AJCL (bab 9)
by ANIA MALNA
BAB 9
Mataku melilau ke seluruh restoran. Sengaja mencuci mata melihat para pengunjung
di restoran Kimchi Saranghae. Ada
pelbagai lapisan bangsa datang makan di sini.
Melayu, Cina, India dan meja yang berada di sebelahku pula diduduki oleh
warga Korea. Aku belum memesan menu
kerana menunggu Kak Nadia sampai dahulu.
Aku terus mengukir senyuman saat
melihat Kak Nadia menapak masuk ke dalam restoran dan senyumanku dibalas dengan
cukup manis. Kak Nadia datang sendirian
hari ini, Abang Aidil tidak bersamanya.
Mungkin Kak Nadia bimbang aku tidak selesa dan biarlah sebentar lagi
akan menjadi bicara antara wanita. Sebenarnya
aku juga senang jika Abang Aidil turut bersama kerana suami Kak Nadia itu cukup
pandai berkata-kata dalam memberikan semangat buatku.
“Rina dah lama sampai ke?” Kak Nadia sudah duduk di kerusi berhadapan
denganku.
“Tak lah, baru je.” Senyuman masih lagi di bibirku.
“Akak suka tengok Rina
sekarang. Dah ceria dan bersemangat
semula.” Kak Nadia mencapai tanganku.
“Alhamdulillah, terima kasih Kak
Nadia sebab ambil berat tentang Rina.
Terima kasih jugak pada Abang Aidil.”
Aku membalas pegangan tangan Kak Nadia.
“Kasihmu diterima dik tapi kami
berdua bukan buat apa-apa pun, sekadar bagi nasihat. Itu aje yang kami mampu.” Kak Nadia ternyata terlalu merendah diri.
“Nasihat yang sangat berguna untuk
Rina.” Kata-kataku membuatkan Kak Nadia
ketawa kecil.
“Lepas ni Rina kena teruskan hidup
dan jangan pandang ke belakang. Semua
yang dah berlalu tu anggaplah ada hikmah di sebaliknya.”
Aku mengangguk mendengar kata-kata
Kak Nadia. Benar ada hikmah di
sebaliknya dan salah satu hikmahnya sudah ada di depan mataku iaitu Kak
Nadia. Sebelum ini aku hanya mengenali
Kak Nadia sebagai anak kepada rakan papa dan kami sekadar kenalan biasa tapi
kerana kisah cintaku yang tragis ini aku dan Kak Nadia menjadi rapat. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan
seseorang sebaik Kak Nadia ke dalam hidupku.
Bukan sahaja Kak Nadia malah suaminya juga sama-sama prihatin dan
mengambil berat tentang diriku. Terima
kasih Ya ALLAH.
“Rina... Rina…”
“Ya, Kak Nadia?”
“Berangan ke? Akak panggil tak dengar pun.” Kata-kata Kak Nadia menyedarkanku. Aku termengelamun rupanya tadi.
“Berangan sikit je, Kak Nadia.” Ujarku dengan nada manja. Aku semakin rapat dengan Kak Nadia dan tidak
malu untuk bermanja dengannya.
“Nak jadi minah jenin ke?” Kak Nadia ketawa kecil dan aku turut sama
ketawa. “Nak makan apa ni?”
“Apa-apa je yang Kak Nadia
makan. Rina tak tahu sangat makanan
Korea ni.”
“Betul ke, karang tak kena selera
macam mana?” Kak Nadia mengangkat kening
minta kepastian.
“Kak Nadia jangan risau, I’m not a picky eater. Rina memang tak memilih bab makanan
ni. Telan je semua benda. Memang kalau bab makanan tak cerewet
langsung.” Ujarku dan aku cukup bangga
dengan kelebihanku yang satu ini. Benar
aku tidak cerewet bila berkaitan dengan makanan.
Kak Nadia tersenyum dan
mengangguk. Setelah itu dia melambaikan
tangan ke arah seorang pelayan wanita dan terus sahaja memesan makanan. Nampak macam banyak juga yang dipesan oleh Kak
Nadia. Pelayan tadi terus pergi setelah
mengambil pesanan. Aku kini bersedia
untuk memberitahu Kak Nadia keputusan yang baru kuputuskan malam tadi.
“Kak Nadia, sebenarnya Rina nak ke
Beijing.” Lancar sekali aku menyuarakannya.
