AJCL
by ANIA MALNA
BAB 14
“Sayang, dah makan ke belum
ni?” Soalan wajib mama ketika kami berskype.
“Belum
ma, kejap lagi adik makan.” Aku tidak
sanggup menipu mama dan berkata jujur.
“Kenapa belum, dah pukul 8 di sana
kan?”
“Awal
lagilah, ma. Nanti adik makanlah, adik
ada beli pau tu.” Pau yang kumaksudkan
ialah pau dari Love Treat.
“Adik makan pau? Tak masak kat rumah Pak Ngah hari ni?” Soalan mama memang membuatkanku gelabah namun
aku cuba sembunyikan riak panik. Bimbang
mama dapat mengesan sesuatu.
“Tak mama, malam ni Pak Ngah dengan
Mak Ngah makan malam di luar. Jadi adik
tinggal sorang, malas nak masak.” Ya
ALLAH, aku terpaksa berbohong lagi.
“Mama nak masak apa tu?” Aku
cepat-cepat mengubah topik. Risau mama
akan bertanya bermacam-macam lagi berkenaan Pak Ngah.
“Mama masak tomyam.”
“Mama, sedapnya.” Aku telan air liur.
“Adik, janganlah cakap macam
tu. Buat mama susah hati je, mama nak
bagi pun jauh. Jadi tak sedap hati pulak
bila mama masak sedap-sedap, anak mama tak dapat makan.” Wajah mama mula keruh dan nadanya agak sayu.
“Okay ma, kita tak payah cakap pasal
makan, ya? Cakap pasal benda lain.” Aku tidak mahu mama rasa serba salah.
“Sayang, bila nak balik?” Ini lagi satu soalan wajib mama.
“Mama, semalam mama baru tanya benda
yang sama. Tiap-tiap hari pun memang
mama tanya soalan ni.”
“Iyalah, mama kenalah tahu bila anak
mama nak balik. Ini setiap kali mama
tanya, mesti jawapannya tetap sama.
Belum tahu bila. Mama mahukan
jawapan yang lain.” Mama mula serius.
“Nanti adik balik ma, jangan
risau. Lagipun kat sini adik okay je,
sihat. Tengok pipi adik ni, sama je
macam dulu. Tak kempis pun. Babam jugak kan?” Aku mencubit kedua-dua belah pipi.
“Memanglah, itu mama tahu tapi adik
kan tinggal di rumah Pak Ngah, lama sangat nanti menyusahkan Pak Ngah.”
“Pak Ngah okay je, mama. Janganlah
risau, anak mama ni tak menyusahkan Pak Ngah pun.” Walau berat, aku terpaksu jua berbohong. “Mama cakap je lah mama rindukan adik.” Aku cepat-cepat melencongkan topik Pak Ngah.
“Habis tu, adik tak rindukan mama
ke? Tak nak balik-balik. Hari ni dah genap sebulan adik di Beijing, 30
hari dah mama tak jumpa dengan anak mama.”
Ya ALLAH, sayunya hatiku mendengar
kata-kata mama. Mama menghitung hari
menunggu kepulanganku namun aku masih belum bersedia untuk pulang ke
Malaysia. Hatiku belum terubat lagi dan
misiku belum selesai. Misi untuk
melupakan lelaki itu. Misi yang terlalu
berat namun harus jua kulaksanakan.
“Rindu mama. Sanga-sangat.
Rindu nak peluk dan cium mama, papa tapi adik betul-betul perlukan
masa. Adik akan balik bila adik
betul-betul dah bersedia. Mama
fahamkan?” Aku minta mama untuk mengerti.
“Mama faham, sayang. Adik jaga diri baik-baik dekat tempat orang,
jaga tingkah laku. Doa mama sentiasa ada
untuk adik.” Pesanan yang setiap hari
mama sampaikan untukku.
“Ya mama. Kirim salam kat papa ya, mama. Adik rindu mama dan papa. Sangat-sangat. I love
you mama.”
“I
love you too, sayang.”
“Bye,
mama.” Aku hadiahkan flying kiss buat mama.
“Bye,
sayang.” Mama membalas flying kiss aku dan wajah mama hilang.
Pau di atas meja kecil di tepi katil
kuambil. Hari ini aku hanya makan ketika
sarapan pagi. Setelah itu tiada apa yang
masuk ke dalam perutku. Mujur juga aku
tidak menghidap gastrik, jika tidak parah jadinya. Aku menilik pau di dalam beg plastik. Ada tiga biji pau. Satu berwarna hijau dan dua berwarna merah
jambu.
