BAB 7
AJCL by ANIA MALNA
HCT
Aku
melangkah perlahan menuruni anak tangga.
Wajahku pucat dan layu tanpa sebarang mekap. Wajah yang cukup sugul, mata yang bengkak dan
bibir yang kering. Pagi ini aku memilih
untuk keluar dari bilik dan bukan setakat keluar dari bilik tapi lebih. Aku mahukan penjelasan yang sebenar-benarnya
daripada mulut seseorang. Terasa sudah
tidak mampu untuk kutanggung lagi.
Aku tidak boleh mengaku kalah, masih
belum terlambat untuk mendapatkan kembali cinta hatiku. Lelaki yang sudah menghuni hatiku dan bakal
menjadi suamiku tidak lama lagi. Aku
tidak mampu untuk hidup tanpanya. Aku
tahu dia juga begitu namun keadaan yang memaksa dia membuat keputusan itu. Ia bukan datang dari hatinya, aku tahu.
“Sayang, nak ke mana ni?” Mama menerpa ke arahku saat melihat aku
berjalan menghampiri pintu.
Soalan mama tidak kuhiraukan dan aku
terus melangkah lemah ke pintu. Hanya
tinggal mama dan Mak Kiah di rumah. Papa
sudah ke pejabat dan sebelum ke pejabat papa sempat melihatku di bilik
tadi. Aku sengaja memilih untuk pergi
setelah papa ke pejabat kerana aku yakin papa tidak akan membenarkanku pergi.
“Sayang, cakap dengan mama, adik nak
pergi mana ni?” Mama sudah berada di
sisiku dan tanganku dicapai mama. Mama
menarikku menghadapnya. Kedua-dua belah
pipiku dipegang mama.
“Kalau adik nak ke mana-mana kita
tunggu papa balik ya. Mama telefon papa
sekarang jugak.” Wajah mama penuh
kerisauan namun aku sedikitpun tidak menghiraukannya. Tetap diam membisu.
“Adik tunggu sini, mama telefon papa
ya.” Mama memujukku lagi, lembut
sekali. setelah itu mama berlalu ke
ruang tengah.
Aku mengambil kesempatan yang ada untuk
terus melangkah ke pintu dan terus keluar.
Langkahku dilajukan dan aku kini sudah berada di pintu pagar utama. Mataku mengalih kepada pintu pagar
kecil. Aku tidak pernah menggunakan
pagar ini kerana kebiasaannya aku akan keluar dengan kereta. Pagar kecil berkunci, aku perlu keluar cepat. Jika tidak pasti mama akan mendapatkanku.
Dengan selamba aku memanjat pagar
kecil, hanya itu sahaja cara untuk keluar.
Setelah itu aku terus mengatur langkah.
Walau di perkarangan rumah masih ada beberapa buah kereta milik keluarga
kami, aku tidak tahu memandu jadi hendak tak hendak aku perlu juga berjalan
kaki untuk ke tempat yang ingin kutuju.
Kebiasaannya dengan menaiki kereta,
jarak dari rumahku ke rumah Ikhwan akan mengambil masa kira-kira lima belas
minit. Mungkin dengan berjalan kaki ia
akan mengambil masa dua jam atau juga lebih.
Mujur juga rumah kami berada dalam kawasan yang sama. Aku harap aku mampu bertahan hingga sampai ke
rumah Ikhwan.
Matahari semakin tinggi dan peluh
mula memercik di dahi. Terasa panas
mentari memamah diriku. Mampukah aku
sampai ke rumah Ikhwan? Cukupkah
tenagaku yang sangat nipis ini?
Langkahku semakin lama semakin perlahan.
Terasa kepalaku makin berat dan bagai ada sesuatu mencucuk-cucuk
kepala. Sakitnya terasa
digigit-gigit. Panahan mentari menyilaukan
pandanganku.
