My Sweetie Readers

Wednesday 18 September 2013

AKU JATUH CINTA LAGI (BAB 5)


BAB 5

by ANIA MALNA
HCT


Aku laju menghirup minuman di hadapan.  Bahagianya terasa apabila haus disuakan air.  Hampir tiga jam aku, Fika dan Sara menghabiskan masa memusing di dalam Pavilion.  Di tangan masing-masing penuh dengan beg berisi barangan yang dibeli.  Boleh dikatakan hampir kesemua kedai yang terdapat di dalam pavilion kami redah.  Hari ini memang niat kami untuk berbelanja sakan.  Maklumlah, Fika dan Sara baru sahaja mendapat gaji pertama mereka.  Aku yang beria mengajak mereka membeli belah hari ini.
            “Rina, bila nak masuk kerja?”  Fika memulakan bicara setelah masing-masing lega dapat menghirup minuman sejuk.
            “Lepas kahwin kot.  Rina tak puas lagi tau cuti.”  Aku sudah duduk bersandar ke kerusi.
            “Tak puas?  Helloooo cik Rina, dah tiga bulan tau habis belajar.”  Ujar Sara dengan penuh semangat dengan lenggok badan sekali.
            “Eh, kalau ikutkan hati, Rina memang nak duduk rumah je tau.  Malaslah nak kerja tapi bila fikirkan semula, belajar bertahun-tahun tapi terperuk dalam rumah.  Rugi kot, lagipun tahulah kan syarikat papa tu, nak tak nak Rina kena tolong papa uruskan jugak.  Kesian papa.”  Aku kembali menghirup minuman.
            “Untunglah anak Datuk kan.”  Aku ketawa kecil mendengar kata-kata Fika.  Tahu dia sekadar bergurau, bukan aku tidak kenal dengan sifatnya yang mulut lepas.
            “Yang Datuk tu papa Rina, bukannya Rina.  Kalau Rina jadi Datuk, haruslah Rina pindah Paris, tinggal kat sana.  Hari-hari Rina menyopping kat sana.”  Aku mengangkat kening minta disokong.
            “Habis tu Ikhwan takkan nak ikut jugak?”  Sara ni, aku baru aje memasang angan-angan, sekarang sudah berderai.
            “Alah, Ikhwan tu lain ceritalah.”  Malas aku membicarakan hal Ikhwan.  This is girls out, story about a man is not allowed.
            “Fika dengan Sara okay kan nak jadi pengapit Rina?”  Aku mengubah topik perbualan.  Tidak mahu kisah Ikhwan berpanjangan.
            “Takkanlah dua orang kot pengapit.  Lagipun Sara risaulah jadi pengapit sebab orang cakap kalau jadi pengapit nanti lambat kahwin.”  Tawaku dan Fika pecah berderai mendengar kata-kata Sara.
            “Sara ni mengarutlah.  Mana ada, akak Fika tu kahwin je padahal dia jadi pengapit lebih lima kali tau.  Janganlah percaya benda-benda macam tu.  Jodoh pertemuan, ajal maut semua di tangan Allah.  Percaya pada Allah.”  Fuh, menikam kalbu kata-kata Fika.  Tiada siapa mampu menyangkal.
            “Baik ustazah.”  Aku dan Sara sama-sama menjawab dan setelah itu kami sama-sama ketawa.
            Merekalah temanku sejak dari sekolah menengah lagi.  Bukan sekadar teman, tapi sahabat susah dan senang.  Kami sememangnya sangat rapat, semua kisah hidup masing-masing kami kongsikan bersama.  Walau kedua-duanya datang daripada keluarga yang sederhana, mereka tidak pernah mengambil kesempatan terhadap diriku dan keikhlasan merekalah yang menjadi pengikat persahabatan kami bertiga.  Aku bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan sahabat sebaik mereka.
…………………………………………………………………………………………………
            “Papa.”  Aku memanggil papa yang khusyuk menatap komputer riba di hadapannya.
            “Ya sayang, kenapa?”  Tanya papa dengan lembut namun mata papa masih melekat pada skrin komputer riba.
            “Susah ke nak uruskan syarikat?”  Soalan yang kurang cerdik daripadaku.
             Mestilah susah jawapannya tapi aku yakin papa punya jawapan akan panjang berjela.  Risau dan takut untuk memegang tanggungjawab yang berat iaitu menggalas jawatan yang dipegang oleh papa sekarang iaitu Ketua Pegawai Eksekutif a.k.a CEO syarikat.  Papa bangun dari kerusi empuknya dan datang mendekatiku yang duduk di sofa.  Papa mengambil tempat di sebelahku.  Bahuku dirangkul papa.
