BAB 51
by ania malna
HCT
Subhanallah, cantik sungguh
pemandangan bandar Seoul pada malam hari.
Aku menghayati pemandangan bandar Seoul dengan sepuas hati. Sudah lama aku tidak ke Namsan Tower. Seingatku kali terakhir aku ke sini bersama
Nadia dan Fariz. Fariz? Mengapa perlu diingat lelaki itu. Syiuhhh, memusnahkan mood sahaja.
“Awak tak kisah ke kita tak naik
atas?” Tanyaku kepada Min Hyuk yang
turut sama menghayati pemandangan.
Mataku kini beralih pula ke puncak menara Namsan. Pasti Anna dan Chan Hee sedang melihat
pemandangan bandar Seoul dari puncak menara.
Sesampai kami di atas, mereka terus
sahaja masuk ke dalam menara dan Min Hyuk mengajakku menghabiskan masa di bawah
sahaja. Dia bagaikan tahu jika diajak
aku tetap jugak akan menolak. Orang
gayat sepertiku tentulah menolak. Min
Hyuk sempat membeli petlock di kedai
cenderamata. Agak mahal jugalah,
menggeleng kepalaku melihat harganya namun Min Hyuk tidak pernah berkira. Dia memilih petlock berwarna merah jambu sebesar empat jariku. Cukup muat untuk menulis beberapa perkataan
di atasnya.
“Tak, bagi percuma naik atas pun
saya tak nak.” Kata Min Hyuk yang sudah
berdiri menghadapku.
“Kenapa?” Tanyaku, sengaja mahu mengujinya walau sudah
tahu apa jawapan yang akan diberikan.
“Sebab saya tak nak berpisah dengan
awak.” Min Hyuk menghadiahkan senyuman
manis. Aku jadi malu, serta merta
mengalihkan pandangan daripada wajah Min Hyuk.
Cuba menyembunyikan perasaan maluku.
“Aimin.” Panggilan daripada Min Hyuk menandakan ada
sesuatu yang hendak diperkatakannya lagi.
Aku kembali memalingkan wajah dan merenung wajah Min Hyuk. Terpaksa mendongak kerana faktor ketinggian
Min Hyuk. Aku menunggu dengan sabar
kata-kata yang seterusnya daripada Min Hyuk.
“Saya sayang dan cinta awak dari hati….”
Min Hyuk meletakkan tangannya ke dada.
“….dan mata saya cuma nampak awak je.
Saya mahu kita hidup bersama ke akhir.”
Min Hyuk merenung wajahku sedalamnya,
bagai mahu jawapan daripadaku namun ia terlalu sukar dan jauh lagi. Aku tidak pernah terfikir sampai ke situ. Menghabiskan sisa hidupku bersama lelaki
ini. Mampukah? Bolehkah?
Bagaimana? Aku tidak mampu lagi
membalas renungan Min Hyuk dan mengalihkan pandangan.
“Min Hyuk, maafkan saya. Saya tak boleh janji apa-apa dengan
awak. Perkara tu terlalu mustahil. Kita dapat bersama sekarang ni pun dah kira
lebih daripada cukup. Mungkin juga
hubungan yang dah bersambung ni takkan bertahan lama.” Kuluahkan semuanya walau tahu ia akan
menghiris perasaan Min Hyuk dan juga perasaanku namun itulah hakikat yang harus
kami terima.
“Beri saya peluang dan saya akan
buktikan pada keluarga awak, pada semua orang dan mungkin juga pada seluruh
dunia yang saya layak untuk jadi suami awak.”
Mataku membulat mendengar kenyataan Min Hyuk. Benarkah dia mampu untuk membuktikannya? Atau sebenarnya dia sengaja ingin menyedapkan
hatiku? Membuang resah hatiku tentang
hubungan kami yang masih terumbang ambing.
Aku mengalihkan pandangan ke
wajahnya kembali. Terasa suaraku
tersekat, tidak mampu untuk mengungkapkan apa-apa. Tidak mengiyakan dan tidak juga
menidakkan. Bolehkah aku minta masa
berhenti seketika agar aku dapat berlama, menghabiskan masa bersama lelaki
dihadapanku ini. Tidak, YA ALLAH apa yang
aku fikirkan ini.
