AJCL
by ANIA MALNA
BAB 12
Aku
meneliti setiap menu yang tertera di atas kertas tebal yang dilaminate. Mujur juga disediakan gambar sekali jadi ada
juga gambaran tentang menu makanan yang disediakan di sini. Rambang mata pula aku dibuatnya melihat
pelbagai menu menarik dan yang paling penting semuanya Halal kerana ini salah
sebuah restoran Halal yang terdapat di kawasan ini. Aku tahu tentang restoran ini melalui blog
seseorang.
Mindaku
pada menu tiba-tiba teralih. Walau aku
cuba buang jauh ingatan terhadap status Facebook
Ikhwan, ia tetap jua hadir. Bila
diingat, hatiku jadi bertambah sakit dan pedih.
Tiba-tiba aku rasakan dadaku sebak dan nafasku mula turun naik. Terasa degupan jantungku selaju 180km/j. Aku jadi bimbang, adakah aku akan menangis
seperti semalam juga?
Tak
mungkin!!! Tak boleh!!! Aku di tempat
awam sekarang. Mana mungkin aku boleh
menangis sesuka hati di tempat awam.
Makan! Ya makan banyak-banyak. Bila makan tentu aku akan dapat mengalihkan
mindaku daripada teringatkan Ikhwan. Aku
menarik nafas panjang dan bersedia untuk memanggil pelayan. Tangan kulambai ke arah seorang lelaki yang
hanya memakai T-shirt putih kosong dan berseluar denim. Aku tidak dapat melihat keseluruhan wajahnya
kerana dia memakai topi. Biarlah tidak dapat
melihat wajahnya, janji dia nampak lambaianku.
Dia berjalan laju ke arahku.
“Can
I take your order?” Bahasa Inggerisnya
fasih.
Aku mengalihkan wajah ke menu di
hadapan dan tanpa suara aku hanya menunjuk menu yang aku sendiri tidak tahu
apakah ia. Sekadar menunjuk ke arah
gambar yang terdapat pada kertas menu.
Lima jenis menu kupilih dan kelihatan pelayan lelaki di hadapanku ligat
mencatit pesananku di atas kertas kecil berwarna merah jambu.
“Anything
else you want to add?” Lain macam
benar suaranya. Aik, perli aku?
“Add
this…” Jari telunjukku diketuk-ketuk
pada kertas menu. “…and this.” Jariku menunjuk
ke gambar pau berwarna hijau dan merah jambu.
Sengaja tidak mahu kalah dengan perlian halus daripada pelayan lelaki
ini.
Tanpa memandang pelayan lelaki yang
mengambil pesananku, aku terus menuang air putih yang sudah disediakan di atas
meja ke dalam gelas. Aku dapat mendengar
bunyi tapak kaki pelayan lelaki tadi pergi meninggalkanku. Pasti lama masa yang diambil untuk menyiapkan
pesananku, maklumlah banyak. Biarlah
banyak pun, aku bayar kan? Aku meraba ke
dalam beg tangan Gucci yang diletakkan di atas riba, mencari I-Phone. Tiba-tiba terasa hendak selfie. Sengaja, dah tak ada
kerja sangat.
Jari telunjuk dan jari tengahku
membentuk V. Aku tersengih memandang I-phone dan klik. Sebenarnya tiada bunyi klik pun, sengaja
hasilkan sound effect. Pose kedua, aku meletakkan jari telunjuk
ke pipi kiri. Belum tamat lagi. Pose ketiga,
aku membulatkan biji mata sambil mulut dimuncungkan. Berlagak comel tapi memang aku comel
pun. Syok sendiri.
Aku bersedia dengan pose keempat iaitu mengenyitkan mata
kiri namun belum sempat snap kedengaran
satu suara berdeham. Aku buat muka
selamba dan meletakkan I-phone ke dalam beg.
Wajahku diangkat dan pelayan lelaki tadi kini berdiri di hadapanku. Di tangannya ada pinggan yang terisi dua biji
pau. Satu berwarna hijau dan satu lagi
berwarna merah jambu.
