AJCL (bab 10)
by ANIA MALNA
BAB 10
Aku memeluk mama seeratnya. Bahu mama sudah terhinggut-hinggut dek kerana
melawan esakan. Terasa tidak mahu untuk
melepaskan pelukan mama. Di dalam
pelukan mama, aku sentiasa rasa selamat jadi aku mahu berlama di dalamnya namun
aku tahu ia mustahil kerana sebentar lagi aku perlu berangkat ke KLIA. Puas kutahan tangisan kerana mahu nampak kuat
dan tabah di hadapan mama, papa dan juga Mak Kiah.
“Mama, janganlah nangis. Adik bukannya tak balik dah.” Perlahan-lahan aku meleraikan pelukan.
Mama tidak membalas dan hanya
mengusap lembut pipiku. Ternyata mama
hilang kata-kata, mungkin kerana kesedihannya yang menggunung dan ditambah
kerisauan yang tidak dapat dibendung. Melepaskan
anak tunggal pergi sendirian. Tentu mama
masih ragu sama ada aku mampu bertahan tanpa mama dan papa. Jangan bimbang mama, adik akan cuba bertahan.
“Papa, adik pergi dulu. Adik sayang papa.” Aku kini beralih ke arah papa.
“Jaga diri baik-baik di sana, jangan
susahkan Pak Ngah. Ingat semua pesanan papa
dan mama.” Kepalaku yang tersarung
selendang diusap lembut oleh papa.
“Ya pa, adik ingat. In sha Allah, jangan risau ya?” Tangan papa kucapai dan kukucup lama. Kemudian tubuh papa kupeluk dan papa menepuk
belakangku.
“Papa sayang anak papa dunia
akhirat, melebihi nyawa papa. Papa mahu
adik pergi dengan selamat dan balik juga dengan selamat.” Kata-kata papa membuatkan aku tersentuh.
Terasa dadaku sebak namun aku tidak
boleh menangis. Aku perlu kuat di
hadapan mama dan papa. Ia penting untuk
meyakinkan mama dan papa. Aku dan papa
meleraikan pelukan. Aku kini beralih
pula kepada Mak Kiah. Sayu melihat wajah
Mak Kiah. Walau tiada tangisan di wajah
Mak Kiah, aku tahu Mak Kiah berduka dan sedih dengan pemergianku. Tangan Mak Kiah kucapai dan kukucup lembut. Setelah itu aku memeluk Mak Kiah seeratnya.
Aku beralih ke hadapan mama dan
papa. Mama mendapatkanku dan mengucup
dahi dan pipiku. Berat sekali melihat
tangisan mama. Terasa pilu dan sedih
hatiku meihat keadaan ini dan lebih memedihkan apabila hakikatnya aku terpaksa
menipu mama dan papa.
Maafkan adik, mama,
papa, adik terpaksa buat semua ni.
Dengan berat aku masuk ke dalam
kereta dan kali ini aku duduk di tempat duduk sebelah pemandu. Tidak seperti kebiasaannya, aku duduk di
belakang. Dari dalam kereta aku
melambai-lambai ke arah mama, papa dan Mak Kiah. Papa merangkul bahu mama, cuba untuk
menenangkan mama yang masih lagi menangis.
Setelah wajah mama dan papa hilang dari pandanganku barulah aku mengalih
pandangan ke hadapan.
Di dalam kereta, aku tidak dapat
menahan tangisan. Wajah mama dan papa
terbayang-bayang di ruang mata. Masih
terngiang-ngiang lagi esak tangis mama tadi.
Tangisan yang kutahan sejak tadi akhirnya terhambur. Aku sempat berpesan kepada Pak Mail agar
tidak memberitahu mama dan papa bahawa aku menangis. Tidak mahu menambah kerisauan di hati mama
dan papa.
