BAB 6
by- ANIA MALAN
HCT
Aku
merenung pasport di tangan. Hatiku resah
gelisah saat ini. Bohong jika aku
katakan aku rela dengan keputusan ini kerana masih ada keraguan di hati. Sejujurnya aku masih belum ikhlas dengan
keputusan yang terlalu berat ini namun aku rasakan perlu. Perlu bagi mengubati hatiku yang telah hancur
luluh, perlu untuk memulihkan semangatku yang telah hilang, perlu bagi menguatkan
jiwaku yang telah pecah berderai ini.
Sesungguhnya aku pasrah Ya ALLAH.
Berikanlah aku secebis kekuatan.
Aku berdoa agar kehidupanku di
Beijing nanti akan memberi seribu makna buatku.
Yang mampu mengubah segalanya, yang akan membuatkan aku lebih tabah
menghadapi hidup. Aku perlukan kehidupan
baru yang mampu mengajarku erti kehidupan yang sebenar. Tanpa mama dan papa di sisi tentunya sukar
namun aku harus teruskan. Sampai bila
hidupku akan terus bergantung kepada mama dan papa?
Panggilan kedua untuk penerbangan ke
Beijing berkumandang lagi. Tiada
siapa yang menghantarku kali ini. Aku
beria meminta mama dan papa agar tidak menghantarku kerana aku bimbang aku
tidak sanggup untuk pergi meninggalkan mama dan papa. Pasti rasa bersalah menyelubungi diriku. Bersalah kerana berbohong kepada mama dan
papa.
Berat sekali terasa untuk kaki
melangkah namun aku gagahkan juga.
Mampukah aku bertahan tanpa bantuan sesiapa di Beijing nanti? Pasti boleh, aku yakin. Aku harus kuat. Bukankah itu matlamat utamaku. Aku mahu hidup berdikari, tidak mahu lagi
digelar hidup di sebalik bayang-bayang mama dan papa, tidak mampu berdikari. Moga Allah permudahkan segala urusanku.
………………………………………………………………………………………………......
“Bagaimana keadaan anak-anak saya
doktor.” Datuk Shamsul bertanya sebaik
sahaja doktor keluar dari bilik kecemasan.
Kami semua sama-sama berdiri menunggu jawapan yang akan keluar dari
mulut doktor.
“Alhamdulillah, kedua-dua anak Datuk
selamat. Encik Ikhwan tidak mengalami
kecederaan yang serius, dia patah tangan kiri dan sedikit luka di kepala dan
dia dalam keadaan yang tidak membimbangkan.”
Kami semua menarik nafas lega. Aku memeluk mama seeratnya. Tangisanku masih belum berhenti dan ketika
ini tangisanku adalah kerana rasa kesyukuran kepada Allah, Ikhwan selamat. Badanku masih menggeletar dengan berita
kemalangan Ikhwan.
“Bagaimana dengan anak perempuan
kami doktor?” Pertanyaan Datin Diana
menyentakku. Ya ALLAH, aku hampir
terlupa akan Fatin. Doktor masih belum
memberitahu keadaannya.
“Pihak kami minta maaf Datin, anak
perempuan Datin mengalami kecederaan yang teruk pada matanya. Akibat daripada kaca-kaca yang telah memasuki
matanya, matanya rosak dan kami tak dapat menyelamatkan matanya. Anak Datuk dan Datin…..” Doktor muda itu menarik nafas sedalamnya
sebelum meneruskan kata-kata. “… telah disahkan
buta.”
“Ya ALLAH.” Datin Diana jatuh terjelepuk ke lantai.
“Astaghfirullahalazim.” Datuk Shamsul meraup kedua-dua belah
mukanya. Papa menghampiri Datuk Shamsul
dan memeluk erat Datuk Shamsul.