            “Dalam dunia ni, tak ada satu perkara pun yang mudah sayang.  Semua perkara pun susah sebab setiap apa yang kita lakukan perlu datang sekali dengan usaha.  Tanpa usaha kita takkan dapat apa yang kita inginkan.”  Papa menarik nafas dan merenungku dalam.  Aku setia menunggu kata-kata papa yang seterusnya.
            “Usaha itu penting, asas kepada kejayaan.  Ingat sentiasa, Allah tak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri.  Belajar tu juga merupakan satu bentuk usaha.  Jadi, adik kenalah belajar cara-cara untuk menguruskan syarikat.  Banyakkan bertanya, tidak kira siapa pun orang tu, pekerja atasan mahupun bawahan.  Jangan pernah ada perasaan sombong untuk bertanya.  Takkan pernah rugi seseorang manusia tu jika bertanya malah pelbagai ilmu yang kita akan dapat.  Lagi satu perkara yang sangat penting dalam menempa kejayaan, jaga hubungan dengan Allah.  Jangan pernah lupa untuk tunaikan kewajipan kita sebagai seorang Muslim.”  Aku mengangguk mendengar hujah bernilai daripada papa.  Terasa tenang apabila mendengar kata-kata papa.  Cukup bermakna dan penuh pengajaran.
            “Adik seorang je harapan papa, pewaris tunggal syarikat kita.  Papa tak boleh bergantung harap pada Ikhwan sebab dia tentunya perlu memegang tanggungjawab ke atas syarikat daddy dia.”
            Aku merenung wajah papa dan aku dapat rasakan papa benar-benar mengharapkanku sepenuhnya.  Hanya aku satu-satunya harapan papa.  Walaupun terasa tanggungjawab ini terlalu berat untukku, aku harus pikul jua demi menyambung legasi perniagaan yang telah dibangunkan oleh papa.  Aku berjanji akan terus mengekalkan kegemilangan dan kejayaan Empayar Jaya Bhd.  Ini adalah janji seorang anak kepada ayahnya.
            “In sha Allah papa, adik takkan kecewakan papa.”  Aku melentokkan kepala ke bahu papa dan papa menepuk perlahan belakangku.
…………………………………………………………………………………………………..
            Aku membelek-belek kertas menu.  Terasa cukup asing bagiku.  Pertama kali aku melihat menu-menu ini.  Iyalah aku tidak pernah mencuba makanan Korea.  Ikhwan yang beria-ia mengajakku mencuba makanan Korea tengah hari ini dan aku dibawa ke restoren Kimchi Saranghae.  Kata Ikhwan, restoren ini sangat popular di Kuala Lumpur dan pemiliknya ialah orang Korea yang telah memeluk Islam.
            “D, sedap ke makanan ni?”  Aku sudah meletakkan menu ke meja.
            “Belum cuba belum tahu kan sayang?”  Ikhwan masih lagi membelek menu.  “Kita cuba bibimbap nak tak?  Patbingsu dan kimbab tambah dengan ddeoboki?  Okay?”  Ikhwan mengangkat keningnya, minta persetujuan daripadaku.  Macamlah aku tahu semua menu tu.  Hendak sebut pun tak pandai. 
            “Apa tu awak?  Nak sebut pun macam susah je?”  Aku memang zero bab makanan Korea.
            “Sayang mesti sukalah.  Bibimbap tu ada nasi dan sayur yang banyak, sayang kan suka sayur.  Nasi dan sayur tu akan digaul dan sos istimewa akan diletakkan untuk menambah perisa.  Patbingsu pulak ais kacang versi Korea, ada kacang merah yang direbus dengan gula.  Kimbab pulak nasi yang digulungkan dengan beberapa jenis bahan dan dikerat. Ddeoboki tu pulak rice cake.  I paling suka makan spicy ddeoboki, pedas sampai boleh berasap telinga tapi memang thumbs up.  You mesti suka.”  Wow, hebat juga Encik Tunang, tahu pula dia makanan Korea, macam selalu makan je.
            “Hebatlah awak ni, pakar ya makanan Korea.  Gourmet!”  Aku mula memuji Ikhwan.  Pujian yang ikhlas lahir dari hati.  Gourmet bermaksud pakar makan minum.  Boleh jadi Chef nampaknya.
            “Afrina.”  Satu suara menegurku dan aku mencari suara itu.
            “Eh, Kak Nadia.”  Aku bingkas bangun apabila melihat Kak Nadia, anak kepada rakan papa yang juga telah menjadi rakanku secara rasminya sejak tiga tahun yang lalu.  Aku mengenalinya ketika majlis ulangtahun Empayar Jaya.
            “Lamanya tak jumpa, sihat ke?”  Kak Nadia tampak gembira dan aku juga pastinya gembira.
            “Sihat Alhamdulillah, wah tak lama lagi Kak Nadia dapat baby lah ya?”  Aku dengan selamba mengusap perut Kak Nadia yang nampaknya sudah sarat.  Aku juga turut hadir ketika majlis persandingan Kak Nadia.