Aku mula mengambil pau berwarna
merah jambu, membaca Bismillah dan menyuapnya ke mulut. Walaupun pau telah sejuk, ia masih lagi
sedap. Habis sebiji pau selamat ke dalam
mulut namun aku masih belum kenyang.
Iyalah, perutku sudah kosong sebenarnya.
Semua makanan yang aku makan pagi tadi sudah habis dicerna. Aku meneguk air mineral dahulu sebelum
mengambil pau kedua.
Alhamdulillah, habis tigi biji pau kumakan. Aku bangun dari katil dan melangkah ke tong
sampah kecil yang diletakkan di tepi almari pakaian dan kembali ke katil. Duduk bersila di atas katil. Hendak baring, masih lagi kenyang. Tidak elok selepas makan terus berbaring. Tanganku mengambil beg Gucci yang kuletakkan
di kepala katil. Melihat beg Gucci
mengingatkanku kepada peristiwa siang tadi.
Tiba-tiba pula wajah Umar terbayang di ruang mataku. Sakitnya hati apabila teringatkannya.
Memang menyusahkan aku! Padahal aku cuma hendak membayar pau tapi
kerana…. Bayar pau! Aku teringatkan sesuatu. Ya ALLAH, aku belum bayar pau tadi! Pau yang aku makan tadi belum dibayar! Iya, aku yakin dan pasti aku masih belum
membayarnya! Ini semua gara-gara Umar! Aku mengetap bibir. Bantal kutumbuk-tumbuk. Geram!
Malunya
aku!!! Dengan selamba dan muka tidak
bersalah aku keluar dari Love Treat.
Uwarghhh! Sumpah memang aku
benar-benar malu. Entah apalah yang
difikirkan oleh Umar dan Auntie Salina. Pau tiga biji pun nak rembat, tak mahu bayar
sedangkan sebenarnya aku terlupa. Ishhh,
sebab Umar aku jadi seorang yang pelupa.
Lupa i-phone, beg dan kali ini lupa membayar pau. Dia memang benar-benar masalah besar yang
muncul dalam hidupku.
Aku baring dan mula bergolek-golek
sambil mulut terkumat-kamit menyebut malu.
Mahu tidak mahu, aku memang harus ke sana lagi. Pergi membayar pau tiga biji yang sudah
kumakan tadi. bermakna pergi menghadap
Umar lagi. Mama tolong adik! Terasa hendak menjerit aku!
Tak
apa, aku pergi sana lepas tu aku cakaplah aku terlupa bayar pau tadi. bayar dan pergi je. Senang kan!
Aku
cuba menyedapkan hati walau terasa kulit wajahku sudah menebal. Auntie
Salina, maafkan Rina, Rina betul-betul tak sengaja. Ini semua salah anak Auntie tu. Dia yang kacau Rina
dulu. Ikutkan hati, ingin sekali aku
katakana begitu kepada Auntie Salina. Benarkah memang sepenuhnya salah Umar? Aku cuba mengingat peristiwa tadi. Bukankah sebenarnya tadi aku teringatkan
Ikhwan dan waktu itu fikiranku mula jadi kacau sehingga aku terlupa membayar
pau.
Apa-apa
pun aku tetap perlu ke Love Treat esok pagi. Hendak keluar malam ini? Tentulah tidak! Sepanjang aku berada di Beijing, aku tidak
pernah keluar pada waktu malam. Tidak
berani dan tidak mahu menanggung risiko keluar di malam hari, sudahlah
bersendirian pula. Tunggulah sehingga
pagi esok. Takkan lari Love Treat
dikejar.
………………………………………………………………………………………………………
Aku menggeliat malas. Sedapnya tidur! Semalam mimpi indah, berjalan-jalan di tepi
pantai sambil berpegangan tangan dengan seseorang namun aku tidak dapat melihat
dengan jelas wajahnya. Samar-samar
sahaja. Alah, mimpi selalu begitu. Entah orang mana sesat ke dalam mimpiku, aku
juga tidak tahu. Biarlah, mimpi aje pun.