Aku dan mama meleraikan
pelukan. Kami sama-sama menghampiri
Datin Diana. Aku mula memeluk tubuh
Datin Diana. Cuba menyalurkan sedikit
kekuatan buatnya setelah menerima berita yang cukup menyedihkan dan menyayat
hati. Datin Diana menangis di
bahuku. Mama menepuk perlahan belakang
Datin Diana. Air mataku tetap mengalir
laju. Turut bersedih dengan nasib yang
telah menimpa Fatin.
…………………………………………………………………………………………………..
Aku terjaga saat terasa ada sentuhan
lembut di kepalaku. Perlahan-lahan
kubuka mata dan Ikhwan tersenyum ke arahku.
Aku membalas senyumannya. Tangan
Ikhwan masih lagi membelai kepalaku yang berbalut selendang. Terasa cukup bahagia apabila dibelai oleh
Ikhwan. Tangan Ikhwan kutarik dan
kugenggam lalu kukucup lembut.
Aku tiba di hospital tiga jam yang
lepas dan ketika itu Ikhwan sedang tidur dan kata doktor akibat penangan ubat
yang baru dimakannya. Aku setia menunggu
Ikhwan sedar dan akhirnya aku pula yang tertidur di sisi Ikhwan.
“Sayang, awak tak cukup tidur
ya?” Tanya Ikhwan dengan nada yang agak
lemah.
“Mana ada.” Aku menjawab sambil menggelengkan kepala.
“Tengok mata tu dah macam mata panda,
muka pucat.” Tangan Ikhwan dibawa ke
wajahku dan pipiku dibelainya lembut.
“Taklah sayang.” Aku masih cuba menidakkan walau itulah
kenyataannya.
Sudah tiga hari Ikhwan di hospital
dan sudah tiga hari juga aku tidak menjamah makanan, hanya minum sahaja sekadar
syarat agar aku punya tenaga. Tenaga
untuk datang ke hospital melawat Ikhwan dan menemaninya. Tidak sanggup rasanya berjauhan daripada
Ikhwan.
Selama dua malam jugalah aku tidak
dapat tidur kerana kerisauanku terhadap tunang tercinta tidak dapat
dibuang. Setiap malam aku menunaikan
solat hajat memohon agar Ikhwan sembuh seperti sedia kala. Membaca al-Quran dan berzikir untuk
menenangkan hati yang resah gelisah. Aku
bagaikan dapat merasa kesakitan yang dialami oleh Ikhwan.
“Baby,
jangan tipu saya.” Sesungguhnya
Ikhwan cukup memahamiku. Walau aku cuba
menipunya, ia tetap tidak berkesan.
“Saya takut sangat.” Air mataku sudah mengalir ke pipi.
“Kenapa nak takut? Saya bukan mati lagi sayang.”
“Sayang.” Aku jadi lebih takut bila Ikhwan menyebut
perkataan mati. Terasa jantungku bagai
berhenti berdegup.
“Okay,
saya tak cakap macam tu dah ya.”
“Janji.”
“Janji tapi awak pun kena janji
dengan saya, boleh?” Aku hanya
mengangguk mendengar permintaan daripada Ikhwan. “Janji yang awak kena makan dan tidur, kalau
tidak nanti awak sakit. Saya pulak yang
risau nanti.”
Aku mengangguk perlahan. Ikhwan benar-benar kenal denganku. Walau tidak diberitahu aku tidak makan dan
tidur, dia tetap dapat menghidunya. Air
mataku makin deras mengalir di pipi.
Ikhwan mengelap air mata di pipiku dan aku membiarkannya. Sesungguhnya, aku tidak sanggup kehilangan
insan yang bernama Ikhwan Hafizi.
…………………………………………………………………………………………………..
“Adik buat apa tu?” Mama menegurku dan aku berhenti menyusun roti
ke dalam bekas.
“Nak buat puding roti untuk
Ikhwan. Ikhwan tak sempat lagi makan
puding roti yang adik buat.” Aku kembali
menyambung kerja.