Aku cuba mengintai wajah di sebalik
topi yang sengaja diturunkan. Bukan
ingin sangat mahu tengok wajahnya tapi manalah tahu dia sedang tersenyum dek
kerana telatahku tadi. Sengaja hendak
menyiasat. Aku hanya nampak mulut dan
hidungnya. Tiada segaris senyuman di
bibirnya, lega aku. Pinggan berisi pau
diletakkan ke atas meja dan dia terus berlalu pergi. Kali ini aku memerhatikan langkahnya, agak
laju. Dari belakang jelas kelihatan
badannya yang sasa. Ishh, apa aku
ni? Melalut sampai ke situ pulak. Astaghfirullahalazim.
Mataku dialihkan ke pau di
hadapan. Nampak menyelerakan dan sama
seperti pau di Malaysia. Mestilah sama,
bukankah pau memang asalnya dari negara China. Pau?
Hmmm, bukankah Ikhwan suka makan pau?
Aduh!!!
Rasa
sakit hati dan geram tiba-tiba bersatu.
Aku teringatkan peristiwa di hospital.
Ikhwan menuduhku sesuka hati.
Masih segar lagi di ingatanku kata-kata yang dilemparkan kepadaku. Aku mengetap bibir. Pau di dalam pinggan kutenung bagai hendak
telan. Mengapa aku memesan pau? Ikutkan hati, ingin sahaja aku tumbuk-tumbuk
pau yang masih belum diusik ini tapi mengenangkan ia makanan, tak elok dibuat
begitu.
Aku mengambil pau berwarna merah
jambu lalu didekatkan ke mulutku. Mataku
tidak berkerdip-kerdip memandang pau.
Mulut aku buka luas dan pau kumasukkan ke dalam mulut atau lebih tepat
kusumbatkan. Separuh pau selamat ke
dalam mulutku dan aku mula mengunyah perlahan.
Penuh mulutku dengan pau. Terasa
tegang kulit pipi. Entah bagaimanalah
rupaku ketika ini?
Belum sempat pau di dalam mulut
habis kutelan, aku sudah memasukkan baki pau di tangan. Besar juga mulut aku, muat masuk kesemua
pau. Dengan mulut yang penuh aku
mengunyah perlahan-lahan. Hendak kunyah
laju memang tidak boleh dek kerana tiada ruang langsung di dalam mulutku. Jika dikunyah laju, boleh mati tercekik aku.
Kunyahanku terhenti saat terdengar
suara lelaki berdeham lagi. Suara yang
sama seperti tadi. Aku mendongak dan
pelayan bertopi sedang berdiri di hadapanku dan di tangannya dulang yang penuh
dengan pesananku. Aku cepat-cepat
menutup mulut dengan kedua-dua belah tangan.
Beria tutup, padahal dia pastinya sudah nampak pipi kembungku yang
disumbat pau. Mulutku kembali mengunyah
dengan kepala sedikit ditundukkan, langsung tidak memandang pelayan bertopi
yang sedang meletakkan makanan ke atas meja.
Malu!
“Terima kasih.” Ujarku dengan mulut yang masih penuh dengan
pau, lucu benar suaraku. Eh, terima
kasih? Mana dia faham.
“Sama-sama.” Mataku membulat mendengar suara pelayan
bertopi. Aku merenung wajahnya di
sebalik topi. Tahu pula dia berbahasa
Melayu. Mungkin sudah selalu sangat
mendapat pelanggan dari Malaysia. Dia
kemudiannya berlalu pergi dan menghilang ke bahagian dalam restoran, dapur
mungkin.
Ya ALLAH, banyaknya. Di atas meja penuh dengan makanan yang
kupesan tadi. Cukup untuk makan lima
orang. Mampukah aku menghabiskannya? Itulah, tamak sangat!!!
I-phone di dalam beg aku keluarkan
semula. Kali ini aku mahu mengambil
gambar makanan yang sarat di atas meja pula.
