My Sweetie Readers

Tuesday 18 March 2014

AKU JATUH CINTA LAGI (BAB 8)

AJCL (bab 8)

by ANIA MALNA



BAB 8

            Hari ini, aku terasa ada sedikit kekuatan mula datang.  Seawal enam pagi aku telah bangun, mandi dan menunaikan solat Subuh.  Aku sempat juga membaca al-Quran sebanyak tiga mukasurat.  Terasa sudah lama aku tidak memegang kitab suci ini.  Terakhir sekali ketika hari terakhir Ikhwan di hospital.  Bermakna sudah hampir tiga minggu aku tidak membaca al-Quran.  Ya ALLAH, hamba-Mu ini sesungguhnya lemah dan seringkali melupakan-Mu.
            Zikir Subuh yang diajar oleh papa sejak aku kecil juga aku alunkan berkali-kali.  Sambil berzikir, air mata juga turut sama gugur.  Menangisi diriku yang melupakan ALLAH hanya kerana ujian yang menimpa diriku ini.  Kerdilnya aku sebagai hamba-Nya.  Aku terlalu ikutkan perasaan sedangkan aku seharusnya sentiasa berbaik sangka dengan ALLAH kerana pastinya ujian ini terselit hikmah yang tidak aku sedari.
            Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah, ayat 286 :  ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
            Aku masih lagi terperuk di dalam bilik dengan langsir yang tidak kubuka.  Membiarkan suasana bilik suram.  Mama datang ke bilik membawakan sarapan dan kali ini aku tidak lagi degil menolak suapan mama.  Suapan demi suapan kuterima, mama nampak sungguh lega  dan gembira dengan perubahanku.
            “Mama…”  Aku akhirnya bersuara.  Panggilan yang sudah lama tidak keluar dari bibirku.  Mama bagaikan terpegun.  Mangkuk di tangan diletakkan ke meja di tepi katil.  Mama merenungku dan di wajahnya penuh rasa syukur dan bahagia.
            “Anak mama.”  Mama memelukku erat dan aku membalas pelukan mama.  Bahu mama mula terhinggut-hinggut dan aku dapat mendengar esakan mama.
            “Ampunkan adik, mama.”  Tangisanku kini bersatu dengan tangisan mama.
………………………………………………………………………………………………………
            “Adik, Kak Nadia dengan Abang Aidil ada kat bawah.  Mereka datang nak tengok adik.”  Ujar papa sambil membelai lembut rambutku.  Aku membalas dengan senyuman dan mengangguk.  Syukur kerana mereka sudi datang dan pastinya untuk memberikan kata-kata semangat buatku.
            “Adik pakai baju ni ya?”  Di tangan mama tergantung blaus dan sehelai selendang.
            “Mama dengan papa turun dulu.”  Ujarku lembut, tiada nada manja dan mengada-ngada seperti dulu.  “Nanti adik turun.”  Aku menambah, memberikan jaminan yang aku akan turun.  Perlahan-lahan aku mengensot ke birai katil dan bangun berdiri.  Lemah dan perlahan pergerakanku, tidak seagresif dulu namun ia lebih baik daripada terbaring kaku tidak bergerak di atas katil. 
            Baju di tangan mama kuambil.  Setelah itu mama dan papa sama-sama keluar dari bilikku.  Lima minit kemudian aku sudah menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah.  Kelihatan mama dan papa sedang berbual dengan Kak Nadia dan Abang Aidil.  Kesemua mereka terus berpaling ke arahku saat melihatku.  Aku menghadiahkan senyuman yang cukup manis untuk Kak Nadia dan Abang Aidil.
            Aku mendapatkan Kak Nadia.  Tangan Kak Nadia kusalam dan kukucup lembut.  Setelah itu, mama dan papa berlalu meninggalkan kami bertiga di ruang tamu. 
            “Terima kasih Kak Nadia, Abang Aidil, sebab sudi datang tengok Rina.”  Aku memulakan bicara.  Aku memandang wajah Kak Nadia dan Abang Aidil secara silih berganti.
            “Sama-sama.”  Kak Nadia dan Abang Aidil menjawab serentak.
            “Rina nampak makin susut.”  Tangan Kak Nadia dibawa ke wajahku.  Pipiku dibelainya lembut.  Terasa cukup selesa dengan keadaan ini.