“Sayang, Ikhwan mana boleh makan
puding roti lagi. Puding roti ni manis,
tak elok untuk orang sakit. Tunggulah
Ikhwan sembuh sepenuhnya.” Aku terhenti
setelah mendengar kata-kata mama.
Kenapalah aku tidak terfikirkan
perkara ini. Ya ALLAH, Afrina Imani
kenapalah kau ni dungu betul. Aku
memarahi diri sendiri. Benda kecil macam
ni pun aku tidak terfikir. Teruk
betullah. Mujur juga mama nampak, jika
tidak memang selamba aje aku bawa puding roti untuk Ikhwan.
“Mama, kenapa adik ni bodoh sangat?” Aku mengakui kelemahan diri.
‘Ishh, tak baiklah cakap macam
tu. Adik cuma excited nak Ikhwan rasa puding roti adik kan?” Mama ternyata cukup memahamiku.
“Ya mama, adik nak buat Ikhwan happy tapi tak bertempat pulak.” Nadaku sedih dan aku tertunduk memandang
roti.
“Adik, mama faham perasaan
adik.” Mama menarikku ke dalam
pelukannya.
Aku memeluk mama dengan cukup
erat. Ternyata ini adalah sumber
kekuatanku untuk terus berdiri kuat walau hakikatnya aku sangat lemah. Lemah dengan perasaan sendiri. Aku tewas dengan ketakutan yang membelenggu
diri. Ketakutan yang tidak sanggup untuk
kuhadapi. Walau doktor telah mengesahkan
Ikhwan selamat dan tiada kecederaan yang serius, hatiku masih bersarang dengan
rasa takut. Takut kehilangannya.
…………………………………………………………………………………………………..
Aku melangkah masuk ke wad
Fatin. Sebuah bilik yang cukup eksklusif
dan lengkap dengan bilik air di dalamnya, tersedia juga katil tempat waris yang
menemani di waktu malam. Kasih sayang
Datuk Shamsul terhadap Fatin tidak berbelah bahagi. Dia ternyata menyayangi Fatin seperti
kasihnya pada seorang anak.
Fatin sedang duduk di atas
katil. Belakangnya diletakkan bantal,
untuk keselesannya mungkin. Di tangannya
ada tasbih melilit. Bibirnya pula bergerak-gerak,
tentunya sedang berzikir. Aku bertambah
sayu melihat matanya yang masih berbalut kain putih. Ya Allah, kasihannya Fatin. Ujian ini terlalu berat buatnya, moga Allah
kurniakan kekuatan buatnya.
Aku melangkah perlahan
mendekatinya. Tidak mahu mengganggunya
yang sedang berzikir. Kerusi di tepi
katil kutarik seperlahan mungkin dan setelah itu aku duduk. Wajah suci Fatin kutatap dan tidak sedar air
mata mengalir ke pipi.
“Siapa?” Fatin bersuara sambil tangannya
tergapai-gapai.
“Kak Afrina.” Aku mencapai tangannya dan tangan lembut itu
kugenggam.
“Oh akak. Lama dah akak sampai?” Tanya Fatin dengan cukup sopan. Dia mengukir senyuman dan kubalas senyumannya
walau dia tidak dapat melihat senyumanku.
“Baru je lagi.” Suaraku sedikit bergetar.
“Akak, akak menangis ke?” Fatin cepat sahaja menghidu keadaanku.
“Taklah.” Aku cuba berselindung dan air mata makin
deras mengalir. Aku mengelap air mata
dengan hujung jari namun itu semua sia-sia kerana air mata yang gugur terlalu
deras. Pipiku basah kembali.
Aku merasa cukup bersalah kerana
pernah buruk sangka terhadap gadis sebaik Fatin. Terasa diriku sungguh jahat. Ya ALLAH, mengapa aku boleh berfikiran yang
tidak elok terhadapnya. Dia terlalu
baik. Tabah menerima ujian yang menimpa
dirinya. Imannya juga tetap utuh dalam
keadaan begini.