“Oh ya, baguslah tu pergi
bercuti. Boleh tenangkan fikiran dekat
sana nanti. Pergi dengan mama dan papa
ya?” Kak Nadia tersenyum lega.
“Rina pergi sendiri.” Aku cuba mengukir senyuman di bibir. Senyuman dalam keterpaksaan.
“Sendiri? Nanti dekat sana macam mana? Mama dan papa dah tahu belum ni?” Tanya Kak Nadia bertalu-talu. Aku ketawa kecil namun di hati resah sudah bertandang.
“Ketawa pulak, akak serius ni.” Kak Nadia memandangku hairan. Tawaku mati dan hanya tinggal senyuman nipis.
“Sebenarnya kat sana ada Pak Ngah
sebelah papa. Mama dengan papa belum
tahu lagi.”
“Rina tinggal dengan Pak Ngah Rina
kat sana nanti?”
“Tak, Kak Nadia. Rina nak cuba hidup sendiri, Rina nak
berdikari. Rina nak buang tanggapan yang
Rina ni anak manja, bergantung harap pada mama dan papa. Kalau dekat sini, Rina tak mungkin dapat
belajar berdikari dan Rina pilih Beijing sebab ada Pak Ngah, mama dengan papa
mesti takkan keberatan untuk lepaskan Rina pergi.” Kataku dengan jujur.
“Rina, jangan cakap yang Rina nak
bagitahu mama dan papa yang Rina akan tinggal dengan Pak Ngah Rina kat
sana?” Tekaan yang berbentuk pertanyaan
oleh Kak Rina memang tepat. Aku
mengangguk berat.
“Rina terpaksa Kak, kalau tak mama
dan papa mesti takkan lepaskan Rina. Rina
nak belajar erti kehidupan sebenar.
Lagipun, sebenarnya hati Rina tak sekuat mana lagi. Rina tak sanggup nak berhadapan dengan
Ikhwan. Nak tak nak, kami tetap akan
berjumpa jugak nanti, mungkin juga akan terserempak kat mana-mana.” Aku menarik nafas panjang dan
menghelanya. Kak Nadia kembali
menggenggam tanganku, mungkin cuba memberikan semangat untukku. “Rina tak boleh Kak, biarlah Rina pergi jauh
daripada dia. Mana tahu mungkin hati
Rina akan terubat juga nanti. Dah hampir
tiga bulan sejak peristiwa perit tu tapi sampai sekarang Rina masih sukar untuk
lupakan Ikhwan. Rina rasa Rina
betul-betul perlu pergi jauh untuk seketika.
Rina akan cuba lupakan dia dan untuk lupakan dia, Rina perlukan suasana
yang baru. Dekat sini terlalu banyak
kenangan kami. Semua tempat yang pernah
kami pergi, semua perkara yang kami buat bersama-sama, semuanya buatkan Rina
tambah seksa. Bila dikenangkan, hati ni
terasa macam disiat-siat.” Aku memandang
Kak Nadia tepat ke matanya. Mengharap
dia akan memahamiku.
“Akak tahu Rina, susah nak ubatkan
hati yang terluka ni. Luka luaran senang
diubat sebab nampak di mata…luka di hati siapa yang nampak tapi…” Kak Nadia terhenti dan aku setia menunggu
kata-kata yang seterusnya daripada Kak Nadia.
“…caranya salah dik. Rina sanggup
ke tipu mama dan papa?” Soalan Kak Nadia
benar-benar menjeratku.
“Rina…” Aku mati kata-kata.
“Apa-apa keputusan yang kita buat
kena fikir betul-betul Rina. Jangan buat
keputusan melulu, fikirkan mama dan papa Rina.
Akak sokong apa je keputusan akhir Rina dan akak yakin keputusan Rina
sekarang ni keputusan yang melulu. Fikir
baik-baik.” Lembut sekali teguran Kak
Nadia namun keputusan yang kubuat ini adalah keputusan yang akhir. Muktamad!
Aku akan terus dengan keputusan ini.
“Terima kasih, Kak Nadia.”
“Sama-sama.” Aku memberikan senyuman yang cukup manis buat
Kak Nadia. Setelah itu kami berbual
tentang perkara lain sambil menjamu selera dengan menu yang dipesan oleh Kak
Nadia. Terasa cukup lega dapat berjumpa
Kak Nadia. Sekurang-kurangnya aku dapat
meluahkan rasa yang terbuku di hati.