Bimbang beria aku pose maut
sekali pelayan bertopi tadi datang semula ke mejaku. Setiap
pinggan dan mangkuk yang berisi makanan aku snap gambarnya, satu persatu.
Dan akhir sekali aku beralih pula kepada pau yang tinggal satu di dalam
pinggan.
“Kesian pau hijau, kawan kau dah
selamat masuk dalam perut aku, kejap lagi kau pulak yang aku ngap. Sebelum aku ngap, meh aku usap dan belai kau
dulu. Jangan sedih-sedih tau, aku kena
makan jugak kau sebab kau sedap.” Aku
membebel sendirian. Mentang-mentanglah
tiada yang faham. Pau di dalam pinggan
kubelai berkali-kali.
“Itu makanan, bukannya teddy bear.”
Mama! Terkejut babun aku dibuatnya. Tiba-tiba muncul suara itu dan aku tahu itu
suara pelayan lelaki bertopi tadi. Suara
serak basah yang berlemak dan sedap didengar di telinga. Suara yang begitu mudah untuk diingat walau
aku baru sahaja mendengar beberapa perkataan keluar dari mulutnya. Itu bukan menjadi persoalannya tetapi yang
menjadi persoalanku adalah… dia baru sahaja berbahasa Melayu!
Aku tidak pula garu kepala tetapi
mencubit sedikit pau hijau dan dibawa ke dalam mulut sambil mata memandang
pelayan bertopi. Cuba mengintai lagi
wajahnya dan kali ini dia menaikkan topi sedikit. Jelas terserlah sepasang mata sepet. Cina!
“Apa lagi yang awak nak
hantar?” Aku dengan selamba
bertanya. Di tangannya ada dulang berisi
mangkuk yang sederhana besar.
“Sup yang cik pesan tadi.”
Pandai pula dia bercik ya? Hebat benar Bahasa Melayunya. Belajar di mana? Aku tiba-tiba jadi busybody. Ishhh, syiuhhh,
apa ni Afrina Imani??? Sibuk hal
orang! Lantak dialah dia belajar kat
mana. Apa aku peduli, tak ada kena
mengena pun.
Sup di dalam mangkuk diletakkan di
hujung meja. Meja yang boleh memuatkan
dua orang ini penuh dengan makanan yang kupesan, mujur juga masih ada ruang
untuk mangkuk tapi besar benar mangkuknya.
Mana mungkin aku mampu menghabiskan sup di dalam mangkuk itu.
“Ada apa-apa lagi yang cik mahukan?”
Perli lagi!!! Marah namun aku tetap menggelengkan
kepala. Tiada senyuman terukir di
bibirku. Arghhh, lelaki memang
menjengkelkan.
“Kalau ada apa-apa, cik boleh
panggil saya di kaunter.” Pelayan
bertopi menghadiahkan senyuman buatku dan tangannya dihalakan ke kaunter.
Aku mengukir senyuman nipis, senyum
paksa! Dia berlalu pergi meninggalkanku
dan benar dia berada di kaunter. Tadinya
kaunter dijaga oleh seorang gadis Cina dan mungkin ini syifnya pula. Aku beralih memandang makanan di atas
meja. Baru satu pau masuk ke mulutku dan
aku rasa sudah kenyang. I-phone di
tangan kudekatkan ke pau hijau yang terusik secubit dan aku snap gambarnya.
Aku mengeluh apabila kedengaran
bunyi I-phone menandakan bateri sudah low. Aku lupa untuk mengecaj I-phone sebelum
keluar tadi. I-phone kuletakkan di
sebelah pinggan pau. Muat sempurna ruang
kecil yang tinggal untuk I-phoneku. Aku
merenung satu persatu makanan di hadapanku.
Tidak tahu mana satu yang perlu dimakan, semuanya nampak sedap dan
menyelerakan namun mampukah untuk aku habiskan kesemuanya? Macam tidak aje.