Aku bangun perlahan-lahan menuju ke
tingkap. Menarik langsir dan… Wow! salji sungguh lebat. Memutih seluruh pemandangan. Daun tingkap aku buka dan terasa dinginnya
musim sejuk membelasah wajahku. Aku
menjamu mata dengan pemandangan yang cukup indah. Segalanya putih. Cantik sekali. kelihatan beberapa orang lelaki sedang
menyodok salji. Pohon-pohon yang gondol
sudah mula memutih. Bumbung bangunan
sudah dilitupi salji.
Sejuknya! Aku sempat bertahan selama lebih kurang 20
saat dengan tingkap yang terbuka luas.
Mana tidaknya, aku hanya memakai pajama dan kepala ditutup dengan skarf. Sejuk
yang amat! Terasa mencengkam
kulitku. Gigiku sudah berlaga dan aku
mula menggigil. Tingkap aku tutup
kembali dan langsir kubiarkan terbuka.
Melihat butiran salji yang turun ke bumi Beijing.
Entah sudah jam berapa. Hari ini aku uzur jadi memang tidur sepuas
hati. Biasanya aku akan bangun Subuh
dahulu dan setelah itu aku tidur semula.
Pagi ini aku ada perkara yang perlu diselesaikan namun melihatkan salji
yang turun begitu lebat, aku jadi was-was untuk keluar. Jika ditangguh terasa tidak sedap pula.
Perut yang masih belum terisi
apa-apa kuusap dengan tangan. Pau yang
masih belum kubayar ada di dalamnya.
Tidak enak pulak rasanya jika aku tangguh membayar tiga biji pau di
dalam perutku. Aku pun satu, kenapalah
lepas habis semua pau aku makan, baru aku teringat. Jika sebelum makan, tentunya aku tidak akan
makan pau itu. Setidak-tidaknya tidaklah
aku rasa bersalah seperti ini.
Langsir kututup semula dan aku
melangkah ke almari untuk mengambil tuala.
Mahu mandi dahulu sebelum ke Love Treat.
Aku sempat melihat jam pada I-phone dan sudah jam 9 pagi. Aku harus cepat kerana waktu sarapan di bawah
akan tamat pada jam 10 pagi. Aku tidak
mahu bersusah payah mencari makanan di luar sedangkan sarapan pagi di hotel
disediakan secara percuma. Sudahlah agak
sukar mencari makanan halal di luar sana.
Selesai mandi aku terus bersiap ala
kadar untuk turun bersarapan. Tanpa
sebarang mekap dan hanya memakai T-shirt lengan panjang, berseluar denim dan
tudung sarung. Cukup ringkas, alah pergi
sarapan je pun. Tiada siapa hendak
tengok aku pun. Janji dapat makan dan kenyang. Kelaparan sudah melambai-lambai ke
arahku. Mana tidaknya, semalam aku hanya
bersarapan pagi dan makan tiga biji pau.
Oh pau, belum bayar lagi!
Aku makan dengan agak laju. Sempat juga mengerling keluar dan salji masih
lebat. Jika aku keluar, mahu habis
kepalaku putih dek salji nanti. Entah
berapalah suhu sekarang, aku tidak sempat menyemak di laman accuweather sebelum turun tadi. kebiasaannya, setiap pagi aku memang melihat
suhu melalui accuweather.
Usai bersarapan, aku cepat-cepat
naik ke bilik. Menukar kepada pakaian
yang lebih selamat dan sesuai. Selamat
daripada kesejukan dan sesuai untuk meredah kedinginan musim sejuk di
Beijing. Aku memakai enam lapisan
baju. Pertama, Long John iaitu thermal wear, seterusnya t-shirt lengan panjang
tadi, wool shirt, jumper polo neck, jaket
denim dan akhir sekali winter jacket berwarna
magenta. Leherku dililit dengan mafela
berwarna krim dan aku turut memakai beanie yang juga berwarna krim. Tidak lupa
juga sarung tangan daripada wool! Wajahku disolek sempurna.
Cukup lengkap dan aku yakin enam
lapisan baju ini mampu melindungi diriku daripada kesejukan yang teramat. Aku sempat melihat cermin dan terasa diriku
menjadi sedikit bulat. Sudahlah pendek,
pakai baju berlapis-lapis. Mujur juga
mukaku tidaklah bulat sangat, jika tidak tentu orang menyangkaku bola. Bola pun bolalah, asal aku tidak mati
kesejukan di luar sana. Aku tergelak
kecil. Syok sendiri, gelak
sorang-sorang. Setelah mengambil beg
Gucci dan memasukkan I-phone ke dalam beg, juga memastikan purse dan passport ada di dalamnya, barulah aku keluar dari bilik
hotel.