………………………………………………………………………………………………………
“Rina, lama ke pergi Beijing?” Dahi Sara sudah berkerut-kerut. Aku tersenyum sebelum menjawab.
“Mungkin sekejap, mungkin jugak
lama.” Jawabku dengan tenang.
“Eh, ada pulak macam tu. Mestilah dah rancang berapa lama nak tinggal
di sana.” Sara masih belum berpuas hati
dengan jawapanku.
“Tak, Rina memang tak tahu lagi
berapa lama.”
“Nasib baik Rina tinggal dengan Pak
Ngah Rina kat sana nanti, kalau tak memang berat je hati ni nak biar Rina
pergi.” Fika menyuarakan kerisauannya.
“Tahu pun, Pak Ngah Rina ada jadi
tak payah nak risaulah.” Ujarku dengan
tenang walau hati penuh dengan rasa bersalah kerana terpaksa menipu sahabat
sendiri.
“Rina ke Beijing sebab nak dapatkan
ketenangan kan?” Soalan Fika membuatkan
dahiku berkerut namun tetap mengangguk.
“Kenapa tak pilih ke Mekah mengerjakan Umrah?” Tersenyum aku mendengar kata-kata Fika.
“Perkara tu Rina dah fikirkan sejak
awal lagi tapi bagi Rina ALLAH sentiasa ada bersama dengan kita walau di mana
pun kita berada dan mengerjakan Umrah memang sesuatu yang sangat murni dan suci
tapi sucikah jika kita pergi ke sana dengan niat yang tidak suci? Niat untuk pergi meninggalkan masalah, pergi
ke sana dalam keadaan yang bermasalah.
Bukankah niat kita mengerjakan Umrah tu perlu tulus dan ikhlas sebab
kita nak beribadat kepada ALLAH di tanah suci.
Rina tak sanggup ke sana dalam keadaan niat Rina yang tak betul, Rina
belum bersedia. Sebelum ni Rina dah ke
sana dengan mama dan papa dan masa tu Rina cuba betulkan niat ke sana dan
sekarang Rina tak yakin Rina mampu betulkan niat tu. Rina tak nak ke sana dengan niat yang
salah. In sha Allah, bila hati Rina
betul-betul dah rasa cukup tenang, Rina akan jejakkan kaki ke Baitullah lagi
dan masa tu nak beribadat pun dalam keadaan yang tenang kan?” Panjang lebar sekali aku mengeluarkan hujah
dan aku yakin Fika cukup faham.
“Rina..” Fika terus sahaja memelukku. “Maafkan Fika.. Fika tak bermaksud..”
“Shhh, dah jangan nak mintak maaf
pulak. Fika bukannya buat salah.” Aku membalas pelukan Fika dan menepuk
belakangnya.
“Ehem, tak ajak pun sekali.” Sara sudah bercekak pinggang.
Aku dan Fika meleraikan pelukan dan
mendepangkan tangan lalu Sara berlari ke dalam pelukan kami. Kami bertiga berpelukan. Indahnya masa bersama sahabatku dan aku tidak
tahu bila lagi memori begini akan berulang.
Aku harap setelah aku pulang dari Beijing nanti, sahabat-sahabatku masih
setia menunggu kepulanganku namun aku sendiri juga tidak tahu bila aku akan pulang
semula ke Malaysia.
………………………………………………………………………………………………………
Almari pakaian daripada kayu jati
yang berpintu lima kubuka. Kesemua lima
bahagian penuh dengan pakaian. Aku
meneliti satu persatu koleksi pakaianku dan kesemuanya berjenama. Harga pula semuanya ratusan ringgit dan ada
juga yang mencecah ribuan ringgit. Satu
bahagian hanya diletakkan baju kurung dan jubah dan selebihnya pakaian
lain. Aku merenung pajama baldu yang
tersarung di badan dan barulah aku sedar harganya juga mencecah tiga angka.
