My Sweetie Readers

Thursday 20 March 2014

AKU JATUH CINTA LAGI (BAB 15)

AJCL

by ANIA MALNA


BAB 15

            Bunyi tumbukan padu kedengaran, cukup kuat sekali.  Aku membuka mata.  Air mata masih deras mengalir di pipi.  Lelaki yang duduk mencangkung di hadapanku tadi sudah terbaring sambil memegang perutnya.  Aku mendongak dan mataku terus terlihat Umar yang sedang dikepung oleh dua lelaki.  Umar datang menyelamatkanku?  Dia mendengar jeritanku tadi?  Terima kasih Ya ALLAH.
            Satu sepakan tepat ke muka salah seorang lelaki tadi membuatkan dia jatuh.  Kini hanya tinggal seorang sahaja lelaki dan dia laju menerkam Umar namun Umr tangkas mengelak dan menumbuk perutnya dua kali.  Aksi itu sama seperti yang kulihat dalam filem Bruce Lee.  Mungkinkah itu kungfu?
            Umar menjerit dalam bahasa Mandarin.  Suaranya bergema dan terasa bagai halilintar.  Ketiga-tiga lelaki yang dalam kesakitan bangun dan terus berlari meninggalkan kami berdua.  Dia berjalan ke arahku.  Wajahnya sukar untuk ditafsirkan.  Badanku masih lagi menggeletar.  Air mata sudah berhenti mengalir.  Wajah Umar kutenung tidak berkelip.  Adakah dia kasihankan aku?  Rasa marah dan geramku terhadapnya hilang bagai ditiup angina musim sejuk.  Aku bersyukur kerana dia muncul di saat-saat aku sangat perlukannya.        
“Bangun!”  Tengkingan Umar membuatkanku tersentak.  Terasa bagai hendak terkeluar jantungku.  Wajahku ditundukkan, tidak sanggup untuk memandang wajah bengis Umar.
            Ketakutanku akibat diserang tiga lelaki jahat tadi masih belum hilang dan kini ditambah pula dengan layanan Umar terhadapku.  Aku jadi takut pula dengannya.  Air mataku kembali mengalir ke pipi dan aku mula teresak.  Ketakutanku makin menjadi-jadi.  Beg Gucci kupeluk seeratnya.  Bahuku terhinggut-hinggut menahan esakan.  Sudahlah kakiku sakit.  Dia langsung tidak kasihankan akukah?
            Okay, sorry.”  Umar sudah duduk melutut di hadapanku.
            “Mama…papa...”  Dalam sedu-sedan aku memanggil mama dan papa.
            “Mama dan papa awak tak ada, saya je yang ada.”  Lembut pula tutur kata Umar kali ini.  Cuba memujukku agaknya.
            “Mama, papa...”  Hanya ini yang mampu kusebutkan.  Esakanku makin menjadi-jadi.
            “Saya panggil mama saya.”
            “Jangan.. tinggal saya.”  Dengan bersusah payah aku berkata-kata.  Aku tidak mahu ditinggalkan sendirian di sini.  Aku mengangkat semula wajah, merenung Umar dengan penuh harapan.
            “Saya tak pergi, saya telefon je.”  Aku merasa sedikit lega mendengar kata-kata Umar.  Dia kemudiannya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket jaket.
            “Hello, mama.”
            Wajah Umar kutenung tanpa berkelip.  Bimbang jika mata ditutup dan dibuka semula, Umar sudah hilang.  Itu adalah kepakarannya, muncul dan hilang tiba-tiba.  Aku benar-benar mahukan dia di sini menemaniku.  Aku takut peristiwa  tadi berulang.  Tidak mahu kedegilanku memakan diri sendiri lagi.  Walau Umar garang dan sedikit menakutkanku, dia tetap penyelamatku dan kerana dia aku boleh menarik nafas lega tapi kerana dia juga aku menangis teresak.  Siapa suruh dia marahkan aku!  Sudahlah semangatku hilang tadi, belum sempat kembali sudah ditengking Umar, siapa tidak sedih dan terasa hati.
