My Sweetie Readers

Monday 3 September 2012

SARANGHAEYO (CTDK) Part 14


BAB 14

by~ANIA MALNA

Alhamdulillah, 1 Ramadhan kali ini aku berpeluang bersama keluarga di kampung.  Kebetulan pula 1 Ramadhan jatuh pada hari cuti maka ayah dan ibu bersungguh-sungguh menyuruh kami adik beradik pulang ke kampung dan sama-sama berbuka.  Alangkah bahagianya apabila satu keluarga berkumpul begitu, kami bergotong-royong memasak untuk berbuka.
Bestnya lah kalau tiga puluh hari puasa macam ni.  Gemuk adik.”  Kata-kataku menimbulkan gelak tawa daripada semua ahli keluarga.
“ Kau tu puasa pun tak penuh, macam mana pulak nak puasa sampai 30 hari.  Hari ni puasa tak?”  Soalan abang membuatkan aku naik angin, mujurlah dia duduk jauh dariku.  Kalau tidak, memang aku sumbat mulutnya dengan ayam goreng di dalam pinggan.
“ Aku puasalah hari ni.”  Kedua-dua kakak iparku ketawa mengekek melihat gelagatku yang sedang marah.
“ Abang, adik, tengah berbuka ni kan.  Cuba buat perangai macam orang dewasa sikit.  Ke nak suruh ayah kurung dalam reban kambing Penghulu?  Baru nak senyap?”
“ Ayah kurung adik je dalam tu.  Kan masa kecik-kecik dia suka main dalam reban kambing Penghulu.  Abang tak nak, busuk.”
“ Dah la tu, kang Along sumbat dengan cawan dua-dua nak?”  Aku tidak sempat membalas kata-kata abang kerana Along terlebih dahulu bersuara.  Setelah itu, aku dan abang masing-masing diam dan hanya menumpukan perhatian kepada nasi di dalam pinggan.
“ Kelakar jugak tengok Adik dengan Abang ni.  Menceriakan suasana.” Kak Ija masih ketawa.  Dia masih baru dengan keluarga kami jadi tidak banyak yang dia tahu tentang kami sekeluarga.
“ Kelakar memanglah kelakar tapi kadang-kadang tu buat ibu pening kepala jugak melayannya.”  Giliran ibu pula bersuara.
“ Sudah la tu, jangan layan sangat dia dua beradik ni.  Makan cepat-cepat, nanti kang takut terlepas Maghrib pulak.  Lepas tu kita sama-sama solat terawih di masjid.”  Kata-kata ayah dibalas dengan anggukan kami semua.
………………………………………………………………………………………………………
“ Kita berbuka kat luar hari ni nak tak?”  Kak Lia menyuarakan hasratnya.  Aku yang dari tadi asyik menghadap komputer di hadapan kini beralih memandang Kak Lia.
“ Kak Lia, I’m so sorry.  Hari ni Uncle Yusuf dengan Auntie Syafiqah ajak berbuka dekat rumah dorang.”  Kataku dengan nada seperti memujuk.
“ Oh yeke, tak apalah kalau macam tu.  Mak angkat dengan ayah angkat Aimin tu mesti teringin nak berbuka dengan Aimin.”
Sorry sangat-sangat tau Kak Lia.  Esok kita berbuka sama-sama kat luar ya.”
“ Tak payahlah nak beria pujuk Kak Lia, macamlah Kak Lia ni merajuk pulak.  Dah sembilan hari kita berbuka sekali.”
“ Alah manalah tahu nanti Kak Lia tak lalu makan ke sebab Aimin tak ada sekali.”
“ Tak payah nak perasanlah.”  Kak Lia mencubit pipi tembamku.  Dia memang suka mencubit pipiku.  Kadang-kadang tiada angin tiada ribut, tiba-tiba tangannya sudah singgah di pipiku.  Katanya geram tengok pipiku yang tembam manakala pipinya agak cengkung.
………………………………………………………………………………………………………
Setelah pulang dari tempat kerja, aku terus mandi dan solat.  Seperti yang telah dijanjikan, hari ini aku akan berbuka dengan Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah di kediaman mereka.  Aku berkira-kira ingin singgah di bazar Ramadhan dahulu sebelum ke rumah mereka.  Tidak sopan pula sekiranya datang dengan tangan kosong.
Auntie Syafiqah sibuk di dapur semasa aku tiba di rumah mereka dan Uncle Yusuf yang membukakan pintu rumah untukku.  Aku pasti hanya mereka berdua sahaja di rumah kerana Syakila tidak akan pulang ke Malaysia pada Ramadhan kali ini dan Uncle Yusuf serta Auntie Syafiqah akan terbang ke U.K untuk menyambut Hari Raya bersama anak tunggal mereka itu.