            “In Sha Allah.  Oh ya, kenalkan ini suami akak, Abang Aidil.”  Abang Aidil menghadiahkan senyuman kepadaku dan Ikhwan.
            “Ini tunang Rina, Ikhwan.”  Aku memperkenalkan Ikhwan kepada Kak Nadia dan Abang Aidil.  Ikhwan bersalaman dengan Abang Aidil.
            “Marilah join sekali.  Kami pun belum order lagi.”  Ikhwan ramah sekali mengajak Kak Nadia dan Abang Aidil.
            “Tak mengganggu ke?”  Ujar Abang Aidil, risau kami tidak selesa agaknya.
            “Tak adalah bang, lagi ramai lagi meriah.”  Ikhwan nampaknya selesa memanggil Abang Aidil dengan panggilan ‘abang’.
            “Marilah Kak Nadia, Abang Aidil.”  Aku cuba memujuk dan tanganku memegang tangan Kak Nadia.  Mereka mengangguk tanda setuju.  Kak Nadia mengambil tempat di sebelahhku dan Abang Aidil di sebelah Ikhwan.
            “Kak Nadia selalu ke makan kat sini?”  Aku memulakan bicara setelah masing-masing duduk.
            “Selalu sangat.  Boleh kata dalam sebulan, dua tiga kali memang datang sini.”  Jawab Kak Nadia sambil menghadiahkan senyuman yang cukup manis.
            “Abang yang tak suka makanan Korea ni pun dah jadi suka akhirnya sebab Kak Nadia selalu bawak ke sini.”  Abang Aidil ramah sekali menceriakan suasana.
            “Oh ya.  Ikhwan, kalau awak nak tahu dulu Kak Nadia ni belajar kat Korea.”  Aku sengaja memanggil Ikhwan dengan namanya, malu pula hendak dipanggil D atau sayang di hadapan orang.
            “Patutlah suka makanan Korea ya kak?”  Ikhwan tersenyum.
            “Selera kena dengan makanan Korea dan kalau nak tahu, adik Abang Aidil ni kawan baik Kak Nadia.  Kami sama-sama belajar di Korea.”  Aku mengangguk mendengar cerita Kak Nadia.
            “Waaa, soooo sweet.  Kiranya kenal dengan abang Aidil ni sebab kawan Kak Nadialah ya?”  Aku tiba-tiba rasa teruja dengan kisah Kak Nadia dan Abang Aidil.
            “Dan satu lagi, adik abang pulak kahwin dengan anak saudara pemilik restoren ni.”  Abang Aidil menambah.  Aku makin teruja.  Cerita yang sungguh menarik.  Walau sedikit berbelit, aku tetap faham.
            “Pemilik restoren ni Korea Muslim kan bang?”  Ikhwan mencari kepastian walau dia sudah tahu pemilik restoren ini memang orang Korea.
            “Aah, adik abang kahwin dengan lelaki Korea yang dah peluk Islam.”  Aku dan Ikhwan sama-sama mengangguk.
            “Jadi maksudnya, Rina makan di kedai bapa saudara kepada suami kawan Kak Nadia.”  Aku membuat kesimpulan dan kami semua sama-sama ketawa.  Sangat menarik bagiku.  Tidak disangka-sangka. 
            “Assalamualaikum.”  Satu suara lelaki memberi salam.
            “Waalaikumusalam.”  Kami berempat menjawab salam itu.
            “Adam, Aimin.”  Kak Nadia dan Abang Aidil bangun berdiri.  Aku dan Ikhwan turut sama bangun. 
            Seorang wanita bersama seorang lelaki yang mungkin berbangsa Cina kerana matanya sepet dan memang macam muka orang Cina.  Mereka berjalan berpegangan tangan, nampak cukup mesra dan romantis.  Pasangan suami isteri ke?
            “Afrina, Ikhwan.  Inilah Kak Aimin dengan Abang Adam yang kami ceritakan tadi.”  Kak Nadia memperkenalkan kedua-duanya kepada kami.
            Aku mengangguk teruja.  Jadi lelaki yang kufikir berbangsa Cina tadi rupa-rupanya orang Korea dan merupakan suami kepada kawan baik Kak Nadia yang juga merupakan adik kepada Abang Aidil.  Sangat menarik kisah ini.  Rasa kagum terus sahaja lahir.
            “Apa khabar Akak, Abang.  Saya Afrina dan yang ni Ikhwan.”  Laju aku memperkenalkan diriku dan Ikhwan.
            “Khabar baik.”  Mereka menjawab serentak.  Memang sehati sejiwa.  They are sooooooo sweet.  Manisnya mengalahkan madu lebah.
            “Marilah makan sekali.”  Ikhwan mempelawa Kak Aimin dan Abang Adam.  nampaknya Ikhwan juga teruja dengan kisah mereka.
            “Boleh, apa salahnya.”  Kak Aimin menjawab sambil tersenyum manis.  Comel sangat Kak Aimin.

