My Sweetie Readers

Friday 19 July 2013

AKU JATUH CINTA LAGI (BAB 2)





BAB 2
by ANIA MALNA
HCT

(lau rajin,sile2 ler komen ye^^)

Aku mengunyah pop corn tidak berhenti-henti.  Bahagianya aku saat ini kerana di dalam pelukanku ada dua pop corn berperisa caramel yang baru sahaja dibeli oleh Ikhwan.  Setelah pulang daripada butik pengantin aku terus menuntut janjinya kepadaku.  Bimbang nanti lupa pula, itu pun pada mulanya dia buat-buat lupa.  Mahu tidak bengang aku, mujurlah waktu itu ada bakal ibu mertuaku, jika tidak sudah tentu perang tercetus antara kami.
            “Ehem, orang sebelah saya ni tak nak bagi ke sikit pop-corn tu?”  Aku pura-pura tidak mendengar teguran Ikhwan.  Tidak sedar diri, sudahlah makan pop-corn yang dibeli olehnya tapi tidak mahu menghulur walau seulas.  Kedekutnya Afrina Imani!!!
            “Ehem, ulang suara.”  Ikhwan menguatkan suaranya.
            “Awak jangan bisinglah, saya nak dengar lagu ni.  My favourite tau.”  Aku mencari alasan.  Dasar kedekut tahi hidung tak tahulah masin ke tidak.  Tak pernah pulak aku rasa.
            You, tolonglah suap 1.”  Ikhwan membuka mulutnya.
            “Eiii, tak nak.”  Aku laju aje menggelengkan kepala.  “Awak, ada tangan kan.  Cukup sepuluh jari kan?  Suaplah sendiri.”  Aku menjelirkan lidah.  Buruk perangai.
            “Amboi, ingat comel sangat jelir lidah tu.  Tak baik tau.  I ni bakal suami You.”  Nada Ikhwan sedikit tegas namun dia tetap menghadiahkan senyuman nipis.
            “Okay, patik pacal yang hina mintak ampun dan maaf.”  Aku sudah tersengih-sengih.
            “Maaf diterima tapi kalau You bagi I pop-corn.”  Ikhwan mengerlingku seketika.  Dia sedang memandu jadi manalah boleh menatap wajah aku yang comel ini.  Opsss, perasan pulak.
            “Boleh tapi I ada satu teka-teki untuk awak.  Kalau dapat jawab baru I bagi.”  Aku memeluk kemas kedua-dua pop-corn bersaiz besar.  Bimbang diambil oleh encik tunangku.
            “Apa dia?”  Ikhwan nampak teruja dengan teka-tekiku.
            “Benda apa yang, kalau satu tak cukup….”  Aku mengangkat jari telunjuk.  “….dua tak cukup….”  Mengangkat dua jari pula.  “ tiga, empat, lima, sepuluh, seratus tetap tak cukup dan..”
            “Saya tahu.”  Ikhwan sudah sengih beria menampakkan barisan giginya yang putih bersih lalu menampakkan lesung pipitnya yang dalam mengalahkan kawah bulan.  Geram pula hendak dicucuk dengan pop-corn, mau muat rasanya.
            “…eh tapi I tak habis lagilah.”  Aku mengerutkan dahi.
            “Tak payah, I dah tahulah jawapannya.  Pop-corn kan?”  Ikwan tergelak kecil.
            Kurang asam belimbing betullah encik tunang.  Macam mana dia boleh tahu?  Ada jawapan ke dekat dahi aku ni?  Atau dia nampak apa yang ada dalam fikiran aku?  Pelik benar.  Padahal soalan teka-teki susah aku bagi, teka teki yang tidak pernah orang sebutkan kerana ia adalah teka-teki rekaan aku.
            “Mana awak tahu?”  Aku sudah menghulurkan pop-corn kepada Ikhwan dan Ikhwan menalakan mulutnya tanpa mengalihkan pandangan.  Minta disuaplah, apa lagi.  Belum kahwin lagi sudah hendak bermanja.  Geram betullah.  Sabar-sabarlah sikit.  Dengan malas aku menyuapkan juga pop-corn ke mulutnya walhal aku memang tidak suka bersuap-suap begini.  Ishhh geli geleman dibuatnya.  Jika bersuap-suap dengan mama dan papa haruslah wajib, setiap hari, ketika makan. 
            “Senang sangat teka-tekinya.  Sambil mengunyah sambil mengira, satu tak cukup, dua tak cukup, seratus tak cukup.  Jawapan ada depan mata tapi kalau You, I rasa sejuta pun tak cukup.  Kalau tak percaya cuba you kira ada berapa ulas pop-corn dalam satu bekas ni.”  Aku mengangguk-angguk.  Mengiyakan kata-kata Ikhwan.
            “Satu.”  Aku menyuap pop-corn ke dalam mulut. “…dua..” suap lagi.  “….tiga…” terus menerus menyuap.