            “Rina, Abang dengan Akak tak ada niat nak masuk campur hal Rina cuma kami rasa kami terpanggil untuk datang tengok Rina dan cuba beri kata-kata semangat untuk Rina.”  Aku tersenyum manis mendengar kata-kata Abang Aidil walau di hati hanya ALLAH yang tahu.  Cuba berlagak kuat.
            “Akak tahu apa yang berlaku ni terlalu berat untuk ditanggung tapi percayalah setiap yang berlaku ada hikmahnya.  Allah dah aturkan sesuatu yang lebih baik untuk Rina.  Lebih baik dari sebelum ni.  Akak faham perasaan Rina, akak faham dik.”  Entah mengapa kata-kata yang keluar dari mulut Kak Nadia bagaikan ada aura yang meniupkan semangat buatku namun aku tetap tidak mampu menahan air mata.  Ia tetap jatuh membasahi pipiku walau aku cuba sedaya upaya untuk menahannya.
            Aku percaya Kak Nadia betul-betul memahami perasaanku kerana dia juga pernah kehilangan insan yang hampir sahaja menjadi suaminya.  Kisahnya jauh lebih tragis daripada kisahku.  Lelaki yang dicintai sepenuh hati rupa-rupanya musuh dalam selimut dan memperguna dirinya hanya disebabkan harta keluarganya.  Pasti pada mulanya ia terlalu sukar untuk diterima tetapi kini Kak Nadia kulihat sangat bahagia, terlalu bahagia.  Adakah kebahagiaan akan menjadi milikku juga nanti?
            “Tangisan tu memang tak boleh dipisahkan daripada seorang wanita tapi… tangisan bukanlah pengubat kelukaan.  Rina kena kuat terima ujian ni, ALLAH takkan uji kita melebihi kemampuan kita.”  Kata-kata hikmat daripada Abang Aidil juga memberikan sedikit kekuatan untukku.
            “Terima kasih Kak Nadia, Abang Aidil.”  Ujarku beserta esakan.
            This is not the end of your life, dear.  Teruskan hidup Rina dengan tabah dan sabar.  Allah sayangkan hamba-Nya yang ikhlas, redha dan tabah dalam menempuhi ujian.”  Kak Nadia menggenggam kemas tanganku.  Terasa kekuatan menjalar ke dalam tubuhku.
            “Kami tahu memang susah untuk Rina lupakan Ikhwan tapi percayalah jodoh itu rahsia ALLAH.  Yakinlah yang ALLAH dah janjikan lelaki yang lebih baik untuk Rina.  Lelaki yang selayaknya.”  Haruskah aku pegang kata-kata Abang Aidil.  Yakinkah aku ada lelaki yang lebih baik untukku?
            “Rina dah tak percayakan cinta daripada seorang lelaki.”  Entah datang dari mana kekuatanku, lancar sahaja aku menyebut perkataan itu.  “Rina takut akan kecewa lagi.”  Tambahku lagi, tanpa menghiraukan Abang Aidil.
            “Jangan cakap macam tu Rina.  Rina tak boleh tutup pintu hati Rina untuk seorang lelaki.  Fitrah manusia hidup berpasangan.  Akak dulu pernah tutup hati untuk lelaki sampailah Abang Aidil muncul dalam hidup Akak.  Masa tu barulah Akak sedar yang ALLAH tarik lelaki lain dalam hidup Akak sebab ALLAH nak kurniakan seorang lelaki yang jauh lebih baik untuk Akak.”  Kata-kata Kak Nadia membuatkan air mataku berhenti.
            Aku memandang wajah Kak Nadia dan Abang Aidil silih berganti, berkali-kali.  Aku dapat melihat sinar kebahagiaan jelas terpancar di wajah mereka berdua.  Kata-kata Kak Nadia benar namun aku tidak tahu adakah aku juga akan dikurniakan lelaki yang lebih baik daripada Ikhwan sedangkan selama ini bagiku dialah lelaki yang terbaik untukku.
            Kerana kebaikannya jugalah aku kecewa dan aku tahu dia juga kecewa.  Pengorbanannya terlalu besar dan tidak semua orang sanggup berkorban hingga ke tahap itu.  Jujur aku katakan, tidak sedikitpun terlintas perasaan benci terhadap Ikhwan namun aku tidak mampu menerima apa yang berlaku ini dengan seikhlas hati.  Terlalu pedih dan menyayat hati.  Terasa hatiku hancur berkecai. 
