AJCL
by ANIA MALNA
BAB 13
“I-phone awak.”
Terkejut babun aku dibuatnya. Sekurang-kurangnya bagilah salam dahulu, ini
tidak, terus macam menyergah. Siapa
tidak terperanjat. Ishhh! Tumbuk karang baru tahu! Kertas menu kuletak semula ke atas meja. Ralit meneliti menu hingga tidak sedar Umar
sudah berada di hadapanku. Tangannya
menghulurkan I-phone. I-phone kini
beralih tangan dan aku mula membeleknya.
Sama seperti semalam, tiada calar atau apa-apa dan i-phoneku sudah
kehabisan bateri.
“Terima kasih.” Aku mengukir senyuman nipis. Cuba berbudi bahasa. Orang sudah menolong.
“Sama-sama, telefon awak tertinggal
atas meja semalam.” Tidak kutanya namun
Umar tetap memberi penjelasan. Aku hanya
mengangguk sambil mulutku membentuk ‘O’.
Umar mula berpaling, seperti hendak
meninggalkanku dan aku hanya membiarkan sahaja.
Dia terus berlalu ke kaunter. Aku
mengambil semula kertas menu. Mungkin
ada sesuatu yang boleh aku makan, sekadar menjaga hati Auntie Salina. Takkanlah
pergi begitu sahaja tanpa memesan apa-apa.
Semua makanan nampak berat dan aku yakin perutku tidak mampu
menerimanya. Aku meneliti kesemua menu
yang tertera. Mencari menu yang paling
ringkas dan tidak terlalu berat.
“Awak nak makan sini ke?”
Menu ditangan tercampak. Dada kuurut perlahan sambil mata memandang
pemilik suara tadi. Hilang separuh
semangatku. Dia memang suka muncul
sesuka hati, suka buatkan orang terperanjat, suka bertanya sesedap rasa. Eiii, geram!!!
“Yalah, kenapa? Tak boleh ke?” Aku merenung Umar, penuh makna.
“Bukan tak boleh tapi…..” Umar tersenyum, susah benar melihat
senyumannya. Tangannya didekatkan
kepadaku dan dia menarik kertas menu di tanganku. Mataku mula membulat. Eh apa kena dia ni?
“Jangan pesan banyak-banyak, nanti
tak habis membazir macam semalam. Makan pau
je. Biar saya ambilkan untuk awak.” Senyuman di wajah Umar sudah hilang dan
nadanya tegas sekali. Aku pula sudah
mula panas hati.
Hello!!! Siapa kau nak tentukan apa yang aku nak
makan! Suka hati akulah! Aku bayar!
Bukannya mintak duit kau satu sen pun!
Tak pernah dibuat orang, pergi restoran, pekerjanya larang pengunjung pesan
makanan! Biul ke kau ni! Karang aku report mama kau baru tahu! Menjatuhkan bisnes mama sediri.
Alangkah bagusnya jika aku boleh
luahkan semua itu kepadanya namun tentulah ia hanya berlegar di minda dan
fikiran. Tidak mampu untuk
diluahkan. Seteruk-teruk aku pun, masih
tahu menjaga adab dan tingkah laku.
“Encik Umar, salah ke saya pesan apa
yang saya nak?” Aku masih cuba berlapik.
“Tak salah tapi salah bila tak habis,
membazir tu sahabat syaitan. Kalau pun
banyak duit tapi tetap tak boleh amalkan sikap buruk tu. Kesian mak ayah penat-penat cari duit untuk
cik.”
Perghhh! Memang sentap dengar. Terus masuk ke telinga dan laju ke jantung. Aku terdiam, mati kata-kata. Tidak mampu menyangkal kata-katanya tapi
mana dia tahu aku memang gunakan duit mama dan papa sepenuhnya? Penat?
Mama dan papa tidak pernah mengadu penat. Dia pula yang lebih-lebih sedangkan dia
langsung tidak tahu siapa mama dan papaku.
Terasa meter menyampahku terhadapnya semakin meninggi. Aku mula mengetap bibir.
“Kalau rasa nak marah, jangan pendam
dan luahkan. Kalau rasa apa yang saya
cakap tu salah, berdebatlah dengan saya.”
Kata-kata Umar membuatkanku berhenti mengetap bibir. Nampak aje dia aku ketap bibir.