Aku kini menutup pintu almari dan
beralih ke almari yang berpintu dua dan di dalamnya penuh dengan pelbagai jenis
tudung dan selendang. Sudah tidak
terkira koleksi hijabku, mungkin sudah lebih seratus helai dan ada juga yang
hanya kupakai sekali walau harganya bukan sekadar dua angka. Aku kemudiannya duduk melutut lalu menarik
laci. Di dalamnya penuh dengan pelbagai
bentuk kerongsang. Amethyst, Swarovski, ruby, emerald dan pelbagai lagi batuan yang
amat berharga, semuanya menjadi ciri utama buat kerongsang-kerongsang ini.
Aku kembali bangun dan beralih ke
almari ketiga dan almari ini pula menempatkan koleksi kasut dan sandal. Almari yang berwarna keemasan ini bertingkat
lima dan semua tingkat menempatkan kira-kira sepuluh pasang kasut dan
sandal. Seperti juga tudung, ada kasut
yang hanya sekali pernah kusarung ke kaki.
Tidak keterlaluan untuk kukatakan kasut-kasut ini juga semuanya
berjenama dan tiada satu pun yang berharga di bawah seratus. Almari kasut ditutup dan aku beralih ke
almari yang menempatkan pelbagai koleksi beg serta clutch berjenama. Sebut
sahaja, Chanel, Chloe, Coach, Fendi,
Gucci, Louis Vuitton, Marc Jacobs, Mulberry, Prada, Dolce & Gabbana, Kenzo,
Phillip Lim, semuanya ada.
Pintu almari yang memuatkan koleksi
beg kututup dan aku kini meneliti keseluruhan bilik tidurku pula. Bilik yang kurasakan cukup luas. Saiznya sebesar satu gelanggang tenis. Memuatkan sebuah katil bersaiz queen di tengah-tengah bilik. Katil yang bercadar baldu berwarna merah jambu
ini nampak cukup mewah. Katil daripada
kayu jati ini sungguh selesa. Berhadapan
dengan katil, ada sofa berangkai tiga berwarna merah hati. Sebuah TV Plasma 42 inci diletakkan di
hadapan sofa.
Di sudut kanan bilik pula ada sebuah
meja sederhana besar dan kerusi sebagai tempat untuk aku mentelaah pelajaran. Di sebelah meja pula ada meja solek yang
cukup besar. Meja solek yang berwarna
putih dilengkapkan dengan kerusi lembut yang juga berwarna putih. Sebuah almari kaca di sebelah kiri katil juga
diletakkan di dalam bilik.
Ya ALLAH betapa mewahnya
hidupku. Aku dilayan bagai tuan puteri
oleh mama dan papa. Tidak kurang walau
sedikitpun. Aku terlalu bertuah jika
dibandingkan dengan orang lain. Tidak
semua orang bernasib baik sepertiku. Lahir-lahir
sahaja sudah tersedia pelbagai macam kemewahan.
Tidak pernah kenal erti susah dan payah dalam hidup. Tidak pernah gagal mendapatkan sesuatu yang
diinginkan.
Sebut sahaja keinginanku pasti akan
tersedia di hadapan mata. Mama dan papa
terlalu baik, melayan setiap kerenahku, permintaanku, rengekanku. Tidak pernah sekalipun mengecewakanku tetapi
aku bukanlah anak yang baik. Dek kerana
kehidupan yang terlalu mewah, aku jadi kabur dalam hidup. Hidupku bergantung sepenuhnya kepada mama dan
papa. Mama dan papa menyediakan
segala-galanya untukku. Untukku
hinggakan aku jadi terlalu manja dan tidak mampu berdikari. Berdikari dalam melalui kehidupan harianku.
Sampai bila harus aku jalani
kehidupan sebegini? Menjadi bebanan buat
mama dan papa walau tidak pernah sekalipun terdengar keluh kesah dari mulut
mama dan papa. Tiada rungutan mahupun
kritikan daripada mereka. Mereka terlalu
kasih dan sayangkanku melebihi segalanya.
Menatangku dengan penuh hati-hati, tidak mahu aku terluka walau sedikit
namun akhirnya hatiku tetap terluka kerana seorang lelaki. Hatiku terlalu lemah untuk menerimanya kerana
selama ini apa sahaja kemahuanku pasti akan aku peroleh dan kerana itu jugalah
hatiku tidak mampu menanggung kehilangan ini.
Terlalu sukar hingga membuatkanku terasa bagai nafasku terhenti
tiba-tiba.
Kekuatan daripada orang-orang
kesayanganku sudah cukup untuk membuat aku bangun namun ia masih belum cukup
bagiku untuk menempuh dugaan yang mendatang.
