My Sweetie Readers

Tuesday, 18 August 2015

BIARKAN CINTA INI SEPI (BiCIS) BAB 1

BAB 1

by ANIA MALNA

Mataku teralih ke sebelah kiri setelah hampir lima minit memandang tasik.  Walau sepasang mataku mengarah ke tasik namun mindaku fokus kepada lelaki yang duduk berjarak di sebelahku kini.  Sejak tiba tadi memang tiada suara antara kami.  Aku lewat setengah jam dari waktu yang telah dijanjikan dan aku sangka dia sudah tiada namun salah jangkaanku.  Dia tetap setia menungguku.  Salam yang aku berikan lima minit lalu dibalasnya tanpa perasaan.  Setelah aku duduk, langsung tiada suara di antara kami.  Sepertinya perang bisu telah kami isytiharkan. 
Lima saat mataku terpaku ke wajahnya.  Aku tarik nafas sedalam-dalamnya dan perlahan-lahan aku lepaskan.  Bersedia untuk ‘menegurnya’ dahulu.  Jika dibiarkan, mahu sampai habis waktu lunch hour kami akan berkampung di sini.  Mulut aku terbuka sedikit, bibir bergerak- gerak dan otak pula ligat menyusun ayat untuk aku lontarkan.
“Amal redha dengan apa yang berlaku.”  Perlahan sekali nada suara lelaki di sebelahku ini namun entah kenapa aku merasakan tiada iringan kecewa dalam nadanya.  Seperti tawar dan tiada apa-apa rasa, tanpa emosi mungkin.
“Auni mintak maaf bagi pihak Julia.  Auni…”  Aku mati kata-kata.  YA ALLAH, mengapa lidahku bagaikan memberat.  Terasa lebih berat daripada satu tan batu.  Bibirku kembali bertemu dan aku alihkan pandangan ke tasik semula.  Mungkinkah aku sebenarnya takut untuk meneruskan ayat kerana bimbang ia akan mencalar jantung dan hati Amal yang sememangya sedang berduka saat ini?
Tawa kecil yang kedengaran membuatkan aku cepat-cepat berpaling ke arah Amal.  Aku tidak silap dengar kerana saat mataku kembali menjamu wajah Amal, dia sememangnya sedang ketawa.  Tadinya sekadar tawa kecil kini tawanya makin besar pula.  Sudah!  Aku mula fikir yang bukan-bukan.  Mana mungkin Amal Yusuf terlalu tertekan dengan apa yang berlaku hingga membuatkan dia menjadi…  Tidak sanggup aku menyebut perkataan itu.  Bulat mataku memandang Amal.
“Auni Marjan… janganlah buat muka macam tu.  Kelakar tau tak?”
“Apa Amal ni?  Tak faham betullah dengan awak ni.  Kenapa ketawa?  Sekarang patutnya kena serius.  Awak betul ke tidak ni?”  Geram pula aku dibuatnya dengan bekas bakal adik ipar aku ini.  Ada juga yang makan beg tangan kejap lagi.
So, what do you expect?  Nak suruh Amal menangis air mata darah sebab adik Auni tu mintak putus tunang.  Macam tu?”  Tawa Amal mati dan wajahnya kembali tanpa perasaan.
“Bukanlah macam tu cuma sekurang-kurangnya ada lah nampak kesedihan tu.  Macam tipikal putus tunang.  Setidak-tidaknya jumpa dengan Julia dan berbincang elok-elok dengan dia dan pujuk dia untuk batalkan keputusan putus tunang tu.  Mana tahu Julia akan lembut hati dan terima semula Amal.  Auni bukan tak cuba pujuk Julia tapi dia tetap berdegil dan langsung tak nak bagitahu kenapa dia nak putuskan pertunangan dengan Amal.  Auni tak sedap hati sebenarnya.  Auni tahu yang Julia sangat cintakan Amal, jadi pelik bila tak ada angin tak ada ribut Julia buat keputusan mendadak untuk putuskan pertunangan.  Melainkan…”  Aku mencerlung tajam Amal.  Cuba menyelidik sesuatu di sebalik mata hitamnya.  Mungkinkah Amal…
“Auni, jangan fikir yang bukan-bukan.”  Amal cepat sekali menembak fikiran negatifku dan ia terus mati.