“Akak, jangan menangisi setiap apa
yang berlaku. Ini takdir Fatin, Fatin
redha dan Fatin tak mahu orang-orang di sekeliling Fatin menangisi nasib diri
Fatin. Sesungguhnya Fatin ikhlas terima
ketentuan Allah.”
Ya ALLAH, kata-kata yang baru sahaja
keluar dari mulut Fatin terus menusuk hatiku.
Dadaku makin sebak dan aku tidak berdaya menahan esakan. Esak tangisku terlerai. Tabahnya gadis di hadapanku ini. Aku bangun dari duduk dan memeluk Fatin
seeratnya. Terasa diriku cukup lemah
dibandingkan Fatin namun aku tetap mahu memberikan semangat buat Fatin. Sekurang-kurangnya dia tahu, aku juga ada
untuknya.
…………………………………………………………………………………………………..
Hari ini hari yang cukup
membahagiakanku kerana hari ini Ikhwan akan keluar dari hospital. Setelah sepuluh hari ditahan di hospital,
akhirnya Ikhwan dibenarkan pulang. Setelah
sarapan aku terus bersiap untuk ke hospital.
Tidak sabar rasanya ingin menatap wajah kesayanganku itu. Semalam ketika aku melawat Ikhwan di hospital
dia sedang tidur. Rindu di hati terasa
cukup menebal walau baru sehari tidak berbicara dengan Ikhwan.
“Sayang.” Mama masuk ke bilikku.
“Ya mama.” Aku tersenyum riang ke arah mama.
“Adik tak payah ke hospital ya
sayang.” Senyumanku hilang apabila
mendengar kata-kata mama.
“Kenapa ma?”
“Kita terus ke rumah Ikhwan, kita
tunggu Ikhwan dekat sana.” Kata-kata
mama membuatkan aku tersenyum kembali.
Mama menghadiahkan senyuman namun ada sesuatu di sebalik senyuman mama.
“Kiranya kita sambut Ikhwan di rumah
dia ya ma? Okay jugak tu.” Aku tetap
mengukir senyuman manis. Senyuman mama
mati dan mama terus berlalu keluar.
Aku mula rasa tidak sedap hati. Mengapa mama nampak lain hari ini? Bagaikan ada sesuatu yang mama sedang
sembunyikan. Aku cepat-cepat membuang
jauh fikiran yang bukan-bukan. Selalunya
fikiranku ini silap.
…………………………………………………………………………………………………..
Keadaan di ruang tamu tampak sungguh
kelam dan suram. Aku memandang semua
yang ada di ruang tamu silih berganti.
Bermula dengan Papa kemudian beralih kepada Datuk Shamsul dan seterusnya
Ikhwan yang duduk di sebelah daddynya. Mataku kemudian beralih pula kepada Datin
Diana yang duduk di sebelah kananku.
Akhir sekali aku beralih kepada mama yang duduk di sebelah kiriku.
Sejak Ikhwan dan Datuk Shamsul tiba
di rumah kira-kira sepuluh minit yang lalu, Ikhwan langsung tidak memandangku. Aku tidak tahu mengapa, aku cuba juga
menceriakan suasana namun sambutan hambar dan akhirnya aku memilih untuk
berdiam diri. Entah mengapa, mulut
setiap orang bagaikan terkunci. Banglo
Datuk Shamsul yang selalunya riuh rendah, sunyi sepi bagai tiada penghuni.
“Biar saya mulakan.” Ikhwan tiba-tiba bersuara. Aku terus memandang wajahnya namun dia
langsung tidak memandangku.
Mama menggenggam tanganku. Kemas sekali, aku dapat rasakan tangan mama
sedikit menggeletar dan sejuk. Pelik,
sedangkan suhu pendingin hawa tidaklah terlalu rendah. Mengapa mama sampai menggigil kesejukan?
