My Sweetie Readers

Sunday 2 September 2012

SARANGHAEYO (Cintaku Tertinggal Di Korea) Part 12


BAB 12

Aku menyusun pinggan mangkuk yang baru dibasuh ke atas rak pinggan.  Terasa sungguh kenyang setelah makan masakan ibu.  Sudah hampir sebulan aku tidak dapat merasa masakan ibu yang bagiku tiada tandingan.  Selalunya aku memang akan balik ke Johor Bharu sebulan sekali.
“ Adik!!!” Abang menyergahku dari belakang.
“ Abang! Cuba panggil elok-elok.  Terkejutlah.”  Aku menjegilkan biji mata.  Abang juga ada di rumah.  Setiap minggu abang akan balik ke rumah.  Dia hanya bekerja di sekitar Johor Bharu.
“ Adha call.  Nanti kirim salam kat dia ya.”
“ Adha tu bukan bestfriend abang ke dulu masa sekolah rendah?” Sempat pula aku bertanya.
“ Itu dulu, zaman kanak-kanak.  Sekarang dah lain, aku tak pernah jumpa dia lepas kita pindah tu.” Adha memang pernah ke mari tapi ketika itu abang tiada di rumah. “ Eh cepatlah pergi cakap dengan dia.”  Arah abang.
“ Pinggan tak siap susun lagi tu abang.  Abang tolonglah susunkan ya.”  Aku mengatur langkah menaiki tangga untuk ke tingkat atas rumahku.  Aku dengar abang merungut.  Pasti merungut kerana terpaksa menyudahkan kerjaku namun dia tetap menyusun pinggan-pinggan itu ke rak.
……………………………………………………………………………………………………....
(Arghhhh, tensionnya aku!)
Adha menelefonku tengahhari tadi kerana dia ingin mengajak aku pulang ke Kuala Lumpur bersama-samanya esok.  Kebetulan Adha menghadiri majlis perkahwinan rakan universitinya di Johor Bharu.  Aku menolak sekeras-kerasnya namun Adha bertindak bijak dengan meminta izin ayah untuk membawaku bersama.  Ayah pula setuju.
(Min Hyuk, mana awak? Tolonglah saya.)
Jika aku tahu keadaan akan menjadi begini pasti aku akan memandu pulang ke Johor namun aku tidak berani untuk melakukan sedemikian dan memilih untuk menaiki bas. Rupa-rupanya tindakanku telah memakan diriku sendiri. 
(Aku mesti cakap jugak dengan ayah yang aku tetap nak balik naik bas)
Aku melangkah laju keluar dari bilik dan terus ke bilik ayah dan ibu.  Pintu bilik ayah dan ibu terbuka sedikit.  Aku tidak sempat mengetuk pintu bilik kerana tiba-tiba ayah menyebut nama Adha.  Lebih baik aku dengar dulu apa yang ayah bualkan.  Manalah tahu ayah ubah fikiran dan tidak akan membenarkan anak daranya ini balik ke Kuala Lumpur bersama-sama Adha.
“ Adha tu baik budaknya.  Doktor pulak tu, lagipun kita dah kenal rapat dengan ahli keluarganya.”
“ Entahlah abang, saya tak kisah tapi anak kita tu macam mana? Kita tak tahu entah-entah dia dah ada pilihan hati lain.”
“ Awak nampak anak kita tu macam ada boyfriend  ke? Mungkin sekarang dia belum ada apa-apa perasaan pada Adha tapi lama kelamaan dia akan jatuh hati juga pada sifat Adha tu.”
“ Bagi saya Adha tu hampir sempurna bang.”
“ Kita suruh je lah Adha tu sabar dulu dengan Adik.  Nanti akhirnya Adik pasti akan balas cinta dia jugak.”
Perbualan ibu dan ayah terlalu perit untuk didengar.  Aku terasa dadaku sebak.  Jadi selama ini ayah dan ibu memang berpakat ingin menyatukan aku dan Adha.  Tak mungkin.  Semua itu tidak akan berlaku.  Aku tidak salahkan ayah dan ibu namun aku amat kecewa dengan semua itu.
(Sampai bila-bila pun aku hanya cintakan Min Hyuk seorang je.  Tak mungkin aku akan cintakan lelaki lain selain daripada Son Min hyuk.)  Aku melangkah longlai menuju ke bilik.  Walau apa pun yang berlaku aku tidak akan pulang ke Kuala Lumpur bersama Adha.  Aku akan menelefon Adha dan tetap akan berkeras menolak pelawaannya itu.
………………………………………………………………………………………………………
Peristiwa semalam benar-benar membuatkan hatiku sakit.  Aku terpaksa juga pulang ke Kuala Lumpur bersama Adha.  Geram juga hatiku kerana Adha langsung tidak mempedulikan panggilan telefonku malam sebelum kami pulang.
Pagi itu, Adha juga tidak mengangkat telefon.  Sedar tidak sedar dia sudah terpacak di hadapan rumahku sejam sebelum bas yang seharusnya kunaiki bertolak ke Kuala Lumpur.  Aku akur dan mengikut Adha namun usai sahaja melepasi pintu pagar rumah, aku terus meminta Adha menghantarku ke stesen bas. 