“Amal buat hal, jangan ingat Auni akan lepaskan Amal.  Julia tu adik Auni.  Amal sakitkan hati dia, bererti Amal sakitkan hati Auni jugak.  Ingat tu.”  Jari telunjukku menuding tepat ke wajah Amal.  Memberikan amaran yang sekeras-kerasnya.  Biar nampak kasar dan biadap asalkan Amal gentar.
“Sampai hati Auni fikir Amal macam tu.”
“Sedangkan pantai pun berubah, inikan pula hati manusia.  Boleh dibolak-balikkan seandainya Iman tak kuat.  Amal ada orang lain sebab tu Julia mintak putus tunang kan?”  Sinis nadaku.  Mahu Amal mengaku sekiranya tekaan aku ini tepat.
“Astaghfirullahaladzmin.  Amal bukan ajak Auni jumpa untuk terima tuduhan sebegini.  Auni kenal Amal sejak kita darjah satu lagi dan Auni Marjan kenal sangat dengan Amal Yusuf.”  Kata-kata Amal seperti menembak tepat ke jantungku.  Terdiam aku tidak mampu membalas tembakan itu atau lebih tepat, aku sudah kehabisan peluru.  “Mungkin Amal yang salah selama ni.  Amal salah sangka dan sememangnya semua jangkaan Amal pada Auni semuanya salah.”  Mendalam sekali kata-kata Amal Yusuf.  Aku sendiri tidak faham apa yang dimaksudkannya.
“Amal pergi dulu, terima kasih sudi pinjamkan masa Auni untuk jumpa Amal.”  Habis sahaja ayat, terus sahaja dia bangun dari kerusi panjang dan melangkah meninggalkanku.  Aku pula hanya mampu menghantar pandangan sebagai pengiring kepergian Amal.  Dalam hati mengharapkan Amal akan berpaling memandangku, persis dalam drama namun ini bukan drama mahupun novel kerana ia adalah realiti.  Setelah Subaru XV berwarna merah milik Amal bergerak meninggalkan kawasan taman mini ini, barulah aku bangun berdiri.
“Auni mintak maaf, Amal Yusuf.”  Perlahan suaraku.  Sekadar mampu didengar oleh telingaku.  Tiada guna untuk meminta maaf sedangkan orangnya sudah pergi.  Ya ALLAH, terasa perasaan bersalah menghujani aku tika ini, lebat sekali hingga terasa hendak rebah.  Aku sudah bersalah terhadap Amal dan apakah aku berpeluang untuk meminta maaf dengannya?
………………………………………………………………………………………………………
“Adik, tolonglah jujur dengan Akak.”
“Akak boleh tak jangan sibuk-sibuk tanya.  Kan Ju dah cakap itu keputusan muktamad Ju, tolong hormat keputusan Ju.”
“Bukan Akak tak hormat keputusan adik tapi akak nak tolong selamatkan pertunangan adik dengan Amal.”
“Akak, Ju rimas tau tak.  Ju bukannya budak kecik, dah dewasa pun jadi tolonglah jangan sibuk hal Ju.  Leave me alone!”  Pedas sekali kata-kata Julia.  Bohong aku katakan yang aku tidak ambil hati namun kucuba tendang jauh rasa itu kerana misi aku adalah untuk sehabis daya menyelamatkan hubungan Julia dengan Amal.
“Adik, tolong ya fikirkan tentang Amal.  He’s a good man for you.”  Aku tidak mudah mengalah walau Julia bersungguh-sungguh marahkan aku.
“Kalau dah rasa dia tu baik sangat, Akak je la kahwin dengan dia.  Jangan nak paksa-paksa orang pulak.”  Julia hadiahkan jelingan padu buatku dan terus sahaja masuk ke dalam biliknya.  Pintu dihempas kuat.  Terasa bergegar rumah teres dua tingkat ini.
“Auni, kenapa yang kuat sangat bunyi pintu tu?”  Entah bila ibu naik ke tingkat atas.  Tahu-tahu sudah berada di belakangku.  Pasti aku tidak sedar kerana terperanjat dengan tindakbalas kasar Julia.
“Tak ada apa, Ibu.”  Seperti biasa, memang tugasku untuk menyembunyikan ‘kenakalan’ Julia terhadapku.