Tidak mungkin aku akan berada di situ sekiranya Syakila ada, bukan aku tidak tahu yang Syakila tidak suka akan hubunganku dengan Min Hyuk.  Aku sendiri tidak tahu samada Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah telah memberitahu anak mereka atau belum bahawa hubunganku dengan Min Hyuk tidak pernah putus dan terus terjalin hingga kini.
“ Uncle, Aimin ke dapur tolong Auntie ya?”  Aku meminta izin.  Beberapa jenis kuih yang kubeli di bazar Ramadhan tadi telah bertukar tangan kepada Uncle Yusuf.
“ Aimin duduk ajelah, tetamu mana boleh buat kerja.  Lagipun Auntie dah ada pembantu kat dapur.”
“ Owhh, ada pembantu.” Aku sedikit hairan.  Setahuku pembantu rumah mereka hanya bekerja sehingga jam 5.00 petang tapi mungkin Auntie Syafiqah tidak mampu membuat persiapan berbuka sendirian maka dia memanjangkan waktu kerja pembantu rumah mereka.
“ Aimin duduk dulu, tengok TV ke?  Uncle ke dapur tolong Auntie.”
“ Wa, bagusnya Uncle ni.  Rajin tolong isteri kat dapur.  Aimin ikut sekalilah, tak manis la pulak anak dara tengok TV sedangkan yang lain sibuk buat persiapan berbuka.”  Aku sudah bangun dari duduk.
“ Pembantu kat dapur tu pun rajin jugak macam Uncle.”  Aku tergelak mendengar kata-kata Uncle Yusuf.  Pandai juga rupanya Uncle Yusuf ni melawak.  Kami sama-sama mengatur langkah untuk ke dapur.
“ Pembantu memanglah kena rajin Uncle.” Tawaku masih bersisa.
“ Pembantu yang ni lain dari yang lain, kejap rajin kejap tidak.”  Uncle Yusuf juga turut sama ketawa.
“ Eh, dia ada suis rajin dengan tak rajin ke Uncle.  Unik jugak ya pembantu rumah sekarang.”  Aku cuba menahan tawa, penat juga puasa-puasa begini banyak ketawa.  “ Uncle, kenapa dia boleh ada kat sini.”  Aku hampir-hampir sahaja menjerit.  Mujur kuih-muih di tanganku tidak terlucut dari pegangan.
………………………………………………………………………………………………………
Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah berada di meja makan utama yang berdekatan dengan bahagian dapur.  Mereka sedang menyusun pinggan dan cawan.  Hanya aku dan Min Hyuk di dapur dan Min Hyuk sedang khusyuk memotong buah tembikai.  Kami langsung tidak bertegur sapa dari tadi.  Bertukar senyuman pun tidak. 
Alangkah terkejutnya aku apabila melihat Min Hyuk bersama-sama Auntie Syafiqah di dapur sebentar tadi.   Rupa-rupanya pembantu yang dimaksudkan oleh Uncle Yusuf ialah Min Hyuk.  Aku mengetap bibir sambil menggenggam penumbuk, geram pula melihat Min Hyuk.  Dia tidak tahu apa yang kulakukan kerana dia berdiri membelakangkanku.
“ Awak, kan saya dah cakap masa bulan Ramadhan ni kita tak payahlah jumpa.”  Aku mengambil kesempatan untuk menyerang kekasihku itu.
“ Mana ada kita jumpa.  Saya datang rumah Uncle dengan Auntie untuk makan.  Saya tak tahu pun awak akan ada sekali di sini.”  Kata Min Hyuk dengan muka tidak bersalah.
“ Saya pun tak tahu yang awak akan makan sekali kat sini.  Awak kan tak puasa pun, tak payahlah datang.”  Kata-kataku hanya dibalas dengan senyuman.
“ Ini rumah Uncle dan Auntie saya jadi biarlah saya nak datang bila-bila pun.”  Aku baru tersedar mendengar kata-kata Min Hyuk.  Terlupa pula aku yang kami sekarang berada di rumah bapa saudaranya bukan bapa saudaraku.  Aku terdiam.
“ Min Hyuk, Aimin, cepatlah keluar bawak tembikai tu.  Dah nak berbuka sangat ni.”  Auntie Syafiqah datang memanggil kami.
“ Ya Auntie.”  Balasku dan Min Hyuk serentak.
“ Awak tengoklah muka saya puas-puas dulu, nanti sampai habis puasa kita tak jumpa.  Awak mesti rindu saya kan.”
“ Yalah, saya rindu awak.”  Lancar sekali mulutku mengeluarkan kata-kata itu. “ Eh bukan, tersalah cakap.  Saya rindu balik kampung.”  Wajahku sudah merona merah, Min Hyuk ketawa mengekek.  Matanya yang sepet itu seperti tertutup apabila ketawa.
“ Aimin, Min Hyuk.  Bulan puasa ni, jangan lama-lama sangat berborak kat dapur tu.  Tak elok.”  Uncle Yusuf yang baru muncul ke dapur sengaja mengusik kami.  Aku cepat-cepat mengambil tembikai yang dipotong oleh Min Hyuk tadi dan membawanya ke meja makan.
