mengawal perasaan.
            “Awak janganlah bergurau.  Perkahwinan kita cuma ditangguhkan sampailah awak betul-betul sembuh.”  Aku mengukir senyuman paksa.  Tanganku terasa agak menggeletar saat ini.  Mama semakin kemas menggenggam tanganku.  Di dalam hati mengatakan Ikhwan sedang bergurau.  Ya, Ikhwan bergurau!
            “Sayang, betul kata Ikhwan.”  Papa mula bersuara.
            “Papa, apa semua ni?”  Aku memandang papa, mahukan penjelasan.
            “Maafkan kami sekeluarga Rina, kami terpaksa buat keputusan ni.”  Datuk Shamsul turut bersuara.
            “Kenapa dengan semua orang ni?  Semua orang nak main-mainkan adik kan?  Sayang, cakap dengan saya semua ni hanya gurauan.”  Aku memandang wajah Ikhwan namun Ikhwan cepat-cepat memalingkan wajah.  Matanya merah dan bibirnya bergerak-gerak.
            “Sayang, pandang mama.  Ini adalah kenyataan yang adik kena terima.”  Aku memalingkan wajah ke arah mama.  Mata mama sudah berkaca-kaca dan permata jernih mula mengalir di pipi mama.
            “Mama…..”  Suaraku mula bergetar.
            “Demi kebaikan semua orang, kami terpaksa buat keputusan ni.  Ikhwan akan berkahwin dengan Fatin.”  Kenyataan Datuk Shamsul bagaikan pedang tajam yang menghunus tepat ke hatiku. 
            Ya ALLAH, terasa nadiku terhenti berdenyut.  Seluruh tenaga dan kekuatanku bagai ditarik ketika ini.  Lemah seluruh tubuhku.  Permata jernih mula membasahi pipi.  Adakah aku sedang bermimpi?  Iya, aku berharap ini semua sekadar mimpi kerana ia terlalu perit untuk kuterima namun ia adalah realiti.  Realiti yang terlalu pedih untuk kutelan.
            “Rina, Fatin perlukan seseorang untuk menjaganya dan Ikhwan rasa bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku pada Fatin.”  Kata-kata Datin Diana bagai tombak yang menikam hatiku.  Sakitnya hanya Allah yang tahu.
            “Mama.”  Aku memandang mama dengan air mata yang deras mengalir di pipi.  Mama tentunya tahu perasaanku ketika ini.  “Adik nak balik, adik tak nak dengar apa-apa lagi.  Semua ni bohong!  Adik tak percaya!” Aku menekup kedua-dua belah telinga dengan tangan.  Tidak sanggup lagi mendengar apa-apa kenyataan yang terlalu sakit untuk kuterima.  Mama memelukku erat, aku menangis teresak-esak di bahu mama.
            “Saya mintak maaf Imani.”  Suara Ikhwan masih dapat kudengar walau kedua-dua belah telinga sudah kupekap dengan tangan.
            “Mama, adik nak balik!”  Aku mengulangi kata-kata tadi.  Sesungguhnya aku sudah tidak sanggup untuk berada di banglo milik keluarga Datuk Shamsul.
            “Ya sayang, jom kita balik.”  Mama meleraikan pelukannya dan membantu aku untuk berdiri.  Aku menyembamkan muka ke dada mama, tidak mahu melihat wajah sesiapa saat ini.  Papa memegang bahuku.  Tiada ucapan selamat tinggal daripada mama dan papa.  Tiada juga ucapan selamat jalan daripada Ikhwan, Datuk Shamsul dan Datin Diana.
…………………………………………………………………………………………………..
            Sudah tiga hari aku duduk terperuk di dalam bilik.  Langsung tidak keluar dari bilik.  Hari-hariku dihabiskan dengan duduk di atas katil tanpa melakukan apa-apa.  Solatku juga sudah terabai.  Kadang-kadang aku berselubung di dalam selimut.  Aku mengunci pintu namun mama dan papa memiliki kunci pendua dan berkali-kali mama dan papa datang ke bilikku.  Memujukku sehabis daya namun aku tetap diam membisu.  Suaraku bagai sudah dicuri dan mulutku terkunci.
            Hidupku terasa kosong.  Kelam dan sunyi, terasa sudah sampai ke penghujungnya.  Tidak tahu arah tuju, tiada pedoman hidup.  Hidup bernyawa namun tidak berguna.  Aku tahu apa yang aku lakukan ini membuatkan hati papa dan mama sakit, hancur, luluh namun aku tidak berdaya untuk menipu perasaanku sendiri.  Aku tidak mampu untuk berlagak seperti selalu, untuk ceria dan gembira seperti biasa dan aku memilih untuk hidup di dalam duniaku sendiri.
            “Sayang, makanlah.  Mama suapkan.”  Mama menyuakan sudu ke mulutku dan aku mengalihkan wajah.
            “Makanlah, sikit pun jadilah.  Bubur kacang hijau ni kan kesukaan anak mama.”  Mama masih belum berputus asa, tetap menyuakan bubur kacang ke mulutku.
            “Mama suapkan nasi adik tak nak, ni mama suapkan bubur pulak.  Makanlah sayang.”  Mama memujukku lembut namun aku tidak terkesan sedikitpun.  Aku terus sahaja berselubung di dalam selimut.