            “Rina, kuatkan semangat dan teruskan hidup Rina macam dulu.  Walaupun Abang baru kenal Rina tapi abang tahu Rina jenis yang ceria dan suka bahagiakan orang dan kembalikan sifat sebenar Rina tu.  Fikirkan mama dengan papa Rina.”  Air mataku kembali berlinangan.  Kali kedua aku diingatkan tentang perasaan mama dan papa.
            Benar, aku telah mengabaikan perasaan mama dan papa.  Pasti mama dan papa sangat terluka melihat keadaanku.  Aku telah melukakan hati mama dan papa namun mereka tetap setia melayanku, menemaniku setiap hari.  Akulah satu-satunya anak mereka, akulah harapan keluarga dan aku tidak boleh terus hidup dalam duniaku sendiri.
            “Kak Nadia, Abang Aidil.  Terima kasih sebab sedarkan Rina…sedarkan Rina daripada tidur yang terlalu panjang, sedarkan Rina daripada mimpi yang takkan berpenghujung, sedarkan Rina tentang apa yang Rina dah abaikan.”  Perlahan-lahan tubuh Kak Nadia kupeluk.  Kak Nadia menepuk lembut bahuku.

            Terima kasih YA ALLAH kerana mengurniakan dua insan mulia ini, yang prihatin akan nasib yang menimpa diriku, yang sama-sama mengalirkan kekuatan dan semangat untuk kuteruskan hidup.  Dengan adanya mama, papa, Wan, Fika, Sara dan kini Kak Nadia dan Abang Aidil, ia cukup untuk membawa kujauh daripada mimpi ngeri yang kuhantui ini.
………………………………………………………………………………………………………
            “Assalamualaikum.”  Sara menghulurkan salam.  Dia nampak sungguh ceria pagi ini.
            Tetamu pertama yang bertandang ke rumahku pagi ini ialah Fika dan Sara.  Walau baru tiga hari lepas mereka datang melihatku, rasa rindu terlalu cepat bersarang.  Rindu untuk bergelak tawa bersama-sama mereka.  Rindu untuk berceloteh hingga penat mulut.  Rindu untuk memeluk mereka dan sesungguhnya mereka benar-benar sahabat sejatiku.  Setia melawatku walau menerima layanan atau lebih tepat langsung tidak mendapat layanan daripadaku semasa kali pertama mereka melawatku.
            Aku tetap di katil, tidak bergerak dan wajahku kosong tanpa sebarang reaksi.  Melihat kedua-duanya masuk dan mendekatiku lalu duduk di birai katil.  Tanganku dicapai oleh Fika dan dia merenungku dengan penuh rasa kasih.  Sara pula memegang pipiku.
            “Waalaikumusalam.”  Aku menjawab perlahan.  Sara dan Fika saling berpandangan dan kemudiannya tersenyum gembira.
            “Bila kita nak tengok wayang?”  Tanyaku sambil menghadiahkan senyuman yang cukup manis.
            Air mataku mula berjuraian di pipi.  Kali ini tangisanku kerana kegembiraan.  Gembira kerana terasa aku baru sahaja mendapat sahabatku semula.  Aku mahu kembali ke dalam dunia kami bertiga yang penuh dengan warna-warni dan keceriaan.
            “Rina, Fika dengan Sara rindu Rina sangat-sangat.”  Air mata mula membasahi pipi Sara.
            Happy sangat Rina dah kembali.”  Fika juga tidak mampu menahan air matanya.  Aku mendepangkan tangan dan dalam sekelip mata, kedua-duanya sudah berada di dalam pelukanku. 
………………………………………………………………………………………………………
            Aku merenung siling.  Puas kupejam mata namun tetap sukar untuk melelapkan mata.  Mataku cukup degil.  Fikiranku bercelaru, tentunya memikirkan seseorang.  Sukar benar hendak membuang jauh perasaan ini.  Sudah hampir dua minggu sejak aku kembali ke kehidupanku yang ceria dan berseri-seri namun hatiku sebenarnya masih belum pulih sepenuhnya.
            Bukan mudah untuk memadamkan seseorang yang telah terpahat di hati dan sememangnya tidak dapat dipadamkan melainkan dengan mengikisnya.  Mengikis namanya dari hati, ternyata sangat pedih dan sakit.  Sakitnya ALLAH sahaja yang tahu, tidak terdaya ditanggung namun aku harus tabahkan diri.  Sesungguhnya Ikhwan Hafizi tidak mungkin menjadi milikku.