………………………………………………………………………………………………………
Min Hyuk tampak cukup berselera dengan gulai masak tempoyak ikan patin, masak lemak terung dan ayam goreng berempah yang menjadi lauk berbuka kami.  Tak sangka pula aku lelaki Korea ini sukakan masakan Melayu, selama perkenalan kami aku tidak pernah melihatnya makan masakan Melayu. 
Makan pula dengan menggunakan tangan, padahal semasa aku mula-mula mengajarnya makan menggunakan tangan ketika di Korea dulu nampak benar dia sungguh kekok.  Mungkin dia sudah dapat menerapkan cara kehidupan orang Melayu setelah berbulan-bulan di Malaysia.
Usai berbuka puasa, aku bersama Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah solat Maghrib secara berjemaah.  Sungguh merdu sekali bacaan ayat suci Al-Quran oleh Uncle Yusuf, cukup lancar dan aku sungguh kagum.  Setelah solat Maghrib kami akan terus ke Masjid untuk solat Isyak berjemaah dan seterusnya menunaikan solat Terawih.
“ Nanti dalam pukul 9.30 Min Hyuk datang semula ambil kami.”  Ujar Uncle Yusuf.  Min Hyuk menawarkan diri untuk menghantar kami ke masjid maka dia juga yang akan bertanggungjawab menjemput kami nanti.
“ Saya tunggu di sini.” 
“ Eh lama lagilah, Min Hyuk baliklah dulu.”  Auntie Syafiqah tidak bersetuju.  Aku juga hairan mengapa Min Hyuk mahu menunggu kami tapi aku hanya diam membisu.
“ Gwaenchanayo (Tak apa), I’ll wait here. 
(Aishh, degil betul la Min Hyuk ni.  Larat ke dia nak tunggu kat sini lebih sejam?)
“Okayla kalau Min Hyuk nak tunggu pun tapi jangan menyesal.  Kami masuk ke masjid dulu.”  Uncle Yusuf akhirnya akur dengan permintaan Min Hyuk dan Min Hyuk hanya mengangguk.  Dia sempat menjeling ke arahku sebelum aku sempat keluar dari Toyota Harrier milik Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah.
Lebih kurang jam 9.45 malam, aku dan Uncle Yusuf serta Auntie Syafiqah melangkah keluar dari masjid.  Kami sengaja tidak menyertai Morih selepas solat Terawih kerana kasihankan Min Hyuk yang menunggu kami di luar kawasan Masjid.
“ Eh mana pulak Min Hyuk ni?” Auntie Syafiqah mula panik apabila Min Hyuk tiada di dalam kereta ketika kami sampai ke kereta.  Aku juga sudah mula panik.  Mataku melilau ke sekitar mencari sesusuk tubuh Min Hyuk.
“ Jom balik.”  Min Hyuk yang tiba-tiba muncul dari belakang membuatkan kami agak terperanjat.
“ Odi isso (Mana kamu pergi)?” Tanya Uncle Yusuf seraya menghampiri Min Hyuk.
“ Chogi issoyo.” Jari telunjuk Min Hyuk mengarah ke sebuah meja bulat yang terletak tidak jauh dari tempat kereta diparkir.
“ Kenapa duduk kat sana, tunggulah dalam kereta je.  Banyak nyamuk kan.”  Kata-kata Auntie Syafiqah membuatkan mata beralih ke wajah Min Hyuk.  Mencari-cari kesan gigitan nyamuk dan aku dapat mengesan dua tompokan merah yang agak kecil di pipinya.  Cukup mudah untuk melihat tompokan itu kerana kulitnya cerah. 
“Saya rasa selesa duduk di luar dari duduk dalam kereta.”  Jawab Min Hyuk sambil tersenyum manakala mataku masih meliar mencari-cari kesan gigitan nyamuk di wajahnya.
“Aimin, kenapa tenung Min Hyuk macam tu?”  Teguran Uncle Yusuf mematikan misiku mencari kesan gigitan nyamuk di wajah Min Hyuk.  Terasa mukaku menebal sepuluh inci.  Min Hyuk pula sudah mengekek ketawa.
“ Uncle, Auntie jomlah kita gerak balik.”  Aku cuba menyembunyikan perasaan maluku.
“ Ya jom lah kita balik, abang pun janganlah sakat Aimin ni.  Biarlah dia nak tengok pun, kekasih dia jugak.” Kata-kata Auntie Syafiqah bukan menghilangkan perasaan maluku tapi membuatkan mukaku makin menebal.  Min Hyuk tidak henti-henti ketawa.  Aishhh, geram pula dibuatnya.
