My Sweetie Readers

Thursday 20 March 2014

AKU JATUH CINTA LAGI (BAB 13)


AJCL

by ANIA MALNA



BAB 13

            “I-phone awak.” 
            Terkejut babun aku dibuatnya.  Sekurang-kurangnya bagilah salam dahulu, ini tidak, terus macam menyergah.  Siapa tidak terperanjat.  Ishhh!  Tumbuk karang baru tahu!  Kertas menu kuletak semula ke atas meja.  Ralit meneliti menu hingga tidak sedar Umar sudah berada di hadapanku.  Tangannya menghulurkan I-phone.  I-phone kini beralih tangan dan aku mula membeleknya.  Sama seperti semalam, tiada calar atau apa-apa dan i-phoneku sudah kehabisan bateri.
            “Terima kasih.”  Aku mengukir senyuman nipis.  Cuba berbudi bahasa.  Orang sudah menolong.
            “Sama-sama, telefon awak tertinggal atas meja semalam.”  Tidak kutanya namun Umar tetap memberi penjelasan.  Aku hanya mengangguk sambil mulutku membentuk ‘O’.
            Umar mula berpaling, seperti hendak meninggalkanku dan aku hanya membiarkan sahaja.  Dia terus berlalu ke kaunter.  Aku mengambil semula kertas menu.  Mungkin ada sesuatu yang boleh aku makan, sekadar menjaga hati Auntie Salina.  Takkanlah pergi begitu sahaja tanpa memesan apa-apa.  Semua makanan nampak berat dan aku yakin perutku tidak mampu menerimanya.  Aku meneliti kesemua menu yang tertera.  Mencari menu yang paling ringkas dan tidak terlalu berat.
            “Awak nak makan sini ke?”
            Menu ditangan tercampak.  Dada kuurut perlahan sambil mata memandang pemilik suara tadi.  Hilang separuh semangatku.  Dia memang suka muncul sesuka hati, suka buatkan orang terperanjat, suka bertanya sesedap rasa.  Eiii, geram!!!
            “Yalah, kenapa?  Tak boleh ke?”  Aku merenung Umar, penuh makna.
            “Bukan tak boleh tapi…..”  Umar tersenyum, susah benar melihat senyumannya.  Tangannya didekatkan kepadaku dan dia menarik kertas menu di tanganku.  Mataku mula membulat.  Eh apa kena dia ni?
            “Jangan pesan banyak-banyak, nanti tak habis membazir macam semalam.  Makan pau je.  Biar saya ambilkan untuk awak.”  Senyuman di wajah Umar sudah hilang dan nadanya tegas sekali.  Aku pula sudah mula panas hati.
            Hello!!!  Siapa kau nak tentukan apa yang aku nak makan!  Suka hati akulah!  Aku bayar!  Bukannya mintak duit kau satu sen pun!  Tak pernah dibuat orang, pergi restoran, pekerjanya larang pengunjung pesan makanan!  Biul ke kau ni!  Karang aku report mama kau baru tahu!  Menjatuhkan bisnes mama sediri.
            Alangkah bagusnya jika aku boleh luahkan semua itu kepadanya namun tentulah ia hanya berlegar di minda dan fikiran.  Tidak mampu untuk diluahkan.  Seteruk-teruk aku pun, masih tahu menjaga adab dan tingkah laku.
            “Encik Umar, salah ke saya pesan apa yang saya nak?”  Aku masih cuba berlapik.
            “Tak salah tapi salah bila tak habis, membazir tu sahabat syaitan.  Kalau pun banyak duit tapi tetap tak boleh amalkan sikap buruk tu.  Kesian mak ayah penat-penat cari duit untuk cik.”
            Perghhh!  Memang sentap dengar.  Terus masuk ke telinga dan laju ke jantung.  Aku terdiam, mati kata-kata.   Tidak mampu menyangkal kata-katanya tapi mana dia tahu aku memang gunakan duit mama dan papa sepenuhnya?  Penat?  Mama dan papa tidak pernah mengadu penat.  Dia pula yang lebih-lebih sedangkan dia langsung tidak tahu siapa mama dan papaku.  Terasa meter menyampahku terhadapnya semakin meninggi.  Aku mula mengetap bibir.
            “Kalau rasa nak marah, jangan pendam dan luahkan.  Kalau rasa apa yang saya cakap tu salah, berdebatlah dengan saya.”  Kata-kata Umar membuatkanku berhenti mengetap bibir.  Nampak aje dia aku ketap bibir.