            Aku akhirnya mengalah dengan mata.  Sudah penat memaksa diri untuk tidur maka aku bangun dari katil.  Membuka lampu meja dan ke meja solek.  Meja solekku cukup besar dan bukan sahaja mampu memuatkan alat solek tetapi tiga buah frame gambar juga diletakkan.  Ada gambarku, gambar aku bersama-sama mama dan papa dan yang terakhir gambarku bersama-sama Ikhwan.  Frame yang terisi foto aku bersama Ikhwan ketika majlis pertunangan kami kucapai.  Lama aku merenung foto itu dan tidak sedar air mata juga mula berguguran dan jatuh tepat mengenai wajah Ikhwan di dalam foto.
            Aku membiarkan sahaja air mata membasahi frame gambar di tangan sehinggalah aku merasakan aku sudah puas menatap foto kami berdua atau lebih tepat menatap wajah Ikhwan.  Benarkah aku sudah puas menatap wajahnya?  Aku berharap ia bukan sekadar puas tapi juga jemu.  Biarlah aku jemu menatap wajah lelaki yang tidak dapat kumiliki ini agar aku tidak lagi terseksa.  Pergilah jauh Ikhwan Hafizi, ingatan terhadapnya, cinta dan kasih terhadapnya, rindu terhadapnya.  Pergilah semuanya dari hidupku.  Aku sudah tidak sanggup lagi untuk menanggung perasaan ini.
            Laci meja solek kutarik dan aku meletakkan foto aku bersama-sama Ikhwan ke dalamnya.  Aku bukanlah seperti di dalam drama yang akan mengoyakkan gambar bekas kekasih hati atau juga akan membakarnya.  Bagiku itu tidak memberi apa-apa makna.  Bukannya dengan membakar gambar, akan terbakar segala rasa cinta terhadap orang itu.  Bukannya dengan mengoyakkan gambar hingga sekecil-kecilnya, akan hilang rasa kasih pada orang itu.  Biarlah kusimpan gambar ini, mungkin juga gambar ini akan menjadi satu-satunya kenanganku dengan Ikhwan.
………………………………………………………………………………………………………
            “Mama, papa.”  Aku memanggil mama dan papa dengan lembut sekali.
            “Ya sayang, kenapa?”  Mama berhenti mencedokkan nasi goreng ke dalam pingganku.
            “Apa dia sayang?”  Papa merenungku dan menghadiahkan senyuman.
            “Hari ni adik nak pinjam Pak Mail boleh tak?”  Aku mengukir senyuman dan memandang mama dan papa silih berganti.
            “Adik nak ke mana, sayang?  Biar papa je yang hantarkan.”  Papa menawarkan diri.
            “Tak payahlah pa, papa kena pergi pejabat.  Biar Pak Mail je yang hantar, nanti lepas Pak Mail hantar papa ke pejabat, adik terus suruh Pak Mail hantar adik ya?”  Aku cuba menolak pelawaan papa dengan cukup baik.
            “Sayang nak ke mana?”  Giliran mama pula bertanya ke mana tempat yang ingin kutuju.
            “Adik...”  Aku tidak meneruskan kata-kata.  Memandang mama dan papa silih berganti.  Menarik nafas panjang sebelum menyambung kata.  “… Adik nak ke hospital, tengok Fatin, boleh kan?” 
            Mama dan papa saling berpandangan.  Mereka bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja keluar dari bibir nipisku.  Lama mama dan papa terdiam.  Aku pula setia menunggu jawapan daripada mama dan papa.
            “Adik betul ke nak melawat Fatin?”  Mama nampak teragak-agak untuk menuturkan kata-kata.  Aku membalas dengan anggukan.  Mangkuk yang berisi nasi goreng dihadapan mama kuambil dan aku mencedok nasi goreng ke dalam pinggan.
            “Biar mama temankan adik ya?”  Papa memberi cadangan.
            “Tak apa pa, adik pergi sendiri.  Percayakan adik ya ma, pa.  Adik takkan buat perkara yang bukan-bukan.”  Aku ketawa kecil, cuba membuang resah di wajah mama dan papa. 
            “Adik…”  Mama membuka mulut namun aku cepat memintas.