            “Mama tinggalkan bubur dekat sini, nanti adik makan ya.”
            Setelah itu, kedengaran bunyi tapak kaki mama keluar dari bilikku.  Aku baring mengiring ke kanan.  Air mataku mula berkumpul dan jatuh berderai.  Biarlah air mata ini yang terus menemaniku.  Hanya ini yang mampu kulakukan, menangis dan terus menangis.  Tidak tahu bila aku akan berhenti menangis.  Mungkinkah aku akan menjadi Kassim Selamat?  Menangisi orang tercinta hingga buta matanya.  Buta!  Biar aku buta seperti Fatin, tentu Ikhwan akan rasa bertanggungjawab terhadapaku sama seperti apa yang dirasakannya pada Fatin.
…………………………………………………………………………………………………..
            Sara menyisir rambutku dengan cukup lembut.  Selalunya mama yang akan menyikat dan merapikan rambutku setiap hari.  Jika dulu, rambut yang panjang hingga mencecah pinggang, kubelai dan kukemas rapi sendiri namun tidak kini.  Aku sudah malas menjaganya.  Mujur juga ada insan yang sanggup menjagaku, jika tidak pasti rambutku sudah kusut tersimpul mati.
            “Rina, jom tengok wayang nak tak?”  Sara mula berceloteh sambil tangannya masih setia menyikat rambutku.
            “Ada cerita animasi baru, jomlah.  Rina kan suka tengok filem animasi.”  Aku tetap diam membatu.  Fika pula hanya merenungku kosong.  Tanganku di genggamannya.  Kebiasaannya dia yang paling kecoh namun kini dia juga sepertiku diam membisu.
            Sejak Fika dan Sara tiba, hanya Sara yang berceloteh itu dan ini.  Bercerita pelbagai kisah walau aku tidak memberi sebarang reaksi.  Dia tetap setia dan tidak jemu untuk cuba menceriakan suasana.  Fika pula terus sahaja ke katilku dan tubuhku dipeluknya, setelah itu dia menggenggam tanganku.  Mungkin cuba menyalurkan kekuatan dan semangat namun bagai ada tembok yang kukuh untuk ia sampai kepadaku.
            “Rina tak nak tengok wayang ke?  Kalau macam tu kita window shopping nak tak?  Atau nak ice skating?  Dah lama tak ice skating, Rina kan jaguh ice skating, bolehlah ajar Sara dengan Fika.”  Sara mencuit hidungku.
            “Rina diam je, cakaplah sesuatu.  Bosanlah macam ni, tengok Fika pun dah berjangkit.  Penatlah Sara bercakap sorang.”  Sara memuncungkan bibirnya.
            “Huh, Sara tau macam mana nak buat Rina gelak.  Sara geletek!!!”  Sara melepaskan sikat di tangannya dan dia terus menggeletekku di pinggang.  Tiada reaksi daripadaku.  Tidak seperti selalu, aku sangat geli bila digeletek, mahu sampai berair mata jika digeletek.
            “Eh, Rina dah tak gelilah.”  Sara bertepuk tangan.
            “Sara.”  Fika akhirnya bersuara.
            “Eh, virus bisu dah hilang ya Fika?”  Sara mula ketawa namun wajah Fika keruh.
            “Jom kita balik.”  Fika sudah melepaskan pegangan tangannya.
            “Eh nantilah dulu.”
            “Jom balik.”  Fika menarik tangan Sara.  Aku hanya menjadi pemerhati.
            “Kenapa ni Fika.  Tunggulah dulu.”
            “Fika tak boleh tunggu lagi.  Fika tak sanggup tengok Sara macam ni.  Sakit hati ni tengok tau tak?”  Suara Fika mula bergetar.  Wajahnya yang cerah sudah kemerah-merahan.
            “Dalam keadaan Rina macam ni la kita kena ada dengan dia.  Bagi semangat pada Rina.”
            “Bagi semangat?  Semangat apa kalau macam bercakap dengan tunggul.  Kalau Sara tak nak balik, Sara duduklah sini.  Fika nak balik.”
            “Fika, kenapa cakap macam ni.  Fika sedar tak apa yang Fika buat ni?”  Sara mula meninggikan suaranya.
            “Fika sedar, cukup sedar cuma yang tak sedarnya Afrina Imani!”  Fika separuh menjerit.  “Kalau dia betul-betul sahabat sejati kita, dia akan datang cari kita nanti.  Kalau dia anak yang baik, dia takkan buat macam ni, lukakan hati mama dan papa dia, buatkan mama dan papa risau tengok keadaan dia, hancurkan perasaan mama dan papa dia.”  Usai berkata-kata, Fika terus keluar dari bilikku.
            “Fika.”  Sara bangun meluru mendapatkan Fika dan tinggallah aku sendirian di dalam bilik.
            “Maafkan Rina, Fika, Sara.”  Suaraku akhirnya keluar setelah seminggu ia tersimpan kemas di dalam mulut namun sangat perlahan dan hanya mampu didengar oleh sepasang telingaku.