Aku menundukkan wajah. Beristighfar berkali-kali, walau tiada suara
yang keluar daripada mulutku, bibirku terkumat-kamit. Terasa diri ini begitu hina sebagai hamba
Allah. YA ALLAH bimbinglah aku ke jalan
yang benar, bawalah aku ke cahaya-Mu, jangan pesongkan hatiku dan hindari aku
dari segala maksiat yang dibenci.
“Saya tahu awak sedang
beristighfar.” Mendengar kata-kata Min
Hyuk, aku terus mengangkat wajah.
Merenung wajahnya, mahu penjelasan bagaimana dia boleh tahu?
“Macam….mana awak …tahu..” Suaraku tersekat-sekat. Tiba-tiba terasa bagai ada satu perasaan atau
lebih tepat, aura. Rasa aneh yang aku
sendiri tidak tahu ertinya, tidak tahu bagaimana ia tiba-tiba hadir
kepadaku. Tidak semena-mena tanganku
menggeletar. Aku benar-benar dapat
rasakan sesuatu.
Wajah Min Hyuk kutenung,
sedalam-dalamnya. Terasa ada kelainan
pada wajahnya. Bukan dia bertukar wajah
namun ada keserian terpancar. Lain
daripada kali pertama aku melihatnya dulu, juga sewaktu kami sama-sama
menghabiskan masa di Korea dulu. Adakah
kerana keadaan cuaca? Tidak, pastinya
bukan.
Sudah lama aku tidak mengamati wajah
lelaki ini sedalam-dalamnya. Baru kali
ini aku dapat menghayati wajahnya.
Mengamati setiap inci wajahnya, daripada dahi, turun ke hidung, ke pipi,
bibir dan akhir sekali dagu. Ada satu
kelainan di wajahnya. Aku yakin dan
pasti. Tiada senyuman terukir di
bibirnya saat ini namun wajahnya tetap nampak elok dan cantik. Tidak seperti sebelum ini. Kenapa?
YA ALLAH. Benarkah apa yang aku sedang rasakan
ini? Benarkah dia sebenarnya sudah….. YA
ALLAH, jika benar mengapa dia tidak memberitahuku. Jika benar, berita itu adalah berita yang
paling gembira yang ingin kudengar sejak daripada hubungan kami mula
berputik. Jika benar, aku bersyukur
kepada-Mu YA ALLAH.
Jangan menaruh harapan Aimin
Hazwani. Bagaimana jika semua itu tidak
benar? Apa yang sedang aku fikirkan
tidak benar? Pasti aku sendiri yang akan
kecewa. Jangan mengharap pada sesuatu
yang terlalu jauh, terlalu mustahil.
Hidayah milik Allah dan hanya yang terpilih akan mendapatnya daripada
ALLAH. Berhenti Aimin Hazwani. Berhenti mengharap.
“Aimin, saya ada perkara nak
cakap. Perkara yang dah lama saya
sembunyikan.” Aku makin
berdebar-debar. Dadaku mula berombak
kencang. Apakah perkara itu? Adakah harapanku tidak sia-sia?
“Ya.
Cakaplah.” Aku cuba menahan
getaran pada suaraku. Tidak mahu nampak
kekalutan di wajahku. Cuba berlagak
tenang walau di dalam hati hanya Allah yang tahu.
“Sebelum tu, saya nak mintak maaf
sebab terpaksa rahsiakan. Saya cari masa
yang sesuai dan saya rasa sekaranglah masa yang paling sesuai. Satu lagi, saya nak awak tahu yang saya
benar-benar ikhlas, tanpa paksaan, bukan kerana siapa-siapa dan ia datang dari
hati saya sendiri, kemahuan saya.” Min
Hyuk berhenti dan menarik nafas.
Bagaikan terlalu berat perkara yang ingin disampaikannya. Membuatkanku semakin mengharap.
“Son Min Hyuk, cakaplah.” Permintaan yang cukup lembut daripadaku. Tidak sanggup lagi untuk menunggu.
“Saya sebenarnya dah…”
“Oppa, unni.” Panggilan daripada Anna mematikan ayat Min
Hyuk yang seterusnya.
Anna bersama Chan Hee datang
menghampiri kami. Mereka menghadiahkan
senyuman yang cukup manis. Dalam
keterpaksaan aku mengukir senyuman.
Bukan kerana tidak sudi untuk
membalas senyuman mereka tapi kerana kedatangan mereka, Min Hyuk tidak dapat
menghabiskan kata-katanya. Aku
hampa. Jika mereka datang lewat sesaat
pun sudah cukup untuk Min Hyuk menghabiskan kata-katanya. Aku mengalih pandangan kepada Min Hyuk. Dia mengukir senyuman namun aku tahu dia juga
hampa. Aku kenal benar dengan
senyumannya.