“Afrina Imani, saya mintak
maaf. Kita kena batalkan perkahwinan
kita.” Aku tersentak mendengar kenyataan
Ikhwan namun masih cuba mengawal perasaan.
“Awak janganlah bergurau. Perkahwinan kita cuma ditangguhkan sampailah
awak betul-betul sembuh.” Aku mengukir
senyuman paksa. Tanganku terasa agak
menggeletar saat ini. Mama semakin kemas
menggenggam tanganku. Di dalam hati
mengatakan Ikhwan sedang bergurau. Ya,
Ikhwan bergurau!
“Sayang, betul kata Ikhwan.” Papa mula bersuara.
“Papa, apa semua ni?” Aku memandang papa, mahukan penjelasan.
“Maafkan kami sekeluarga Rina, kami
terpaksa buat keputusan ni.” Datuk
Shamsul turut bersuara.
“Kenapa dengan semua orang ni? Semua orang nak main-mainkan adik kan? Sayang, cakap dengan saya semua ni hanya
gurauan.” Aku memandang wajah Ikhwan
namun Ikhwan cepat-cepat memalingkan wajah.
Matanya merah dan bibirnya bergerak-gerak.
“Sayang, pandang mama. Ini adalah kenyataan yang adik kena
terima.” Aku memalingkan wajah ke arah
mama. Mata mama sudah berkaca-kaca dan
permata jernih mula mengalir di pipi mama.
“Mama…..” Suaraku mula bergetar.
“Demi kebaikan semua orang, kami
terpaksa buat keputusan ni. Ikhwan akan
berkahwin dengan Fatin.” Kenyataan Datuk
Shamsul bagaikan pedang tajam yang menghunus tepat ke hatiku.
Ya ALLAH, terasa nadiku terhenti
berdenyut. Seluruh tenaga dan kekuatanku
bagai ditarik ketika ini. Lemah seluruh
tubuhku. Permata jernih mula membasahi
pipi. Adakah aku sedang bermimpi? Iya, aku berharap ini semua sekadar mimpi
kerana ia terlalu perit untuk kuterima namun ia adalah realiti. Realiti yang terlalu pedih untuk kutelan.
“Rina, Fatin perlukan seseorang
untuk menjaganya dan Ikhwan rasa bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku
pada Fatin.” Kata-kata Datin Diana bagai
tombak yang menikam hatiku. Sakitnya
hanya Allah yang tahu.
“Mama.” Aku memandang mama dengan air mata yang deras
mengalir di pipi. Mama tentunya tahu
perasaanku ketika ini. “Adik nak balik,
adik tak nak dengar apa-apa lagi. Semua
ni bohong! Adik tak percaya!” Aku
menekup kedua-dua belah telinga dengan tangan.
Tidak sanggup lagi mendengar apa-apa kenyataan yang terlalu sakit untuk
kuterima. Mama memelukku erat, aku
menangis teresak-esak di bahu mama.
“Saya mintak maaf Imani.” Suara Ikhwan masih dapat kudengar walau
kedua-dua belah telinga sudah kupekap dengan tangan.
“Mama, adik nak balik!” Aku mengulangi kata-kata tadi. Sesungguhnya aku sudah tidak sanggup untuk
berada di banglo milik keluarga Datuk Shamsul.
“Ya sayang, jom kita balik.” Mama meleraikan pelukannya dan membantu aku
untuk berdiri. Aku menyembamkan muka ke
dada mama, tidak mahu melihat wajah sesiapa saat ini. Papa memegang bahuku. Tiada ucapan selamat tinggal daripada mama
dan papa. Tiada juga ucapan selamat
jalan daripada Ikhwan, Datuk Shamsul dan Datin Diana.
…………………………………………………………………………………………………..