            

8 comments:

  1. askum kak. harap sngat cover untuk SCTDK nanti betul2 gambar min hyuk, aimi n adha ada sekali ek.. especially min huk wajib da! hahkhak!!
    ermmm, sebut pasal adha, KALU SAYA X SILAP lah, saya sekali pun x pernah nmpak akak upload gambar dy.. kempunan ni kak..
    huhu...X(

    ReplyDelete
    Replies
    1. to both dear nur n dear anon^^thanks a lot~btw, akak n my twin ad buat request utk cover novel n hopefully dterima^^ excited nk tgk cover novel~tungguuuuu~^^

      adha tu kalau pasan akak pnah bg link fb org yg akak pinjam wajah dia sebagai adha^^

      Delete
  2. salam....sedih bab 6 ni...cepat2 upload bab7 ye kak..excited ni..:-)..*saya setuju dgn anonymous..cover tuk novel CTDK gambar min hyuk, aimin adha..atleast hero n heroin..pentingggg..heheee

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih.

      Delete
    2. to both dear nur n dear anon^^thanks a lot~btw, akak n my twin ad buat request utk cover novel n hopefully dterima^^ excited nk tgk cover novel~tungguuuuu~^^

      adha tu kalau pasan akak pnah bg link fb org yg akak pinjam wajah dia sebagai adha^^

      Delete
  3. bila nak kuar novel CTDK. Xsabar gila ni.

    ReplyDelete