Dugaan yang aku tidak tahu bagaimana dan bila? Aku perlukan sesuatu yang baru, yang mampu
mengajarku erti kehidupan sebenar. Aku
perlu lari jauh daripada semuanya.
Menjalani kehidupan yang akan mengajar aku untuk menjadi lebih kuat dan
tabah. In sha Allah.
………………………………………………………………………………………………………
“Adik.” Mama memanggilku dengan cukup lembut sambil
tangan mengusap kepalaku.
“Ya, ma?” Tangan mama kucapai dan kubawa ke
wajahku. Mahu mama membelai pipiku pula
dan mama cukup faham lalu membelai lembut pipiku.
“Kat rumah Pak Ngah nanti, jaga tingkah
laku. Jangan buat macam dekat rumah kita
ya? Rajin-rajin ke dapur, kemas-kemas rumah dan yang paling penting bangun awal. Jangan tidur lepas Subuh.” Kata-kata mama membuatkanku tersenyum.
Pesanan mama sangat-sangat perlu
kerana kesemua perkara yang mama pesan adalah perkara yang jauh sekali daripada
rutin harianku. Masuk ke dapur untuk
memasak? Memang jauh sekali. Yang aku tahu datang ke meja makan, semuanya
sudah disediakan oleh Mak Kiah. Kemas
rumah? Jauh panggang dari api. Bilikku sendiri juga kadang-kadang dikemaskan
oleh Mak Kiah. Akhir sekali, tidur
selepas Subuh adalah sifatku yang paling buruk.
Memang susah hendak dibuang walau sudah dibebel mama setiap hari. Hmmm, entahlah.
“Ya mama, adik tak buat perangai
buruk-buruk kat sana.” Aku mula baring
dengan kepala diletakkan ke atas riba mama.
“Jangan cakap je tau. Mesti buat, malu kat Pak Ngah nanti.” Mama ternyata masih risau.
“Trust
me please, mama.” Aku mengerdipkan
mata berkali-kali dan mama tersenyum.
“Mama percaya cuma mama masih berat
hati nak lepaskan adik pergi sendiri. Selama
ni adik tak pernah pergi ke luar negara tanpa mama dengan papa.” Mama melahirkan kerisauannya. Kerisauan yang sudah kujangka sejak awal
lagi.
Inilah penyebab utama mengapa aku
tidak sanggup berterus-terang dengan mama dan papa tentang pemergianku ke
Beijing. Aku khabarkan pada mama dan
papa yang aku akan tinggal bersama-sama Pak Ngah di Beijing nanti dan aku
sendiri yang telah menguruskan segala-galanya.
Sedangkan begitu pun mama sudah risau, inikan pula jika mama tahu aku
akan berdikari di sana nanti, sudah tentu mama dan papa tidak akan
membenarkanku ke sana. Alasan yang cukup
kukuh untuk aku berselindung.
“Mama, anak mama ni dah dua puluh
tiga tahun tau. Adik pandailah jaga diri
kat sana nanti. In Sha Allah hari-hari
kita Skype ya ma, atau boleh whatsapp. Sekarang macam-macam dah ada ma, Line, Kakaotalk, Viber. Mama tak payah risaulah.” Aku cuba meyakinkan mama.
“Ibu mana yang tak risau
sayang.” Ternyata kata-kataku tadi tidak
berkesan dan kerisauan mama masih di tahap yang sama.
“Mama…” Aku sudah bangun dan tangan mama
kugenggam. “…adik tahu mama risaukan
adik tapi adik betul-betul perlukan persekitaran yang baru. Adik nak lupakan semua perkara yang berkaitan
dengan Ikhwan dan adik yakin dengan pergi jauh dari perkara yang akan buatkan
adik ingat tentang dia, In sha Allah adik boleh lupakan dia. Mama doakan adik ya?” Ujarku dengan penuh pengharapan. Mengharap mama akan faham situasiku.
“Doa mama akan sentiasa ada bersama
adik.” Perlahan-lahan mama membawa aku
ke dalam pelukannya.