            “Kejap lagi mama saya datang.”  Lembut sekali suara Umar.  Dia memang sesumpah, boleh bertukar-tukar.  Sekejap garang, menjengkelkan, lembut dan macam-macam lagi.  “Awak bangun dulu.”  Suara serak Umar seperti mengetuk masuk ke telingaku.  Lebih lembut daripada tadi.  Terasa berlemak dan sedap sekali.
            “Kaki… saya.”  Tersekat-sekat suaraku.  Tanganku memegang kaki yang bersarung but.
            “Saya tolong awak bangun.”
            “Jangan!”  Aku menengking dalam esakan.  Tangan Umar hampir sahaja memegang bahuku.  Mujur aku cepat bertindak.  Dalam keadaan begini aku tahu tidak salah jika Umar membantuku bangun tapi aku tegas menolak.
            “Awak boleh bangun sendiri?”  Umar nampaknya langsung tidak ambil hati dengan tengkinganku.  Suaranya lembut seperti tadi.
            “Tak.”  Aku menggeleng-gelengkan kepala.  “…saya tunggu mama awak datang.”  Aku laju menambah.  Bimbang Umar berdegil mahu membantuku bangun.  Oh, aku tidak rela dipegang sewenang-wenangnya walau berlapik seratus inci sekalipun.
            “Degil betul awak ni.”  Nada suara Umar kini berbaur tegas.
            “Ma…”
            “Okay.  Sorry.  Umar mengangkat kedua belah tangannya sebagai tanda menyerah.  Bimbang aku meraung lagi gamaknya.  “Macam budak-budak.”  Suara Umar perlahan namun aku masih boleh mendengarnya.
            “Apa?”  aku pura-pura tidak mendengar.
            “Tak ada apa-apa.”  Laju Umar menggelengkan kepalanya.
            “Umar.”  Suara Auntie Salina.  Aku terus berpaling ke arah suaranya.
            “Mama.”  Umar sudah bangun.
            “Rina.  Kenapa ni?”  Auntie Salina mendapatkanku.  Dia duduk melutut sambil memegang bahuku.  Aku kembali menangis sambil teresak.
            “Jangan nangis ya, Rina?  Auntie ada ni, jangan takut.”  Auntie Salina menarikku ke dalam pelukannya.  Esakanku semakin kuat.  Aku sebenarnya teringatkan mama.  Rindu sungguh untuk berada di dalam pelukan mama.  Tempat yang paling selamat bagiku.
            “Rina bangun.  Jom ikut Auntie balik.”  Auntie Salina meleraikan pelukan.  Bahuku ditepuknya lembut.  Dia membantu aku berdiri dan memapahku.
            Aku mengetap bibir menahan sakit.  Kakiku terasa bagai dicucuk.  Sudahlah sejuk, tentu kakiku akan membengkak nanti.  Lebih kurang lima minit berjalan, kami akhirnya tiba di hadapan Love Treat namun Auntie Salina tidak membawaku masuk ke dalamnya.  Aku terus dibawa ke sebuah Hyundai Tucson yang diparkir berhadapan Love Treat.
………………………………………………………………………………………………………
            Aku melilau ke seluruh ruang bilik.  Dinding bilik yang berwarna magenta cukup menyedapkan pandanganku.  Bilik ini cukup ringkas dan tidaklah sebesar bilikku, sederhana bagiku.  Perabotnya pula tidak sebanyak di dalam bilikku, hanya ada meja solek, meja studi, satu almari pakaian dan katil.  Aku terasa cukup selesa di bilik ini.  Terasa lebih selesa berbanding di bilik hotel bertaraf lima bintang.