“Adik buat hal lagi ke?”  Ibu cepat benar menghidunya.
“Taklah, Ibu.  Janganlah risau.”  Aku paut lembut lengan ibu.  “Jom ibu, kita turun bawah.  Dah pukul sebelas ni, kita prepare untuk makan tengahari.”  Aku memang bijak mengalihkan perhatian ibu namun berjaya atau tidak?  Selalunya aku akan gagal.  Ibu kenal benar dengan anak yang dikandungnya sembilan bulan itu.
“Sampai bila Akak nak bela adik tu?  Ibu kesian tengok anak ibu yang seorang ni.  Selalu sangat kena dengan adik.  Ini ibu ada lagi, bolehah ibu tengok-tengokkan kamu berdua.  Nanti bila ibu dah tak ada macam mana?”  Sayunya nada suara ibu.  Tiba-tiba aku jadi sebak.
“Ibu, janganlah cakap macam tu.  Akak nak ibu sentiasa ada dengan Akak.”  Spontan aku memeluk ibu seeratnya.  Laju Kristal cair pecah berderai jatuh menurun ke pipi dan aku sedikit teresak.  Aku memang sensitif bila perkara begini diungkap oleh ibu.  Memikirnya juga sudah boleh buat nangis.
“Ya, sayang.  Selagi Allah pinjamkan nyawa untuk ibu, ibu akan sentiasa ada menyokong akak.  Ibu sayang anak ibu setiap detik, dunia dan akhirat.”  Kata-kata ibu mencetuskan esakanku.  Sungguh!  Aku terharu dengan layanan ibu walaupun…
“Tak habis-habis nak berdrama.”  Suara Julia membunuh momen indah yang baru sahaja dibina oleh aku dan ibu.  Kami sama-sama meleraikan pelukan.
“Adik, sudah-sudahlah tu.  Tak habis-habis nak sakitkan hati Ibu dengan akak.”
“Ibu memang, selalu sangat bela Akak, padahal akak tu bukannya…”
“Julia!”  Tegas sekali panggilan ibu.  Julia pamer wajah kurang puas hati dan kembali ke biliknya.
“Akak…”
“Ibu, janganlah risau.  Akak okay, lagipun adik sekarang tengah kusut fikiran.  Tentu  dia susah hati fikirkan perihal pertunangan dia dengan Amal, sebab tu emosi tak stabil.”  Cepat aku memotong kata-kata ibu.  Ya ALLAH, mengapa hatiku ini begitu lembut untuk gadis bernama Julia itu?  Mungkin kerana kasih sayangku terhadapnya terlalu hebat hingga mampu memadamkan api marahku.  Kerana aku ikhlas kasihkannya sebagai seorang adik.
………………………………………………………………………………………………
Aku membuka Fail Rancangan Pembelajaran (FRP) dan terus membuka bahagian subjek Industrialised Building System.  Mataku terpaku pada syllabus subjek namun hatiku ke lain.  Jujurnya, aku teringatkan Amal Yusuf.  Sudah seminggu berlalu sejak pertemuan kami yang akhirnya membawa luka di hati Amal.  Terasa aku agak jahat kerana langsung tidak meminta maaf di atas apa yang telah terjadi.  Perlukah aku minta maaf?
“Cik, cik…”
“Ya, awak panggil saya ke?”  Mataku terarah kepada pelajar yang berdiri di hadapan mejaku.
“Ya, cik.  Maaflah kalau saya ganggu.  Saya dah bagi salam tapi mungkin cik tak dengar.”  Pelajar itu gelak kecil.  Pasti sekadar mengambil hatiku, mana boleh lukakan hati pensyarah kan?
“Sorry ya, kenapa awak datang?”
“Saya nak ambik nota Bab 3.  Tadi masa kelas cik ada suruh datang ofis ambik nota sebab cik lupa nak bawak nota tu.”  Kata-kata pelajar itu membuatkan aku beristighfar di dalam hati.  Inilah padahnya bila buat salah dengan orang, kemudian tidak minta maaf.  Jadi aku sudah dapat jawapan untuk soalan tadi.  Setelah nota diberikan dan pelajar itu berlalu pergi, aku mengeluarkan telefon bimbit di dalam beg tangan dan hujung jari telunjukku mula menari di atas skrin, mencari nombor telefon Amal.  Panggilan dibuat namun tidak berangkat.  Setelah suara operator kedengaran, aku terus matikan panggilan.  Agaknya dia sibuk.  Aku tidak mahu berfikiran negatif.
