My Sweetie Readers

Monday 16 February 2015

ANTARA U DAN I (AUDI) - BAB 2

BAB 2

by ANIA MALNA



“Kenapa tak siap lagi ni?  Nanti Daddy bising mulalah orang tu nak merajuk.”
“Malaslah, mama.  Pergi rumah abang angkat Daddy kan?  Tak ada kaitan dengan Baby.  Tak ada keperluan pun Baby nak ke sana.  Kalau Baby pergi pun, bukan beri kesan apa-apa pun.”  Bila aku tidak mahu, macam-macam alasan aku cipta.
“Tak bolehlah macam tu.  Kan Daddy dah cakap dari semalam tentang ni.  Lagipun mestilah Daddy nak kenalkan anak-anak pada Abang angkat dia tu.  Si kembar pun dah siap tu, excited nak pergi.  Semua tunggu Baby siap.”
“Nak buat apa kenalkan pulak.  Lecehlah macam ni, Mama.  Daddy tu suka sangat paksa orang buat perkara yang orang tak suka.  Bencilah.”  Wajah aku ketatkan.
“Eiii, mulut ni kenapa cakap macam tu?”  Mama menepuk lembut mulutku.  Langsung tidak terasa sakit.  Wajah mama serius dan nadanya tegas.  Bukan mudah untuk melihat mama dalam keadaan sebegini.
“Mulut yang nakal cakap macam tu, bukan Baby.”
“Pandailah dia nak salahkan mulut sedangkan apa yang kita cakap tu lahir dari hati, bawa ke minda dan terus terluah.”  Tergeleng-geleng mama dengan wajah yang serius.
“Yalah, Baby menyerah kalah.”
“Ini bukan menyerah kalah tapi memenuhi permintaan seorang ayah.  Ingat, selagi permintaan Daddy tidak bercanggahan, tidak salah, tidak juga bertentangan dengan hukum agama dan juga untuk kebaikan.  Wajib bagi seorang anak untuk penuhi permintaan tu.” 