………………………………………………………………………………………………………
“Excuse
me, Miss.” Langkahku terhenti saat
mendengar satu suara wanita.
Dia panggil aku? Sebelum menoleh aku melihat kiri dan kananku,
tiada gadis lain. Bermakna dia memang
memanggilku. Ada yang tidak kena dengan
pakaianku? Aku keluar pakai selipar
jepun ke? Silap, ini Beijing, jadi
selipar China. Aku memandang kaki dan
mataku terus melihat sepasang but berwarna maroon. Perlahan-lahan aku berpaling dan receptionist di kaunter tersenyum ke
arahku. Sah dia memang memanggilku. Aku terus melangkah ke kaunter.
“Yes.” Tanyaku dengan lembut dan bersopan.
“You
want to go out?” Receptionist yang cukup murah dengan
senyuman ini bertanya dalam Bahasa Inggeris yang sedikit pelat namun comel
sekali bunyinya.
“Yes.” Aku menjawab dengan yakin. Dia pun satu hal, mestilah hendak
keluar. Takkan nak duduk dekat lobi
beria pakai macam ni.
“The
weather is really bad. I recommend that you
just stay in your room, Miss.”
Alah. Saya nak pergi bayar pau ni. Mana boleh duduk bilik. Geram aje hendak kujawab begini namun
kedengaran agak pelik pula. Tidak
mungkin aku mengaku di hadapannya, aku terlupa membayar pau yang sudah selamat
menjadi penghuni perutku ini.
“Is
it too bad? I have an important thing to
do.” Aku ternyata
tidak menerima nasihatnya agar duduk sahaja di bilik.
“Yes,
few roads had been closed due to the heavy snowfall. I’m afraid that you will get sick if you go
out, Miss. The temperature is below
minus 10.”
Masya ALLAH, bawah -10? Dahsyatnya.
Semalam baru -9 darjah celcius dan hari ini sudah makin menurun? Padanlah dia beria tidak benarkan aku
keluar. Benar katanya, tentu badan aku
tidak mampu menerima suhu serendah ini.
Jika aku berdegil dan tetap keluar, mungkin aku akan jatuh sakit. Jika aku sakit, siapa akan menjagaku? Aku sendirian. Mahu mati kering aku. Oh silap, mati beku! Nampak gayanya, aku terpaksa membatalkan niat
untuk membayar pau.
“I’ll
stay in my room. Thanks a lot for
letting me know.” Aku menghadiahkan
senyuman kepada receptionist walau di
hati kecewa kerana tidak dapat membayar pau Auntie
Salina.
“You
are welcome.”
Aku terus berlalu pergi dan menuju
lif untuk naik ke bilik. Masuk ke dalam bilik, aku terus membuka
langsir. Melihat pemandangan salji
turun. I-phone di dalam beg kubawa
keluar dan aku mengambil gambar salji yang turun dan setelah itu memuatnaik ke
akaun facebook dengan status ‘pau oh pau’.
Tidak lama selepas itu, banyak pula yang komen dan like gambar yang aku muatnaik itu.
Semua sibuk bertanya, kenapa pau sedangkan gambar salji turun. Aku malas hendak membalas. Biarlah mereka terus bertanda tanya.
………………………………………………………………………………………………………
Aku kini sudah berdiri di hadapan
Love Treat. Tepat jam 9.00 malam, aku
terus kelur dengan menaiki teksi ke Love Treat.
Pertama kali aku keluar pada waktu malam. Takut tentulah ada namun aku lebih takut bila
mengenangkan ada pau yang statusnya masih tergantung di dalam perutku. Iyalah, entah halal atau haram. Halal jika Auntie Salina redha aku telah memakan paunya dan haram jika Auntie Salina tidak halalkan. Mujur juga malam ini salji tidak turun namun
cuaca tetap juga sejuk yang teramat.
Mahu tidak mahu aku terpaksa jua keluar.
Langkahku cukup perlahan dan apabila
betul-betul sudah berada di pintu masuk Love Treat, langkahku terhenti. Perasaan malu masih belum hilang. Malu hendak berdepan dengan Auntie Salina dan jika ada pula si Umar,
lagilah malu agaknya. Tenang Afrina
Imani. Masuk, bayar, keluar. Senang kan, janganlah gelabah. Letak tepi perasaan malu.