            Bahasa Melayunya, amboi hebat benar.  Tinggal di Beijing tapi Bahasa Melayu tahap sasterawan.  Hairan namun hairan bukan topik penting dan apa yang lebih penting adalah kenapa dia tiba-tiba sibukkan hal aku.  Beria bagi nasihat bagai.  Siapa dia?  Baru kenal semalam sudah berlagak dengan aku.
            “Encik Umar, baik awak masuk dan bawakkan pau saya.  Boleh?”  Aku ukir senyuman paksa.
            Lebih baik awak cepat-cepat masuk sebab makin lama saya tengok muka awak ni, saya rasa macam meluat sangatttttttt.  Ini sebenarnya yang aku hendak katakan namun hanya terlekat di kerongkong.  Tidak mampu atau lebih tepat tidak boleh diluahkan.  Hati dan suara bergabung mengatakan tidak boleh kuluahkan.
            “Baik cik.  Oh ya, terima kasih sebab ingat nama saya.  Awak dengar masa mama saya panggil tadi kan?”  Soalan Umar hanya kubalas dengan anggukan.  Cepatlah pergi masuk!!!  Jerit hatiku.
            Setelah itu Umar berlalu pergi dan kertas menu dibawanya sekali.  Bimbang sangat aku memesan makanan gamaknya.  Teruk!  Aku mula melilau ke sekitar restoran.  Rekaan dalamannya ringkas dan menarik.  Dinding berwarna biru lembut cukup menenangkan.  Di setiap sudut restoran pula diletakkan pasu besar bercorak bunga dan di dinding pula digantung dengan pelbagai gambar tempat-tempat menarik di Beijing.  Aku tahu kerana hampir kesemua tempat itu telah kulawati.  Mataku berhenti melilau tatkala melihat Umar datang ke arahku.
            “Kenapa pau yang berbungkus?  Saya nak makan kat sini!”  Nadaku separuh menjerit.
            “Apa masalahnya, awak ambik pau ni dan suap dalam mulut.”  Jawapan yang cukup selamba daripada Umar.  Aku tambah geram.
            “Saya nak yang dalam pinggan!”  Hatiku bertambah panas.
            “Dalam pinggan pun tetap sama, awak akan suap dalam mulut jugak.  Lagipun, bila saya letak dalam pinggan.  Awak akan makan satu je dan lagi satu pau awak akan tinggalkan.”  Suara Umar cukup tegas dan langsung tiada senyuman.
            “Awak ni kenapa?”  Suaraku sudah mula tinggi.  “Sibuk-sibuk hal saya kenapa?  Suka hati sayalah, saya bayar kan.  Duit saya, satu sen pun saya tak mintak duit awak.  Awak tak ada hak nak bising-bising pasal saya.  Lagi satu, kalau awak tak suka sangat saya datang makan kat restoran mama awak ni, cakap je.  Lepas ni saya tak datang dah.”
            Ambik kau!  Habis semuanya terhambur.  Sudah tidak dapat dibendung lagi.  Pada mulanya aku memang cuba melindungkan hatiku yang sudah membara namun tidak dapat dikawal.  Biar dia rasakan, ingat sesuka hati aje nak usik aku.  Cukup-cukuplah apa yang Ikhwan sudah lakukan padaku, aku tidak mahu mana-mana lagi lelaki mengganggu dan menyakiti hatiku walau untuk hal seperti sekarang.  Aku mahu hidupku tenang tanpa dikacau oleh sesiapa dan lelaki yang berdiri dihadapanku ini telah merosakkan ketenanganku.  Siapa yang tidak sakit hati.  Aku tidak mencari fasal langsung dengannya.
            “Akhirnya awak luahkan jugak apa yang awak pendamkan tadi.”  Umar mengakhiri kata-katanya dengan senyuman dan setelah itu dia ketawa.
            Gila!!!  Aku terus bangun, malas mahu melayannya.  Auntie Salina?  Biarlah!  Sakit jiwa aku melayan anak lelakinya yang sewel agaknya.  Yang aku tahu sekarang ini juga aku mahu terus ke kaunter untuk membuat bayaran dan setelah itu aku mahu terus keluar dari Love Treat.  Tidak mahu lagi ke sini dan berhadapan dengan si Umar yang biul!
            Dengan langkah yang cukup laju, aku tiba di kaunter dalam sekelip mata namun tiada sesiapa berada di kaunter.  Kenapalah saat-saat begini tiada orang di kaunter.  Karang aku lari terus baru tahu.  Cepatlah!