Sudah tiga hari aku duduk terperuk
di dalam bilik. Langsung tidak keluar
dari bilik. Hari-hariku dihabiskan
dengan duduk di atas katil tanpa melakukan apa-apa. Solatku juga sudah terabai. Kadang-kadang aku berselubung di dalam
selimut. Aku mengunci pintu namun mama
dan papa memiliki kunci pendua dan berkali-kali mama dan papa datang ke
bilikku. Memujukku sehabis daya namun
aku tetap diam membisu. Suaraku bagai
sudah dicuri dan mulutku terkunci.
Hidupku terasa kosong. Kelam dan sunyi, terasa sudah sampai ke
penghujungnya. Tidak tahu arah tuju,
tiada pedoman hidup. Hidup bernyawa namun
tidak berguna. Aku tahu apa yang aku
lakukan ini membuatkan hati papa dan mama sakit, hancur, luluh namun aku tidak
berdaya untuk menipu perasaanku sendiri.
Aku tidak mampu untuk berlagak seperti selalu, untuk ceria dan gembira
seperti biasa dan aku memilih untuk hidup di dalam duniaku sendiri.
“Sayang, makanlah. Mama suapkan.” Mama menyuakan sudu ke mulutku dan aku
mengalihkan wajah.
“Makanlah, sikit pun jadilah. Bubur kacang hijau ni kan kesukaan anak
mama.” Mama masih belum berputus asa,
tetap menyuakan bubur kacang ke mulutku.
“Mama suapkan nasi adik tak nak, ni
mama suapkan bubur pulak. Makanlah
sayang.” Mama memujukku lembut namun aku
tidak terkesan sedikitpun. Aku terus
sahaja berselubung di dalam selimut.
“Mama tinggalkan bubur dekat sini,
nanti adik makan ya.”
Setelah itu, kedengaran bunyi tapak
kaki mama keluar dari bilikku. Aku
baring mengiring ke kanan. Air mataku
mula berkumpul dan jatuh berderai.
Biarlah air mata ini yang terus menemaniku. Hanya ini yang mampu kulakukan, menangis dan
terus menangis. Tidak tahu bila aku akan
berhenti menangis. Mungkinkah aku akan
menjadi Kassim Selamat? Menangisi orang
tercinta hingga buta matanya. Buta! Biar aku buta seperti Fatin, tentu Ikhwan
akan rasa bertanggungjawab terhadapaku sama seperti apa yang dirasakannya pada
Fatin.
…………………………………………………………………………………………………..
Sara menyisir rambutku dengan cukup
lembut. Selalunya mama yang akan menyikat
dan merapikan rambutku setiap hari. Jika
dulu, rambut yang panjang hingga mencecah pinggang, kubelai dan kukemas rapi
sendiri namun tidak kini. Aku sudah
malas menjaganya. Mujur juga ada insan
yang sanggup menjagaku, jika tidak pasti rambutku sudah kusut tersimpul mati.
“Rina, jom tengok wayang nak
tak?” Sara mula berceloteh sambil
tangannya masih setia menyikat rambutku.
“Ada cerita animasi baru,
jomlah. Rina kan suka tengok filem
animasi.” Aku tetap diam membatu. Fika pula hanya merenungku kosong. Tanganku di genggamannya. Kebiasaannya dia yang paling kecoh namun kini
dia juga sepertiku diam membisu.
Sejak Fika dan Sara tiba, hanya Sara
yang berceloteh itu dan ini. Bercerita
pelbagai kisah walau aku tidak memberi sebarang reaksi. Dia tetap setia dan tidak jemu untuk cuba menceriakan
suasana. Fika pula terus sahaja ke
katilku dan tubuhku dipeluknya, setelah itu dia menggenggam tanganku. Mungkin cuba menyalurkan kekuatan dan semangat
namun bagai ada tembok yang kukuh untuk ia sampai kepadaku.
“Rina tak nak tengok wayang ke? Kalau macam tu kita window shopping nak tak?
Atau nak ice skating? Dah lama tak ice skating, Rina kan jaguh ice
skating, bolehlah ajar Sara dengan Fika.”
Sara mencuit hidungku.