Permintaan? Lebih tepat dikatakan sebagai paksaan.  Mujurlah Adha akhirnya mengalah dan aku meminta Adha merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ayah dan ibu.  Adha meminta alasan mengapa aku berkeras hati dan tetap ingin pulang menaiki bas namun aku hanya diam seribu batu.
Sudah hampir dua minggu aku tidak bertemu Min Hyuk.  Kami hanya berbual di telefon.  Itupun bukannya hari-hari, aku sibuk dengan kerjaku dan dia juga sibuk dengan pengajiannya di Universiti Lim Kok Wing.  Mujurlah kami saling memahami.
………………………………………………………………………………………………………
“ Terima kasihlah sebab Aimin sanggup temankan Auntie.” Auntie Syafiqah meletakkan album gambar yang baru diambilnya dari almari hiasan ke atas meja..
“ Sama-sama Auntie.” Aku mula membuka album gambar itu.
“ Kalau Min Hyuk masih tinggal dekat rumah ni, tak payahlah susah-susahkan Aimin kena temankan Auntie tapi apa nak buat kalau dia nak tinggal sendiri.  Katanya nak berdikari.  Selalunya kalau Uncle ada kerja di luar Auntie akan ajak kawan-kawan Auntie yang temankan tapi kali ni Auntie teringin sangat nak Aimin yang temankan.  Boleh jugak kita berbual panjang kan?”
“ Betul tu Auntie, Aimin pun happy dapat temankan Auntie.  Dapat pulak makan masakan Auntie.  Marvellous.” Auntie Syafiqah tertawa mendengar pujianku.  Mataku kemudian teralih kepada gambar-gambar yang terdapat di dalam album. 
“ Yang tu Syakila, anak tunggal Auntie.  Dia sekarang belajar di Wales, InsyaALLAH minggu depan dia balik tapi sekejap je dalam dua tiga hari, nanti bolehlah Aimin berkenalan dengan dia.”  Auntie Syafiqah nampak begitu teruja untuk menemukan kami.
“ Cantiknya dia, macam model.”  Pujiku.  Dalam gambar itu, Syafiqah memakai dress berwarna hitam dan rambutnya yang lurus dan hitam didandan rapi.  Aku membelek lagi gambar-gambar lain.  Semuanya gambar Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah serta Syakila.  Aku mencapai album gambar yang lain setelah habis melihat semua gambar di dalam album tadi.
“ Dalam album ni semua gambar-gambar lama.  Gambar masa Auntie muda-muda dulu.”  Tanpa ditanya Auntie Syafiqah memberikan penjelasan.
“ Ya ke Auntie, mesti cantik Auntie masa muda dulu kan?” Tanganku membuka album tersebut.  Ada juga gambar perkahwinan Uncle dan Auntie namun tiba-tiba mataku tertancap pada satu foto kanak-kanak lelaki yang memakai topi berwarna hitam.  Wajahnya seperti baru sahaja lepas menangis.  Entah kenapa aku rasa seperti pernah melihat wajah itu.  Mungkin juga wajahnya seiras dengan kanak-kanak di Korea yang pernah kulihat.
“ Yang ni siapa ya Auntie?”
“ Itulah Min Hyuk.  Dia baru lepas menangis masa ambil gambar ni.  Comel kan Min Hyuk masa kecil.”  Aku mengangguk, bukan mengangguk kerana mengiyakan pujian Auntie Syafiqah terhadap Min Hyuk tapi menangguk mendengar penjelasan Auntie Syafiqah.
“ Lain muka dia masa kecil dengan sekarang.  Banyak sangat beza.” Aku memberi ulasan namun mata masih tertancap pada foto Min Hyuk.  Tidak kusangka kanak-kanak di dalam gambar itu kini sudah besar panjang dan menjadi kekasihku.
Setelah habis melihat semua gambar di dalam album-album, Auntie Syafiqah mengajakku tidur dan menyuruhku tidur di bilik Syaqila.  Rumah banglo dua tingkat milik Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah ini terasa begitu sunyi kerana hanya kami berdua di dalamnya. 
Pembantu rumah mereka tidak tinggal di banglo ini dan akan pulang ke rumah lewat petang kerana tugasnya hanyalah mengemas rumah dan tidak perlu memasak.  Aku terus tidur setelah masuk ke bilik Syaqila dan esok Auntie Syafiqah akan menghantarku ke pejabat.  Aku tidak memandu ke rumah Auntie Syafiqah kerana wanita itu yang menjemputku di rumah selepas Maghrib tadi.
………………………………………………………………………………………………………
Aku melangkah masuk ke Kimchi Saranghae dan aku akan ditemukan dengan Syakila, anak Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah.  Terasa tidak sabar-sabar untuk bertemu sepupu Min Hyuk itu.
Uncle Yusuf melambaikan tangannya kepadaku sejurus melihat aku masuk ke restoran.  Di sebelahnya aku yakin ialah Syaqila, aku pernah melihat gambar-gambarnya ketika bermalam di rumah Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah dulu.  Ternyata dia lebih cantik daripada dalam gambar.