Di dalam kereta aku hanya diam membisu, persitiwa di hadapan masjid sebentar tadi betul-betul membuatkanku terasa cukup malu.  Aku tidak seharusnya beria-ia mencari kesan gigitan nyamuk di wajah Min Hyuk.  Entah kenapa perkara perkara sekecil itu pun membuatkan aku risau akan Min Hyuk.  Tapi iya lah, siapa tak sayang kekasih sendiri.
Setelah tiba di perkarangan rumah, Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah beria-ia menyuruh Min Hyuk menghantarku pulang namun aku tetap tegas tidka bersetuju.  Aku tahu mereka risaukan aku kerana sudah agak lewat bagi seorang gadis memandu sendirian di malam hari tapi aku tidak mahu teman-teman serumahku melihat Min Hyuk. 
Keretaku pula nanti akan ditingalkan di rumah Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah dan aku tidak tahu bila lagi aku boleh ke rumah mereka.  Namun akhirnya Min Hyuk benar-benar ‘menghantarku’.  Dia memandu Toyota Harrier milik Uncle Yusuf dan mengekori Swift yang dipandu olehku sehinggalah betul-betul sampai ke rumah sewaku. 
Sebelum aku tidur, aku sempat membaca mesej yang dihantar oleh Min Hyuk.
‘Terima kasih sebab risau saya,  Saranghae (Saya cintakan awak)…..
Chalchayong(Selamat Malam)……’
Aku hanya tersenyum membaca mesej itu namun aku tidak membalasnya.  Tidak kusangka rupa-rupanya Min Hyuk tahu kenapa aku bersungguh-sungguh merenungnya tadi.  Dia memang begitu, selalu sahaja dapat meneka apa yang ada di dalam fikiranku.
………………………………………………………………………………………………………
“Bawaklah banyak-banyak sikit ketupat tu, nanti bolehlah bagi kat kawan serumah.”  Tangan ibu masih ligat menyusun kuih-kuih raya yang akan kubawa pulang ke Kuala Lumpur nanti.
“ Dah banyak sangat tu ibu, ada sepuluh biji semua sekali.  Ada tiga orang je kat rumah tu ibu, bawak banyak-banyak nanti tak habis membazir pulak.”
“ Buatlah jadi makan malam sekali, lagipun ada rendang sekali tu mesti berselera nak makan ketupatnya.” Desak ibu lantas datang ke arahku dan menambah lima ketul ketupat ke dalam tupperware.  Aku tidak mampu menghalang dan membiarkan sahaja ibu. 
“ Kesian pulak ibu tengok adik balik naik bas sorang-sorang dengan barang yang banyak ni. Kalau tahun ni giliran Along beraya kat sini boleh juga naik dengan Along je. Bilalah agaknya ibu boleh tengok Suzuki Swift adik ni. Puasa hari tu pun balik dengan Along.” Ibu meluahkan keinginannya untuk melihat kereta anak bongsunya yang dibeli hasil titik peluh sendiri.
“ Adik bukannya taknak bawak Swift balik kampung, cuma Adik belum yakin dan berani nak pandu jauh-jauh.  Nanti bila Adik dah ada suami duduk kat sebelah Adik, mungkin masa tu Adik dah berani nak pandu dari K.L ke J.B.” Saat aku menuturkan kata-kata itu, wajah Min Hyuk terus terbayang di minda ku.  Aku tersedar kini bahawa sudah hampir sebulan aku dan Min Hyuk tidak bertemu. Rinduku padanya, Hanya ALLAH yang tahu perasaan ini.
Mungkinkah aku akan terus dapat bertemu dengannya setelah tiba di K.L nanti.  Semalam aku sempat membalas mesejnya menyatakan bahawa aku akan pulang dari J.B pada hari esok dan dia berjanji untuk menjemputku di terminal bas pekeliling.
“Adik ni cakap pasal suami ni dah ada hati nak kahwin ke?”  Pertanyaan ibu mengembalikan aku ke alam nyata.
“Eh mana ada ibu.  Adik sebut je, tak ada niat apa-apa pun.”  Aku cepat-cepat menutup keterlanjuran kata-kataku tadi.
“Ya ke?”
“Ya ibu, ibu nanti beg adik penuh dengan kuih raya pulak.  Banyak sangat kuih raya tu.”  Aku mengubah topik perbualan, bimbang ibu akan menyebut tentang Adha.  Maklumlah menantu idaman ibu dan ayah.
Aku tidak tahu samada perlukah aku berterus-terang dengan ibu bahawa aku tetap tidak dapat menerima Adha sampai bila-bila pun.  Bila difikir-fikirkan semula, jika aku berkata begitu pasti ibu dan ayah akan bersungguh-sungguh ingin tahu mengapa?  Jadi biarlah masa yang menentukan segala-galanya.
………………………………………………………………………………………………………