            “Sayang, kenapalah awak ni lurus macam tiang gol.  Takkanlah awak nak kira sampai habis pop-corn tu.”  Ikhwan ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.
            “Kan awak suruh tadi.”  Aku mengerutkan dahi.
            “Memanglah saya suruh tapi tak semestinya awak kena ikut.  Ni kes nak jadi isteri solehah la ni ya?  Ikut aje apa yang suami perintahkan.”
            “Iyalah, nanti tak ikut cakap suami berdosa tau.  Biarlah I nak berlatih dulu.”
            “Eii, tunang saya ni.  Lurus macam tiang, manja, suka merajuk, suka cari pasal dengan saya dan macam-macam lagilah tapi tetap comel.”  Tangan kiri Ikhwan laju mencubit pipi kananku.
            “Awak!!! Tak nak peganglah, saya belum sah lagi tau tak.  Nanti dah kahwin awak nak pegang pipi saya dua puluh empat jam pun saya dah tak kisah.”  Aku cepat-cepat melarikan wajah hingga ke cermin kereta.  Pipi yang dicubit tadi kuusap lembut.  Sakit tidak terasa tapi sengaja, mengada-ngada.
            “Okay, sorry B.”  Ikhwan membawa tangannya kembali ke stereng kereta.  “Betul dah kahwin nanti saya boleh cubit pipi awak selalu?  Kalau macam tu, kita kahwin sekaranglah.”  Ikhwan sudah mula mengada-ngada.  Eiii geram.
            “Eiiiii, jangan nak gatal sangat boleh?  Mentang-mentanglah mummy tak nak balik sekali dengan kita.  Kalau mummy ada mesti awak tak berani nak cakap mengarut-ngarut kan.”  Aku membesarkan biji mata.
            “Garangnya B, takut I.”  Ikhwan mula mempamerkan wajah ketakutan dan tawaku terlerai.
            Kami memang begini.  Bila berdua tidak akan ada istilah sunyi sepi.  Pasti kecoh sekereta.  Ada sahaja yang hendak didebatkan, dibalahkan, dibahasakan dan aku tidak pernah sesekali merasa ianya menjengkelkan malah aku senang dan gembira dapat menghabiskan masa bersama-sama encik tunang.  Ikhwan juga tidak pernah mengeluh atau lelah melayan kerenahku yang kadang-kadang menjengkelkan.  Terima kasih encik tunang kerana menerimaku seadanya.
………………………………………………………………………………………………………
            Kepalaku dilentokkan ke bahu papa yang sedang khusyuk membaca buku The Success Principles hasil karya Jack Canfield.  Papa memang minat membaca dan buku-buku pilihan Papa ialah dari genre Islamik dan motivasi.  Bilik bacaan yang terletak di tingkat atas sudah seperti mini perpustakaan.  Penuh dengan pelbagai buku-buku yang dibeli sendiri oleh papa dan juga yang dihadiahkan oleh rakan-rakannya.
            “Papa, buat apa baca buku ni.  Papa kan memang dah berjaya pun.”  Aku mula membuka bicara.  Bosan pula bila tiada suara antara kami.  Iyalah papa punya tekun pada bacaannya bagai tidak berkelip-kelip mata. 
            “Kenapa pulak tak boleh?  Selagi Allah beri nikmat sihat pada kita, kita tetap kena berusaha untuk berjaya walau dalam apa bidang sekalipun dan satu papa nak pesan jangan pernah berhenti untuk berjaya walau kamu dah berjaya hingga ke tahap yang kamu tuju tapi ingat, kejayaan tu juga meliputi kejayaan di akhirat nanti.  Faham anak papa?”  Kata-kata papa memang tidak boleh disangkal.  Aku mengangguk-angguk, kagum dengan kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut papa.
            “Papa, adik kagum sangat dengan papa.”  Kepalaku sudah tegak sambil mata memandang papa.  Papa tersenyum.
            “Kenapa nak kagum dengan papa?”  Papa mengerutkan dahinya.
            “Iyalah, papa kan kira dah berjaya dan papa bermula daripada bawah sehinggalah ke tahap sekarang ni tapi papa tak pernah bangga diri.  Sentiasa merendah diri dalam apa pun keadaan.”
            “Dalam Islam sekalipun memang menuntut kita supaya tak bermegah diri kan.”  Papa menutup buku yang dibaca dan mengusap lembut rambutku.  Aku memang suka bila diusap rambut begini oleh mama dan papa.
            “Apa yang diborakkan dua beranak ni.”  Mama datang sambil tangannya membawa dulang yang berisi puding roti.