            Umar muncul di hadapanku.  Entah bila dia masuk ke kaunter, aku tidak tahu.  Kenapa mesti dia?  Auntie Salina memang tidak mengupah pekerja lain ke?  Jaga kaunter si Umar, ambil pesanan si Umar, hantar makanan si Umar.  Disebabkan semua kerja itu dilakukan oleh Umarlah aku tambah meluat melihat mukanya.  Kalau tidak mengacau orang aku tak kisah pun.  Ini tidak, dia kacau juga aku!
            “Ehem, awak nak bayar ke tidak?  Dah puas pandang muka saya macam nak telan tu?”  Teguran Umar memarakkan api marahku. 
            Aku meraba beg tangan Gucci di sisi dan tiada.  Mana pulak beg tadi?  Seingatku, semasa aku masuk ke restorAn beg itu masih ada bersamaku.  Tidak mungkin ia tercicir di mana-mana.  Mungkin aku tertinggal di atas meja.  Aku berpaling dan melihat ke atas meja yang kududuk tadi.  Tiada!
            “Cari ni ke?”  Suara Umar mengalihkan pandanganku.  Aku kembali memandang Umar dan dia kini mengangkat tinggi tangannya.  Begku pula ada di tangannya.
            Aku cuba mencapai begku namun tidak sampai.  Aku terlalu rendah jika dibandingkan dengannya.  Mungkin ketinggiannya lebih 180cm dan aku pula hanyalah 150cm.  Wajahku sudah masam kelat dek perangai Umar.  Aku tidak suka dipermain-mainkan sebegini!!!  Eiii, geramnya!  Rasa macam nak cekik-cekik je si Umar ni!
            “Ambillah, kenapa awak tak ambik?”  Kata-kata Umar membuatkanku bertambah sakit hati. 
            Tanganku yang diangkat tinggi kuturunkan.  Aku membetulkan selendangku.  Tidak mahu kalah dan mengaku kalah.  Aku tidak suka nampak lemah di hadapan orang.  Jika Umar menganggap aku akan memintanya memberikan beg itu kepadaku, sama sekali tidak.  Dia sendiri yang mulakan jadi biarlah dia tamatkan sendiri.  Aku mahu tengok sampai bila dia mahu terus dalam keadaan begini.  Mengangkat tinggi tangan dengan begku di tangannya.  Nampak seperti orang putus wayar. 
            “Umar, apa yang Umar buat?”  Suara Auntie Salina.  Padan muka kau Umar!!!  Aku bersorak di dalam hati.  Yihii!!!
            Umar menjawab pertanyaan Auntie Salina dalam bahasa Mandarin.  Aku sudah tentulah tidak faham walau sepatah kata.  Mengumpat akulah tu, sebab tu cakap Mandarin.  Lantaklah kau Umar, aku sebesar kuman pun tak rugi kau kutuk aku depan mama kau.
            “Iyalah, tapi janganlah sampai buat macam tu.  Kesian Rina, bagi beg tu pada Rina.”  Tegas sekali arahan Auntie Salina dan ternyata Umar cukup patuh.  Dia menurunkan tangan dan menghulurkan beg kepadaku.
            “Apa anak Auntie cakap tadi?”  Sifat ingin tahuku tidak dapat ditahan.  Badanku sudah dipusingkan 90 darjah untuk menghadap Auntie Salina.  Malas pedulikan si Umar.
            “Tak ada apa, Umar cuma cerita tentang semalam, Rina datang makan di sini.  Tentang telefon dan beg yang tertinggal.”  Auntie Salina memberi penjelasan.  Dia kemudiannya mengukir senyuman.  Auntie Salina sememangnya sangat murah dengan senyuman, tidak seperti anaknya.
            “Oh, panjang lebar benar ayat dia ya, Auntie?  Rina ingat dia mengumpat Rina.”  Kataku dengan jujur.  Aku kini membahasakan namaku sendiri.
            “Ishhh, mana ada mengumpat.  Rina dah nak balik ke?”  Auntie Salina memegang bahuku dengan lembut. 
            “Ya Auntie tapi beg.”  Aku menjuihkan bibir ke Umar.  Begku sudah diletakkan ke kaunter.
            “Maaflah Rina, Umar ni perangai dia unpredict sikit.” 