Hampir jam 2.00 petang barulah bas yang kunaiki sampai ke stesen bas Pekeliling.  Turun sahaja dari bas mataku terus melilau mencari Toyota Harrier milik Uncle Yusuf.  Seperti yang telah dijanjikan, Min Hyuk yang akan mengambilku di stesen bas dan pastinya dia memandu kereta bapa saudaranya itu.
Puas mencari namun gagal dan aku berkira-kira untuk duduk di bangku.  Mungkin Min Hyuk masih belum sampai, musim perayaan begini jalan sesak, lebih-lebih lagi baru hari raya keempat.  Bagasiku yang sederhana besar kuletak di sebelah kananku.  Bagasi itu penuh dengan kuih raya, ketupat dan rendang.
Malam tadi, setelah memastikan semua ahli keluargaku tidur, aku turun kembali ke dapur untuk mengasingkan ketupat yang telah siap dimasukkan ke dalam bekas.  Aku mengeluarkan lima ketul ketupat dan ketupat itu akan diberikan kepada Min Hyuk. 
Pada mulanya aku tidak bercadang untuk memberikan Min Hyuk ketupat itu namun setelah ibu memaksaku membawa ketupat lebih, maka elok juga jika Min Hyuk dapat merasa makan ketupat.  Pasti dia belum pernah merasa makan ketupat sebelum ini.
“Aimin.”  Suara Min Hyuk mengejutkanku.
“Awak dah sampai?”
“ Saya dah lama di sini, tunggu kereta sana.”  Aku mengikut arah jari telunjuk Min Hyuk. “Awak tak nampak saya ke tadi?”
“Tak pun, kereta siapa tu?  Mana kereta Uncle?”  Tanyaku apabila melihat kereta yang ditunjukkan oleh Min Hyuk bukanlah Toyota Harrier tapi kereta Proton Persona.  Adakah kereta baru Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah?
“Kereta saya.  Jom.”  Min hyuk mencapai bagasiku dan melangkah menuju ke kereta.  Aku mengekorinya dari belakang. 
Seperti biasa, beberapa mata memandang kami dan mula-mula berbisik.  Pada mulanya memang aku sangat rimas dengan situasi ini namun lama-kelamaan aku seperti sudah lali dan tidak mempedulikannya.  Biarlah orang nak tengok pun, janji tak kacau kami.
“Bila awak beli kereta ni?” Tanyaku sebaik sahaja kami sudah berada di dalam kereta.  Rasa ingin tahuku terlalu kuat.
“Sehari selepas awak balik kampung.”  Min Hyuk sudah memandu kereta keluar dari kawasan stesen bas Pekeliling.
(Banyak pulak duit dia nak beli kereta?  Semangat beli kereta nasional pulak tu.)
“Kenapa tak bagitau?  Macam mana awak boleh ada duit nak beli kereta?”
“ Saya sengaja tak bagitau.  Kejutan.”  Min Hyuk tidak menjawab pertanyaanku tentang di bagaimana dia boleh mendapat wang untuk membeli kereta.  Mungkin duit daripada Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah, Min Hyuk selalu membantu mereka di Kimchi Saranghae pada hujung minggu.  Aku membuat andaian sendiri.
“ Kenapa awak pakai baju tu?”  Mataku secara automatik beralih ke baju kurung moden yang berwarna merah gelap di badanku.
“Baju ni baju kurung dan bila raya kami panggil baju raya so saya kenalah pakai.”  Terangku ringkas.
“Cantik.”  Balas Min Hyuk ringkas.
“Saya atau baju kurung?” Aku tersenyum manja.
“Baju kurung.”  Min Hyuk ketawa, mata sepetnya seperti biasa akan tertutup.
“Jangan gelak, awak kalau gelak mata tu dah gaya pejam.  Nanti tak nampak jalan.”  Aku cepat-cepat memarahinya. Tawa Min Hyuk mati.
“ Baiklah, saya senyum je.” Min Hyuk senyum ke arahku dengan menayangkan semua giginya yang putih bersih. Kini giliranku pula mentertawakannya.  Aku ketawa mengekek.  Lama juga aku ketawa.
“Awak ketawa boleh?  Saya tak boleh pula?”
“Mata awak kecil, bila ketawa habis tertutup.  Mata saya pulak besar, macam ni.”  Aku membulatkan mataku sebesar-besarnya.  Kali ini Min Hyuk ternyata tidak mampu menahan tawanya dan dia tergelak besar.
Min Hyuk terpaksa memberhentikan keretanya di tepi jalan.  Tawa kami masih belum tamat.  Masing-masing tidak mampu menahan tawa yang tercetus.  Agak lama kami berhenti dan setelah tawa antara kami betul-betul reda, barulah Min Hyuk memandu kembali.