            “Ma, please percayakan adik.  Jangan risau ya?”  Lembut sekali kata-kataku, mahu melegakan perasaan mama dan papa.  “Pa…”  Aku beralih memandang papa minta kebenaran.  “Papa, you should trust your daughter.”  Aku menambah, cuba meyakinkan papa dan akhirnya papa mengangguk lemah.
            “Terima kasih papa, mama.”  Aku menghadiahkan senyuman, membaca Bismillah dan terus menyuap nasi goreng ke mulut.
………………………………………………………………………………………………………
            “Hello.”
            “Hello Auntie.”  Aku membalas dengan cukup lembut.  Kedengaran suara Datin Diana agak sayu di hujung talian.  Mungkinkah dia terkejut dengan panggilan telefon daripadaku?  Atau juga masih bersarang rasa bersalah di hatinya atas apa yang telah terjadi?
            “Ada apa Rina telefon Auntie?”  Lembut sekali tutur kata Datin Diana.
            “Rina nak mintak izin melawat Fatin.”
            “Kenapa mintak izin, Rina.  Mestilah boleh.”  Tawa kecil Datin Diana dapat kudengar.  Tawa yang mungkin dipaksa untuk melindungkan rasa.  Aku diam tidak membalas kata-katanya.  Lama.
            “Rina nak pergi sekali dengan Auntie?  Auntie pun nak ke hospital ni, biar Auntie singgah rumah Rina dan kita pergi sekali ya?”  Akhirnya Datin Diana menamatkan zon sepi kami.  Daripada nadanya, dia ternyata senang dengan perkhabaranku.
            “Tak apa Auntie, Rina dah ada kat hospital ni?”  Aku menjelaskan dan sememangnya aku sudah berada di hospital dan sekarang sedang berdiri di luar bilik Fatin.
            “Kat hospital?”  Datin Diana pasti terkejut.

            “Ya, Rina cuma nak mintak izin dan Auntie jangan risau, Rina tak ada niat buruk pada Fatin.”  Aku meluahkan apa yang ada di minda.  Bukan bersangka buruk terhadap Datin Diana tetapi bimbang juga terbit rasa risau di hati ibu angkat Fatin itu walau hakikatnya aku ikhlas melawat Fatin.
            “Ya ALLAH, tak terlintas sikit pun di hati Auntie, sayang malah Auntie berbesar hati Rina sudi datang tengok Fatin.”
            “Terima kasih Auntie, Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam.”
            Aku mematikan talian.  I-phone aku letakkan kembali ke dalam beg tangan dan aku merenung pintu bilik Fatin.  Tertera namanya di pintu bilik, Fatin Syahirah binti Syakir.  Entah bila Fatin boleh dikeluarkan dari hospital.  Sudah lebih sebulan dia di sini.  Mungkin ada beberapa rawatan lagi yang perlu dijalaninya sebelum dibenarkan pulang.
            Aku membuat keputusan untuk tidak mengetuk pintu bilik.  Dengan seperlahan mungkin aku menguak pintu bilik.  Fatin sedang meraba-raba sesuatu di atas meja sisi.  Aku yakin dia tidak dapat mendengar pintu dikuak kerana jarak antara katil dan pintu agak jauh.  Wad yang cukup mewah ini agak luas.
            Aku menapak mendekati Fatin dengan seperlahan mungkin.  Tangannya masih meraba-raba dan aku meneka dia cuba mengambil cawan yang berada di meja sisi.  Aku mahu membantunya namun aku tidak mahu dia tahu kehadiranku.  Hanya tinggal kira-kira dua langkah sahaja sebelum tiba di katil, cawan yang ingin diambil Fatin jatuh ke lantai dek kerana tangannya tertepis cawan itu.  Aku menghentikan langkah, bukan kerana tidak mahu membantunya namun lebih kepada terlalu sayu dan pilu melihat keadaan ini.
            Fatin turun dari katil dan tangannya tergapai-gapai.  Dia duduk bersimpuh di atas lantai dan tangannya meraba lantai mencari cawan yang jatuh tadi.  Aku melangkah mendekati Fatin, cawan yang cuba dicapai Fatin kuambil dan perlahan-lahan aku mendekatkan cawan ke tangan Fatin namun belum sempat cawan sampai ke tangan Fatin, tanganku ditarik seseorang.