Langkahku terhenti, aku sudah
tercungap-cungap. Denyutan jantungku
terasa semakin laju. Aku memegang dada
dan terasa ia berombak kencang. Peluh
yang sudah membasahi wajah kubiarkan mengalir.
Berilah aku sedikit kekuatan, kurang dari 100m sahaja aku akan sampai ke
banglo milik keluarga Datuk Shamsul.
Aku cuba melangkah namun kakiku
terasa begitu berat. Silauan matahari
begitu menyakitkan mata, ditambah pula dengan kepalaku yang
berdenyut-denyut. Panasnya terasa hingga
ke otak. Terasa dunia bagaikan
berpusing, tenagaku sudah kosong. Pandanganku
sudah menjadi kelabu dan berbalam-balam.
Tidak! Aku perlu kuat! Afrina Imani kuat! Aku menjerit di dalam hati namun kesakitan
yang amat tidak dapat kubendung lagi.
Mataku terpejam dan setelah itu duniaku menjadi gelap-gelita.
………………………………………………………………………………………………………
Perlahan-lahan
mata kubuka. Orang pertama yang aku
lihat ialah mama. Mama tersenyum ke
arahku dan setelah itu dahiku dikucup mama.
Aku beralih pula ke keadaan sekeliling di dalam bilikku. Ada papa, Mak Kiah dan juga Datin Diana.
Hatiku terasa lebih pedih melihat
wajah Datin Diana. Bukan aku tidak
sukakan kehadirannya namun Datin Diana tentunya mengingatkanku pada
Ikhwan. Teringatkan lelaki itu bagaikan
mendera diriku yang sudah sememangnya lemah saat ini.
Aku cepat-cepat memalingkan wajah ke
arah mama yang duduk di sisiku. Tangan
mama kucapai dan kugenggam kemas, mencari sedikit kekuatan. Aku tidak sanggup melihat wajah Datin
Diana. Biarlah aku digelar biadap, aku
tidak kisah.
“Rina.” Datin Diana memanggilku lembut namun aku
tidak menoleh sedikitpun.
“Sayang jangan buat macam ni, Auntie
panggil tu sayang.” Mama memujukku
lembut namun aku laju menggelengkan kepala.
Air mata sudah bertakung di tubir mata, menanti untuk gugur. Entah sudah berapa banyak air mataku yang
gugur.
“Auntie faham perasaan Rina. Auntie tak boleh buat apa-apa sayang. Auntie mintak maaf sayang.” Suara Datin Diana bergetar.
Perlahan-lahan aku memalingkan wajah
ke arah Datin Diana. Wajahnya sudah
basah dek air mata. Dalam kesakitan ini
aku tetap rasa bersalah dengan apa yang terjadi. Bersalah kerana aku tersalah menghukum orang
yang tidak bersalah. Datin Diana
tentunya menerima keputusan yang telah dibuat dalam keterpaksaan. Aku tahu dia begitu kasihkan aku walau aku
masih belum bergelar isteri kepada anaknya.
Datin Diana mendekatiku dan duduk di
sisiku. Pipiku dibelainya lembut dan
setelah itu dahiku dikucup. Aku dapat
rasakan kasih sayangnya terhadap aku masih sama seperti dulu, tidak berkurang
walau sebesar zarah dan mungkin juga telah bertambah. Bertambah kerana rasa simpatinya dengan
keadaanku.
“Auntie harap hubungan kita tetap
macam dulu Rina. Walaupun Auntie tak
dapat nak bermenantukan Rina tapi Auntie tetap sayangkan Rina.” Luluh hatiku mendengar kata-kata Datin Diana. Air mataku mula gugur dan deras
mengalir.
Aku ditemui pengsan oleh Datin Diana
dan Izreen. Mereka baru sahaja pulang
dari hospital, melawat Fatin. Mujur juga
mereka menemuiku, jika tidak aku tidak tahu apa nasibku. Setelah itu aku terus dibawa pulang ke rumah
oleh mereka dan papa baru tiba di rumah ketika itu. Aku dirawat di rumah oleh doktor peribadi
keluarga kami.