Bahasa Melayunya, amboi hebat
benar. Tinggal di Beijing tapi Bahasa
Melayu tahap sasterawan. Hairan namun
hairan bukan topik penting dan apa yang lebih penting adalah kenapa dia
tiba-tiba sibukkan hal aku. Beria bagi
nasihat bagai. Siapa dia? Baru kenal semalam sudah berlagak dengan aku.
“Encik Umar, baik awak masuk dan
bawakkan pau saya. Boleh?” Aku ukir senyuman paksa.
Lebih
baik awak cepat-cepat masuk sebab makin lama saya tengok muka awak ni, saya rasa
macam meluat sangatttttttt. Ini
sebenarnya yang aku hendak katakan namun hanya terlekat di kerongkong. Tidak mampu atau lebih tepat tidak boleh
diluahkan. Hati dan suara bergabung
mengatakan tidak boleh kuluahkan.
“Baik cik. Oh ya, terima kasih sebab ingat nama saya. Awak dengar masa mama saya panggil tadi kan?” Soalan Umar hanya kubalas dengan
anggukan. Cepatlah pergi masuk!!! Jerit hatiku.
Setelah itu Umar berlalu pergi dan
kertas menu dibawanya sekali. Bimbang
sangat aku memesan makanan gamaknya.
Teruk! Aku mula melilau ke
sekitar restoran. Rekaan dalamannya
ringkas dan menarik. Dinding berwarna
biru lembut cukup menenangkan. Di setiap
sudut restoran pula diletakkan pasu besar bercorak bunga dan di dinding pula
digantung dengan pelbagai gambar tempat-tempat menarik di Beijing. Aku tahu kerana hampir kesemua tempat itu
telah kulawati. Mataku berhenti melilau
tatkala melihat Umar datang ke arahku.
“Kenapa pau yang berbungkus? Saya nak makan kat sini!” Nadaku separuh menjerit.
“Apa masalahnya, awak ambik pau ni
dan suap dalam mulut.” Jawapan yang
cukup selamba daripada Umar. Aku tambah
geram.
“Saya nak yang dalam pinggan!” Hatiku bertambah panas.
“Dalam pinggan pun tetap sama, awak
akan suap dalam mulut jugak. Lagipun,
bila saya letak dalam pinggan. Awak akan
makan satu je dan lagi satu pau awak akan tinggalkan.” Suara Umar cukup tegas dan langsung tiada
senyuman.
“Awak ni kenapa?” Suaraku sudah mula tinggi. “Sibuk-sibuk hal saya kenapa? Suka hati sayalah, saya bayar kan. Duit saya, satu sen pun saya tak mintak duit
awak. Awak tak ada hak nak bising-bising
pasal saya. Lagi satu, kalau awak tak
suka sangat saya datang makan kat restoran mama awak ni, cakap je. Lepas ni saya tak datang dah.”
Ambik kau! Habis semuanya terhambur. Sudah tidak dapat dibendung lagi. Pada mulanya aku memang cuba melindungkan
hatiku yang sudah membara namun tidak dapat dikawal. Biar dia rasakan, ingat sesuka hati aje nak
usik aku. Cukup-cukuplah apa yang Ikhwan
sudah lakukan padaku, aku tidak mahu mana-mana lagi lelaki mengganggu dan
menyakiti hatiku walau untuk hal seperti sekarang. Aku mahu hidupku tenang tanpa dikacau oleh
sesiapa dan lelaki yang berdiri dihadapanku ini telah merosakkan
ketenanganku. Siapa yang tidak sakit
hati. Aku tidak mencari fasal langsung
dengannya.
“Akhirnya awak luahkan jugak apa
yang awak pendamkan tadi.” Umar
mengakhiri kata-katanya dengan senyuman dan setelah itu dia ketawa.
Gila!!! Aku terus bangun, malas mahu melayannya. Auntie
Salina? Biarlah! Sakit jiwa aku melayan anak lelakinya yang
sewel agaknya. Yang aku tahu sekarang
ini juga aku mahu terus ke kaunter untuk membuat bayaran dan setelah itu aku
mahu terus keluar dari Love Treat. Tidak
mahu lagi ke sini dan berhadapan dengan si Umar yang biul!
Dengan langkah yang cukup laju, aku
tiba di kaunter dalam sekelip mata namun tiada sesiapa berada di kaunter. Kenapalah saat-saat begini tiada orang di
kaunter. Karang aku lari terus baru
tahu. Cepatlah!