Bila orang yang ada Sarjana dalam bidang Bahasa Melayu, memang pandai berkata-kata.  Itulah mama.  Aku tidak membalas dan terus ke almari.  Mengambil baju kurung yang telah diseterika oleh Mama.  Kalau aku yang seterika, memang mama lompat bintang terus.  Mama keluar dari bilikku.  Tidak sampai lima minit, aku sudah lengkap berbaju kurung dan bertudung bawal Aidijuma.  Mekap?  Oh tidak sekali-kali!
…………………………………………………………………………………………………..
“Besar gila rumah ni, Mama.  Ke istana ni?”  Aku bagaikan terpesona dengan keindahan bangle empat tingkat di hadapanku ini.  Tidak pernah aku ke banglo semewah ini jadi keterujaan memang tidak boleh diselindungkan.
“Airin Hasanah, please behave.  Jangan malukan Daddy dan Mama.”
Okay, Airin Hasanah will behave.”  Aku satukan tangan kanan dan kiri, ala-ala orang mahu bernasyid.  Wajah ditundukkan, Mama dan si kembar ketawa beria.  Daddy, tentulah setia dengan wajahnya yang serius.  Memang tidak boleh dibawa bergurau dengan Dr. Amran.
Tawa mama dan si kembar tamat saat pagar ‘gergasi’ di hadapan kami terbuka.  Seorang lelaki dan wanita pertengahan abad tersenyum gembira tidak jauh dari pagar.  Mereka berjalan kea rah kami yang masih lagi tegak berdiri di luar kawasan rumah.  Aku buat muka tanpa perasaan sambil membuat kesimpulan awal bahawa inilah Abang angkat Daddy dan isterinya.  Kacak juga Abang angkat Daddy walaupun sudah berusia.  Isterinya juga cantik, orang dulu-dulu cakap masih bergetah.
“Masha-Allah, lamanya tak jumpa.”  Pakcik kacak dan Daddy berpelukan.  Sesuka hati aje aku gelarkan Pakcik Kacak.
“Abang dengan kakak sihat?”  Daddy menepuk belakang Pakcik Kacak.
“Alhamdulillah sihat.”  Makcik Cantik yang menjawab.  Dia dan mama sudah bersalaman.  Si kembar bergilir-gilir bersalam dengan Mak Cik Cantik dan Pakcik Kacak.
“Besar dah hero-hero kamu ya?”  Makcik Cantik mencubit lembut pipi Afiq a.k.a Buyat dan seterusnya pipi Aqif a.k.a Tebby.
“Alhamdulillah, dah masuk empat tahun twins kami ni.”
“Yang anak dara sorang ni?”  Pakcik Kacak tersenyum ke arahku.  Aku ukir senyuman sehabis manis.  Kini barulah aku menghulurkan tangan kepada Makcik Cantik untuk bersalam.
“Airin Hasanah nama anak dara kami ni Abang.  Baru lepas SPM.”
“Cantik orangnya, masa kecik dulu comel sangat sampai Kakak rasa nak bawak balik rumah aje.”  Makcik Cantik membelai lembut pipiku.  Aku tiada perasaan walau dipuji begini sebab aku bukannya cantik mana pun, selekeh baru betul.  Makcik Cantik sengaja mahu ambil hati gamaknya.
“Tengok Daddynya.”  Sempat Daddy melawak.  Semua tertawa kecuali aku dan si kembar.
Setelah itu, kami dijemput masuk ke bangle milik pasangan ini.  Masuk sahaja ke dalam, lagilah aku teruja namun keterujaan hanya meloncat-loncat di dalam hati.  Mahu cari nahas jika ditonkolkan?  Bukankah tadi Daddy sudah beri peringatan.
Daddy, Mama, Pakcik dan Makcik berbual mesra dan aku pula selesa melayan kerenah si kembar yang sibuk hendak melihat ikan-ikan di dalam akuarium ‘gergasi’.  Suka benar mereka melihat ikan pelbagai bentuk, warna dan saiz di dalam akuarium.  Kalau dibiarkan mahu si kembar terjun berenang di dalam akuarium.  Kami meninggalkan akuarium apabila Makcik Cantik memanggil untuk menjamu selera.  Dua kali aku bertambah macaroni cheese yang dijamu.  Memang sedap!!!  Bila makan terlalu banyak, minum air juga banyak dan akhirnya tangki penuh.  Mulalah hendak membuang.
“Mama, Baby nak syisyi.”  Aku sekadar berbisik ke telinga dengan dahi yang berkerut.  Mama tayang wajah sedikit terkejut.  Tidak tunggu mama bersuara, aku terus sahaja buat pengumuman.  Perhatian!!!
“Makcik, Pakcik boleh saya tumpang tandas?”  Penuh tertib aku tanya.  Melampaulah kalau betul-betul buat pengumuman.  Mataku sempat mengerling Daddy dan Daddy buat muka macam mahu telan aku. 
Memang tak sporting bapak aku ni.  Takkanlah nak suruh aku control ayu even nak terkucil?  Macamlah aku kena jadi menantu Pakcik dengan Makcik kaya ni sampai nak kena control ayu bagai.  Ke nak suruh aku tahan kencing, karang kena batu karang.  Memang sah kena bebel sakan dengan Dr.  Amran a.k.a Daddy.
“Jom Auntie tunjukkan.”  Makcik Cantik bangun berdiri dan aku mengikut langkahnya.  Susah juga rumah macam istana.  Mahu ke tandas pun jauh.  Kalau tak tahan, boleh terkucil di tengah jalan.
“Makcik duduk berdua je ke dengan Pakcik?”
“Taklah, anak-anak semua tinggal sekali.”
“Belum ada yang kahwin ke anak-anak Makcik.”  Selesa pula aku berbual dengan Makcik Cantik.  Langsung tidak merasa kekok walaupun baru sahaja kenal.