………………………………………………………………………………………………………
“Kenapa awak seksa diri awak?” Aku tidak membalas kata-kata Ikhwan dan hanya
merenung tepat ke meja batu.
Aku cuba bersuara walau terasa
sangat susah. Sudah lebih seminggu aku
mendiamkan diri. Menjadi seperti orang
bisu. Hari ini aku harus bersuara. Hanya pada ketika ini. Ketika bersemuka dengan Ikhwan Hafizi. Aku perlu luahkan apa yang terbuku di hatiku. Walau di hatiku, berdetak mengatakan aku
sungguh rindukan lelaki di hadapanku ini, ia tidak mampu untuk diluahkan.
Ikhwan Hafizi tiba di rumahku
setengah jam yang lalu. Baru semalam aku
berusaha untuk berjumpa dengannya dan hari ini dia sendiri yang datang kepadaku. Perlukah aku berharap agar dia kembali
kepadaku? Adakah dia ikhlas datang
menemuiku atau sekadar dipaksa oleh orang lain?
Sudah tiadakah rasa cintanya untukku?
Lelaki yang duduk bertentangan
denganku ini tetap lelaki yang kusayang selain daripada papa. Lelaki kedua dalam hidupku, yang sangat
bermakna dalam hidupku. Aku masih belum
rela jika harus kehilangannya. Masih
adakah peluang bagiku untuk mendapatkan lelaki ini?
“Kerana awak.” Aku akhirnya bersuara. Tangan kugenggam kemas, sekemas-kemasnya.
“Saya tak nak awak menderita kerana
saya. Tolonglah Imani, hentikan semua
ni.” Tiada lagi panggilan B atau sayang
daripada Ikhwan. Sedih rasanya hatiku.
“Awak yang pilih semua ni.” Aku tidak mahu kalah dengan
kata-katanya. Mukaku sudah memerah
menahan perasaan.
“Saya terpaksa Imani, saya bersalah
pada Fatin. Kemalangan tu berlaku sebab
saya. Saya kena bertanggungjawab pada
apa yang saya dah buat.” Ikhwan meraup
wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.
“Pada saya? Awak tak rasa bersalah?” Soalanku yang ternyata menjerat Ikhwan.
Ikhwan membuka mulut namun tiada
kata-kata yang keluar. Dia bagaikan
tergamam dengan kata-kataku. Wajahku
ditenungnya penuh pengharapan. Dalam
situasi ini, aku atau dia yang pentingkan diri sendiri?
“Saya..” Ikhwan mati kata-kata.
“Awak dah tak cintakan saya?” Laju aku memotong.
“Bukan macam tu Imani, saya…” Ikhwan sekali lagi terdiam. Aku tidak tahu samada dia hilang kata-kata
atau tidak sanggup untuk menuturkan apa yang ingin disuarakannya.
“Ikhwan, kenapa awak buat saya macam
ni?” Air mataku sudah mula berjuraian di
pipi. Sudah tidak mampu dibendung lagi.
“Imani tolonglah faham situasi
sekarang.”
Terasa Ikhwan Hafizi yang duduk di
hadapanku ini bukan lagi Ikhwan Hafizi yang dahulu. Ikhwan Hafizi yang dulu sentiasa memujukku
apabila aku merajuk, sentiasa menceriakanku apabila aku sedih, yang akan
mengelap air mataku tatkala aku menangis.
Di mana Ikhwan Hafizi aku? Aku
hanya mahukan Ikhwan Hafizi aku yang dulu?
Aku tidak mahukan apa-apa, hanya ini yang kuinginkan ketika ini. Ya ALLAH, kembalikanlah Ikhwan Hafizi aku.