            “Rina.”  Auntie Salina muncul di sebalik pintu.  Di tangannya ada dulang yang berisi cawan kecil.  Aku mengukir senyuman yang cukup indah buat Auntie Salina.
            “Terima kasih Auntie.”  Ujarku saat Auntie Salina sudah duduk di birai katil.
            “Sama-sama, Auntie bukan buat apa-apa pun.  Umar yang selamatkan Rina.”  Auntie Salina seperti mengingatkanku.
            “Umar mana, Auntie?”  Aku sebenarnya belum mengucapkan terima kasih kepadanya.  Karang Umar melabelkan aku tidak kenang budi pula.
            “Umar ada di biliknya.  Kenapa?”     
Auntie tolong ucapkan terima kasih pada Umar ya?”  Tuturku malu-malu sambil tersengih.
            “Eh, kenapa mintak Auntie tolong cakapkan?  Esok Rina cakaplah pada Umar… atau Rina segan dengan Umar?”
            Segan?  Oh, tentulah tidak!
            “Bukan segan Auntie, cuma takut kalau peram terima kasih ni nanti lupa pulak.”  Kata-kataku diiringi tawa kecil daripada Auntie Salina.
            “Ada pulak macam tu, takkanlah muda-muda pun dah lupa.”  Auntie Salina masih ketawa.  “Mari minum teh ni, bagus.  Boleh menyegarkan badan sikit.”  Auntie Salina menghulurkan cawan kecil.
            “Terima kasih, Auntie.”  Aku mengukir senyuman namun di dalam hati berkata Keciknya cawan, cukup ke?
            “Sama-sama, minumlah.”
            Aku menyuakan cawan ke bibir, terasa kehangatan teh.  Mesti syok habis, sejuk-sejuk dapat minum teh panas.  Aku meneguk teh dan menelannya.  Ya ALLAH.  Apakah jenis rasa ini?  Berpinar-pinar dibuatnya dek menelan teh yang tidak seperti teh biasa ini.  Rasanya, sungguh tidak sedap.  Pahit dan memang buatkan lidah rasa hendak tercabut aje.  Sabar aje lah.  Tergeleng-geleng kepalaku saat teh masuk ke dalam kerongkongku.  Auntie Salina ketawa melihatku.
            Auntie, kenapa rasa dia macam ni?”  Mukaku sudah gaya kambing tercekik rumput.  Sukar  sekali untuk kugambarkan.
            “Rina tak biasa minum teh Cina ke?”
            “Tak pernah minum pun.  Tak tahu pulak yang rasa dia macam ni.  Tak sedap.”  Aku berkata jujur sambil tersengih.
            “Memang rasa dia tak sedap macam teh biasa yang Rina selalu minum di Malaysia tapi dia bagus.  Banyak khasiatnya teh ni dan antaranya dapat mengimbangi kadar lemak dalam darah.  Selain tu, teh baik untuk kesihatan sebab mengandungi polyphenol yang berfungsi sebagai anti-oksida dan anti-oksida boleh bantu lindungi dari pelbagai jenis kanser dengan izin Allah.  Teh jugak boleh melindungi kita daripada sinaran ultra ungu dan mengekalkan ukur lilit pinggang.  Rina mesti jenis yang jaga pinggang kan?”  Penerangan Auntie Salina aku dengar dengan teliti.  Aku tidak pernah tahu tentang khasiat teh sebelum ini. 
“Sayangnya cara minum teh di Malaysia berbeza dan kerana itu hilanglah khasiat-khasiat minum teh malah jadi penyakit pulak sebabnya terlebih kandungan gula ataupun susu.  Cara minum teh cina sangat bagus sebab betul-betul tradisional dan tak ada bahan tambahan.  Amalan minum teh dah lama dipraktikkan di Cina, sejak beribu tahun yang lalu dan memang dah jadi kebiasaan untuk hidangkan teh kepada tetamu.  Rina habiskan ya?”  Lembut sekali kata-kata Auntie Salina, bagai memujukku.  Memujuk menghabiskan teh. 
            “Kena habiskan ya, Auntie?”  Tidak sanggup untuk kutelan lagi teh di dalam cawan ini.  Boleh pengsan aku agaknya kalau habis satu cawan.
            “Habiskanlah, tak elok membazir.  Sikit je lagi, boleh.”  Auntie Salina memegang lembut bahuku.  Patutlah Umar menyampah benar dengan sifatku yang suka membazir, rupa-rupanya mama borek, anak rintik.
            “Rina habiskan tapi kalau minum sambil tutup hidung macam ni boleh ke, Auntie?”  Aku memicit hidung dengan tangan kiri.  Auntie Salina ketawa besar.  Aku pula buat muka selamba, tiada apa yang melucukan.
            “Boleh, nak minum sambil tutup mata, telinga pun boleh, janji bukan tutup mulut.”  Kata-kata Auntie Salina kubalas dengan anggukan.
            Hidung kupicit sekemasnya dan dengan redha aku meneguk teh yang masih berbaki di dalam cawan.  Dengan sekali teguk habis teh masuk ke dalam mulutku.  Tidak sanggup untuk menelannya berkali-kali, biarlah sekali sahaja.  Itu pun kurasakan cukup terseksa.  Saat masuk ke kerongkong terasa begitu aneh rasanya.  Teh bagaikan berjoget sakan di dalam mulutku, sabar aje lah.  Memang inilah kali pertama dan terakhir aku meminum teh begini.  Bukannya tidak sedap tapi tidak kena langsung dengan lidahku. 
            Auntie, dah habis.”  Ujarku lega sambil kuukir senyuman paksa.
            “Alhamdulillah.”  Auntie Salina mengambil cawan comel di tanganku.
            “Auntie, dalam gambar tu siapa?  Anak Auntie ya?”  Aku menamatkan isu teh.  Mataku mengarah ke gambar yang tergantung di dinding.  Seorang gadis tersenyum manis dengan pose V.  Comel sekali wajahnya, iras-iras Auntie Salina dan aku yakin itu memang anaknya namun aku bertanya juga, minta kepastian.
            “Ya, arwah anak Auntie.  Namanya Umairah.”
            Terkelu lidahku mendengar kenyataan Auntie Salina.  Mataku bulat dan mulut ternganga sedikit.  Terasa soalanku tadi tidak patut keluar dari mulut.  Pasti Auntie Salina sedih mengenangkan anaknya.  Aku jadi serba salah.  Wajah Auntie Salina kutenung dan wajahnya cukup tenang. 
            “Auntie, Rina mintak maaf ya.”  Ujarku dengan cukup perlahan.
            “Tak apa, Auntie redha Umairah pergi dulu sebelum Auntie.  Allah lebih sayangkan dia.  Dah sebulan dia pergi disebabkan kemalangan jalan raya.  Umur dia baru 19 tahun.  Arwah suami Auntie pulak meninggal tahun lepas.”  Cukup tenang penjelasan Auntie Salina.
            Auntie…”  Aku hilang kata-kata.  Pilu dan turut bersimpati dengan Auntie Salina.
            “Kenapa?  Rina hairan tengok Auntie masih boleh tenang dan jalani hidup macam tak ada apa-apa yang berlaku?”  Auntie Salina ternyata dapat menghidu fikiranku.  Aku tidak menjawab dan hanya mampu memandang wajahnya tanpa berkelip.
            “Rina, walau Auntie menangis setiap hari sampai kering air mata, anak dan suami Auntie tetap takkan kembali.  Ini takdir yang Allah dah tentukan, Auntie kena redha.  Ingat satu perkara ni Rina, sebagai seorang Islam kita kena sentiasa berbaik sangka dengan Allah.  Ertinya kita menerima setiap apa yang berlaku dengan ikhlas.  Jangan salahkan takdir yang dah tertulis.  Kesedihan tu tetap ada cuma hidup tetap perlu diteruskan.  Auntie perlu kuat terima dugaan Allah.  Andai Auntie lemah melawan takdir ni, itu maknanya Auntie tak redha dengan ketentuan Allah.  Lagipun, Umar masih perlukan Auntie.  Dialah satu-satunya harapan Auntie dan dia jugalah kekuatan untuk Auntie.  Auntie tak mahu asyik melayan kesedihan hingga abaikan orang di sekeliling Auntie terutama Umar.” 
            Ya ALLAH, bergetar jantung hatiku mendengar kata-kata Auntie Salina.  Air mataku cukup mudah mengalir kali ini.  Aku cukup kagum dengan wanita di hadapanku ini.  Kehilangan dua orang yang cukup disayangi dalam masa yang terdekat namun dia cukup kuat menerima ujian ini.  Di sebalik senyuman manisnya dan juga lembut tuturnya, rupa-rupanya tersembunyi kesedihan akibat kehilangan dua insan yang begitu penting dan bermakna. 
              Auntie Salina kehilangan suami dan anak, aku pula hanyalah kehilangan seorang lelaki yang masih belum bergelar suamiku.  Tabahnya wanita di hadapanku ini.  Andai ketabahan Auntie Salina boleh kupinjam, sudah tentu aku minta sedikit buat diriku.  Cukuplah sekadar mampu membuatkan aku melupai Ikhwan.  Membuka lembaran baru.  Tidak terus dibayangi mimpi ngeri kehilangannya.  Lemahnya aku jika dibandingkan dengan Auntie Salina.  Aku malu dengan diriku sendiri.  Emosiku jadi tidak stabil.
            “Rina.”  Auntie Salina merapatiku, dulang di tangan diletakkan ke atas meja kecil di sisi katil.  Pipiku dibelainya lembut.  Aku merasa cukup selesa dengan keadaan ini.  Terasa cukup lembut sentuhan Auntie Salina.
            “Ya, Auntie.”
            Auntie tahu, Rina sebenarnya dalam kesedihan juga kan?  Auntie dapat lihat dari mata Rina.  Auntie perempuan jadi Auntie faham.  Kalau Rina sedia nak berkongsi kesedihan tu dengan Auntie, Auntie sedia dengar tapi Auntie tak paksa Rina ceritakan.”
            Air mataku semakin laju mengalir.  Aku cukup berterima kasih kepada ALLAH kerana mengurniakan insan sebaik Auntie Salina di kala aku sendirian di tempat asing ini.  Alangkah bagusnya jika aku dapat menangis di bahu Auntie Salina.  Aku perlukan sokongan di kala ini.  Mengenangkan kisah cintaku dengan Ikhwan yang sudah berkecai adalah sesuatu yang sangat menyakitkan.  Aku mahu jadi setabah Auntie Salina.
            Perlahan-lahan Auntie Salina menarikku ke dalam pelukannya.  Aku merasa cukup lega.  Benar!  Auntie Salina sangat memahami.  Aku merasa lebih tenang di dalam pelukannya.  Menangis semahu-mahunya di bahu Auntie Salina.  Sudah lama air mataku tidak tumpah sederas ini dan biarlah kali ini kukeluarkan semua air mata kesedihan kerana Ikhwan.  Tidak mahu lagi menyimpannya kerana ia cukup menyesakkan dadaku, menyakitkan jantungku dan menekan hatiku.  Aku akhirnya terlelap di bahu Auntie Salina.
………………………………………………………………………………………………………
            “Rina.  Rina.”  Terasa satu suara lembut memanggil namaku.  Perlahan-lahan kubuka mata dan Auntie Salina tersenyum ke arahku.