            Aku cepat-cepat melihat pemilik tangan yang melekat di pergelangan tanganku.  Mataku membulat saat melihat pemiliknya ialah Ikhwan.  Ikhwan meletakkan jari telunjuk di bibirnya dan aku faham maksudnya.  Dia tidak mahu Fatin tahu kehadiran kami berdua.  Aku tidak sedar bila dia masuk ke bilik Fatin.  Mungkin dia juga sepertiku, masuk dengan sesenyap mungkin.
            Cawan di tanganku diambil Ikhwan dan cawan itu diletakkan betul-betul di hadapan Fatin dan setelah itu tangan Fatin terlanggar cawan di hadapannya.  Aku dapat membaca gerak bibir Fatin.  Dia menyebut Alhamdulillah.  Ikhwan melepaskan pegangan tangannya dan dia bangun berdiri.  Aku turut bangun berdiri.
            “Fatin, abang ni.”  Ikhwan bersuara.
            “Eh abang bila sampai?  Fatin tak sedar pun.”
            Ikhwan membantu Fatin berdiri dengan memegang bahu adik angkatnya yang tidak lama lagi akan bergelar isterinya.  Aku pula hanya menjadi pemerhati.  Bohong jika aku katakan aku tidak cemburu dengan apa yang kulihat ini.  Perasaanku terhadap Ikhwan masih lagi kuat, tentunya aku tidak dapat membuang jauh rasa cemburu.
            “Abang baru je sampai.  Lain kali kalau nak minum air, panggil je nurse, sayang.”
            Luluh hatiku mendengar perkataan sayang yang baru sahaja keluar dari mulut Ikhwan.  Dahulunya ‘sayang’ itu hanyalah untukku dan dalam sekelip mata pemilik ‘sayang’ telah bertukar kepada Fatin.  Mengapa Ikhwan memanggil Fatin dengan panggilan itu di hadapanku?  Sengaja?  Sengaja untuk mengguris hatiku.  Aku menggenggam kemas jari jemari.  Menahan perasaan membuatkan dadaku terasa sungguh sakit dan nafasku semakin laju.
            “Fatin boleh buat tapi tadi tertepis cawan tu.”
            Fatin sudah duduk di atas katil dan Ikhwan meletakkan bantal ke kepala katil dan tubuh Fatin ditolaknya lembut agar bersandar pada bantal itu.  Kemudian Ikhwan mengambil cawan di tangan Fatin lalu cawan itu diletakkan ke atas meja.  Dia menuang air ke dalam cawan lain yang juga diletakkan di atas meja.
            “Air, Fatin.”  Ikhwan memegang tangan Fatin dan tangan itu dibawa ke cawan.
            Aku setia melihat babak antara Ikhwan dengan Fatin.  Terasa diriku bagai tidak wujud di sini.  Sekadar sebagai pemerhati. 
            “Terima kasih, abang.”  Fatin mula meneguk air.
            “Sama-sama, abang nak keluar kejap.  Nanti abang datang semula.” 
            Ikhwan berpaling dan menghadapku.  Pergelangan tanganku dipegangnya lagi dan aku menarik tangan dengan kasar.  Apa hak dia untuk memegangku sesuka hati?  Aku bukannya semudah itu dan aku juga tidak rela untuk disentuh olehnya.  Aku menghadiahkan jelingan tajam buat Ikhwan.  Masih lagi marah dengan tindakan Ikhwan.  Ikhwan membuat isyarat mata agar kami keluar dari bilik Fatin dan dia terus melangkah.  Aku membuntutinya.
………………………………………………………………………………………………………
            “Kenapa awak datang?”  Soalan yang sudah kujangka akan keluar dari mulut Ikhwan.  Kami kini sedang berdiri betu-betul di hadapan pintu bilik Fatin.
            “Kenapa?”  Aku membalas soalan Ikhwan dengan pertanyaan.
            “Awak cuba nak apa-apakan Fatin?”
            “Ppang…” 
            Tanpa teragak-agak, aku menghadiahkan satu tamparan di pipi kiri Ikhwan.  Entah datang dari mana kekuatan untukku bertindak sedemikian.  Mungkin juga dek kerana hatiku yang panas.  Panas dan sakit kerana Ikhwan baru sahaja menuduhku.  Menuduhku cuba mengapa-apakan bakal isterinya.  Bakal isterinya yang pernah dianggap seperti adiknya sendiri.
            “Imani...”  Ikhwan memegang pipi kirinya.  Kesakitan yang dirasainya tidak sehebat kesakitan yang aku alami sekarang.  Pedihnya, terasa jantung hatiku dicungkil dengan pisau tajam apabila Ikhwan menuduhku begitu.