“Perasaan saya, siapa yang nak
faham? Awak tolonglah, jangan buat saya
macam ni. Mana janji-janji awak pada
saya?” Dalam esakan, aku tetap
bersuara. “Saya tak sanggup hidup tanpa
awak.” Kataku jujur. Aku tidak mahu berselindung. Mungkin dengan cara ini akan membuatkan
Ikhwan mengubah keputusan yang telah dibuat.
Pasti dia tidak sanggup melihatku dalam keadaan begini. Bukankah dia sangat mencintaiku?
“Kita kena redha dengan takdir yang
dah tertulis untuk kita Imani. Saya
bukan untuk awak. Berhenti cintakan saya
sebab kita tak boleh bersama. Antara
kita dah berakhir.” Kata-kata daripada
Ikhwan bagaikan pedang tajam yang menghunus tepat mengenai jantung hatiku.
“Tak, belum berakhir. Saya cintakan awak dan awak pun cintakan saya. Kenapa kita tak boleh bersama?” Aku mengelap kasar air mata di pipi. Menarik nafas panjang. Menunggu jawapan yang akan keluar dari mulut
Ikhwan.
“Fatin, tolonglah fikirkan
Fatin. Kasihankan dia, dalam keadaan
macam tu dia perlukan seseorang untuk jaga dia dan saya kena bertanggungjawab
atas apa yang dah jadi pada Fatin.”
Ikhwan cuba berlagak tenang walau aku tahu hatinya tentu meronta saat
ini.
“Awak anggap dia macam adik, awak
takkan sanggup kahwin dengan dia. Awak
sendiri yang cakap pada saya dulu. Awak
dah berjanji dengan saya! Kenapa awak
tipu saya!!!” Suaraku kali ini sangat
tinggi dan sebenarnya aku menjerit. Aku
sudah tidak mampu menahan perasaan.
“Imani!” Suara Ikhwan bagai halilintar di telingaku.
Dengan serta merta aku menekup kedua
belah telinga. Aku tidak sanggup
ditengking begitu. Sedangkan papa dan
mama juga tidak pernah meninggikan suara begitu terhadapku. Aku cuba bangun dari kerusi dan terus jatuh
terduduk ke tanah. Esakan makin kuat,
Ikhwan hanya diam membatu di kerusi.
“Ya ALLAH, sayang kenapa ni?” Mama menerpa ke arahku. Aku masih lagi menekup telinga. Tubuhku mama peluk erat. Papa juga ada bersama.
“Ikhwan, kamu pergilah balik
dulu.” Aku dapat mendengar suara
papa. Perlahan-lahan aku mengalihkan
tangan dan memandang Ikhwan yang sudah bangun.
Aku pantas menyambar kaki Ikhwan.
“Awak tolong jangan pergi, jangan
tinggalkan saya.” Esakanku makin
kuat. Dadaku terasa sungguh sakit
menahan esakan.
“Afrina Imani! Cukup!”
Kali ini papa pula yang meninggikan suara.
Aku tersentak. Kaki Ikhwan kulepaskan dan aku memandang
wajah papa yang sudah memerah. Marah
sangatkah papa denganku? Kali pertama
papa meninggikan suara sebegitu. Ya
ALLAH, apa yang aku lakukan ini? Teruk
sangatkah aku hingga semua orang meninggikan suara terhadapku?
“Abang.” Suara mama menandakan mama protes dengan
tindakan papa,
“Ikhwan pergilah balik.” Ikhwan melangkah pergi meninggalkan kami
setelah arahan papa yang kedua.
Papa berlalu pergi meninggalkan aku
dan mama lalu masuk ke dalam rumah. Mama
merenung wajahku penuh simpati. Hanya
mama yang memahamiku saat ini. Aku hanya
ada mama saat ini. Aku sudah tiada
tempat bergantung yang lain. Papa sudah
rimas dengan sikapku? Papa sudah lelah
melayan kerenahku?