………………………………………………………………………………………………………
Bagasi berwarna merah jambu sudah
hampir penuh. Semua baju sudah aku
masukkan ke dalam bagasi dan hanya tinggal tudung dan selendang sahaja. Kebiasaannya, mama yang akan membantu aku
mengemaskan pakaian apabila aku travel ke
mana-mana. Itulah yang kukatakan terlalu
bergantung kepada mama, mengemas baju juga mama yang buatkan. Kali ini aku yang menghalang mama untuk
membantuku.
Pakaian yang kubawa semuanya ringkas
sahaja dan tidak terlalu menonjol.
Biarlah aku belajar bersederhana di sana nanti. Aku juga tidak membawa alat mekap yang
banyak. Cukuplah sekadar mekap asas dan
tidak perlu membawa alat mekap yang penuh di atas meja solek. Kasut pula hanya dua pasang kubawa. Satu but dan satu lagi sneakers.
Lusa aku akan terbang ke Beijing
namun aku sengaja mengemaskan barang-barang yang hendak dibawa malam ini. Esok bolehlah aku tumpukan sepenuhnya kepada
keluargaku. Tidak perlu kelam kabut
untuk mengemas di saat-saat akhir. Enam
helai tudung dan lima helai selendang kumasukkan ke dalam bagasi dan setelah
itu bagasi kututup.
Aku meneliti keseluruhan bilik
tidurku. Pasti aku akan merindui bilik
ini. Di sana nanti, mungkin hidupku
tidak akan semewah ini namun itulah yang kuinginkan. Belajar untuk bersederhana dan tidak terlalu
dimanjakan.
Ketukan di pintu mematikan lamunan
pendekku. Aku memberi arahan masuk lalu
pintu dibuka dari luar. Mak Kiah muncul
di sebalik pintu bilikku. Aku menghadiahkan
senyuman yang cukup manis buat Mak Kiah.
Di tangan Mak Kiah ada dulang berisi mangkuk.
“Mak Kiah, stop!” Arahan tiba-tiba
daripadaku membuatkan Mak Kiah berhenti melangkah. “Biar adik teka apa ada dalam mangkuk
tu.” Senyumanku kembali meleret.
“Ishh, budak bertuah ni. Mak Kiah ingatkan apalah tadi. Ingat ada bom ke apa ke? Lemah semangat Mak Kiah.” Mak Kiah mengurut-urut dadanya. Aku ketawa mengekek melihat gelagat Mak Kiah. Padanlah diam membatu setelah aku memberi
arahan, rupa-rupanya difikirkan ada bom dalam bilik. Macam-macamlah!
“Cepatlah tekanya, takkan nak suruh
Mak Kiah jadi anak patung ‘monokuwen’.
Kalau body cantik macam Adik
tak apa lah jugak.”
Ketawaku makin kuat mendengar mannequin versi Mak Kiah. Aduhhh!
Lama aku tertawa dan Mak Kiah sudah menggeleng-gelengkan kepalanya. Perut yang terasa agak senak kupegang dengan
tangan kiri. Tawa yang sukar untuk
dimatikan, aku kini sudah bergolek ke katil.
Ketawa sampai tergolek-golek aku dibuat Mak Kiah.
“Mak Kiah..” Aku masih memegang perut dengan sisa
tawa. “Man.. ne.. qu.. in. Sebut
betul-betul Mak Kiah.”
“Alah janji ada bunyinya, betullah
tu.” Mak Kiah sudah berjalan ke arahku
dan aku tidak menghalang kali ini. “Dah
ketawanya, bangun cepat makan ni.” Mak
Kiah sudah meletakkan dulang ke meja kecil di sisi katil.
“Alah tak surprise dah.” Ujarku dengan
nada manja.
“Bangunlah tuan puteri kesayangan
Mak Kiah ni.” Mak Kiah menarik lembut
lenganku. Tuan Puteri Kesayangan, itulah
nama yang Mak Kiah gelarkan untukku sejak aku kecil lagi.
“Ya, adik bangun ni tapi…ada satu
permintaan.” Aku masih lagi
terbaring. Tangan Mak Kiah kucapai.
“Apa dia?” Mak Kiah sudah nampak kalut. Aku tersenyum melihat Mak Kiah. Lucu benar melihat gelagatnya yang mudah
panik dan kelam kabut.
“Mak Kiah kena duduk sini, suapkan
adik.” Aku bangun dan duduk bersila di
atas katil.
“Ishh, itu rupanya. Buat sasupen
je.” Mak Kiah sudah duduk di birai
katil. Kali ini aku tidak ketawa dengan
sebutan Mak Kiah yang kurang tepat.