            “Wow, mama buat puding roti.  Sedapnya.”  Aku bangun mendapatkan mama dan cepat-cepat mengambil dulang di tangan mama.  Mata sudah bersinar-sinar melihat puding roti hasil buatan mama yang nampak sungguh menyelerakan.
            “Mestilah sedap kalau mama yang buat.  Mana boleh tak sedap, sebab tu lah papa sanggup balik tiap-tiap hari untuk makan tengahari di rumah berbanding makan dekat kedai.”  Papa mula memuji mama dan mama sudah tersenyum.  Pasti tulip sudah berkembang di taman hati mama.  Iyalah, siapa tak suka bila dipuji oleh suami.
            “Biar adik suap mama dengan papa ya?”  Aku sudah duduk di tempat tadi dan mama duduk di sebelahku.  Aku duduk di tengah-tengah maka mudahlah untuk menyuap mama dan papa.  Sudu yang diletakkan di dalam dulang kuambil dan kucedokkan puding roti yang tentunya baru sahaja dikeuarkan dari peti sejuk.  Aku ni tidaklah pandai membuat puding roti tapi selalu tengok mama buat dan yang aku tahu akhir sekali masukkan poding roti yang telah siap ke dalam peti sejuk, lagi sedap dimakan sejuk.
            “Okay, papa dulu.”  Aku menalakan sudu ke mulut papa.  Bibir papa bergerak-gerak membaca Bismillah dan setelah itu puding roti selamat masuk ke dalam mulut papa.  Papa mengangkat ibu jarinya tanda best. 
            Aku mencedokkan sesudu lagi puding roti dan kali ini untuk mama pula.  Sudu yang berisi puding roti kubawa ke mulut mama.  Mama mengangakan mulut dengan gembira dan aku juga tentunya bahagia kerana dapat menggembirakan mama dan papa.  Walau aku bukanlah dikategorikan sebagai anak yang sangat baik tapi setidak-tidaknya aku punya cara sendiri untuk membuatkan mama dan papa senang denganku.
            “Mama, Ikhwan suka sangat puding roti tau.”  Ujarku sambil tangan menyuapkan puding roti ke dalam mulut.
            “Habis tu kenalah belajar buat puding roti.”  Papa menjawab sambil tersenyum.
            “Tak nak, tengok mama buat macam susah je.”  Aku mengeleng-gelengkan kepala.
            “Mana ada susah, senang je.  Adik rasa susah sebab adik tak pernah cuba untuk buat.  Tengok mama buat je kan.”  Kata-kata mama betul.  Aku selalunya menjadi penonton ketika mama membuat puding roti, itupun bukan dari mula, kadang-kadang mama dah siapkan toppingnya barulah aku masuk ke dapur melawat mama.
            “Okay untuk Mr.D, adik akan belajar buat puding roti.  Esok boleh ma?”  Aku jadi teruja pula hendak mencuba membuat sendiri pencuci mulut kegemaran Ikhwan.
            “Boleh, bila-bila masa pun mama boleh tolong ajarkan adik tapi janji lepas belajar kenalah buat, nanti lama-lama lupa pulak.”  Mama mengingatkanku sambil tersenyum.
            “Okay mama, sayang mama.”  Suaraku dimanjakan dan aku memeluk mama erat. 
            “Anak mama dengan papa ni, umur dah 23 tapi manjanya macam umur tiga tahun.  Macam manalah nak kahwin nanti?”  Papa menepuk lembut belakangku dan aku masih lagi berada di dalam pelukan mama.  Tidak mahu meleraikan pelukan kerana bagiku tempat yang paling selamat adalah berada di dalam pelukan mama jadi biarlah aku berlama di tempat yang paling selamat ini.
            “Tak apalah pa, nanti dah kahwin pun adik akan balik sini hari-hari.”  Ujarku yang masih lagi di dalam pelukan mama.
            “Ishh ada pulak macam tu.  Mana boleh sayang, tempat isteri adalah di sisi suaminya jadi adik tak boleh buat macam tu.  Ingat, setiap apa yang adik nak buat bila dah kahwin nanti kena mintak izin Wan.  Adik kena dengar cakap dia, jangan banyak melawan.”  Nasihat daripada papa benar namun kekeruhan mula terpancar di wajahku.  Perlahan-lahan aku meleraikan pelukan.
            “Tapi ma, adik tak sanggup nak berpisah lama-lama dengan mama, papa.”  Aku beralih memandang papa.