Umar muncul di hadapanku. Entah bila dia masuk ke kaunter, aku tidak
tahu. Kenapa mesti dia? Auntie
Salina memang tidak mengupah pekerja lain ke? Jaga kaunter si Umar, ambil pesanan si Umar,
hantar makanan si Umar. Disebabkan semua
kerja itu dilakukan oleh Umarlah aku tambah meluat melihat mukanya. Kalau tidak mengacau orang aku tak kisah
pun. Ini tidak, dia kacau juga aku!
“Ehem, awak nak bayar ke tidak? Dah puas pandang muka saya macam nak telan
tu?” Teguran Umar memarakkan api
marahku.
Aku meraba beg tangan Gucci di sisi dan
tiada. Mana pulak beg tadi? Seingatku, semasa aku masuk ke restorAn beg
itu masih ada bersamaku. Tidak mungkin
ia tercicir di mana-mana. Mungkin aku
tertinggal di atas meja. Aku berpaling
dan melihat ke atas meja yang kududuk tadi.
Tiada!
“Cari ni ke?” Suara Umar mengalihkan pandanganku. Aku kembali memandang Umar dan dia kini
mengangkat tinggi tangannya. Begku pula
ada di tangannya.
Aku cuba mencapai begku namun tidak
sampai. Aku terlalu rendah jika
dibandingkan dengannya. Mungkin ketinggiannya
lebih 180cm dan aku pula hanyalah 150cm.
Wajahku sudah masam kelat dek perangai Umar. Aku tidak suka dipermain-mainkan
sebegini!!! Eiii, geramnya! Rasa macam nak cekik-cekik je si Umar ni!
“Ambillah, kenapa awak tak
ambik?” Kata-kata Umar membuatkanku
bertambah sakit hati.
Tanganku yang diangkat tinggi
kuturunkan. Aku membetulkan
selendangku. Tidak mahu kalah dan
mengaku kalah. Aku tidak suka nampak
lemah di hadapan orang. Jika Umar
menganggap aku akan memintanya memberikan beg itu kepadaku, sama sekali
tidak. Dia sendiri yang mulakan jadi
biarlah dia tamatkan sendiri. Aku mahu
tengok sampai bila dia mahu terus dalam keadaan begini. Mengangkat tinggi tangan dengan begku di
tangannya. Nampak seperti orang putus
wayar.
“Umar, apa yang Umar buat?” Suara Auntie
Salina. Padan muka kau Umar!!! Aku bersorak di dalam hati. Yihii!!!
Umar menjawab pertanyaan Auntie Salina dalam bahasa
Mandarin. Aku sudah tentulah tidak faham
walau sepatah kata. Mengumpat akulah tu,
sebab tu cakap Mandarin. Lantaklah kau
Umar, aku sebesar kuman pun tak rugi kau kutuk aku depan mama kau.
“Iyalah, tapi janganlah sampai buat
macam tu. Kesian Rina, bagi beg tu pada
Rina.” Tegas sekali arahan Auntie Salina dan ternyata Umar cukup
patuh. Dia menurunkan tangan dan
menghulurkan beg kepadaku.
“Apa anak Auntie cakap tadi?” Sifat
ingin tahuku tidak dapat ditahan.
Badanku sudah dipusingkan 90 darjah untuk menghadap Auntie Salina. Malas
pedulikan si Umar.
“Tak ada apa, Umar cuma cerita
tentang semalam, Rina datang makan di sini.
Tentang telefon dan beg yang tertinggal.” Auntie
Salina memberi penjelasan. Dia
kemudiannya mengukir senyuman. Auntie Salina sememangnya sangat murah
dengan senyuman, tidak seperti anaknya.
“Oh, panjang lebar benar ayat dia ya,
Auntie? Rina ingat dia mengumpat Rina.” Kataku dengan jujur. Aku kini membahasakan namaku sendiri.
“Ishhh, mana ada mengumpat. Rina dah nak balik ke?” Auntie
Salina memegang bahuku dengan lembut.
“Ya Auntie tapi beg.” Aku
menjuihkan bibir ke Umar. Begku sudah
diletakkan ke kaunter.
“Maaflah Rina, Umar ni perangai dia unpredict sikit.”
Betul sangat!!! Auntie
Salina memang sangat memahami anaknya.