            Kami berenam menghabiskan masa kira-kira dua jam di Kimchi Saranghae.  Seronok benar berbual dengan Kak Nadia, Abang Aidil, Kak Aimin dan Abang Adam.  Pelbagai kisah dan cerita keluar dari mulut masing-masing.  Aku cukup kagum dengan kisah cinta kedua-dua pasangan yang sungguh bahagia ini, kuharap aku juga akan bahagia seperti mereka.  In sha Allah.
…………………………………………………………………………………………………..
            Aku tersenyum riang apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon.  Panggilan daripada Encik Tunang, siapa yang tidak suka.  Dia bagaikan tahu aku sedang menyediakan puding roti untuknya.  Tepat sahaja aku memasukkan puding roti yang telah siap ke dalam peti sejuk, aku terus sahaja menerima panggilan daripadanya.
            “Hello.”  Aku memulakan bicara dan di wajah sudah terukir senyuman lebar.
            “Hello sayang.  You tengah buat apa tu?”  Ikhwan bersuara manja.  Eiii, gatal pulak dah Encik Tunang ni.
            I baru je lepas buat puding roti untuk You.  Kataku jujur dan senyuman masih setia di bibir.
            “Betul ke ni B yang buat?  Entah-entah mama yang buat.”  Aku terus muncung sebaik mendengar kata-kata Ikhwan.  Eh, muncung beria macamlah dia nampak.
            “Betullah D, kalau tak percaya awak tanya mama.”  Ada nada merajuk pada kata-kataku.
            “Saya percayalah B.  Tak sabarnya nak rasa puding roti tu.”
            “Cepatlah sampai sini, janji pukul empat kan.  Dah pukul 3.30 ni.  Kalau lambat, saya makan habis baru tau.”  Aku ketawa kecil.
            “Sayang, I lambat sikit tau.  I kena hantar Fatin ke klinik, dia demam.”
            Senyumanku mati saat mendengar pengakuan Ikhwan.  Hatiku mula gundah gulana.  Terasa nafasku tertahan-tahan.  Cemburukah?  Haruslah!!!
            “Kenapa You yang hantar?  Driver kan ada.”  Suaraku senada, cuba mengawal perasaan.
            “Pak Jamal cuti hari ni.  Ni mesti cemburu kan?  Sayang, ingat satu perkara ni, Fatin adik saya, selama-lamanya adik saya jadi jangan pernah fikir yang bukan-bukan tau.  You seorang je kekasih hati I, takkan ada orang lain.  You are the only one Baby.  Lembut sekali kata-kata Ikhwan.  Aku merasa cukup lega dan senyuman kembali terukir di bibirku.
            “Janji sayang?”  Aku inginkan jaminan terhadap kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut Ikhwan.
            “Janji.  Okaylah saya nak keluar dah ni.  I love you Baby.
            I love you too Darling.”  Geli geleman pula aku menyebut perkataan itu namun senyuman tetap melebar.
            Aku mematikan talian.  Kini sudah tiada kerisauan di hati.  Aku yakin dan percaya dengan kata-kata Ikhwan dan dia sendiri telah berjanji denganku, hanya aku sahaja di dalam hatinya.  Aku terasa diriku agak kejam kerana berfikiran yang bukan-bukan terhadap hubungannya dengan Fatin walhal kenyataannya mereka sudah seperti adik beradik kandung. 
            Maafkan saya Fatin, meragui awak sedangkan awak terlalu baik.  Biarlah semua perasaan negatif dalam diriku hilang, aku mahu berfikiran baik-baik sahaja menjelang majlis pernikahan kami yang tidak sampai dua minggu lagi.  Menanti hari bahagia bergelar isteri kepada Ikhwan Hafizi.
…………………………………………………………………………………………………
            Aku tersenyum puas melihat puding roti yang baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk.  Sebentar lagi pasti Ikhwan akan tiba.  Sepuluh minit yang lalu dia menghantar mesej mengatakan dia akan menghantar Fatin pulang ke rumah dahulu dan setelah itu dia akan terus ke sini.
            Puding roti yang sejuk kuletakkan di atas meja.  Di atas meja sudah tersedia bahan-bahan yang akan kugunakan sebagai hiasan puding roti.  Ada coklat cair, rice chocolate dan krim berwarna merah jambu.  Pertama sekali, aku menyapu rata coklat cair ke atas puding roti, seterusnya rice chocolate ditabur dan akhir sekali aku melakar bentuk hati dengan menggunakan krim merah jambu.