Belum sempat aku menolak pintu
restoran. Tanda open telah bertukar kepada close. Aku dapat melihat sesusuk tubuh lelaki
yang berdiri di dalam restoran. Tentu
dia yang menukarkan tanda itu. Aku
mendongak dan wajah Umar terus menempat di mataku. Dia nampaknya sedikit terkejut dengan
kehadiranku dan terkaku mungkin.
Aku tidak peduli, biarpun Love Treat
sudah ditutup aku tetap perlu masuk.
Lagi pula, masih ada beberapa pelanggan di dalamnya. Tidak mungkin Umar akan menghalauku. Jika berani?
Memang cari nahas mamat seketul ini.
Aku terus sahaja menolak pintu dan pppang… Terkena Umar! Alamak, aku memang tiada niat hendak
menghentamnya. Terlebih tolak,
maaf. Cukupkah sekadar maaf di hati,
bukankah seharusnya berbunyi di mulut kata maaf?
“Maaf.” Aku tuturkan jua perkataan yang jarang sekali
keluar dari bibirku ini. Umar
menggosok-gosok dadanya. Sakit agaknya,
kuat sangatkah? Harap badan aje besar
tapi bila kena pintu macam tadi pun sakit.
Lembik!
Aku kini sudah berdiri di hadapan
Umar. Kali ini dia memakai topi yang
dipakainya pada pertemuan pertama kami.
Opss, pertemuan kedua sebenarnya kerana pertemuan pertama di Beijing Capital Airport. Pertemuan pertama yang hanya diingat olehku
dan dia langsung lupa. Nyanyuk!
“Awak nak apa? Kedai dah tutup ni.” Amboi, sombongnya! Aku mencebik. Rasa bersalah tadi terus hilang. Kalau ya pun, janganlah macam hendak
menghalau aku. Teruk!
“Nak bayar pau semalam!” Suaraku sengaja ditinggikan. Pelanggan yang masih berada di dalam kedai
memandang ke arah kami. Biarlah, ada aku
kisah? Bukan luak andai mereka tengok
sampai tergolek keluar biji mata sekalipun.
“Baru ingat?”
Mama! Papa!
Ya ALLAH panasnya hati aku mendengar kata-kata pendek tapi cukup berbisa
daripada Umar. Walau hakikatnya, kesejukan
mencengkam kulit namun dek kerana panasnya hatiku, hilang segala
kesejukan. Siapa tidak sakit hati, aku
punyalah susah hati sampai terasa jantung hatiku sesak daripada semalam asyik
memikirkan perihal pau yang masih belum berbayar dan tiba-tiba boleh dia tanya
‘baru ingat’. Opss, itu bukan tanya tapi
perli.
Hello!
Kring kring kring!, Aku bukan baru teringat atau buat-buat lupa atau yang
seangkatan dengannya. Pagi tadi cuaca
buruk, takkanlah kau tak tahu. Pagi tadi
kau ke mana? Pergi gurun sahara ke? Kalau aku keluar, mahu mati beku aku! Siapa nak tanggung nanti? kau???
Bagusnya
jika aku boleh berkata sebegitu namun hakikatnya aku tidak menjawab soalan
Umar. Dengan wajah yang masam kelat, aku
melangkah ke kaunter. Tiada orang di
kaunter, jangan kata Umar yang akan muncul tiba-tiba di kaunter! Tanganku laju mengeluarkan purse di dalam beg. Mahu cepat-cepat membayar dan terus keluar
dari Love Treat. Malas melihat wajah
Umar lagi. Sakit hati sangat!
“Tak payah bayar.” Benar Umar yang muncul di kaunter. Memang tiada pekerja lain agaknya. Balik-balik muka dia aje. Serabut!
“Kenapa? Saya tetap nak bayar!” Aku tetap berkeras. Sekeping wang aku keluarkan dari purse.
Tidak tahu berapa yuan yang
aku keluarkan kerana aku main tarik keluar aje duit itu tanpa melihatnya.
“Saya belanja.” Kata-kata Umar membuatkan aku tergelak
kecil. Gelak mengejek sebenarnya. Belanja aku?
Pelik bin ajaib benar.
“Saya tak mintak awak belanja dan
saya memang tak sudi pun kalau awak nak belanja. Ini kedai mama awak, jadi saya tetap nak
bayar pada mama awak.” Aku bulatkan mata
dan menjeling Umar dengan setajam-tajamnya.