“Auni jom.”  Kak Dihah yang datang tanpa salam tersengih memandang ke arahku.
“Jom ke mana akak?”
“Pergi senangkan perutlah, apa lagi.  Dah pukul satu ni.”
“Dah pukul satu ke?”  Aku tanya semula walau mata sudah tepat melihat jam di skrin komputer.
“Yalah dik oiii.  Jomlah, karang perut akak merajuk pulak.”  Tanganku ditarik oleh Kak Dihah.  Aku sempat mencapai beg tangan dan mengikut langkah kaki Kak Dihah. 
“Kau ni kenapa dik?  Akak tengok semacam aje seminggu ni.  Ada apa-apa masalah ke?”  Kak Dihah sudah mula menjalankan tugasnya sebaga wartawan tidak berbayar.  Aku tidak jadi menyuap nasi ke dalam mulut.
“Semacam yang macam mana akak?  Sama aje Auni tengok cermin muka Auni ni.  Tetap mata sepasang, hidung satu, mulut pun satu.”  Aku ketawa geli hati dengan lawak yang aku reka sendiri namun Kak Dihah tayang wajah serius.  Tawaku mati, bukan takut melihat wajah serius Kak Dihah tetapi bersedia untuk membuang jauh kerisauannya.  Sudu dan garfu aku letakkan ke atas pinggan.
“Sebenarnya…”  Aku ceritakan daripada A-Z perkara yang menyebabkan hari-hariku sedikit terganggu.  Kak Dihah khusyuk mendengar ceritaku.  Hanya sekadar mengangguk dan langsung tidak mencelah.
“Lega rasa dapat ceritakan pada akak.”
“Sesuatu perkara yang membebankan, kita kenalah share dengan seseorang.  Walau orang tu tak dapat nak tolong selesaikan, sekurang-kurangnya mampu bagi nasihat sedikit sebanyak.”  Tangan kiri Kak Dihah ke bahuku dan bahuku ditepuknya lembut.
“Ya kak, Auni bukannya apa.  Auni cuma tak nak bebankan akak.  Nak kena fikir pasal hal anak-anak dan suami, tiba-tiba Auni pergi tambah beban bercerita pulak kat Akak.”  Aku ukir senyuman nipis.
“Ya Allah dik oiii.  Sikit pun Akak tak rasa terbeban malah akak rasa berbesar hati nak dengar luahan Auni tu.  Lepas ni, kalau ada apa-apa masalah cerita aje pada Akak.  Jangan nak tunggu akak paksa baru nak cerita.  Akak dah anggap Auni ni macam Adik akak dah.  Bukannya setahun dua kita kenal.  Dah dekat sepuluh tahun.”
Benar kata Kak Dihah, sudah hampir sepuluh tahun kami mengenali diri masing-masing.  Aku mengenalinya ketika di Tingkatan 2 dan waktu itu Kak Dihah tingkatan 4.  Kami mula rapat apabila sama-sama dilantik menjadi Pengawas Sekolah dan ukhwah yang dibina tidak pernah putus walau masing-masing menyambung pelajaran di tempat yang berbeza.  Syukur Allah pelihara ukhwah kami kerana aku ditakdirkan ditempatkan di organisasi yang sama dengan Kak Dihah.
Usai makan tengahari di kafe, kami pulang ke Jabatan dan sungguh aku kembali bersemangat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik.  Terima kasih Allah kerana menemukan aku dengan seorang insan sebaik Kak Dihah.  Tempat aku mengadu selama ini selain daripada-Mu dan Ibu.  Ibu tentunya tempat mengadu selepas Allah namun perkara ini tidak sanggup untuk aku ceritakan kepada Ibu, tidak mahu Ibu terbeban dan susah hati.
………………………………………………………………………………………………
Telefon di dalam beg tangan menjerit minta diangkat.  Aku berhenti memulas kunci kereta.  Peluh sudah menempat di dahi.  Mana tidaknya, terasa berada di sauna saat masuk ke kereta.  Sudahlah enjin tidak hidup walau sudah lebih 10 kali aku mencuba.  Mataku membaca nama yang tertera di skrin telefon dan rahangku sedikit jatuh melihat nama itu.  Dua saat aku berfikir samada untuk menjawab panggilan ini.