“Apa yang Mak Kiah bawak?” Tanyaku dengan penuh rasa teruja.
“Bubur kacang hijau campur
durian.” Mak Kiah mencapai mangkuk di
atas meja.
“Waaa, sedapnya.” Aku bertepuk tangan kegirangan. “Tapi kenapa tak ada bau durian pun Mak Kiah? Dari mana dapat durian.” Hidungku sudah kembang kempis cuba membau
bubur di dalam mangkuk.
“Hidung Adik yang sumbat kut. Pak Mail yang beli petang tadi, tu yang Mak
Kiah terus buat bubur kacang. Adik kan suka
sangat bubur kacang.” Mak Kiah sudah
mula mencedok sesudu bubur kacang.
“Terima kasih, Mak Kiah. Hidung adik tersumbat?” Tanganku mula memicit hidung kemudian
kulepaskan namun tetap tiada bau.
“Eh, apa buat macam tu. Kepetlah hidung tu.”
“Nak cuba bau duriannya. Kepet tu apa Mak Kiah?”
“Kepet tu macam terpenyek.” Mak Kiah sudah menyuakan sudu ke mulutku dan
aku terus sahaja mengangakan mulut.
Selamat sesudu bubur ke dalam mulut.
Sedap!
“Mak Kiah, adik nak mintak
maaf.” Mak Kiah mengerutkan dahi
mendengar kata-kataku.
“Yang mintak maaf tiba-tiba ni
kenapa?” Mak Kiah menyuakan lagi bubur
ke mulutku dan aku menerima suapan kedua daripada Mak Kiah dengan gembira.
“Selama ni adik dah banyak susahkan
Mak Kiah. Suruh itu dan ini, suruh masak
macam-macam. Bila nak makan sesuatu
mesti cari Mak Kiah, bila nak mintak tolong kemaskan bilik cari Mak Kiah, iron baju pun Mak Kiah yang
buatkan.” Ujarku setelah menelan bubur.
“Susah apa nya? Itu semua kan kerja Mak Kiah, kerja seorang
pembantu rumah. Memang patut pun Mak Kiah
buat semua tu. Datuk, Datin dengan tuan
puteri kesayangan Mak Kiah ni dah layan Mak Kiah cukup baik, lebih daripada
baik dah. Mak Kiah bersyukur
sangat.” Mak Kiah meletakkan mangkuk
berisi bubur ke atas meja. Tanganku
dicapainya dan digenggam.
“Mak Kiah, adik tak pernah anggap
Mak Kiah macam tu. Bagi adik, Mak Kiah
dah banyak berbakti pada kami sekeluarga dan adik dah anggap Mak Kiah macam
ahli keluarga sendiri. Sejak adik umur
empat tahun, Mak Kiah dah berbakti pada kami, tak terbalas jasa Mak Kiah pada
kami.” Tiba-tiba hatiku sayu.
“Kalau nak kira bakti, mama dengan
papa jauh lebih berbakti daripada Mak Kiah.
Mama dengan papa yang dah selamatkan Mak Kiah lepas suami Mak Kiah
meninggal. Mak Kiah tak ada siapa-siapa
dah selain keluarga ni. Dapat
menghabiskan hidup Mak Kiah dengan tuan puteri kesayangan Mak Kiah ni, lagilah
Mak Kiah gembira.” Hatiku cukup tersentuh
mendengar kata-kata Mak Kiah. Air mataku
mula tumpah dan membasahi pipi bersihku.
Aku akui, sejak peristiwa pedih itu, emosiku sukar untuk dikawal dan
lebih sensitif. Mudah sangat menangis.
“Janganlah menangis, karang Mak Kiah
nangis jugak.” Mak Kiah menepuk-nepuk
bahuku.
“Adik sayang Mak Kiah tau.” Aku melentokkan kepala ke bahu Mak Kiah.
“Iya Mak Kiah tahu. Mak Kiah pun sama.” Kepalaku dibelai oleh Mak Kiah. Aku sudah mula teresak dengan sendu. “Olololo, si manja ni menangis macam bayi.” Mak Kiah mula menepuk belakangku dan aku rasa
sungguh selesa dengan keadaan ini. Pasti
aku akan sangat merindui Mak Kiah nanti.
No comments:
Post a Comment