“Oppa, haja meokgo (jom pergi
makan). Naneun baegopeuda (Saya lapar).”
“Jamkkan (sekejap).”
“Aa, unni. We will
wait there.” Anna mengarahkan
jarinya ke tangga di mana kami naik tadi.
Walaupun dia tahu aku pandai berbahasa Korea namun dia lebih selesa
menggunakan bahasa Inggeris denganku dan bahasa Inggerisnya cukup bagus.
“Urineun gut-ul geosida (kami akan
datang nanti).” Min Hyuk menambah.
“Ne.” Jawab Chan Hee pendek dan mereka berdua terus
berlalu pergi ke tempat yang dimaksudkan.
Mereka berjalan berpegangan tangan, Anna melentokkan kepalanya ke bahu
Chan Hee, cukup romantik. Andai aku dan
Min Hyuk juga boleh berbuat demikian pasti aku tidak akan pernah melepaskan
tangannya.
“Aimin.” Min Hyuk menalakan petlock merah jambu yang dibelinya tadi. Aku baru teringat akan petlock itu. Masih suci
tidak bertulis apa-apa.
“Pen?” Pintaku.
Bagaimana mahu menulis jika tiada pen.
Min Hyuk tiba-tiba mendekatkan dirinya kepadaku dan dia cuba meraba
poket jaket yang tersarung di badanku.
Aku cepat-cepat mengelak dengan melangkah ke belakang.
“Apa awak nak buat?” Tanyaku tidak puas hati sambil berpeluk
tubuh. Mataku membulat marah.
“Saya nak ambik marker pen, dalam
poket.” Jawab Min Hyuk dengan nada
kecewa.
“Huh?” Aku terpinga-pinga. Masih lagi berpeluk tubuh.
“Nak tulis ni, cepatlah marker pen.”
“Ya kejap.” Aku meraba poket jaket Min Hyuk dan terus
terpegang marker pen. “Lain kali
cakaplah awal-awal. Mana tahu nak ambik
ni.” Aku menghulurkan marker pen kepada
Min Hyuk.
“Awak fikir bukan-bukanlah tu.” Min Hyuk membuat andaian.
“Tak sengaja terfikir, awaklah
tiba-tiba nak seluk poket jaket saya kenapa?”
Min Hyuk ketawa mendengar kata-kataku.
“Ya, saya lupa ini jaket awak.”
Aku tersengih malu.
“Jom kita tulis.” Ajak Min Hyuk yang sudah membuka penutup
marker.
“Nak tulis apa?”
“Tulis apa-apa je. Okay, sebelah sini bahagian saya.” Min Hyuk menalakan jari telunjuknya ke
bahagian kanan petlock. “ Sini pula bahagian awak.” Kini jari telunjuknya menghala ke bahagian
kiri. “Awak tulis dulu.” Min Hyuk menghulurkan petlock kepadaku lantas aku menggeleng.
“Tak nak, awak tulis dulu. Lepas tu baru saya tulis tapi awak tak boleh
tengok apa yang saya tulis tau. Duduk
jauh-jauh.” Amaranku membuatkan Min Hyuk
tersenyum dan seterusnya dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Kalau macam tu awak pun tak boleh
tengok apa yang saya tulis. Nanti awak
tiru saya.”
“Eiiii, siapa nak tiru awak. Perasan.
Kita tulis sama-sama je lah.”
“Sama-sama? Okay, macam ni. Saya kira satu, dua tiga dan kita sama-sama
sebut apa yang kita nak tulis.
Boleh?” Min Hyuk mengangkat
kedua-dua belah keningnya. Minta
persetujuan.
“Boleh.” Aku mengangguk.
“Satu….dua….tiga…”
“Yeongweonhi sarang…” Kami sama-sama menyebut perkataan yang sama. Selamanya cinta. Mungkinkah?
Kami saling berpandangan dan tersenyum.
“Aimin Hazwani…”
“Son Min Hyuk…” Sambungku dengan senyuman yang masih meleret.
“Saya tulis tapi awak yang kena
tulis nama saya boleh?” Permintaan Min
Hyuk kubalas dengan anggukan. Setelah
itu Min Hyuk terus menulis perkataan yang dipilih oleh kami. Seterusnya aku menulis nama Min Hyuk, Min
Hyuk menulis namaku dan petlock itu
dikunci bersama ribuan petlock lain
yang terkunci di sini. Moga selamanya
cinta.