“Mama saya tak tahu pun.” Jawab Umar dengan cukup tenang. Aku sudah mahu meletup dia boleh lagi
berlagak tenang. Tenanglah sangat, kejap
lagi tentu berubah.
“Awak tak cakap yang saya belum
bayar pau semalam?” Tanyaku dengan
garang.
“Tak.” Sepatah aje dijawab Umar.
“Tak kisahlah awak bagitahu atau
tidak, saya bayar. Bayar!” Aku sudah menjerit.
“Jangan degil boleh tak!” Soalan yang tidak seperti soalan kerana ia
adalah tengkingan.
Terasa jantungku berdegup kencang,
180km/j. Aku benar-benar terkejut dengan
tengkingan Umar. Tersentak seluruh urat
sarafku. Lelaki yang baru sahaja
kukenali ini sudah meninggikan suaranya terhadapku. Tidak pernah ada lelaki yang bersuara tinggi kepadaku. Semarah-marah papa pun bukan dengan
tengkingan sekuat tadi, sekadar ketegasan pada nada suaranya sahaja. Ini tidak, dia benar-benar menengkingku hanya
kerana aku berdegil hendak membayar pau semalam. Salahkah aku?
Wang
kertas tadi kuletakkan di kaunter dan aku terus berlalu pergi. Tidak mahu berlama di sini. Tidak sanggup lagi menghadap wajah Umar. Tidak mampu lagi untuk mendengar tengkingan
Umar. Cukuplah! Aku bukannya seorang yang mudah diperlaku
sebegitu. Siapa dia untuk bertindak
kasar kepadaku?
Mataku membulat saat terasa lenganku
direntap seseorang. Aku cepat-cepat
menoleh dan tangan Umar sedang melekap di lengan kananku. Aku menarik kasar tanganku. Sesuka hati pegang aku! Ikutkan hati hendak sahaja aku lempang
laju-laju mukanya namun aku masih lagi boleh mengawal perasaan.
“Jangan sentuh saya!” Aku menjerit marah.
“Saya tak sentuh awak, masih
berlapik.” Jawapan Umar yang kurasakan
kurang cerdik walau benar. Memang
berlapik kerana aku memakai enam lapisan baju namun salah tetap salah. Jika aku dakwa dia di mahkamah, sudah tentu
aku menang. Dia sudah bertindak ganas
terhadapku! Ia bukan sesuatu yang boleh
diambil ringan. Kau ingat aku apa! Baju?
Boleh pegang sesuka hati.
“Gila!” Laju mulutku menyebut perkataan itu. Mata Umar yang kecil dan sepet membulat
seperti bola. Terkejutlah tu, jangan
ingat aku lemah dan tidak berani!
“Tunggu sini, saya hantar awak
balik.” Suara Umar tidak tinggi seperti
tadi. Bunyinya tenang dan perlahan
kedengaran di telinga.
“Tak payah! Saya balik sendiri!” Suaraku tetap ditinggikan. Kedegilanku tiada siapa yang boleh lawan.
“Dah malam, bahaya!” Dia tengking aku lagi!
“Saya lagi bahaya kalau dengan awak!” Jari telunjuk kuhalakan ke wajah Umar. Aku berterus-terang kerana memang itu yang
aku rasakan. Di hadapan orang dia berani
memegangku sesuka hati, di belakang orang pula?
Lebih-lebih lagi hanya ada kami berdua sahaja nanti. Aku tidak sanggup. Biarlah aku pulang sendirian. Jangan ingat aku lemah sangat.
“Awak ni memang degil kan? Ini negara orang, buat cara dekat negara
orang. Jangan berlagak sangat. Awak tak tahu keadaan di sini macam mana.” Berdesing telingaku mendengar kata-kata
Umar. Sesuka hati aje cakap aku
berlagak! Mamat sepet biul sewel!
“Siapa yang berlagak sekarang? Saya atau awak? Mentang-mentanglah saya perempuan, awak
pandang rendah pada saya. Hello! Dah sebulan saya duduk sini, sehelai bulu
mata pun tak luruh. Saya tahu jaga diri
saya. Awak jangan menyibuk. Baru kenal tapi berlagak je lebih.” Pandanganku cukup tajam, bagai boleh tembus
ke belakang kepala Umar.
