AJCL
by ANIA MALNA
BAB 11
Hari
kedua di Beijing, aku habiskan dengan melawat Forbidden City. Salah satu
tempat menarik yang harus dilawati jika ke Beijing. Ia merupakan kawasan istana yang sangat luas
dan menjadi tumpuan para pengunjung dari dalam dan juga luar. Penghujung musim luruh mungkin menjadi masa
yang sangat sesuai untuk para pengunjung berjalan-jalan di Forbidden City sebelum masuknya musim sejuk.
Dengan
menggunakan peta versi Bahasa Inggeris, aku berjalan-jalan di dalam kawasan
istana yang sangat popular ini. Tidak
cukup rasanya sehari berjalan-jalan di sini kerana faktor kawasannya yang
sangat luas. Beberapa struktur binaan
lama yang masih dikekalkan cukup menarik hatiku. Aku mengambil gambar menggunakan
i-phone. Sesekali aku juga selfie dengan berlatarbelakangkan
pemandangan yang cukup indah.
Aku
pulang semula ke hotel kira-kira jam 3.00 petang waktu tempatan. Walau aku tidak dapat melawat keseluruhan Forbidden City, aku harus mengalah
kerana kakiku sudah lenguh. Hari ketiga
aku ke Shichahai (Shíchàhǎi)
yang terletak di barat laut Forbidden
City.
Shichahai terdiri
daripada tiga buah tasik iaitu Qianhai (Front Lake), Houhai (Rear Lake)
and Xihai (West Lake). Ia merupakan tempat yang sangat popular
dengan pemandangannya yang sangat indah.
Kawasan ini dipenuhi dengan restoran dan bar. Restorannya bercirikan santai bagiku kerana
mejanya diletakkan di luar dan pengunjung boleh menikmati pemandangan sambil
menikmati hidangan.
Terasa amat selesa dan damai dapat berjalan
dengan ditemani angin musim luruh yang dingin menepuk lembut wajahku. Mujur juga aku memilih untuk memakai winter coat berbanding jaket tebal
kerana terasa suhu pada hari ini lebih rendah.
Sesekali i-phone aku keluarkan dari beg Gucci untuk mengabadikan
pemandangan yang
cukup
indah ini. Dedaunan yangberwarna
keemasan ternyata bagaikan hiasan yang cukup indah untuk menjamu mataku. Aku habiskan lebih banyak masa di Xihai sambil membaca buku yang
dihadiahkan oleh papa iaitu ‘Penawar Duka, Pengubat Sengsara’ hasil tulisan
Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Buku ini sudah kuulang baca beberapa kali. Isinya sangat bagus dan aku dapat belajar
sesuatu yang baru daripada buku ini.
Hari-hari
yang seterusnya, aku ke Tian’anmen
Square, Jingshan Park, Wangfujing Street, Tembok Besar Cina dan pelbagai
lagi tempat-tempat menarik yang lain.
Semuanya aku lihat di laman web trip
advisor. Laman ini sangat berguna
buat mereka yang ingin bercuti ke luar negara tanpa menggunakan ejen perlancongan. Aku gunakan perkhidmatan kereta sewa beserta
pemandu untuk ke beberapa buah tempat kerana kedudukannya yang jauh dari hotel.
Setelah
dua minggu aku berjalan sakan di Beijing, akhirnya aku hilang punca. Tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan
kerana hampir kesemua tempat yang menjadi tarikan utama di Beijing sudah
kulawati. Kesudahnya, aku hanya terperap
di bilik hotel. Hari-hariku dihabiskan berskype dengan mama dan papa yang merupakan
rutin harianku sejak berada di Beijing.
Juga tidak ketinggalan, aku juga berskype dengan Fika, Sara dan Kak Nadia.
Di
malam hari pula aku habiskan masa dengan beribadat kepada ALLAH. Di mana jua kita berada, ingatan kita kepada
ALLAH harus kukuh dan tidak goyah. Aku
banyakkan berzikir, membaca al-Quran dan mendirikan solat-solat sunat. Walau aku terlalu banyak kekurangan dalam
ilmu agama, mama dan papa sudah memberikan didikan dan pendedahan dalam hal
yang sangat penting ini dan aku tidak mensia-siakan pendedahan yang diberikan
oleh mama dan papa.