………………………………………………………………………………………………………
Hari yang ditunggu-tunggu Maksu
akhirnya tiba. Hari ini merupakan hari
pelancaran Sweetie Orange Caramel cawangan Korea. Maksu nampak berseri-seri hari ini. Seawal jam 6.00 pagi waktu tempatan Korea,
Maksu sudah bangun, mandi, solat dan menyiapkan diri dan tidak disangka Maksu
menyediakan baju istimewa buatku.
Baju daripada kain sutera yang
dihiasi manik-manik halus berwarna merah jambu di bahagian hujung lengannya
serta beropol di bahagian bawahnya itu cukup menambat hatiku. Seterusnya dipadankan dengan selendang
berwarna merah jambu yang juga dibeli oleh Maksu. Aku membelek penampilanku di hadapan
cermin. Jarang sekali aku berpenampilan
begini. Selalunya aku berbaju kurung
atau kasual.
“Cantik my sweetie hari ni.” Maksu
turut sama memandang ke arah cermin sambil tersenyum.
“Tengoklah her auntie. Cantik menarik
menawan.” Ujarku sambil melentokkan
kepala ke bahu Maksu.
“Manalah nak menawan, Maksu ni dah
nak masuk 40 tahun.”
“Usia tu hanya angka Maksu. My dear
Maksu always pretty and gorgeous okay.
Tiada bantahan. Kalau Along ada
pun mesti dia tak ada bantahan.” Aku
tiba-tiba teringatkan Mr. Lawyer. Sudah lama juga tidak bertemu along walau
sebenarnya jarak kami tidaklah terlalu jauh.
Mungkin kerana kesibukan masing-masing.
Oh Daniel, rindunya pada satu-satunya anak saudaraku itu.
“Adik.” Maksu menepuk bahuku perlahan. “Berangan ke?
Takkan ingat orang tu, kan dekat je.
Kejap lagi pun jumpa.” Maksu
sudah sengih gaya kerang wangi. Aku
cepat-cepat memuncungkan bibir.
“Mana adalah Maksu, teringat
Daniel. Rindunya pada si comel tu.”
“Tak apa nanti dah sampai Malaysia
kita singgah rumah Along sekejap nak tak?
Maksu pun dah lama benar tak jumpa anak saudara sulung Maksu tu.” Aku tersenyum riang mendengar kata-kata
Maksu.
“Yeay, suka!” Aku melompat-lompat persis kanak-kanak.
“Adik, dah besar kan. Ni kalau bakal mak mertua tengok, boleh
pengsan dia tau.” Maksu ketawa kecil
sambil memegang kedua-dua belah tanganku.
“Entah bakal mak mertua tu nak
terima adik ke tidak Maksu.” Keriangan
aku bagaikan hilang, wajahku mula sayu.
“Dah sekarang jangan fikirkan pasal
hal tu. Jom kita turun. Kak Tina dah nak sampai agaknya tu.” Aku tahu Maksu sengaja mahu mengalih
topik. Tidak mahu aku terus dibelenggu
rasa sayu. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Maksu, terima kasih banyak-banyak
sebab faham keadaan adik.” Aku masih
tersenyum namun dadaku terasa sedikit sebak, seterusnya air mata mula gugur
membasahi pipi. Setitis, dua titis dan
kemudia semakin lebat.
“My
sweetie, tak mau nangis.” Maksu
menarik aku ke dalam pelukannya. Bahuku
ditepuk lembut oleh Maksu, terasa cukup tenang sekali. “Allah kurniakan jodoh yang terbaik untuk
kita. Perempuan yang baik dah dijanjikan
untuk lelaki yang baik dan Maksu tahu anak saudara Maksu ni orang yang baik,
maka tentu Allah kurniakan dengan orang yang baik. Yakinlah sweetie.” Maksu bagai memujukku namun terasa tangisanku
makin beria. Perlahan-lahan aku
meleraikan pelukan.
“Tapi Maksu, dia kan bukan…”
“Shhh, jangan cakap macam tu
adik. Adik cuma perlu berdoa, berdoa,
berdoa yang terbaik untuk diri adik dan juga untuk diri dia.” Maksu menyapu air mata di pipiku.