Tidak
pernah aku merasa segeram ini. Hidupku
sentiasa dikelilingi oleh orang yang membuatkanku bahagia tapi di sini, aku
berjumpa dengan mamat sepet yang mengacau hidupku. Tekanan perasaan aku dibuatnya. Ikutkan hati mahu tumbuk dia buat belacan!
“Suka hati awaklah nak cakap
apa. Duduk dan tunggu saya ambik jaket
dan bagitahu mama. Atau awak nak saya dudukkan
awak?” Umar ternyata setia dengan
kedegilannya. Aku mengetap bibir.
“Jangan berani-berani nak pegang
saya! Kalau awak buat lagi, memang cari
nahaslah.” Aku memberi amaran
keras. Sudah gaya gangster dengan jari telunjukku tepat menunjuk ke wajah Umar.
“Kalau tak mahu saya pegang
awak. Duduk!” Bukan lagi kedengaran seperti arahan tetapi
jeritan. Sudahlah suara serak dan kasar. Bila menjerit, terasa aku sedang berhadapan
dengan gergasi.
“Saya nak berdiri je.” Suaraku kini diperlahankan. Umar terus masuk ke dalam.
Aku sebenarnya mereka helah. Jika aku terus-terusan membantah alamatnya
sampai pagi esok kami belum habis bertekak.
Jadi aku mengalah walau hakikatnya bukanlah mengalah tetapi mencari
jalan agar Umar pergi meninggalkanku seketika dan helahku berhasil. Umar masuk ke dalam dan bererti aku boleh
pergi.
Aku apa lagi, sebaik sahaja Umar
hilang ke bahagian dapur, aku terus melangkah laju ke pintu dan keluar dari Love
Treat. Saat keluar, aku dapat merasa
kesejukan yang teramat. Terasa bagai
berendam di dalam ketulan ais. Di dalam
Love Treat tadi, suhu pendingin hawa ditinggikan jadi terasa agak hangat.
Langkahku semakin dilajukan. Jalan nampak kosong, tiada orang. Hanya kenderaan sahaja yang agak sibuk di
jalanan. Kesejukan mungkin membuatkan
semua orang terperuk di dalam rumah masing-masing. Aku membuat kesimpulan. Jalan sudah memutih dan kali ini aku tidak
berminat untuk menikmati salji yang menutup laluan pejalan kaki. Aku hanya mahu cepat sampai ke hotel tapi
sekarang aku perlu mendapatkan teksi.
Walau langkahku cukup laju, terasa lambat sungguh untuk sampai ke tempat
menunggu teksi.
Suara-suara aneh tiba-tiba
kedengaran. Mereka bertutur dalam Bahasa
Mandarin jadi aku tidak faham apa yang dikatakan. Aku yakin mereka berada di belakangku. Sekejap-sekejap mereka ketawa? Mabukkah? Aku tidak sedap hati. Hendak lari bimbang jatuh kerana jalan agak
licin, aku menambah kelajuan pada langkahku.
Beg Gucci di sisi kubawa ke hadapan dan kupeluk kemas.
Tiga lelaki muncul di hadapanku. Aku pasti suara-suara tadi milik mereka. Mereka sudah memintasku dan kini berdiri
menghadapku. Langkahku terhenti. Laluanku dihalang, mana mungkin untukku
teruskan langkah. Mereka melihatku atas
ke bawah sambil ketawa terbahak-bahak.
Wajah mereka cukup menggerunkan.
Badanku mula menggeletar, dadaku sudah berdegup kencang. Ya ALLAH, selamatkan hamba-Mu ini.
Aku melangkah ke belakang dan mereka
pula melangkah mendekatiku. Kakiku
terlanggar sesuatu dan aku jatuh terduduk ke atas jalan. Ketiga-tiga lelaki jahat di hadapanku
semakin laju menghampiriku. Air mataku
mula bergenang. Aku cuba gagahkan diri
untuk bangun namun gagal. Kakiku
tentunya terseliuh. Aku mengundur ke
belakang dan air mataku sudah mengalir ke pipi.
Seorang lelaki sudah duduk mencangkung di hadapanku dan tangannya mula
dibawa kepadaku.
“Umar!” Aku menjerit sekuat hati. Hanya dia yang kuharapkan saat ini untuk
membantuku.
“UMAR!!!” Aku menjerit sekali lagi dan mataku kini
dipejamkan serapat-rapatnya. Berserah
kepada ALLAH.
No comments:
Post a Comment