“ Aimin, ini Syakila.”  Aku menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Syakila setelah Uncle Yusuf memperkenalkan anaknya kepadaku.  Syakila tersenyum nipis.  Ada sesuatu yang tidak kena pada raut wajahnya tapi aku cepat-cepat membunuh fikiran negatifku.
“ Kamu berdua berbuallah dulu, papa nak masuk ke dalam dulu.”  Uncle Yusuf meninggalkan kami berdua.  Aku melabuhkan punggung dan Syakila turut melabuhkan punggungnya.
“ Aimin, you betul-betul cintakan Min Hyuk oppa?” Syakila memanggil Min Hyuk sebagai abang bermaksud dia lebih muda dariku namun dia hanya menggunakan I dan You  namun ada sesuatu yang lebih penting daripada panggilannya kepadaku iaitu soalan yang baru sahaja terpacul dari mulutnya.  Aku kurang selesa dengan pertanyaan itu.
“ Kenapa awak tanya soalan macam tu?”  Aku tetap menghadiahkan senyuman kepada Syakila.
I  nak tahu samada You  betul-betul ikhlas cintakan dia atau sekadar main-main?” Aku tersentak mendengar kata-kata Syakila.  Ternyata sifatnya tidak seperti Auntie Syafiqah yang lembut dan sopan tutur kata, sentiasa mengeluarkan kata-kata yang baik dengan sesiapapun termasuk pekerjanya.  Kata-kata Syakila agak keterlaluan.
“ Saya tahu apa yang ada dalam hati saya dan Min Hyuk memang betul-betul pilihan yang lahir dari hati saya sendiri.”  Terlalu sukar untuk meluahkan kata-kata itu namun aku tetap menggagahkan diri.
I  sayangkan Min Hyuk oppa dan dah anggap dia macam abang I  sendiri jadi I  tak mahu akhirnya nanti dia akan kecewa.  I  tak mahu perkara yang pernah berlaku pada mama dan papa akan berulang lagi.”  Aku benar-benar terluka dengan kata-kata Syakila dan hatiku tertanya-tanya apakah perkara yang dimaksudkan oleh Syakila.
“ Apa yang dah berlaku antara Auntie dan Uncle?”
  Perkahwinan mereka hanya dapat restu dari keluarga masing-masing setelah sepuluh tahun berkahwin.  Betapa menderitanya Papa dan Mama.  Papa dibuang keluarga dan mama pula dibenci oleh ayah dan ibu sendiri dan hanya selepas kelahiran I kedua-dua keluarga mampu menerima perkahwinan mama dan papa.  Ada sesuatu yang You  perlu tahu, keluarga papa I  takkan dapat terima You  kerana bagi mereka mamalah yang terakhir sebagai ahli keluarga yang berlainan agama, bangsa dan negara.  I  harap You  fikir dalam-dalam tentang perkara ni sementara masih awal.”  Aku terdiam mendengar kata-kata Syakila.  Bermakna selama ini Min Hyuk telah menipuku bahawa ayah dan ibunya dapat menerimaku sedangkan mereka langsung tidak tahu tentangku.
“ Keputusan Oppa untuk menetap di Malaysia bukannya dengan kerelaan ibu bapa dia.  Dia tinggalkan keluarganya semata-mata kerana You.  Takkanlah You  tak boleh menilai lagi dari situ yang kemunculan You sebenarnya akan memusnahkan hidup oppa.”  Kata-kata Syakila terlalu pedih untuk ditelan. 
Jantungku berdegup kencang.  Aku tidak tahu perkara yang sebenar.  Kenapa Min Hyuk merahsiakannya?  Benar kata Syakila, aku hanya akan memusnahkan hidup Min Hyuk.
“ Saya betu-betul tak tahu tentang semua ni.  Saya ingat segalanya baik.”  Suaraku bergetar.
“ Sekarang You dah tahu perkara yang sebenar dan I  mintak You tinggalkan oppa dan jangan pernah muncul dalam hidup dia lagi dan I  yakin family You juga takkan dapat terima hubungan you all.  I’m begging you to end up your relationship with Min Hyuk oppa. 
Air mata yang kutahan dari tadi akhirnya jatuh berderai ke pipi.  Kata-kata itu seperti pedang tajam yang menusuk terus ke hati.  Terlalu pedih.  Aku tidak sanggup lagi berada di sini.  Aku bingkas bangun meninggalkan restoran tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah.
Di dalam kereta, aku menangis teresak-esak.  Adakah aku memang bukan ditakdirkan untuk bersama Min Hyuk?  Terlalu banyak perkara yang menghalang kami.  Sudahlah ayah dan ibu ingin menjodohkan aku dengan Adha.  Kini muncul pula Syakila yang menghalang kami dan turut menyakitkan apabila rupa-rupanya keluarga Min Hyuk tidak mungkin akan menerimaku. 
Hanya Nadia, Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah yang menyokong kami sedangkan yang lain pastinya tidak merestui kami.  Mampukah aku terus bersama dengan lelaki yang amat kucintai itu atau perlukah aku putuskan semua yang telah terjalin antara kami.

No comments:

Post a Comment