“Adik takut Maksu, adik takut nak
hadapi apa yang bakal mendatang. Antara
adik dengan Min Hyuk…” Aku tidak dapat
meneruskan kata-kata. Terasa makin sebak
dadaku. “…salah kan Maksu?” Esakanku mula kedengaran.
“Adik. Ia tak salah, cuma ada beberapa perkara yang
perlu dibetulkan yang akan buat hubungan antara adik dengan Min Hyuk tak
salah. Maksu yakin dengan hubungan kamu
berdua, jangan ada keraguan. Ikhlaskan
hati, Allah sentiasa akan menolong hamba-Nya yang ikhlas dan sentiasa
berdoa. Ingat tu.” Kata-kata Maksu benar-benar menenangkan
jiwaku yang gusar. Aku mengangguk. Cuba menghentikan tangisan.
“Adik sayang Maksu.” Aku memeluk Maksu seeratnya. Terasa kasih sayang yang sungguh menebal
mengalir deras masuk ke dalam tubuhku.
“Maksu pun. Dah jom kita turun ya. Nanti lambat pulak.”
“Ya Maksu.” Kami sama-sama meleraikan pelukan.
“Tengok dah comot muka. Nanti dalam kereta Kak Tina, touch up sikit tau.” Aku hanya mengangguk dan tersenyum.
………………………………………………………………………………………………………
Aku tersenyum melihat papan nama
Sweetie Orange Caramel. Cukup bangga
dengan kejayaan Maksu. Pastinya Maksu jauh
lebih gembira daripadaku. Hasil penat
lelahnya selama ini tidak sia-sia.
Benar, jika kita berada di jalan yang kita minat, yang kita suka dan
disertai dengan kesungguhan pasti kejayaan yang akan kita perolehi di akhirnya.
Melihat kegembiraan dan kebahagian
di wajah Maksu, membuatkanku lebih gembira.
Walau Maksu tiada seorang lelaki yang bergelar suami sebagai peneman di
sisi, Maksu tetap setabah, secekal, sekuat wanita lain yang mendapat semangat
daripada lelaki bergelar suami. Malah
Maksu cukup berjaya dalam bidang yang dipilihnya. Daripada seorang akauntan kepada usahawan.
“Adik, jom kita masuk.” Maksu mencapai tanganku dan kami berjalan
beriringan masuk ke dalam. Kak Tina turut sama melangkah. Pasti perasaan Kak Tina juga sebahagia Maksu.
“Maksu, Kak Tina….” Langkahku terhenti. Mataku tidak berkelip-kelip memandang
sesorang yang nampak sibuk di dalam kedai milik Maksu dan Kak Tina ini.
Segala yang berlaku di dalam kedai
dapat dilihat dengan jelas kerana dindingnya adalah kaca. Kelihatan dua orang staf perempuan sedang
menyusun pelbagai jenis roti dan biskut di atas meja dan seorang lelaki yang sememangnya
bukan staf sedang sibuk menyusun bunga ros di dalam pasu-pasu kecil. Bunga ros berwarna merah jambu yang nampak
cukup indah.
“Adik, adik. Berangan pulak dia. Maksu duduk panggil-panggil tak dengar
pun.” Maksu menggoncang lembut bahuku.
“Maksu, Kak Tina, kenapa dia ada kat
sini? Maksudnya, apa yang dia tengah
buat tu? Bukan ke sepatutnya dia jadi
tetamu je? Kenapa dia datang lagi awal
daripada kita?” Tanyaku bertalu-talu
sambil jariku menunjuk ke arah orang yang dimaksudkan. Tiada jawapan daripada Maksu dan Kak
Tina. Mereka hanya ketawa kecil.
Waiting for new chapter! Cant wait! ^^
ReplyDeletekeep waiting dear^^and when it comes out, grab it!!!hehehe^^
Deletenak lagi!!!!!!!!!!!
ReplyDeletekne beli novelnya dear...
Deletebile nak kluar chapter baru ni ?
ReplyDeletechapter baru kena beli novelnya dear.... tq so much for reading
DeleteSy nak tye novel ni dah ada d pasaran ke??
ReplyDeleteSy nak beli..
dah ada dear..boleh cari di MPH/POPULAR/mana2 bookstore atau boleh order terus dari Karyaseni... :)
DeleteOk..tq..
Deletenovel ni sya ada beli..tpi ada 8 page yg kosng :(
ReplyDeleteRespect and I have a super present: Where To Start With Whole House Renovation split level house kitchen remodel
ReplyDelete