“Hello.”  Aku angkat juga.
“Hello, Auni.  Kenapa Auni telefon tadi?  Mal betul-betul mintak maaf.  Telefon tertinggal dalam kereta.  Amal ke tapak projek tadi.  Amal baru tengok telefon ni.”  Senafas sahaja Amal menerangkan.  Aku pula yang rasa serba salah kerana membuatkan Amal rasa bersalah padahal aku yang sebenarnya mahu minta maaf atas kesalahanku.  Banyak benar ‘salah’.
“It’s okay Amal, Auni faham.  Sikit pun tak marah.”  Aku cuba mengawal nada suara.  Mahu berlembut dengan Amal kali ini.  Sedar diri yang sudah bersalah terhadapnya.
“Auni call Amal sebab nak mintak maaf kan tentang hal hari tu?”  Tepat sekali tekaan Amal.  Aku mengangguk, macamlah Amal nampak.  “Tak perlu pun nak mintak maaf, Amal faham situasi Auni.  Julia tu adik Auni jadi Auni nak pertahankan adik Auni.  Hampir seminggu Amal aasyik fikirkan perkara ni dan akhirnya Amal buat kesimpulan macam tu.  Tunggu jugak Auni call Amal tapi tak call-call pun.”  Amal gelak kecil.
“Sor…”
“Syhhh, janganlah mintak maaf.”
‘Syhhh’ Amal buatkan jantungku bergetar hebat.  ALLAH, ALLAH, ALLAH.  Aku sebut nama Allah di dalam hati dan kemudian beristighfar sebanyak mungkin.  Sekadar bibirku yang bergerak dan tiada suara yang keluar.  Tanganku terasa sedikit menggeletar.
“Hello…hello… Auni, are you okay?”
“Huh, okay.  I’m okay.”
“Risau Amal, ingatkan kenapa.  Auni kat mana tu?”
“Dekat Poli lagi.”
“Dah dekat pukul 6, tak balik lagi ke?”
“Memang nak balik dah tapi kereta buat hal.”  Opsss, adakah aku tersalah kata?
“Kenapa?  Kereta tak hidup ke?”
“Tak ada apa-apa lah.  Bye Amal.”  Laju aku laihkan telefon dari telinga dan talian terus aku matikan.  Kurang lima saat, telefonku menjerit minta diangkat.  Daripada Amal dan tentunya aku biarkan panggilan itu sepi.  Enjin kereta aku hidupkan semula dan tetap gagal.  Sepuluh kali cuba akhirnya aku putus asa.
Mahu telefon ibu, ibu ke rumah Maksu di Nilai.  Telefon Julia pulak, entah dia nak datang atau tidak?  Pasti alasannya menggunung.  Bukan aku tidak tahu perangai Julia macam mana.  Tapi belum cuba belum tahu kan?  Lima kali aku telefon dan hampa yang aku dapat.  Aku taip mesej dan hantar kepada Julia.  Dialah satu-satunya harapanku.
Jariku menari di atas skrin telefon.  Pergi ke playlist dan mencari River Flows In You, petikan piano oleh Yiruma.  Badan disandarkan ke seat, telinga fokus kepada petikan piano yang merdu dan mata ditalakan tepat ke hadapan.  Menunggu Julia sampai, andai dia datang.  Tapi andai dia tidak datang, siapa lagi yang aku boleh harapkan?  Mana mungkin aku bermalam di dalam kereta.  Esok pagi pergi ke kelas dengan baju yang sudah rupa belacan ini?
Fikir punya fikir hinggalah tingkap kereta diketuk dari luar.  Ya Allah, aku sangat bersyukur kerana Julia datang juga.  Bibirku meleret dengan senyuman dan pandangan dialihkan ke tingkap.
“Adik…”






6 comments:

  1. yiruma! hero dia kah kali ni Nia? by da way...best! menanti bab seterusnya ^^,

    ReplyDelete
    Replies
    1. x la dear.. heroin minat yiruma itu yg tepek pict yiruma. :) :) :) ..tq for ur support... masih d peringkat awal cerita ni.. doakan yg terbaik ya...

      Delete