            Setelah berpuas hati dengan hiasan puding roti, aku mengangkat puding roti untuk dibawa ke ruang tamu sambil tersenyum gembira.  Puas hati dengan hasil tanganku sendiri.    Baru sahaja langkah yang kedua, mama tiba-tiba muncul di dapur.  Wajah mama sugul dan resah.  Senyumanku mati, aku tiba-tiba rasa tidak sedap hati.
            “Mama, kenapa ni?”  Aku bertanya kerisauan.  Risau melihat wajah mama yang cukup keruh.  Di pegangan mama ada telefon bimbit.  Apakah yang berlaku?
            “Adik.”  Mama bersuara perlahan, masih lagi berdiri kaku.
            “Ya mama, kenapa?”  Aku juga tegak berdiri tidak bergerak.
            “Ikhwan kemalangan sayang.”
            Ya ALLAH, bagai hendak keluar jantungku saat mendengar berita yang baru disampaikan mama.  Nafasku terasa terhenti berjalan.  Puding roti di peganganku terlepas dari tangan dan jatuh ke lantai.  Dadaku sesak dan air mata sudah berjuraian turun ke pipi.  Lututku lemah dan aku terus terjelepuk ke lantai, mama menerpa ke arahku dan memelukku erat.  Aku menangis semahu-mahunya di bahu mama.


4 comments:

  1. waaaa...so sweet rupanye ade relate dgn novel CTDK..aimin n adam pemilik restoran korea..heheee...cite akak mesti de relate dgn korea...nk kene usaha gak ni at least dpt p satu kali pun da ckup kat korea tu..heheeee...

    ReplyDelete
    Replies
    1. pembetuln cyg~bukn aimin n adam pmiliknyer...uncle yusuf n auntie syafikah ler.hihihi~xleh nk pisahkan~Kuikuikui

      Delete
  2. kakak cptlah buku kn,,,hahhha penat nk bace hadap screen laappy...kahkah..i gonna miss you kakak.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar syg~In shaa Allah lg 2 bulan dpt la tgk bukunyer~Kuikuikui~miz u much moreee

      Delete