“Rina diam je, cakaplah
sesuatu. Bosanlah macam ni, tengok Fika
pun dah berjangkit. Penatlah Sara
bercakap sorang.” Sara memuncungkan bibirnya.
“Huh, Sara tau macam mana nak buat
Rina gelak. Sara geletek!!!” Sara melepaskan sikat di tangannya dan dia
terus menggeletekku di pinggang. Tiada
reaksi daripadaku. Tidak seperti selalu,
aku sangat geli bila digeletek, mahu sampai berair mata jika digeletek.
“Eh, Rina dah tak gelilah.” Sara bertepuk tangan.
“Sara.” Fika akhirnya bersuara.
“Eh, virus bisu dah hilang ya
Fika?” Sara mula ketawa namun wajah Fika
keruh.
“Jom kita balik.” Fika sudah melepaskan pegangan tangannya.
“Eh nantilah dulu.”
“Jom balik.” Fika menarik tangan Sara. Aku hanya menjadi pemerhati.
“Kenapa ni Fika. Tunggulah dulu.”
“Fika tak boleh tunggu lagi. Fika tak sanggup tengok Sara macam ni. Sakit hati ni tengok tau tak?” Suara Fika mula bergetar. Wajahnya yang cerah sudah kemerah-merahan.
“Dalam keadaan Rina macam ni la kita
kena ada dengan dia. Bagi semangat pada
Rina.”
“Bagi semangat? Semangat apa kalau macam bercakap dengan
tunggul. Kalau Sara tak nak balik, Sara
duduklah sini. Fika nak balik.”
“Fika, kenapa cakap macam ni. Fika sedar tak apa yang Fika buat ni?” Sara mula meninggikan suaranya.
“Fika sedar, cukup sedar cuma yang
tak sedarnya Afrina Imani!” Fika separuh
menjerit. “Kalau dia betul-betul sahabat
sejati kita, dia akan datang cari kita nanti.
Kalau dia anak yang baik, dia takkan buat macam ni, lukakan hati mama
dan papa dia, buatkan mama dan papa risau tengok keadaan dia, hancurkan
perasaan mama dan papa dia.” Usai
berkata-kata, Fika terus keluar dari bilikku.
“Fika.” Sara bangun meluru mendapatkan Fika dan
tinggallah aku sendirian di dalam bilik.
“Maafkan Rina, Fika, Sara.” Suaraku akhirnya keluar setelah seminggu ia
tersimpan kemas di dalam mulut namun sangat perlahan dan hanya mampu didengar
oleh sepasang telingaku.
askum kak. harap sngat cover untuk SCTDK nanti betul2 gambar min hyuk, aimi n adha ada sekali ek.. especially min huk wajib da! hahkhak!!
ReplyDeleteermmm, sebut pasal adha, KALU SAYA X SILAP lah, saya sekali pun x pernah nmpak akak upload gambar dy.. kempunan ni kak..
huhu...X(
to both dear nur n dear anon^^thanks a lot~btw, akak n my twin ad buat request utk cover novel n hopefully dterima^^ excited nk tgk cover novel~tungguuuuu~^^
Deleteadha tu kalau pasan akak pnah bg link fb org yg akak pinjam wajah dia sebagai adha^^
salam....sedih bab 6 ni...cepat2 upload bab7 ye kak..excited ni..:-)..*saya setuju dgn anonymous..cover tuk novel CTDK gambar min hyuk, aimin adha..atleast hero n heroin..pentingggg..heheee
ReplyDeleteterima kasih.
Deleteto both dear nur n dear anon^^thanks a lot~btw, akak n my twin ad buat request utk cover novel n hopefully dterima^^ excited nk tgk cover novel~tungguuuuu~^^
Deleteadha tu kalau pasan akak pnah bg link fb org yg akak pinjam wajah dia sebagai adha^^
bila nak kuar novel CTDK. Xsabar gila ni.
ReplyDeletelike
Deletetungguuuu dear^^
Delete