Perlahan-lahan mama menarikku ke
dalam pelukannya. Aku memeluk mama
seeratnya. Aku masih lagi dengan esakan
namun air mata telah berhenti. Aku jadi
gamam setelah ditengking oleh dua lelaki yang begitu bermakna dalam hidupku. Aku sudah hilang Ikhwan tetapi aku tidak
sanggup kehilangan papa. Aku tidak
sanggup kehilangan kasih sayang papa.
Aku tidak sanggup kehilangan perhatian dan layanan mesra papa.
………………………………………………………………………………………………………
Mama membelai lembut rambutku. Terasa ada sedikit kekuatan mengalir masuk ke
badanku tapi untuk apakah kekuatan ini?
Aku tidak perlukannya, aku tidak mahukannya kerana aku tidak tahu apa
yang boleh kulakukan dengan kekuatan ini.
Di dalam fikiranku sudah tidak ada apa-apa lagi. Terasa cukup kosong.
“Tidurlah sayang.” Mama menepuk bahuku pula. Selimut yang menutup tubuhku mama tarik
hingga ke paras dadaku.
“Mama temankan adik ya malam
ni.”
Tangan mama terus kucapai dan
kugenggam kuat. Aku silap tadi, aku
perlukan kekuatan. Kekuatan untuk aku
terus memegang tangan mama. Cukuplah
kekuatanku sekadar untuk memegang tangan mama.
Aku mahukan kekuatan dan mama sumber kekuatanku. Aku amat perlukan mama saat ini.
“Lailahaillallah, lailahaillallah,
lailahaillallah..” Suara mama yang merdu
mengalunkan zikir membuatkan jiwaku begitu tenang dan aku akhirnya tertidur di
dalam pelukan mama.
……………………………………………………………………………………………………
Aku merenung keluar tingkap. Pagi ini hujan agak lebat. Tidak perlu pasang air-cond. Aku harap hujan pagi
ini penuh dengan rahmat dan mampu menyejukkan hatiku, mengubat hatiku. Mama meninggalkan bilikku Subuh tadi dan
setelah solat Subuh aku seperti biasa akan duduk di katil. Setia merenung keluar tingkap, bagai menunggu
sesuatu datang kepadaku.
Mataku teralih ke pintu bilik saat
terdengar pintu bilik dikuak. Papa
berjalan masuk dan mendekatiku lalu duduk di birai katil. Papa merenungku lama dan aku membalas
renungan papa dengan raut wajah yang kosong.
Peristiwa semalam masih lagi menghantuiku. Masih terngiang-ngiang tengkingan papa
semalam. Alangkah bagusnya jika aku
mampu katakan pada papa yang aku langsung tidak ambil hati dengan tindakan papa
kerana aku sedar apa yang aku lakukan semalam adalah tindakan yang sangat
bodoh.
“Papa mintak maaf sayang.”
Aku mendekatkan diri kepada papa dan
memeluk papa. Tidak perlu bersuara
kerana dengan tindakan ini tentu papa sudah tahu aku langsung tidak marahkan
papa. Papa menepuk perlahan belakangku.
“Sayang, papa pergi pejabat dulu
ya.” Papa meleraikan pelukan dan bangun
berdiri. Setelah itu papa keluar
meninggalkanku.
Aku kembali merenung keluar
tingkap. Melihat titisan air hujan yang
turun ke bumi. Sebentar lagi pasti mama
datang membawakan sarapan. Mama tidak
pernah jemu melayanku walau aku langsung tidak menjamahnya. Iya, sudah seminggu lebih aku hanya makan
beberapa suap, itupun semuanya disuap oleh mama. Aku tidak tahu dari mana datangnya kekuatan
untukku terus bernafas, mungkin juga dari doa mama dan papa, juga dari kasih
sayang yang melimpah dari mama dan papa.
Pandanganku terarah ke pintu apabila
terdengar ada ketukan beberapa kali. Aku
hanya diam membatu, menunggu pintu dibuka tanpa diarah. Bukan mama kerana mama tidak akan mengetuk
pintu. Tentu Mak Kiah. Aku mengalihkan pandangan kembali keluar
tingkap.