Aku yang baru kenal dia dua hari pun sudah buat kesimpulan yang
sama. Mana tidaknya, kejap macam nak
marah orang, kejap pulak bergurau tak bertempat, lepas tu bersyarah tak tentu
pasal, kejap lagi serius macam nak telan orang.
Banyak benar perangai dia. Macam
sesumpah, boleh bertukar wajah. Pelik
dan merimaskan, menjengkelkan, menyusahkan, merunsingkan!!! Semua yang negatif.
Tidak seperti Ikhwan. Bagiku Ikhwan lelaki yang terlalu sempurna di
mataku, hampir menjadi suamiku namun….
Terasa tiba-tiba hatiku tersiat, raut wajahku mula berubah keruh. Mengapa dalam keadaan begini aku boleh
teringatkan dia? Tidak seharusnya nama
itu berada di mindaku. Afrina Imani, kau
kena tolong diri kau sendiri!!! Tolong
bawa pergi perasaan dan ingatan kau terhadap Ikhwan Hafizi.
Sudah hampir empat bulan aku tidak
bertemu dengannya. Waktu itu terasa
terlalu lama dan ada satu perasaan sebenarnya.
Perasaan yang aku cuba sembunyikan.
Perasaan yang aku ingin buang jauh.
Perasaan yang terlalu sukar untuk kubendung. Perasaan rindu. Iya rindu kepadanya. Rindu kepada lelaki yang bakal menjadi suami
orang lain. Tentu sekali salah namun aku
tidak kuat untuk menghilangkan kerinduan ini.
Dia datang sendiri.
Rasa cintaku terhadap Ikhwan masih
lagi kuat, tidak terluak walau sedikit.
Sukar sekali untuk membunuh rasa ini.
Rasa yang dulunya membuatkanku bahagia, menceriakan hari-hariku,
melahirkan tawa dan senyumku namun kini tidak lagi. Rasa ini seperti satu bentuk penyeksaan buat
hatiku. Sakit dan pedihnya tiada siapa
yang tahu kerana aku yang menanggunggnya.
Masa akan menjadi penentu
segalanya. Masa juga akan membuatkanku
lupa akan Ikhwan namun berapa lamakah masa yang aku perlukan. Setahun, dua, tiga atau berapa lama lagi? Bagaimana mungkin aku menghadapi hari-hariku
dengan adanya perasaan cinta terhadap lelaki yang bukan milikku itu sedangkan
ia salah sama sekali. Berilah aku
kekuatan dan petunjuk Ya ALLAH.
Dadaku tiba-tiba merasa sebak dan
bagai ditekan-tekan. Menanggung perasaan
ini adalah sesuatu yang sangat berat.
Badanku terasa panas walau keadaan restoran agak dingin. Entah mengapa, aku jadi lemah saat ini. Terasa kakiku juga lemah. Ikhwan Hafizi, tolonglah pergi!!! Aku hanya mampu menjerit di dalam hati.
“Rina, Rina…” Panggilan Auntie
Salina menyedarkanku daripada lamunan yang agak panjang. Bahuku digoncangnya. Aku tersentak.
Wajah Auntie Salina kutenung.
Dahinya berkerut-kerut dan ada kerisauan pada wajahnya. Dia merenungku dalam. Mungkinkah dia perasan perubahan pada
wajahku? Salah aku juga, tidak mampu
menahan perasaan. Dalam keadaan begini,
boleh pula aku teringatkan perkara-perkara begitu. Terlalai jauh hingga terasa hanya ada aku
seorang di sini, sedangkan begitu ramai orang di dalam Love Treat.
“Rina okay ke? Kenapa ni? Rina sakit?”
Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Auntie Salina.
“Rina okay Auntie. Auntie, Rina mintak diri dulu ya?” Aku cepat-cepat mahu pulang. Bimbang akan terhanyut lagi seperti
tadi. Tidak mahu membuatkan Auntie Salina tertanya-tanya lagi. Hal ini terlalu peribadi untuk dikongsikan
dengan orang yang baru kukenali.
“Betul ni Rina tak apa-apa?” Auntie
Salina mahukan kepastian juga.
“Betul.” Aku laju mengangguk. Beg tangan di atas kaunter kuambil tanpa
memandang wajah Umar.
“Nanti datanglah lagi, Rina. Jaga diri, jalan baik-baik.” Pesanan yang penuh dengan perhatian.
“In sha Allah Rina datang lagi nanti.