            “Bukan berpisah lama-lama.  Nanti bila-bila adik dengan Wan free baliklah ke sini cuma tak bolehlah hari-hari.  Nanti apa pula kata Wan.  Lagipun rumah Adik dengan Wan nanti bukannya jauh sangat dari sini.  Setengah jam aje dah sampai.  Papa dengan mama pun akan datang melawat adik nanti.”  Kata-kata papa membuatkan wajahku kembali berseri-seri.
            Benar aku tidak mampu berpisah lama-lama dengan papa.  Sudah 23 tahun usiaku dan tidak pernah sekalipun aku terpisah lama dengan papa dan mama.  Paling lama pun seminggu ketika papa dan mama terpaksa ke luar negara atas urusan kerja, itupun terasa hendak gila tanpa papa dan mama.  Mujur juga ada Mak Kiah yang menjadi pembantu rumah menemankan aku.
            Ketika di Universiti Malaya, rakan-rakanku beria mengajakku tinggal di Kolej Kediaman kerana kata mereka lebih mudah untuk membuat study group serta menyelesaikan tugasan-tugasn yang diberikan oleh pensyarah namun haruslah aku katakan tidak.  Aku rela berulang-alik dari rumah ke universiti setiap hari tapi kesian juga Pak Karim yang perlu menghantarku ke kuliah.  Iyalah, aku tiada lesen memandu atas alasan aku takut memandu jadi memang aku tidak pernah belajar memandu.
            Sejak dari sekolah rendah hinggalah ke universiti aku tidak pernah dapat lari daripada ejekan rakan-rakan yang menggelarkanku ‘anak manja’ namun ada aku kisah, suka hatilah aku nak manja terlebih ke, bukan aku kacau hidup mereka pun.  Dengki sangat kenapa?  Pergilah bermanja dengan mak ayah sendiri, sibuk hal orang kenapa?
            “Adik.”  Papa menggoncangkan bahuku.  Mengelamun pulak aku.
            “Ya papa?”  Aku tersengih-sengih.
            “Berangan ke?”  Papa tersenyum penuh makna.  Pasti papa menyangka aku teringatkan Encik Tunang.
            “Mana ada pa.”  Aku menjuihkan bibir tanda protes.
            “Dah tak payah nak buat muka macam tu.  Cepat makan ni.”  Papa menalakan sudu berisi puding roti ke mulutku.  Aku tersenyum dan mengangakan mulut.
………………………………………………………………………………………………………
            Troli yang masih kosong kutolak perlahan.  Mengikut sahaja langkah kaki mama.  Hari ini kami ke pasaraya untuk membeli bahan-bahan membuat puding roti.  Seperti yang telah dijanjikan semalam, aku akan belajar membuat puding roti daripada mama dan mama sanggup tidak ke butiknya semata-mata untuk meluangkan masa mengajar anak bertuah dia yang seorang ini.
            “Ma, banyak ke bahan-bahan yang kita perlukan untuk buat puding roti ni?”  Tangan mama kupaut mesra dan troli ditinggalkan di belakang kami.
            “Tak banyak sangat pun.  Kita cuma perlukan roti, yang tu penting sebab nama pun puding roti kan sayang.  Lepas tu kena ada telur, susu segar, gula dan keju.  Kalau nak tambah sedap boleh letak kismis.”  Aku tekun mendengar penerangan mama.
            “Kalau letak coklat boleh tak ma?”  Aku laju bertanya.  Coklat, salah satu kesukaanku.
            “Boleh, apa salahnya.  Dah jadi resepi baru macam tu, puding coklat roti.”
            “Yeay!!!”  Aku bersorak kegirangan.
            Mama mula mengambil bahan-bahan yang disebutkan tadi.  Tugasku hanyalah menolak troli.  Tak sabar pulak hendak membuat puding coklat roti bak kata mama tadi.  Aku berkira-kira untuk memberikannya kepada Ikhwan, pasti dia suka.  Bukan senang hendak merasa hasil buatan aku.  Terima kasih mama sebab sudi melayan permintaan adik hingga sanggup tinggalkan butik kesayangan mama.  Aku memandang wajah mama dan tersenyum bahagia.  Sayang mama!!!
………………………………………………………………………………………………………
            “Papa, kenapa mesti malam ni jugak?  Adik dah janji nak buat puding roti dengan mama.”  Aku mula merengek sambil melangkah malas ke BMW X5 yang diparkir di sebelah Audi R8.  Berat hati mahu pergi sebenarnya.
            “Ishh adik, ada pulak cakap macam tu.  Nak pergi rumah bakal mertua ni sayang, tak baiklah berkira sangat.  Puding roti tu nanti esok-esok kan boleh buat.”  Papa merangkul bahuku.  Beri semangat gamaknya.