9 comments:

  1. hahaha ...so sweet...kelakar la..

    nia..ini kisah awak ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha..bukanlah akak...ni rekaan semata mata jek..btw mest slh fhm sbb name kan?name nia nurul aini bkn aimin hazwani

      Delete
  2. :) ohw..ingat kisah nia..best citer ni sbb lain dr novel di p2u tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. x la kakak~tapi jujur ni ckp dgn kak sha, nia cuba hidupkan watak2 tu dalam diri nia actually~

      Delete
    2. tahniah nia..best citer ni..kadang2 sampai bergenang air mata..sedih tau..kalau time kelakar tu memang tergelak punya..

      Delete
    3. thanks a lot k.sha~really happy to read your nice words^^~and thanks a lot for being a good reader~i will never forget you^^

      Delete
  3. ur wc nia..all the best ya..

    sha suka citer ni lain jalan citernya...nak lihat bagaimana watak ni hadapi cabaran cinta 2 negara berlainan agama...

    ReplyDelete
  4. Mmg terbaek cerita nih !! Xpernah lagi sy bace novel org korea bcinta ngan org melayu.. dah tu pndi cakap mlayu plak tuh !! Haha.... tp pape pon cite nih mmg best !! Congrats k.nia sbb boleh buat novel cani.. congrats once again !! Hehe ^_^

    ReplyDelete
  5. thanks a lot mimi for your nice commnt~thanks for your support~sayang semua readers CTDK

    ReplyDelete