            “Jangan sebut nama saya kalau sekadar nak sakitkan hati saya.”  Suaraku ditinggikan dan sekaligus air mata mengalir ke pipi.  Sesungguhnya aku terlalu lemah dalam mempertahankan mutiara berhargaku ini.  Mudah sangat ia tumpah kerana lelaki bernama Ikhwan yang berdiri di hadapanku ini.
            “Saya tak berniat…”
            “Tak berniat nak sakitkan hati saya?”  Aku laju memotong kata-kata Ikhwan.  “Panggil Fatin ‘sayang’ depan saya, itu yang awak kata tak berniat?  Jujur saya cakap, saya rasa saya dah tak kenal siapa awak!  Saya rasa kita dah terlalu jauh!”  Air mataku makin deras mengalir dan esakanku juga tidak dapat ditahan lagi.  Esakan bersatu dengan air mata, membuatkan dadaku sesak dan sakit.  Terasa hendak pecah dadaku.
            “Saya mintak maaf, Imani.”  Wajah Ikhwan keruh dan tangannya sudah dialihkan dari pipi.  Dia cuba mencapai tanganku namun aku cepat-cepat melarikan tangan.
            “Jangan sentuh saya!  Awak tak ada hak untuk pegang saya!”
            “Saya bersalah, Imani.”  Ikhwan merenung wajahku, penuh mengharap.  Adakah mengharap aku akan memaafkannya?
            “Alangkah bagus kalau kata-kata maaf awak dan juga rasa bersalah awak pada saya boleh ubat hati saya yang sakit ni.”  Perliku dan wajah Ikhwan kutenung dalam.  Ikhwan tewas dan dia tertunduk memandang lantai.
            “Rina.”  Datin Diana datang menghampiriku dan Ikhwan.  “Ikhwan kenapa ni?  Rina kenapa menangis, sayang?”  Datin Diana mendekatiku dan tanganku dicapainya.  Aku dan Ikhwan diam membisu.
            “Ik, cakap dengan mummy apa yang berlaku?  Apa yang Ik dah buat pada Rina?”  Datin Diana menggoncangkan bahu anak lelakinya.
            “Ik salah mummy.  Ik bersangka buruk pada Rina.”  Ikhwan berkata jujur.  Aku pula hanya terpacak tidak bergerak.
            “Ik, Rina berniat baik nak melawat Fatin.  Rina dah telefon mummy pagi tadi yang dia nak tengok Fatin.  Kenapa dengan Ik ni huh?”  Tegas kata-kata Datin Diana.
            Auntie, jangan salahkan Ikhwan.  Kalau orang lain di tempat dia pun tentu akan fikir yang bukan-bukan.”  Aku membela Ikhwan?  Aku tidak tahu mengapa masih ada perasaan belas kasihanku kepadanya sedangkan dia baru sahaja menuduhku.
            “Rina, Auntie mintak maaf.”  Datin Diana menyapu air mata di pipiku dengan lembut.
            Auntie jangan mintak maaf.”  Tangan Datin Diana kucapai lembut.  Auntie tolong bagi ni pada Fatin.”  Aku menghulurkan bungkusan yang berada di tangan kiriku.
            Bungkusan ini memang sudah berada di tanganku sejak tadi dan aku sebenarnya ingin menyerahkannya sendiri ke tangan Fatin namun jelas keadaan tidak mengizinkan.  Di dalam bungkusan ini ada telekung, al-Quran dan tasbih sebagai hadiah daripadaku untuk Fatin.  Niatku baik namun tidak disangka ia telah disalah tafsir oleh Ikhwan.
            “Rina, Auntie..”
            Auntie, satu lagi permintaan Rina.  Tolong jangan rasa bersalah atas apa yang berlaku ni.  Rina hormat dan kasihkan Auntie sama macam dulu.”  Perlahan-lahan tangan Datin Diana kubawa ke wajah dan tangan itu kukucup lama.
            “Rina sayang.”  Datin Diana sudah mula teresak.
            Aku dibawa ke dalam pelukannya dan tangisan kami bersatu.  Ikhwan hanya diam membatu melihat kami berdua.  Wajahnya tidak dapat kutafsirkan kerana aku dapat rasakan aku sudah tidak mengenali lelaki yang bertakhta di hatiku selama lima tahun ini.
                       



No comments:

Post a Comment