            “Habis tu, makan malam rumah Ikhwan pun boleh je buat esok-esok.”  Aku cepat membidas kata-kata papa.
            “Adik, kan daddy dengan mummy Ikhwan beria ajak kita sekeluarga jadi tak eloklah kita tolak sebab tak ada hal penting pun malam ni.  Kata mereka, hendak perkenalkan kita pada adik Ikhwan.”  Kata mama dengan lembut.  Belakangku ditepuk lembut oleh mama.
            “Adik mana lagilah si Ikhwan ni?  Kan semua dah kenal, abang dengan kakak dia pun kita dah kenal.  Berapa banyaklah adik dia.”  Aku terus-terusan protes.  Tidak puas hati sebenarnya.
            “Adik, dah jangan banyak cakap.  Karang papa sumbat mulut dengan songkok papa ni nak?”  Papa sudah menalakan songkoknya ke mulutku dan aku pula cepat-cepat melarikan diri ke belakang mama.
            “Dah jom kita masuk.  Nanti kat rumah Ikhwan jangan buat muka macam ni, manis sikit.  Nak jadi menantu Datuk Shamsul dengan Datin Diana kan?  Adik kenalah ambik hati mereka.”
            “Tak naklah kalau kena ambik hati bagai, biarlah tak jadi menantu mereka, cukuplah jadi  anak Datuk Azhar dan Datin Zuraida.”  Aku sentiasa ada modal untuk membalas kata-kata mama dan papa.
            Papa mula menjelingku, aku terus tertunduk.  Bimbang juga karang betul-betul makan songkok papa.  Setelah itu aku terus masuk ke tempat duduk belakang kereta dan sepanjang perjalanan ke kediaman Datuk Shamsul dan Datin Diana, aku hanya diam seribu bahasa.  Hanya melemparkan pandangan keluar tingkap kereta.  Bukannya merajuk cuma entahlah, tiba-tiba aje rasa tidak kena, tidak sedap hati pun iya.
            Kami tiba di perkarangan banglo mewah kira-kira jam 8.30 malam.  Eh, nama pun banglo mestilah mewah.  Aku keluar dari kereta dengan langkah yang sedikit berat.  Rasa tidak sedap hati tadi tiba-tiba aje membuak-buak.  Rasa macam mahu terkeluar aje dari dadaku.  Kenapa ya?  Aku bertanya kepada diri sendiri walau memang tidak tahu apa jawapannya.
            Ketibaan kami disambut mesra oleh bakal mummy dan daddy mertuaku.  Ikhwan juga turut sama menunggu di muka pintu.  Dia tersenyum rupa siput busuk, geram pula rasanya.  Tiba-tiba aje perasaan geram yang entah tiba dari planet mana menerjahku, rasa macam hendak cucuk-cucuk aje lesung pipit dalam Ikhwan.  Geram!!!!!
            Mataku membulat, sebulat-bulatnya apabila melihat seorang gadis berdiri di sebelah Ikhwan.  Cantik, desis hatiku.  Bertudung litup sepertiku juga cuma dia lebih cantik daripadaku, sedar diri tapi aku lagi comel rasanya.  Tinggi, berkulit putih dan bersih, mata bulat yang bersinar, bibir comel bak kuntum bunga mawar, hidung mancung terletak cantik serta bulu mata yang cukup lebat.  Semua lelaki yang melihat pasti cair, iyalah aku yang perempuan ni pun boleh tergugat dibuatnya.
            Gadis itu tersenyum manis ke arah aku, mama dan papa.  Dia menghulurkan salam buat mama, aku sudah tidak keruan.  Mahu sahaja menjerit bertanya siapa gadis itu.  Tiba-tiba aje muncul di banglo Datuk Shamsul dan Datin Diana.  Apa yang dibuatnya?  Perlukah dia berada bersama-sama kami?  Penting sangatkah dia hingga turut menyertai kami?  Rasa tidak puas hati dan rasa resah gelisah mula berlumba-lumba di fikiranku.
            Aku sempat menjeling Ikhwan namun dia masih tersenyum.  Wanita mana yang tidak sakit hati bila melihat ada gadis cantik berdiri di sebelah tunang sendiri.  Entah dari mana datangnya gadis cantik ini, aku sendiri tidak tahu.  Aku langsung tidak mendengar apa yang dibualkan oleh mama,papa, Datuk Shamsul dan Datin Diana kerana terlalu asyik memikirkan perihal si gadis cantik di sebelah Ikhwan.  Aku bagaikan berada di dunia sendiri.  Di hati panas namun tetap kubalas senyuman gadis cantik ini.  Sekadar mengambil hati, mana boleh malukan mama dan papa.