“Belum, yang sulung pun masih bujang.  Teringin jugak nak merasa ada cucu tapi yalah belum sampai masa.”
“Tak apa Makcik, mana tahu nanti dapat cucu kembar tiga terus.” 
Kata-kataku mengundang tawa Makcik Cantik.  Tiba di hadapan tandas, Makcik Cantik kembali ke ruang tamu.  Selesai membuang hajat, aku kembali ke meja makan.  Mama, Makcik Cantik dan si kembar sudah tiada.  Suasana sedikit janggal kerana hanya ada Daddy dan abang angkatnya.  Hendak bertanya Daddy ke mana mereka semua pergi, aku takut.
“Mama and twins ikut Auntie ke atas.”  Daddy bersuara sebelum aku sempat duduk.
“Ada di tingkat 3.  Kalau Airin nak naik, Uncle mintak maid tolong hantarkan.”
“Tak apa Pakcik, saya naik sendiri.  Lif dekat situ je kan?”  Jariku menghala ke arah lif.  “Saya naik dulu ya?” 
Aku terus berjalan menuju ke lif.  Teruja sebenarnya hendak naik ke tingkat atas.  Meneroka banglo seperti istana ini, pasti menyeronokkan.  Entah apalah yang ada di atas, sehingga Mama dan si kembar diajak naik.  Aku tekan butang tiga dan kurang lima saat, pintu lif terbuka di  tingkat 3 tapi…
Aku perlu ke arah mana?  Ada dua arah dan mana ada papan tanda.  Andai ada papan tanda sekalipun, manalah aku tahu di mana mama dan si kembar.  Itulah gelojoh sangat naik atas.  Patutnya tanya dahulu dengan lebih jelas.  Ini bukan macam rumah aku.  Jika rumahku, lari pecut kurang dua minit sudah habis pusing satu rumah.  Bagaimana jika aku sesat?
Mengarutlah!  Tidak pernah ada kes sesat dalam rumah orang.  Aku cari mama dan si kembar, andai tidak berjaya aku turunlah semula.  Fikir bukan-bukan aje. Ini bukannya drama Melayu.  Kakiku melangkah ke sebelah kanan.  Mulakan dari kanan.  Jika tiada di bahagian kanan ertinya di bahagian kiri.  Jenuh juga berjalan, bukannya kecil ruang. 
Jalan punya jalan, mataku tertarik dengan satu ruang yang dicat warna biru lembut.  Ruangan ini tidak sarat dengan perabot. Hanya ada satu sofa berwarna hitam dengan meja kopi.  Beberapa buah almari yang penuh di buku bagaikan menjadi penghias dinding.  Sebuah meja kerja berwarna hitam yang tampak mewah dan eksklusif terletak di tengah-tengah ruang ini.
Telingaku tertarik dengan bunyi percikan air.  Mataku terarah ke balkoni yang luas dan barulah aku perasan ada kolam renang rupa-rupanya.  Leka mengamati ruangan ini sehingga tidak terperasan kolam renang yang sederhana itu.  Gerak hatiku kuat menyuruh aku untuk ke kolam renang.  Manalah tahu ada ikan lumba-lumba di dalam kolam renang ini.  Orang kaya, rumah macam istana jadi tiada yang mustahil.  Gunung Everest pun mampu dibeli agaknya.  Perlahan-lahan aku mendekat ke kolam dan!!!
“Daddy!!!”  Spontan aku terjerit besar.  Telapak tangan menutup wajahku.  Mana tidaknya tiba-tiba dugong yang muncul.  Dugong?  Tentulah tidak!  Ini lebih dahsyat daripada dugong.  Ada manusia yang muncul tiba-tiba dari kolam dan dia tidak berbaju.  Mata aku!  Tidak!
Who are you!!!”
Bukan aku sahaja yang terkejut.  Tentunya dia turut sama terkejut.  Bunyi kocakan air yang kuat menandakan dia naik ke atas. 
“Jangan berani-berani datang dekat!  Daddy!  Mama!”  Makin kuat jeritanku.  Kalah Tarzan. 
“This is my house and you, stranger.  How dare you step into my personal space.”
Rumah dia ke?  Matilah aku.  Macam tercampak dalam kandang rimau aje.  Tapi kenapa suara dia macam pernah aku dengar ya?
Dengan tangan masih menutup wajah aku berpusing dan berjalan laju mencari pintu keluar.  Tangan aku alihkan dan lelaki tadi sudah berada di hadapanku.  Automatik aku terkebelakang dan terpijak hujung kain.  Apa lagi jatuh gedebuk aku.  Mujur aku berseluar slack di dalam.  Lelaki misteri ini sudah menutup badannya dengan tuala.  Seluar renang yang dipakai hanyalah spearas lutut.  Seksi amat.  Cepat-cepat aku alihkan pandangan ke wajahnya dan cuba bangun.
“You again?  Apa You buat dalam rumah  I ni?  Are you a stalker?”
“Sorry bang.  Ini rumah abang ke?  Saya sesat dalam rumah ni.  Abang kenal saya ke?”  Aku sudah bangun berdiri dan mata tidak berkedip memandang makhluk Allah di hadapanku ini.  Dia tengah angin singa, karang tak pasal-pasal aku dibahamnya.
“Kenal pun tidak, tiba-tiba I jadi abang You.”
Kejap-kejap, macam pernah aku dengar ayat itu.
“Miss Scooter yang tak pandai layan customer.”
Apa??? Mr. Superbike dengan customer sombong rupa-rupanya orang yang sama?
“Whatever, sekarang tolong jelaskan apa You buat dalam rumah I?”
“Aaa…iii…I…”  Tergagap-gagap aku dibuatnya.  “…eh saya…”



2 comments: