AJCL
by ANIA MALNA
BAB 15
Bunyi
tumbukan padu kedengaran, cukup kuat sekali.
Aku membuka mata. Air mata masih
deras mengalir di pipi. Lelaki yang
duduk mencangkung di hadapanku tadi sudah terbaring sambil memegang perutnya. Aku mendongak dan mataku terus terlihat Umar
yang sedang dikepung oleh dua lelaki.
Umar datang menyelamatkanku? Dia
mendengar jeritanku tadi? Terima kasih
Ya ALLAH.
Satu sepakan tepat ke muka salah
seorang lelaki tadi membuatkan dia jatuh.
Kini hanya tinggal seorang sahaja lelaki dan dia laju menerkam Umar
namun Umr tangkas mengelak dan menumbuk perutnya dua kali. Aksi itu sama seperti yang kulihat dalam
filem Bruce Lee. Mungkinkah itu kungfu?
Umar menjerit dalam bahasa
Mandarin. Suaranya bergema dan terasa
bagai halilintar. Ketiga-tiga lelaki
yang dalam kesakitan bangun dan terus berlari meninggalkan kami berdua. Dia berjalan ke arahku. Wajahnya sukar untuk ditafsirkan. Badanku masih lagi menggeletar. Air mata sudah berhenti mengalir. Wajah Umar kutenung tidak berkelip. Adakah dia kasihankan aku? Rasa marah dan geramku terhadapnya hilang
bagai ditiup angina musim sejuk. Aku
bersyukur kerana dia muncul di saat-saat aku sangat perlukannya.
“Bangun!” Tengkingan Umar membuatkanku tersentak. Terasa bagai hendak terkeluar jantungku. Wajahku ditundukkan, tidak sanggup untuk
memandang wajah bengis Umar.
Ketakutanku akibat diserang tiga
lelaki jahat tadi masih belum hilang dan kini ditambah pula dengan layanan Umar
terhadapku. Aku jadi takut pula
dengannya. Air mataku kembali mengalir
ke pipi dan aku mula teresak.
Ketakutanku makin menjadi-jadi.
Beg Gucci kupeluk seeratnya.
Bahuku terhinggut-hinggut menahan esakan. Sudahlah kakiku sakit. Dia langsung tidak kasihankan akukah?
“Okay,
sorry.” Umar sudah duduk melutut di hadapanku.
“Mama…papa...” Dalam sedu-sedan aku memanggil mama dan papa.
“Mama dan papa awak tak ada, saya je
yang ada.” Lembut pula tutur kata Umar
kali ini. Cuba memujukku agaknya.
“Mama, papa...” Hanya ini yang mampu kusebutkan. Esakanku makin menjadi-jadi.
“Saya panggil mama saya.”
“Jangan.. tinggal saya.” Dengan bersusah payah aku berkata-kata. Aku tidak mahu ditinggalkan sendirian di
sini. Aku mengangkat semula wajah,
merenung Umar dengan penuh harapan.
“Saya tak pergi, saya telefon je.” Aku merasa sedikit lega mendengar kata-kata
Umar. Dia kemudiannya mengeluarkan
telefon bimbit dari dalam poket jaket.
“Hello, mama.”
Wajah Umar kutenung tanpa
berkelip. Bimbang jika mata ditutup dan
dibuka semula, Umar sudah hilang. Itu
adalah kepakarannya, muncul dan hilang tiba-tiba. Aku benar-benar mahukan dia di sini
menemaniku. Aku takut peristiwa tadi berulang. Tidak mahu kedegilanku memakan diri sendiri lagi. Walau Umar garang dan sedikit menakutkanku,
dia tetap penyelamatku dan kerana dia aku boleh menarik nafas lega tapi kerana dia
juga aku menangis teresak. Siapa suruh
dia marahkan aku! Sudahlah semangatku
hilang tadi, belum sempat kembali sudah ditengking Umar, siapa tidak sedih dan
terasa hati.
“Kejap lagi mama saya datang.” Lembut sekali suara Umar. Dia memang sesumpah, boleh
bertukar-tukar. Sekejap garang,
menjengkelkan, lembut dan macam-macam lagi.
“Awak bangun dulu.” Suara serak
Umar seperti mengetuk masuk ke telingaku.
Lebih lembut daripada tadi.
Terasa berlemak dan sedap sekali.
“Kaki… saya.” Tersekat-sekat suaraku. Tanganku memegang kaki yang bersarung but.
“Saya tolong awak bangun.”
“Jangan!” Aku menengking dalam esakan. Tangan Umar hampir sahaja memegang bahuku. Mujur aku cepat bertindak. Dalam keadaan begini aku tahu tidak salah
jika Umar membantuku bangun tapi aku tegas menolak.
“Awak boleh bangun sendiri?” Umar nampaknya langsung tidak ambil hati
dengan tengkinganku. Suaranya lembut
seperti tadi.
“Tak.” Aku menggeleng-gelengkan kepala. “…saya tunggu mama awak datang.” Aku laju menambah. Bimbang Umar berdegil mahu membantuku
bangun. Oh, aku tidak rela dipegang
sewenang-wenangnya walau berlapik seratus inci sekalipun.
“Degil betul awak ni.” Nada suara Umar kini berbaur tegas.
“Ma…”
“Okay. Sorry.” Umar mengangkat kedua belah tangannya sebagai
tanda menyerah. Bimbang aku meraung lagi
gamaknya. “Macam budak-budak.” Suara Umar perlahan namun aku masih boleh
mendengarnya.
“Apa?” aku pura-pura tidak mendengar.
“Tak ada apa-apa.” Laju Umar menggelengkan kepalanya.
“Umar.” Suara Auntie
Salina. Aku terus berpaling ke arah
suaranya.
“Mama.” Umar sudah bangun.
“Rina. Kenapa ni?”
Auntie Salina
mendapatkanku. Dia duduk melutut sambil
memegang bahuku. Aku kembali menangis
sambil teresak.
“Jangan nangis ya, Rina? Auntie
ada ni, jangan takut.” Auntie Salina menarikku ke dalam
pelukannya. Esakanku semakin kuat. Aku sebenarnya teringatkan mama. Rindu sungguh untuk berada di dalam pelukan
mama. Tempat yang paling selamat bagiku.
“Rina bangun. Jom ikut Auntie
balik.” Auntie Salina meleraikan pelukan.
Bahuku ditepuknya lembut. Dia membantu
aku berdiri dan memapahku.
Aku mengetap bibir menahan
sakit. Kakiku terasa bagai dicucuk. Sudahlah sejuk, tentu kakiku akan membengkak
nanti. Lebih kurang lima minit berjalan,
kami akhirnya tiba di hadapan Love Treat namun Auntie Salina tidak membawaku masuk ke dalamnya. Aku terus dibawa ke sebuah Hyundai Tucson yang diparkir berhadapan Love Treat.
………………………………………………………………………………………………………
Aku melilau ke seluruh ruang bilik. Dinding bilik yang berwarna magenta cukup
menyedapkan pandanganku. Bilik ini cukup
ringkas dan tidaklah sebesar bilikku, sederhana bagiku. Perabotnya pula tidak sebanyak di dalam
bilikku, hanya ada meja solek, meja studi, satu almari pakaian dan katil. Aku terasa cukup selesa di bilik ini. Terasa lebih selesa berbanding di bilik hotel
bertaraf lima bintang.
“Rina.” Auntie
Salina muncul di sebalik pintu. Di
tangannya ada dulang yang berisi cawan kecil.
Aku mengukir senyuman yang cukup indah buat Auntie Salina.
“Terima kasih Auntie.” Ujarku saat Auntie Salina sudah duduk di birai
katil.
“Sama-sama, Auntie bukan buat apa-apa pun.
Umar yang selamatkan Rina.” Auntie Salina seperti mengingatkanku.
“Umar mana, Auntie?” Aku sebenarnya
belum mengucapkan terima kasih kepadanya.
Karang Umar melabelkan aku tidak kenang budi pula.
“Umar ada di biliknya. Kenapa?”
“Auntie tolong ucapkan terima kasih pada
Umar ya?” Tuturku malu-malu sambil
tersengih.
“Eh, kenapa mintak Auntie tolong cakapkan? Esok Rina cakaplah pada Umar… atau Rina segan
dengan Umar?”
Segan? Oh, tentulah tidak!
“Bukan segan Auntie, cuma takut kalau peram terima kasih ni nanti lupa
pulak.” Kata-kataku diiringi tawa kecil
daripada Auntie Salina.
“Ada pulak macam tu, takkanlah
muda-muda pun dah lupa.” Auntie Salina masih ketawa. “Mari minum teh ni, bagus. Boleh menyegarkan badan sikit.” Auntie
Salina menghulurkan cawan kecil.
“Terima kasih, Auntie.” Aku mengukir
senyuman namun di dalam hati berkata Keciknya
cawan, cukup ke?
“Sama-sama,
minumlah.”
Aku menyuakan cawan ke bibir, terasa
kehangatan teh. Mesti syok habis,
sejuk-sejuk dapat minum teh panas. Aku
meneguk teh dan menelannya. Ya
ALLAH. Apakah jenis rasa ini? Berpinar-pinar dibuatnya dek menelan teh yang
tidak seperti teh biasa ini. Rasanya,
sungguh tidak sedap. Pahit dan memang
buatkan lidah rasa hendak tercabut aje.
Sabar aje lah. Tergeleng-geleng
kepalaku saat teh masuk ke dalam kerongkongku.
Auntie Salina ketawa
melihatku.
“Auntie,
kenapa rasa dia macam ni?” Mukaku sudah
gaya kambing tercekik rumput. Sukar sekali untuk kugambarkan.
“Rina tak biasa minum teh Cina ke?”
“Tak pernah minum pun. Tak tahu pulak yang rasa dia macam ni. Tak sedap.”
Aku berkata jujur sambil tersengih.
“Memang rasa dia tak sedap macam teh
biasa yang Rina selalu minum di Malaysia tapi dia bagus. Banyak khasiatnya teh ni dan antaranya dapat
mengimbangi kadar lemak dalam darah.
Selain tu, teh baik untuk kesihatan sebab mengandungi polyphenol yang berfungsi sebagai anti-oksida
dan anti-oksida boleh bantu lindungi dari pelbagai jenis kanser dengan izin
Allah. Teh jugak boleh melindungi kita
daripada sinaran ultra ungu dan mengekalkan ukur lilit pinggang. Rina mesti jenis yang jaga pinggang
kan?” Penerangan Auntie Salina aku
dengar dengan teliti. Aku tidak pernah
tahu tentang khasiat teh sebelum ini.
“Sayangnya
cara minum teh di Malaysia berbeza dan kerana itu hilanglah khasiat-khasiat
minum teh malah jadi penyakit pulak sebabnya terlebih kandungan gula ataupun
susu. Cara minum teh cina sangat bagus
sebab betul-betul tradisional dan tak ada bahan tambahan. Amalan minum teh dah lama dipraktikkan di
Cina, sejak beribu tahun yang lalu dan memang dah jadi kebiasaan untuk
hidangkan teh kepada tetamu. Rina habiskan
ya?” Lembut sekali kata-kata Auntie Salina, bagai memujukku. Memujuk menghabiskan teh.
“Kena habiskan ya, Auntie?”
Tidak sanggup untuk kutelan lagi teh di dalam cawan ini. Boleh pengsan aku agaknya kalau habis satu
cawan.
“Habiskanlah, tak elok
membazir. Sikit je lagi, boleh.” Auntie
Salina memegang lembut bahuku.
Patutlah Umar menyampah benar dengan sifatku yang suka membazir,
rupa-rupanya mama borek, anak rintik.
“Rina habiskan tapi kalau minum
sambil tutup hidung macam ni boleh ke, Auntie?” Aku memicit hidung dengan tangan kiri. Auntie
Salina ketawa besar. Aku pula buat
muka selamba, tiada apa yang melucukan.
“Boleh, nak minum sambil tutup mata,
telinga pun boleh, janji bukan tutup mulut.”
Kata-kata Auntie Salina
kubalas dengan anggukan.
Hidung kupicit sekemasnya dan dengan
redha aku meneguk teh yang masih berbaki di dalam cawan. Dengan sekali teguk habis teh masuk ke dalam
mulutku. Tidak sanggup untuk menelannya
berkali-kali, biarlah sekali sahaja. Itu
pun kurasakan cukup terseksa. Saat masuk
ke kerongkong terasa begitu aneh rasanya.
Teh bagaikan berjoget sakan di dalam mulutku, sabar aje lah. Memang inilah kali pertama dan terakhir aku
meminum teh begini. Bukannya tidak sedap
tapi tidak kena langsung dengan lidahku.
“Auntie,
dah habis.” Ujarku lega sambil kuukir
senyuman paksa.
“Alhamdulillah.” Auntie
Salina mengambil cawan comel di tanganku.
“Auntie, dalam gambar tu siapa? Anak Auntie
ya?” Aku menamatkan isu teh. Mataku mengarah ke gambar yang tergantung di
dinding. Seorang gadis tersenyum manis
dengan pose V. Comel sekali wajahnya, iras-iras Auntie Salina dan aku yakin itu memang anaknya
namun aku bertanya juga, minta kepastian.
“Ya, arwah anak Auntie. Namanya Umairah.”
Terkelu lidahku mendengar kenyataan Auntie Salina. Mataku bulat dan mulut ternganga
sedikit. Terasa soalanku tadi tidak
patut keluar dari mulut. Pasti Auntie Salina sedih mengenangkan
anaknya. Aku jadi serba salah. Wajah Auntie
Salina kutenung dan wajahnya cukup tenang.
“Auntie, Rina mintak maaf ya.” Ujarku dengan cukup perlahan.
“Tak apa, Auntie redha Umairah pergi dulu sebelum Auntie. Allah lebih sayangkan
dia. Dah sebulan dia pergi disebabkan
kemalangan jalan raya. Umur dia baru 19
tahun. Arwah suami Auntie pulak meninggal tahun lepas.” Cukup tenang penjelasan Auntie Salina.
“Auntie…” Aku hilang kata-kata. Pilu dan turut bersimpati dengan Auntie Salina.
“Kenapa? Rina hairan tengok Auntie masih boleh tenang dan jalani hidup macam tak ada apa-apa
yang berlaku?” Auntie Salina ternyata dapat menghidu fikiranku. Aku tidak menjawab dan hanya mampu memandang
wajahnya tanpa berkelip.
“Rina, walau Auntie menangis setiap hari sampai kering air mata, anak dan suami Auntie tetap takkan kembali. Ini takdir yang Allah dah tentukan, Auntie kena redha. Ingat satu perkara ni Rina, sebagai seorang
Islam kita kena sentiasa berbaik sangka dengan Allah. Ertinya kita menerima setiap apa yang berlaku
dengan ikhlas. Jangan salahkan takdir
yang dah tertulis. Kesedihan tu tetap
ada cuma hidup tetap perlu diteruskan. Auntie perlu kuat terima dugaan
Allah. Andai Auntie lemah melawan takdir ni, itu maknanya Auntie tak redha dengan ketentuan Allah. Lagipun, Umar masih perlukan Auntie.
Dialah satu-satunya harapan Auntie
dan dia jugalah kekuatan untuk Auntie. Auntie
tak mahu asyik melayan kesedihan hingga abaikan orang di sekeliling Auntie terutama Umar.”
Ya ALLAH, bergetar jantung hatiku
mendengar kata-kata Auntie Salina. Air mataku cukup mudah mengalir kali
ini. Aku cukup kagum dengan wanita di
hadapanku ini. Kehilangan dua orang yang
cukup disayangi dalam masa yang terdekat namun dia cukup kuat menerima ujian
ini. Di sebalik senyuman manisnya dan
juga lembut tuturnya, rupa-rupanya tersembunyi kesedihan akibat kehilangan dua
insan yang begitu penting dan bermakna.
Auntie Salina kehilangan suami
dan anak, aku pula hanyalah kehilangan seorang lelaki yang masih belum bergelar
suamiku. Tabahnya wanita di hadapanku
ini. Andai ketabahan Auntie Salina boleh kupinjam, sudah
tentu aku minta sedikit buat diriku.
Cukuplah sekadar mampu membuatkan aku melupai Ikhwan. Membuka lembaran baru. Tidak terus dibayangi mimpi ngeri
kehilangannya. Lemahnya aku jika
dibandingkan dengan Auntie Salina. Aku malu dengan diriku sendiri. Emosiku jadi tidak stabil.
“Rina.” Auntie
Salina merapatiku, dulang di tangan diletakkan ke atas meja kecil di sisi
katil. Pipiku dibelainya lembut. Aku merasa cukup selesa dengan keadaan
ini. Terasa cukup lembut sentuhan Auntie Salina.
“Ya, Auntie.”
“Auntie
tahu, Rina sebenarnya dalam kesedihan juga kan?
Auntie dapat lihat dari mata
Rina. Auntie perempuan jadi Auntie
faham. Kalau Rina sedia nak berkongsi
kesedihan tu dengan Auntie, Auntie sedia dengar tapi Auntie tak paksa Rina ceritakan.”
Air mataku semakin laju
mengalir. Aku cukup berterima kasih
kepada ALLAH kerana mengurniakan insan sebaik Auntie Salina di kala aku sendirian di tempat asing ini. Alangkah bagusnya jika aku dapat menangis di
bahu Auntie Salina. Aku perlukan sokongan di kala ini. Mengenangkan kisah cintaku dengan Ikhwan yang
sudah berkecai adalah sesuatu yang sangat menyakitkan. Aku mahu jadi setabah Auntie Salina.
Perlahan-lahan Auntie Salina menarikku ke dalam pelukannya. Aku merasa cukup lega. Benar! Auntie
Salina sangat memahami. Aku merasa
lebih tenang di dalam pelukannya.
Menangis semahu-mahunya di bahu Auntie
Salina. Sudah lama air mataku tidak
tumpah sederas ini dan biarlah kali ini kukeluarkan semua air mata kesedihan
kerana Ikhwan. Tidak mahu lagi
menyimpannya kerana ia cukup menyesakkan dadaku, menyakitkan jantungku dan
menekan hatiku. Aku akhirnya terlelap di
bahu Auntie Salina.
………………………………………………………………………………………………………
“Rina. Rina.”
Terasa satu suara lembut memanggil namaku. Perlahan-lahan kubuka mata dan Auntie Salina tersenyum ke arahku.
Seperti kebiasaan, aku menggeliat
dengan selimut yang masih membalut tubuh.
Tidurku semalam cukup lena, langsung tidak terjaga namun aku belum puas
tidur. Bagusnya jika aku dapat menambah
sejam lagi masa untuk tidur. Selesa
sekali tidur di atas katil ini. Lebih
selesa daripada katil di Emperor Hotel. Jika dapat tidur di rumah Auntie Salina hari-hari lagi bagus. Rumah Auntie
Salina? Ya ALLAH, aku hampir terlupa
aku di rumah orang. Afrina Imani, jaga
tingkah laku!
Cepat-cepat aku bangun. Rambut yang tidak terurus menutup separuh
wajahku. Aku mengalihkan wajah ke arah Auntie Salina dan dia tetap setia dengan
senyumannya. Malunya! Sudahlah menumpang tidur di rumah orang,
tunjuk pula perangai tidak senonoh. Aku
mengutuk diri sendiri.
“Auntie,
I’m so sorry.”
“Kenapa nak mintak maaf pulak
pagi-pagi ni? Mengigau ya?” Auntie
Salina ketawa kecil.
“Sebab susahkan Auntie kejutkan Rina.”
“Tak susah mana pun. Auntie
yang patut mintak maaf sebab terpaksa kejutkan Rina. Pukul tujuh kita dah kena keluar rumah.”
“Sekarang pukul berapa, Auntie?”
Aku menenyeh mata yang agak kabur.
“Dah pukul 6.30. Bangun mandi, tuala Auntie dah letak dalam bilik air, berus gigi dan ubat gigi pun ada. Nanti kita sarapan di restoran je. Auntie
keluar dulu.” Kata-kata Auntie Salina kubalas dengan senyuman beserta
anggukan. Dia kemudiannya keluar
meninggalkanku.
Mujur juga bilik Umairah dilengkapi
bilik air, jadi aku tidak perlu bersusah payah untuk keluar dari bilik mencari
bilik air. Lagipun, bimbang juga akan
terserempak dengan Umar di luar nanti.
Aku turun dari katil dan menuju ke bilik air. Berfikir dulu sama ada mahu mandi atau tidak
sebelum masuk ke tandas.
Akhrinya aku tidak mandi dan hanya
membasuh muka serta menggosok gigi.
Setelah itu aku terus menukar pakaian semalam. Baju tidur Umairah kusumbatkan ke dalam beg
Gucci. Mahu dibawa pulang ke hotel untuk
dibasuh. Pinjam baju orang, mestilah
kena basuh. Aku meneliti diri di hadapan
cermin dan setelah berpuas hati dengan penampilanku. Aku terus menyarungkan jaket tebal. Mujur juga aku membawa bedak kompak dan lipstick, jika tidak tentu pucat lesi
wajahku tanpa sebarang mekap.
Aku menyembur Private Collection Jasmine White Moss, perfume berjenama Estee
Lauder. Perfume yang harganya mencecah 1K itu memang sentiasa berada di
dalam beg Gucciku. Biarlah tidak mandi,
janji wangi. Aku tidak sanggup mandi dan
memakai semula baju comel serta seluar comelku.
Haruslah tidak selesa dan aku lebih rela tidak mandi. Lagipun nanti sampai sahaja di hotel aku akan
terus mandi. Tiada bezanya, tetap mandi
cuma lambat sahaja.
“Umairah, terima kasih untuk bilik
awak dan juga baju tidur semalam. Saya
basuh baju tidur awak dulu, nanti saya pulangkan.” Aku sempat bercakap pada gambar Umairah
sebelum keluar.
larr...the end ke?aduhh..ni y sdih ni..xtau smbgn😭😭.anyways good luck
ReplyDeletelarr...the end ke?aduhh..ni y sdih ni..xtau smbgn😭😭.anyways good luck
ReplyDeleteAlhamdulillah cerita ni dah jadi novel sis... terima kasih ya sudi baca Beijing Aku Cinta Dia.
Delete