Aku
langsung tidak tahu nama kesemuanya. Aku
melilau ke meja di sebelahku yang kosong dan kelihatan ada menu di atas meja
itu. Menu itu kuambil. Selang dua meja dari meja yang kududuk, ada
dua orang wanita dan mereka tertawa sambil curi-curi memandangku. Pasti kerana makanan yang penuh di
mejaku. Suka hati akulah, aku bayar sendiri
bukannya minta duit orang .
Aku mengalihkan pandangan daripada
dua wanita itu dan beralih ke menu di hadapanku. Cuba meneliti satu persatu gambar-gambar di
dalam kertas menu untuk mencari nama menu yang kupesan. Terangguk-angguk kepalaku melihat menu. Setelah itu, aku mencuba setiap makanan yang
dipesan namun sekadar merasa. Tidak luak
langsung makanan yang kupesan.
Muatanku
benar-benar sudah penuh. Aku bersandar
pada kerusi sambil mata memandang makanan yang penuh di atas meja. Membazir?
Entah, aku langsung tidak merasa begitu kerana aku memang sudah tidak
mampu menelannya. Biarlah ia
ditinggalkan, sekurang-kurangnya aku sudah merasai kesemuanya. Aku mengangkat tangan sambil memandang
kaunter. Pelayan bertopi tadi datang ke
arahku dengan gaya jalannya yang nampak tenang.
Tidak selaju tadi.
“I
want to order this. Take away.” Ujarku setelah dia berada di hadapan
mejaku. Jari telunjukku menunjuk ke pau
di dalam pinggan.
“Okay,
tunggu sekejap ya.” Fasih benar
Bahasa Melayunya.
Aku tidak membalas dan hanya
mengangguk. Setelah itu dia berlalu
pergi dan menghilang. Maaf ya makanan,
Rina betul-betul tak larat nak makan awak semua. Jangan sedih, jangan nangis. Nanti kita jumpa lagi. Selamat tinggal. Aku sempat berdrama bersama-sama
makanan. Pau hijau kucubit lagi dan
kusuapkan ke mulut. Memang sedap
paunya. Lembut dan terasa sedikit
berlemak. Intinya pula kacang merah. Ikhwan memang suka pau kacang merah.
Ikhwan!!!! Arghhh, mengapa aku boleh teringatkan dia
lagi? Tolonglah pergi jauh! Aku jadi benci dengan diri sendiri. Sukar benar melawan perasaan ini. Aku menolak pinggan berisi pau. Jadi sakit hati pula bila melihat pau
itu. Maaflah pau, walau pau tak bersalah
tapi Rina tak boleh tengok pau lagi.
Sakit hati tau!!!
Pandangan kini dialih ke tempat
lain. Tidak mahu lagi memandang
pau. Mataku beralih ke arah pintu di
mana pelayan bertopi menghilangkan diri.
Aku percaya dia masuk ke bahagian dapur.
Sabar menunggu pau yang kupesan tadi.
Di kaunter pula sudah ada pengganti, gadis Cina yang menjaga kaunter
pada mulanya tadi. Aku sebenarnya cuba
mengalihkan perhatian daripada teringatkan Ikhwan.
Kurang lima minit setelah itu,
pelayan bertopi tadi muncul dan di tangannya ada plastik. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah
lain. Bimbang pula lain yang difikirnya
nanti. Apabila dia benar-benar berada di
hadapanku, barulah aku memandangnya kembali.
Wajahnya selamba dan tiada senyuman.
“Pau, cik.” Dia menghulurkan plastik di tangannya.
“Terima kasih.” Aku ambil tanpa sebarang senyuman dan terus
sahaja bangun dari kerusi. Mencapai beg
Gucci dan bersedia melangkah untuk membuat bayaran di kaunter.
“Cik.” Aku tidak jadi melangkah dan menoleh ke arah
pelayan bertopi. “Makanan ni
semua?” Soalannya membuatkan dahiku
berkerut.
“Kenapa?” Tanyaku dengan dahi yang masih berkerut.
“Cik nak tinggalkan saja?”
“Ya lah, tinggalkan. Kenapa tanya macam tu?” Aku membalas dengan pertanyaan juga.
“Tapi masih banyak lagi. Kalau cik nak, saya boleh bungkus. Cik bawak balik, rugi tinggalkan.”