………………………………………………………………………………………………………
Bagasi merah jambu kupegang
kemas. Beg tangan Gucci pula kuletakkan
di atas riba. Jaket tebal sudah kusarung
ke badan. Cuaca hari ini di bawah 10
darjah celcius dan tentunya kulitku tidak mampu menahan kesejukan jika tidak
memakai jaket tebal. Setibanya di Beijing Capital Airport dan selesai
mengambil bagasi serta melalui beberapa pemeriksaan, aku terus ke ruang legar
dan duduk di kerusi yang disediakan.
Aku dapat rasakan satu perasaan yang
jarang sekali kurasakan. Atau mungkin
lebih tepat jika kukatakan tidak pernah aku rasai ketika di Malaysia. Takut!
Itulah perasaannya! Pertama kali
aku berada di negara asing dan aku sendirian tanpa mama dan papa. Sebelum ini, mama dan papa akan membawaku
bercuti ke luar negara setiap tahun dan kali ini tanpa mama dan papa aku rasa
sungguh aneh dan janggal.
Ketika di Malaysia, aku sudah membuat
sedikit kajian tentang bagaimana untuk menggunakan perkhidamatan awam namun aku
masih rasa takut-takut dan teragak-agak.
Mujur juga urusan hotel telah aku selesaikan ketika di Malaysia dan aku
membuat bayaran untuk seminggu. Kini,
aku hanya perlu naik teksi dan seterusnya ke Emperor Hotel. Mama, papa
doakan adik.
Afrina Imani jangan takut!!! Go
now!!! Aku cuba memberi semangat
buat diriku. Takkanlah aku mahu duduk
sahaja di sini dan tidak bergerak-gerak.
Aku perlu bertindak sekarang. Ini
risiko yang kucari sendiri. Aku perlu
lakukannya dan aku boleh lakukan.
Sebelum bangun aku memandang ke seluruh ruang dan semuanya cukup
asing. Suara-suara asing juga
membuatkanku bertambah gerun.
Tidak! Afrina Imani, jangan
takut! Aku sekali lagi menjerit di dalam
hati. Aku mula bangun dan
melangkah. Bagasiku ditarik di sisi. Tubuhku tiba-tiba dilanggar seseorang. Sakit jugalah. Aku mengurut-urut bahu yang agak sakit.
Apalah, aku punya besar
dengan beg yang besar tapi boleh tak nampak jugak!
Satu suara lelaki mengetuk gegendang
telingaku. Dia mengulang ayat yang sama
sebanyak tiga kali.
Aku mencari pemilik suara itu.
Aku tidaklah pandai sangat bahasa Mandarin namun ada beberapa perkataan
asas yang kutahu dan setahuku apa yang diperkatakannya tadi ialah ‘maaf’. Aku berpaling dan di belakangku ada seorang
lelaki sedang berdiri. Tinggi sekali dan
aku terpaksa mendongak untuk melihat wajahnya.
Bermata sepet, hidung yang tidak berapa mancung, bibir merah dan kening
lebat. Itu yang boleh kukatakan daripada
pandangan pertama. Wajahnya nampak
kalut.
“Are
you okay?” Terus sahaja dia
berbahasa Inggeris setelah melihat wajahku.
Pasti dia tahu aku bukan warga tempatan.
“Okay.” Aku mengangkat ibu jari kanan. Mukaku agak ketat dan tiada segaris
senyuman. Setelah itu dia mengangguk dan
dia terus berlari meninggalkanku.
Aku hanya memerhatikannya dan kaku
tidak bergerak. Baru beberapa jam berada
di sini, sudah ada perkara yang tidak diingini berlaku. Mampukah aku bertahan untuk masa yang
panjang? Bahu yang masih terasa saki
kuurut semula. Kesakitannya masih
dirasai kerana aku dirempuh dengan agak kuat.
“Teruknya! Lelaki semua jahat!” Tiba-tiba sahaja kenyataan
itu terlontar dari bibirku. Biarlah,
bukan ada yang faham pun.