            Seperti kebiasaan, aku menggeliat dengan selimut yang masih membalut tubuh.  Tidurku semalam cukup lena, langsung tidak terjaga namun aku belum puas tidur.  Bagusnya jika aku dapat menambah sejam lagi masa untuk tidur.  Selesa sekali tidur di atas katil ini.  Lebih selesa daripada katil di Emperor Hotel.  Jika dapat tidur di rumah Auntie Salina hari-hari lagi bagus.  Rumah Auntie Salina?  Ya ALLAH, aku hampir terlupa aku di rumah orang.  Afrina Imani, jaga tingkah laku!
            Cepat-cepat aku bangun.  Rambut yang tidak terurus menutup separuh wajahku.  Aku mengalihkan wajah ke arah Auntie Salina dan dia tetap setia dengan senyumannya.  Malunya!  Sudahlah menumpang tidur di rumah orang, tunjuk pula perangai tidak senonoh.  Aku mengutuk diri sendiri.
            Auntie, I’m so sorry.” 
            “Kenapa nak mintak maaf pulak pagi-pagi ni?  Mengigau ya?”  Auntie Salina ketawa kecil.
            “Sebab susahkan Auntie kejutkan Rina.”
            “Tak susah mana pun.  Auntie yang patut mintak maaf sebab terpaksa kejutkan Rina.  Pukul tujuh kita dah kena keluar rumah.”
            “Sekarang pukul berapa, Auntie?”  Aku menenyeh mata yang agak kabur.
            “Dah pukul 6.30.  Bangun mandi, tuala Auntie dah letak dalam bilik air, berus gigi dan ubat gigi pun ada.  Nanti kita sarapan di restoran je.  Auntie keluar dulu.”  Kata-kata Auntie Salina kubalas dengan senyuman beserta anggukan.  Dia kemudiannya keluar meninggalkanku.
            Mujur juga bilik Umairah dilengkapi bilik air, jadi aku tidak perlu bersusah payah untuk keluar dari bilik mencari bilik air.  Lagipun, bimbang juga akan terserempak dengan Umar di luar nanti.  Aku turun dari katil dan menuju ke bilik air.  Berfikir dulu sama ada mahu mandi atau tidak sebelum masuk ke tandas. 
            Akhrinya aku tidak mandi dan hanya membasuh muka serta menggosok gigi.  Setelah itu aku terus menukar pakaian semalam.  Baju tidur Umairah kusumbatkan ke dalam beg Gucci.  Mahu dibawa pulang ke hotel untuk dibasuh.   Pinjam baju orang, mestilah kena basuh.  Aku meneliti diri di hadapan cermin dan setelah berpuas hati dengan penampilanku.  Aku terus menyarungkan jaket tebal.  Mujur juga aku membawa bedak kompak dan lipstick, jika tidak tentu pucat lesi wajahku tanpa sebarang mekap.

            Aku menyembur Private Collection Jasmine White Moss, perfume berjenama Estee Lauder.  Perfume yang harganya mencecah 1K itu memang sentiasa berada di dalam beg Gucciku.  Biarlah tidak mandi, janji wangi.  Aku tidak sanggup mandi dan memakai semula baju comel serta seluar comelku.  Haruslah tidak selesa dan aku lebih rela tidak mandi.  Lagipun nanti sampai sahaja di hotel aku akan terus mandi.  Tiada bezanya, tetap mandi cuma lambat sahaja.
            “Umairah, terima kasih untuk bilik awak dan juga baju tidur semalam.  Saya basuh baju tidur awak dulu, nanti saya pulangkan.”  Aku sempat bercakap pada gambar Umairah sebelum keluar.

 

3 comments:

  1. larr...the end ke?aduhh..ni y sdih ni..xtau smbgn😭😭.anyways good luck

    ReplyDelete
  2. larr...the end ke?aduhh..ni y sdih ni..xtau smbgn😭😭.anyways good luck

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah cerita ni dah jadi novel sis... terima kasih ya sudi baca Beijing Aku Cinta Dia.

      Delete