What??? Suruh bawak balik, maksudnya tapau kesemua makanan? Hello!
Seumur hidup, aku tak pernah bungkus makanan yang tak habis dan bawak
balik. Siapa dia tiba-tiba menyuruhku? Suka-suka hati aje. Bukannya aku tak bawak balik, aku tak bayar. Aku nak bayarlah ni.
Marah
benar aku tapi tidak dizahirnkan, masih berlagak tenang. Wajah pelayan bertopi yang tinggi lampai ini
kutenung. Tidak tahu apa yang harus
dibalas sebenarnya. Mati kata-kata. Dia merenungku semula dan akhirnya aku
mengalah. Pergi terus ke kaunter tanpa
sebarang kata.
Di kaunter aku terus membuat bayaran
dan setelah itu aku laju menuju ke pintu keluar. Langsung tidak memandang pelayan bertopi
tadi. Aku sempat melirik dan dia masih
berdiri di tempat yang sama. Tidak tahu
sama ada dia memandangku atau tidak.
Biarlah, bukannya selepas ini kami akan berjumpa lagi.
………………………………………………………………………………………………………
Aku meraba-raba ke dalam beg Gucci,
mencari I-phone namun tanganku tidak pula terpegang I-phone. Kesudahnya, aku curahkan semua barang-barang
di dalam beg ke atas katil namun I-phoneku tiada. Mana pulak?
Seingatku tadi aku letakkan di dalam beg. Hilangkah?
Oh tidak!!! Aku sayangkan
nombor-nombor telefon di dalamnya.
Afrina
Imani, tolonglah ingat mana kau letak!!!
Okay, chill out, cool down and
relax. Chicalax! Jangan gelabah. Cuba ingat betul-betul bila kali terakhir aku
pegang I-phone itu. Mindaku mula
menerawang mengingat bila kali terakhir aku memegang i-phone. Tengahari tadi sebelum keluar ada lagi dan
aku bawa bersama ke restoran makanan halal. Snap gambar
makanan dan akhir sekali. Ya itu kali
terakhir aku memegang I-phone.
Tertinggal di restoran itu???
Aku kurang yakin. Entah-entah tercicir di mana-mana atau
dicuri? Tak mungkin juga. Aku memang memegang begku sebaik mungkin dan
begku dihalakan ke hadapan. Bermakna,
memang aku tertinggal i-phone di restoran tadi.
Aku melihat jam di tangan, sudah pukul 10.00 malam waktu tempatan China. Mana mungkin aku keluar lagi untuk ke restoran
itu. Bermakna esok aku harus ke
sana? Harap-harap pelayan bertopi tiada
esok. Tak kuasa tengok muka dia. Tiba-tiba aje rasa meluat. Betul fakta aku, lelaki memang menjengkelkan!
………………………………………………………………………………………………………
Seawal jam 9 pagi aku sudah keluar
dari hotel. Terus sahaja menaiki teksi
ke restoran halal semalam. Harap-harap i-phone
benar-benar tertinggal di situ. Jika
tidak, susahlah aku. Hendak mendapatkan
nombor-nombor yang kusimpan satu hal, hendak tunggu pulang ke Malaysia untuk
mengaktifkan semula nombor lagi satu hal sedangkan aku tidak tahu bila aku akan
pulang ke Malaysia. Yang pasti setelah
hari pernikahan dia! Cuma tidak tetapkan
tarikhnya lagi.
Aku leka berangan sewaktu di dalam
teksi. Sedar tidak sedar, teksi sudah
tiba di hadapan restoran halal semalam.
Setelah membayar tambang teksi, aku terus keluar dan menapak ke restoran. Aku sempat melihat papan tanda kedai. Tulisannya berwarna merah dan
berlatarbelakangkan warna putih. Ada
tulisan Cina, Romanji dan Jawi. Nama
restoran ini ialah ‘Love Treat’. Ada tanda
halal pada papan tandanya. Nama restoran,
soooo sweet tapi pekerjanya langsung
tidak.