Aku
tahu lelaki itu tidak sengaja melanggarku namun itu bukannya tiket untuk
sentiasa menggunakan alasan tidak sengaja apabila melakukan kesilapan. Tidak sengaja ini perlu juga bertempat. Sudah tahu di dalam airport, janganlah berlari-lari dan kalau berlari sekalipun
berhati-hati! Mujur juga dia langgar
aku, jika terlanggar warga tua atau kanak-kanak macam mana? Fikir mahu cepat aje tanpa ambil kira keadaan
sekeliling.
Ishh, kenapa aku fikir sampai ke
situ? Aku kembali melangkah menuju ke exit way.
Mujurlah banyak teksi airport dan
aku terus menuju ke teksi yang paling hampir denganku. Aku mengintai dulu ke dalam teksi dan
kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan 40-an yang menjadi pemandu. Dia menganggukkan kepala dan aku membuka
pintu bahagian belakang. Bagasiku
dimasukkan ke dalam but oleh pemandu teksi.
“You
where go?” Tanya pemandu teksi. Di dalam hati, aku menarik nafas lega kerana
dia boleh berbahasa Inggeris walau kurang tepat. Pak Ngah pernah bercerita di sini susah
sekali hendak berjumpa dengan orang yang pandai berbahasa Inggeris.
“Em-pe-ror
Ho-tel...” Aku menyebut satu-satu perkataan, bimbang pemandu teksi ini tidak
memahami. Dia mengerutkan dahi dan mula
bercakap dalam bahasa Mandarin dengan tangannya digoyangkan tanda tidak
faham. Aku mengeluarkan kertas yang
bercetak nama hotel dalam Chinese alphabet. Dia mengangguk dan setelah itu teksi terus
meluncur meninggalkan Beijing Capital
Airport.
………………………………………………………………………………………………………
Aku tersenyum riang apabila melihat double bed di hadapanku. Bagasi kubiarkan sahaja di hadapan almari
pakaian. Jaket kutanggalkan dan
disangkut pada kerusi lalu aku mencampakkan badan ke atas katil. Ya ALLAH, terasa sungguh lega dan bahagia apabila
dapat berbaring setelah seharian berpenatan dengan penerbangan hampir 6 jam
dari KLIA ke Beijing Capital Airport.
Emperor
Hotel menjadi pilihanku kerana lokasinya.
Terletak berdekatan dengan Forbidden
City yang merupakan salah satu tarikan utama Beijing. Dari atas bumbung restoran hotel, ianya
menyajikan pemandangan Forbidden City yang
sangat menakjubkan. Aku juga hanya perlu
berjalan kaki kira-kira 15 minit untuk ke Wangfujing
Street dan Jingshan Park. Selain itu, ia juga berhampiran Tian’anmen Square dan hanya perlu
berjalan 20 minit dari hotel. Rekaan
dalaman hotel juga unik dengan paduan warna hijau dan putih. Warna-warna yang cukup menenangkan bagiku.
Aku merenung siling. Bayangan Ikhwan tiba-tiba muncul di
mindaku. Syiuhhh! Puas kuhalau namun ternyata sangat
sukar. Aku memejamkan mata namun makin
jelas pula bayangannya. Bantal kuambil
dan kutumbuk sekuat hati berkali-kali.
Kononnya bantal itu ialah Ikhwan.
Niatku ke sini untuk membuang jauh fikiran terhadapnya namun lain pula
jadinya. Aku jadi geram. Geram yang amat!!!
Aku kini bangun dan menuju ke bagasi
yang kutinggalkan di hadapan almari. Aku
duduk bersila di atas lantai dan membaringkan bagasi. Berkira-kira untuk mengemaskan
barang-barang. Bagasi kubuka dan wajah
mama dan papa yang pertama kulihat. Aku
membawa bersama-sama frame gambar
yang diletakkan foto mama dan papa. Foto
mama dan papa kuambil dan kupeluk erat.
Baru sehari tidak bertemu mama dan papa kurasakan rinduku sudah
menggunung setinggi gunung Everest. Ya
ALLAH, moga aku tabah melawan kerinduan terhadap dua insan yang kusayang
melebihi nyawaku sendiri.
No comments:
Post a Comment