Rina pergi dulu, Auntie.” Aku tidak sampai
hati untuk menolaknya dan seperti memberi harapan buat Auntie Salina.
“Yalah. Terima kasih sudi datang.” Auntie
Salina menghadiahkan senyuman yang cukup manis buatku. Tangan kuhulur untuk bersalam dengan Auntie Salina. Tangannya kukucup.
Setelah itu aku terus berpaling dan
melangkah keluar dari Love Treat. Saat
keluar aku dapat melihat salji sedang turun.
Cukup indah sekali salji yang putih gugur ke bumi Beijing. Aku berjalan perlahan melewati deretan kedai
sambil menyaksikan pemandangan indah salji turun. Kali pertama salji turun sejak aku tiba di
Beijing.
Musim luruh telah berlalu dan kini
musim sejuk menjengah pula. Alangkah
bagusnya jika cintaku terhadap Ikhwan gugur seperti dedaun gugur ke bumi. Jika begitu mudah, tentu aku sudah dapat
melupakannya. Jika tidak seperti dedaun
gugur, kuharap cinta ini akan membeku seperti salji yang turun dari
langit. Beku dan setelah itu cair
menghilang. Aku berharap ia begitu namun
ternyata sukar.
Aku menadah tangan kiri ke
langit. Salji mula jatuh ke tanganku
yang tersarung dengan sarung tangan tebal.
Masya Allah, sungguh indah sekali ciptaan Allah. Butir-butir salji yang halus dan sekecil-kecilnya
juga mampu membuatkan kita terpesona dengannya.
Aku ralit memerhatikan salji yang mula memenuhi tapak tanganku. Setelah hampir penuh tanganku, aku mengepal
salji itu dan terbentuknya satu bola kecil.
Aku membawa bola salji dekat dengan wajahku
dan kuletakkan ke hujung hidung.
Sejuk. Aku tersenyum
sendirian. Kemudian kuletakkan pula ke
pipi kiri. Sejuk. Aku senyum lagi. Aku letakkan pula ke pipi kanan. Sejuknya bagai menggigit kulit namun terasa
seronok pula berbuat demikian. Cara
menghiburkan hati yang baru kureka.
Minta-minta salji akan turun lama dan akan menukarkan tanah Beijing
kepada warna putih. Pastinya cukup indah
menjadi sajian mata.
Kali terakhir aku melihat salji
adalah dua tahun lepas. Ketika itu mama
dan papa membawaku bercuti ke London.
Pada masa itu, aku cukup seronok dapat bermain salji dan membuat orang
salji bersama mama dan papa.
Mama, papa. Aku sesungguhnya sangat merindui dua insan
yang amat kusayang itu. Walau setiap
malam aku dapat melihat wajah mama dan papa ketika berskype dengan mereka, itu belum cukup untuk mengubat kerinduan
ini. Rinduku terlalu mendalam namun aku
perlu kuat mengharunginya. Aku tidak
boleh lemah!
Kakiku berhenti melangkah apabila
tiba di hentian bas dan teksi. Ada
beberapa buah teksi sedang menunggu di situ dan aku terus sahaja menuju ke
teksi yang berada di hadapan sekali. Aku
tidak berniat untuk ke mana-mana dan mahu terus pulang ke Emperor Hotel. Hatiku saat
ini terasa begitu sepi dan pilu. Biarlah
aku berehat sahaja. Sesampainya di
hotel, aku terus tidur dan bangun setelah tiga jam menjadi Sleeping Beauty.
Assalamualaikum, suka sgt dgn smua novel akak. Pling suka beijing, aku suka dia! Novel akak lain drpd yg lain. Ad terapkan hadis dkt situ. Its like 2 in 1. Bila ad kisah cinta ad jgk hadis , ayat al-quran dkt situ. Dan yg pling best hdis and ayat al-quran tu ad bgi iktibar dkt saya. Buat bnyk novel lgi. Hope akak buat novel yg bnyk2 hahaa. Oh dan knapa smua hero nma dia msti ad nma 'yusuf' dkt blkg. Mcm CTDK Adam Yusuf. BACD Umar Yusuf.
ReplyDeleteWaalaikumusalam, Thank you soo much dear sebab sukakan hasil tulisan akak.... It means a lot dear... sangat2 menghargainya... teruskan sokongan ya...dan doakan akan ada yang ke-3 dan seterusnya....
Delete