“Assalamualaikum cucu nenek.”
Aku terus mengalihkan pandangan ke
pintu. Hatiku berbunga riang saat
melihat nenek sudah menapak masuk mendekatiku.
Hatiku gembira namun tidak terzahir di bibir. Wajahku tetap kosong. Nenek terus duduk di katil dan
mendekatiku. Aku terus sahaja
menghulurkan tangan dan nenek cukup faham apakah maksudnya apabila aku
menghulurkan tangan kepadanya. Sejak
dari kecil inilah caraku untuk minta dipeluk oleh nenek. Tidak perlu diluahkan, dengan hanya
menggunakan isyarat tangan.
Nenek memelukku dan aku membalas
pelukan nenek dengan erat. Terima kasih
nenek. Air mataku sudah mengalir di pipi
dan esakan mula kedengaran. Nenek
memelukku dengan lebih erat sambil menggosok-gosok belakangku. Nenek tentunya amat faham akan perasaanku.
………………………………………………………………………………………………………
“Afrina Imani, cucu nenek, kena
kuat.” Ujar nenek sambil mengelus lembut
rambutku.
Aku selesa berbaring dan kepalaku di
ribaan nenek. Menunggu kata-kata nenek
yang seterusnya. Tanganku menggenggam
tangan kiri nenek. Dalam keadaan begini,
aku begitu senang dapat menggenggam tangan orang-orang yang aku sayang. Mama, papa dan sekarang ada nenek. Ia bagaikan satu kekuatan apabila dapat
menggenggam tangan mereka.
“Ingat, sekalipun adik hilang
Ikhwan, adik tetap kena bersyukur masih ada orang yang sayangkan adik. Masih ramai lagi orang yang risaukan adik dan
ambil berat tentang adik. Ini bukannya
penghujung hidup adik. Jangan jadi lemah
kerana lelaki sayang.” Kata-kata nenek
sungguh mendalam.
“Nenek tahu memang sakit tapi adik
tetap kena redha sayang. Ini penentuan
Allah, setiap yang tertulis tu adalah yang terbaik untuk kita. Ikhlaskan hati, terima dengan hati yang
terbuka. Nenek tahu sayang, hati adik
terluka dan nak ubatkan hati yang terluka ni tak semudah mengubat badan kita
yang terluka tapi yakinlah dengan banyak mengingati Allah, banyakkan berzikir,
banyakkan solat-solat sunat, baca Al-Quran, In shaa Allah kita akan rasa
tenang. Dekatkan hati kita dengan Allah
dan Allah akan mengubat hati kita sayang, Allah doktor yang paling hebat sebab
Dia mampu sembuhkan segala penyakit termasuklah penyakit hati. Yakinlah dengan kuasa Allah.”
Ya ALLAH, kata-kata nenek sungguh
bermakna, penuh pengisian, pengajaran dan peringatan. Tersentuh hatiku mendengarnya. Bagai satu panahan yang terus ke hati dan
jantung namun panahan ini bukanlah panah sakit tetapi panah semangat dan
kekuatan. Ia memberikanku suntikan yang
sungguh bernilai. Kata-kata nenek
membuatkanku sedar. Tersedar daripada lamunanku
yang terlalu panjang, lamunan penderitaan yang memakan diri sendiri. Lamunan yang memudaratkan orang-orang yang
kusayang terutama mama dan papa.
hampir menitis air mata baca bab7..akak t cepat2 upload bab8..p/s t novel CTDK nak akak poskan bole???heheh..nk sign sekali..kalau sempat akak dtglah kolej anggerik,uitm boleh snap2 pic...ni sem last sy..boleh jumpa jas sekali..heeee
ReplyDelete😭😭😭😭..aduh..feeling habis.terasa dihati...tiba2 sebak.malu lh kalo org..blh kne ejek ni nti.huhu😅
ReplyDelete