p/s: annoying betul si Afrina ni kan~
               
           
           


4 comments:

  1. Ini bab 2 tajuknya apa? HTC tu apa?.Adakah ini cerita Beijing tu.Okay
    Bila dah baca cerita ini , saya boleh simpulkan kamu memang punya bakat menuliscyang besar.Bab ni sudah mengujakan.karekter 2x yang diwujudkan menjadikan cerita ini lebih menarik menjadian cerita santai dan kelakar.Kita juga dapat lihat karekter keanak-anakan Afrina memang mencuit hati.Bab 2 memberi mesej jelas tentang hubungan rapat keluarga.Pasal agama dan mengenai perlu menuntut ilmu hingga ke tua.Karekter Ikhwan memang sesuai untuk menjadi bakal suami
    Afrina.pada keeluruhannya cerita ini
    menarik, santai dan kelakar.Best.

    ReplyDelete
    Replies
    1. HCT tu hakcipta terpelihara auntie^^ ye ni cite beijing tu tp nak tukar tajuknya cuma tak jumpa lgi tajuk yg sesuai^^hihih~
      thanks a lot auntie,
      afrina keanak-anakan & terlebih mnja~

      thanks once again!!!!

      Delete
  2. best cerita ni. serious , kagum dengan bakat akak menulis. :3

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq so muchie more dearie honey madu :) :) :)

      Delete