Aku melangkah mendekat ke pintu Love
Treat dan ada tanda open pada
pintu. Fuhhh! Aku menarik nafas lega. Perlahan-lahan pintu restoran kutolak dan
kelihatan beberapa meja sudah diduduki oleh pelanggan. Hebat juga Love Treat, pagi-pagi begini sudah
ramai pelanggan. Aku sempat memuji di
dalam hati. Mataku menghala pula ke
kaunter sambil kaki melangkah menuju ke kaunter. Tiada sesiapa di kaunter.
Mana orangnya? Takkanlah dibiarkan kaunter tanpa dijaga oleh
sesiapa, nanti pelanggan hendak buat bayaran?
Baru puji, sekarang kutuk pulak.
Maaflah, aku memang jujur. Aku
kini sudah berdiri betul-betul di hadapan kaunter. Menunggu dengan tidak berapa sabar. Iyalah mahu cepat bertanyakan I-phoneku.
Hampir hendak terkeluar biji mataku
saat seseorang muncul secara tiba-tiba dihadapan mataku. Aku memegang dada, berdegup kencang, bererti
aku benar-benar terkejut. Dia juga
nampak sedikit terkejut pada mulanya namun dia menutupnya dengan berlagak tenang. Mungkin tadinya dia mengambil sesuatu dan
menunduk jadi aku tidak dapat melihatnya.
Bila dia bangun berdiri semula, itu yang membuatkanku terkejut babun.
Wajah lelaki yang muncul tiba-tiba
ini aku amati seketika. Macam pernah
kulihat tapi di mana ya? Dia juga
seperti merenungku, adakah dia juga berperasaan yang sama? Aku sudah ingat!!! Dia lelaki yang melanggarku ketika di Beijing Capital Airport. Aku masih ingat lagi raut wajahnya. Aku berkalih seketika dan kembali memandang
wajahnya. Sekali tengok seperti Melayu,
bila tengok dua kali macam muka Cina, tengok semula macam Cina juga. Pasti Cina, mungkin mataku sahaja yang
tersalah pandang mukanya ala-ala Melayu.
“Cari telefon?”
Suara itu! Aku kenal!
Itu suara pelayan bertopi semalam.
Aku ingat benar suara itu. Unik
dan seksi pula bila didengar di pagi hari.
Tapi, lelaki yang berdiri di hadapanku ini ialah lelaki yang melanggarku
sewaktu aku mula-mula sampai di Beijing.
Lelaki yang sama dengan lelaki bertopi semalam tapi lelaki di hadapanku
tidak memakai topi. Apakah!!! Aku jadi bingung pula dibuatnya.
“Cik, telefon cik ada di dalam. Saya ambikkan.”
Lamunanku mati tatkala mendengar
suaranya lagi. Aku yakin ini memang
pelayan bertopi semalam. Jadi benarlah,
orang yang sama. Faktaku tepat, lelaki
di hadapanku ini memang seorang yang menjengkelkan kerana dia lelaki yang
melanggarku dan dia jugalah pelayan bertopi semalam. Wajahnya kuamati lagi. Aku fokus kepada matanya. Mata sepet yang bundar. Semalam aku hanya dapat melihat mata ini
sekejap sahaja ketika dia menaikkan sedikit topinya.
“Cik.” Petikan jarinya membuatkan lamunanku yang
kedua terhenti.
“Umar…”
Satu suara wanita membuatkanku
berpaling ke kiri kerana datangnya dari arah kiriku. Lelaki di hadapanku juga berpaling ke arah
suara itu. Seorang wanita separuh abad
sedang berjalan menuju kaunter. Wajahnya
Melayu tulen. Melayukah? Siapa Umar?
“Ya, mama.” Lelaki di hadapanku menjawab dengan cukup
lembut dan sopan.
Jadi lelaki di hadapanku ini namanya
Umar dan bermakna dia seorang Muslim?
Wanita Melayu ini pula ibunya?
Tapi wajah mereka langsung tidak sama?
Wanita ini matanya besar dan bulat.