            Betul sangat!!!  Auntie Salina memang sangat memahami anaknya.  Aku yang baru kenal dia dua hari pun sudah buat kesimpulan yang sama.  Mana tidaknya, kejap macam nak marah orang, kejap pulak bergurau tak bertempat, lepas tu bersyarah tak tentu pasal, kejap lagi serius macam nak telan orang.  Banyak benar perangai dia.  Macam sesumpah, boleh bertukar wajah.  Pelik dan merimaskan, menjengkelkan, menyusahkan, merunsingkan!!!  Semua yang negatif. 
            Tidak seperti Ikhwan.  Bagiku Ikhwan lelaki yang terlalu sempurna di mataku, hampir menjadi suamiku namun….  Terasa tiba-tiba hatiku tersiat, raut wajahku mula berubah keruh.  Mengapa dalam keadaan begini aku boleh teringatkan dia?  Tidak seharusnya nama itu berada di mindaku.  Afrina Imani, kau kena tolong diri kau sendiri!!!  Tolong bawa pergi perasaan dan ingatan kau terhadap Ikhwan Hafizi.
            Sudah hampir empat bulan aku tidak bertemu dengannya.  Waktu itu terasa terlalu lama dan ada satu perasaan sebenarnya.  Perasaan yang aku cuba sembunyikan.  Perasaan yang aku ingin buang jauh.  Perasaan yang terlalu sukar untuk kubendung.  Perasaan rindu.  Iya rindu kepadanya.  Rindu kepada lelaki yang bakal menjadi suami orang lain.  Tentu sekali salah namun aku tidak kuat untuk menghilangkan kerinduan ini.  Dia datang sendiri.
            Rasa cintaku terhadap Ikhwan masih lagi kuat, tidak terluak walau sedikit.  Sukar sekali untuk membunuh rasa ini.  Rasa yang dulunya membuatkanku bahagia, menceriakan hari-hariku, melahirkan tawa dan senyumku namun kini tidak lagi.  Rasa ini seperti satu bentuk penyeksaan buat hatiku.  Sakit dan pedihnya tiada siapa yang tahu kerana aku yang menanggunggnya.
            Masa akan menjadi penentu segalanya.  Masa juga akan membuatkanku lupa akan Ikhwan namun berapa lamakah masa yang aku perlukan.  Setahun, dua, tiga atau berapa lama lagi?  Bagaimana mungkin aku menghadapi hari-hariku dengan adanya perasaan cinta terhadap lelaki yang bukan milikku itu sedangkan ia salah sama sekali.  Berilah aku kekuatan dan petunjuk Ya ALLAH.
            Dadaku tiba-tiba merasa sebak dan bagai ditekan-tekan.  Menanggung perasaan ini adalah sesuatu yang sangat berat.  Badanku terasa panas walau keadaan restoran agak dingin.  Entah mengapa, aku jadi lemah saat ini.  Terasa kakiku juga lemah.  Ikhwan Hafizi, tolonglah pergi!!!  Aku hanya mampu menjerit di dalam hati.
            “Rina, Rina…”  Panggilan Auntie Salina menyedarkanku daripada lamunan yang agak panjang.  Bahuku digoncangnya.  Aku tersentak. 
            Wajah Auntie Salina kutenung.  Dahinya berkerut-kerut dan ada kerisauan pada wajahnya.  Dia merenungku dalam.  Mungkinkah dia perasan perubahan pada wajahku?  Salah aku juga, tidak mampu menahan perasaan.  Dalam keadaan begini, boleh pula aku teringatkan perkara-perkara begitu.  Terlalai jauh hingga terasa hanya ada aku seorang di sini, sedangkan begitu ramai orang di dalam Love Treat.
            “Rina okay ke?  Kenapa ni?  Rina sakit?”  Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Auntie Salina.
            “Rina okay Auntie.  Auntie, Rina mintak diri dulu ya?”  Aku cepat-cepat mahu pulang.  Bimbang akan terhanyut lagi seperti tadi.  Tidak mahu membuatkan Auntie Salina tertanya-tanya lagi.  Hal ini terlalu peribadi untuk dikongsikan dengan orang yang baru kukenali.
            “Betul ni Rina tak apa-apa?”  Auntie Salina mahukan kepastian juga.
            “Betul.”  Aku laju mengangguk.  Beg tangan di atas kaunter kuambil tanpa memandang wajah Umar.
            “Nanti datanglah lagi, Rina.  Jaga diri, jalan baik-baik.”  Pesanan yang penuh dengan perhatian.
            “In sha Allah Rina datang lagi nanti.  Rina pergi dulu, Auntie.”  Aku tidak sampai hati untuk menolaknya dan seperti memberi harapan buat Auntie Salina.