Genap
seminggu aku terkepam di bilik hotel, aku mula merasa sesak nafas. Mana tidaknya, pusing kiri pusing kanan hanya
nampak dinding. Terasa bagai di dalam
penjara. Aku tidak boleh terus-terusan
duduk sahaja di hotel. Pulang ke
Malaysia? Entahlah, aku masih belum
fikirkannya. Kesudahnya aku membuat keputusan
untuk ke pusat-pusat membeli belah yang terkenal di Beijing. The
Malls at Oriental Plaza, Shin Kong Place, Beijing Yintai Center, The Place,
Sanlitun Village dan Xidan Joy City
semuanya aku lawati dalam masa empat hari.
Aku tidak membeli apa-apa, sekadar window
shopping. Setidak-tidaknya dapat
juga aku hilangkan kebosanan yang sudah sampai tahap Gunung Everest.
………………………………………………………………………………………………
“Assalamualaikum
mama, papa.” Aku tersenyum riang.
Mama
dan papa juga tidak lepas daripada senyuman.
Terasa hatiku tenang dan damai setelah melihat mama dan papa. Walau setiap hari berskype, kerinduan kepada mama dan papa terlalu sukar untuk dibuang
jauh. Sungguh! Melihat wajah mama dan papa, bagaikan vitamin
untuk diriku yang lemah.
“Waalaikumussalam,
sayang.” Mama dan papa menjawab
serentak.
“Mama,
papa. Ada sesuatu ke yang adik tak
tahu?” Aku tidak dapat melindungkan
perasaan ingin tahuku. Senyuman tadi
mati namun aku masih cuba pamerkan ekspresi manis.
“Apa
maksud adik ni, sayang?” Dahi papa
berkerut sedikit.
Daripada
riak wajah mama dan papa, aku tahu mereka sudah mampu menghidu apa yang aku
maksudkan. Lain macam mukadimah kali ini
kerana selalunya mama dan papa yang bertanyakan aku macam-macam. Kali ini aku pula gelojoh bertanyakan perkara
tadi.
“Ma,
pa… adik terbaca status Ikhwan di Facebook. ‘Menanti hari bahagia bergelar suami’.” Usai berkata-kata, aku ukir senyuman yang
semanis mampu. Cuba melindungkan
gelombang yang sudah melanda jantung dan hati.
“Sayang,
jangan macam ni. Anak mama jangan peduli
semua tu, biarkan aje. Yang penting adik
gembira di Beijing. Jangan fikirkan hal
itu, sayang.” Nada mama penuh kerisauan.
Aku
ketawa besar. Mama dan papa saling
berpandangan. Lama tawaku, hingga terasa
perutku sakit. Setelah mampu menahan
tawa, aku tarik nafas sedalamnya dan aku lepaskan perlahan. Wajah mama dan papa kupandang penuh kasih
dengan senyuman terlakar di bibir.
“Mama…papa…
janganlah risaukan adik. Lucu tau tengok
muka mama dengan papa cuak.” Aku
tergeleng-geleng diiringi tawa kecil.
“Adik betul-betul okay, adik
boleh terima yang Ikhwan dah nak nikah.
Adik akan doakan dia dan Fatin bahagia.
Dah empat bulan ma, pa semua ni berakhir dan masa empat bulan ni bagi
adik dah cukup untuk adik kikis sikit demi sikit perasaan adik pada Ikhwan.” Bibirku tidak lekang daripada senyuman.
Aku
mahu yakinkan mama dan papa bahawa aku benar-benar dalam keadaan yang baik dan
aku tidak terkesan dengan berita itu.
Aku menamatkan isu Ikhwan yang bakal bergelar suami dan menceriakan
suasana dengan celotehku tentang apa yang aku lakukan pada hari ini. Mama dan papa ternyata lega melihatku. Setelah tamat berskype dengan mama dan papa, aku terus ke katil dan baring. Senyuman manisku sudah mati dan wajahku kini
pastinya tawar.
Aku
berjaya! Berjaya menipu mama dan
papa. Aku memang anak yang jahat! Jujur, aku sungguh terkesan dengan status Facebook Ikhwan dan aku hanya
berpura-pura dengan mama dan papa.
Kristal cair mula sarat dan akhirnya jatuh berderai. Deras sekali ia gugur. ALLAH, lemahnya aku. Mengapa hingga kini perasaanku terhadap
Ikhwan masih lagi utuh? Langsung tidak
berubah. Dadaku mula ketat dan
sakit. Akhirnya aku teresak.
Di
mana hendak kucari kekuatan sedangkan orang-orang kesayanganku tidak bersama
denganku ketika ini. Aku sendirian. Mahu tidak mahu, aku terpaksa jua membendung
kesedihan ini tanpa ada sesiapa di sisi. Bantal kuambil dan kupeluk kemas. Mama dan papa tiada di sisi untuk memelukku.
No comments:
Post a Comment