Hidungnya kecil dan mancung.
Keningnya juga nipis. Tidak
mungkin ibunya, sedangkan lelaki ini, hidungnya besar, mata sepet, kening pula
lebat dan bibirnya agak nipis. Lain
benar mereka berdua. Jadi anak
angkat? Aku mula membuat andaian
sendiri. Menganalisa tanpa suara.
“Dari Malaysia?” Soalan daripada wanita yang sudah berdiri di
hadapanku ini tentunya ditujukan buatku.
Fasih benar Bahasa Melayunya, bermakna memang wanita ini Melayu.
“Ya.” Jawabku pendek sambil mengangguk
perlahan. Aku mengukir senyuman, sekadar
sebagai tanda bersopan dan menghormati orang yang lebih tua.
“Auntie
orang Malaysia. Boleh panggil Auntie Salina. Sorang je?”
Ramah sekali wanita yang ingin dipanggil Auntie Salina ini.
“Saya sorang je. Memang datang Beijing sendiri.” Jawabku dengan jujur.
“Oh ya ke? Bagusnya, berdikari. Auntie suka
orang macam kamu, badan kecil tapi berjiwa besar, berani datang bercuti sorang
dan pandai jaga diri di tempat orang.”
Pujian Auntie Salina bagiku
kurang tepat. Terasa diri kurang layak
menerima pujian itu.
Jika aku benar-benar berjiwa besar,
tidak mungkin aku kini berada di Beijing dan tentunya aku dapat menghadapi
tragedi yang berlaku diantaraku dengan Ikhwan.
Kerana jiwaku kecillah aku membawa diri sendirian hingga ke
Beijing. Mahu sahaja aku meluahkannya
namun tidak mampu.
“Maaflah nak, Auntie ni gembira sangat bila jumpa orang Malaysia. Maaflah kalau anak macam tak selesa.” Suara Auntie
Salina berbunyi tenang namun aku tetap rasa bersalah. Dia menghadiahkan senyuman buatku. Pasti dia tersalah anggap kerana aku
tiba-tiba diam dan tidak memberi sebarang reaksi.
“Eh taklah Auntie. Saya pun gembira
dapat jumpa dengan Auntie. Saya Afrina Imani, panggil Rina je. Restoran ni Auntie punya ya?” Aku mula
bersikap ramah.
“Ya Rina. Oh ya, kenalkan ini Umar…” Auntie
Salina berpaling ke kaunter. “Eh
mana pulak dia?” Auntie Salina kembali memandangku.
Entah bila dia menghilangkan diri, aku dan Auntie Salina tidak sedar.
Dia memang hebat, boleh muncul dan hilang bila-bila masa.
“Marilah duduk dulu, order sesuatu ya?” Pelawaan Auntie
Salina terlalu sukar untuk ditolak.
Ikutkan hati, aku ke sini hanya untuk menanyakan I-phone tapi terasa
tidak sopan jika aku menolak pelawaan Auntie
Salina.
“Terima kasih, Auntie.” Aku tidak tahu apa
yang patut dibalas dan kesudahnya aku ucapkan terima kasih.
“Duduk ya, Auntie kena masuk ke dapur dulu.”
Kata-kata Auntie Salina
kubalas dengan anggukan. Dia
meninggalkanku dan masuk ke dapur.
Aku menuju ke meja yang kupilih
semalam. Menarik kerusi dan terus sahaja
duduk. Auntie Salina menyuruhku memesan sesuatu namun aku tidak rasa
hendak makan. Perutku masih kenyang
kerana bersarapan di hotel tadi. I-phone! Aku hampir terlupa i-phone. Umar!
Di mana dia? Dia pergi mengambil
i-phone? Ishhh, mengapa aku merasa dia
begitu menjengkelkan?
Online Casinos | Best Baccarat Sites & Bonuses 2021
ReplyDeleteLearn all about งานออนไลน์ online casinos febcasino and learn the best online casino bonuses you can claim for free from most sites! Roulette, kadangpintar Sic Bo, and craps, plus more.