            “Yalah.  Terima kasih sudi datang.”  Auntie Salina menghadiahkan senyuman yang cukup manis buatku.  Tangan kuhulur untuk bersalam dengan Auntie Salina.  Tangannya kukucup.
            Setelah itu aku terus berpaling dan melangkah keluar dari Love Treat.  Saat keluar aku dapat melihat salji sedang turun.  Cukup indah sekali salji yang putih gugur ke bumi Beijing.  Aku berjalan perlahan melewati deretan kedai sambil menyaksikan pemandangan indah salji turun.  Kali pertama salji turun sejak aku tiba di Beijing.
            Musim luruh telah berlalu dan kini musim sejuk menjengah pula.  Alangkah bagusnya jika cintaku terhadap Ikhwan gugur seperti dedaun gugur ke bumi.  Jika begitu mudah, tentu aku sudah dapat melupakannya.  Jika tidak seperti dedaun gugur, kuharap cinta ini akan membeku seperti salji yang turun dari langit.  Beku dan setelah itu cair menghilang.  Aku berharap ia begitu namun ternyata sukar.
            Aku menadah tangan kiri ke langit.  Salji mula jatuh ke tanganku yang tersarung dengan sarung tangan tebal.  Masya Allah, sungguh indah sekali ciptaan Allah.  Butir-butir salji yang halus dan sekecil-kecilnya juga mampu membuatkan kita terpesona dengannya.  Aku ralit memerhatikan salji yang mula memenuhi tapak tanganku.  Setelah hampir penuh tanganku, aku mengepal salji itu dan terbentuknya satu bola kecil.
            Aku membawa bola salji dekat dengan wajahku dan kuletakkan ke hujung hidung.  Sejuk.  Aku tersenyum sendirian.  Kemudian kuletakkan pula ke pipi kiri.  Sejuk.  Aku senyum lagi.  Aku letakkan pula ke pipi kanan.  Sejuknya bagai menggigit kulit namun terasa seronok pula berbuat demikian.  Cara menghiburkan hati yang baru kureka.  Minta-minta salji akan turun lama dan akan menukarkan tanah Beijing kepada warna putih.  Pastinya cukup indah menjadi sajian mata.
            Kali terakhir aku melihat salji adalah dua tahun lepas.  Ketika itu mama dan papa membawaku bercuti ke London.  Pada masa itu, aku cukup seronok dapat bermain salji dan membuat orang salji bersama mama dan papa. 
            Mama, papa.  Aku sesungguhnya sangat merindui dua insan yang amat kusayang itu.  Walau setiap malam aku dapat melihat wajah mama dan papa ketika berskype dengan mereka, itu belum cukup untuk mengubat kerinduan ini.  Rinduku terlalu mendalam namun aku perlu kuat mengharunginya.  Aku tidak boleh lemah!
            Kakiku berhenti melangkah apabila tiba di hentian bas dan teksi.  Ada beberapa buah teksi sedang menunggu di situ dan aku terus sahaja menuju ke teksi yang berada di hadapan sekali.  Aku tidak berniat untuk ke mana-mana dan mahu terus pulang ke Emperor Hotel.  Hatiku saat ini terasa begitu sepi dan pilu.  Biarlah aku berehat sahaja.  Sesampainya di hotel, aku terus tidur dan bangun setelah tiga jam menjadi Sleeping Beauty.
           

2 comments:

  1. Assalamualaikum, suka sgt dgn smua novel akak. Pling suka beijing, aku suka dia! Novel akak lain drpd yg lain. Ad terapkan hadis dkt situ. Its like 2 in 1. Bila ad kisah cinta ad jgk hadis , ayat al-quran dkt situ. Dan yg pling best hdis and ayat al-quran tu ad bgi iktibar dkt saya. Buat bnyk novel lgi. Hope akak buat novel yg bnyk2 hahaa. Oh dan knapa smua hero nma dia msti ad nma 'yusuf' dkt blkg. Mcm CTDK Adam Yusuf. BACD Umar Yusuf.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumusalam, Thank you soo much dear sebab sukakan hasil tulisan akak.... It means a lot dear... sangat2 menghargainya... teruskan sokongan ya...dan doakan akan ada yang ke-3 dan seterusnya....

      Delete