BAB 4
by ANIA MALNA
Aku curi-curi pandang wajah Amru melalui cermin
pandang belakang. Afiq duduk di sebelah
Amru. Aku dan Aqif duduk di bahagian
belakang. Dia senyum lagi. Sudahlah tadi beria dia gelakkan aku saat aku
kembali ke kedai. Afiq dan Aqif
elok-elok sahaja bermain di lobi kedai. Ralit
sungguh bermain sampaikan mereka tidak perasan aku keluar dari kedai. Jika perasan mahu meraung kedua-duanya.
“Twins, seronok tak keluar dengan abang?”
Aku pula yang terasa hendak gelak
guling-guling. Yalah, bahasakan abang
dengan si kembar padahal beza umur punyalah jauh. Boleh jadi anak dia si kembar. Sekadar ketawa di dalam hati kerana wajahku
masih ketat. Malas hendak layan. Biarlah dia berbual dengan si kembar. Dia kan pandai layan budak-budak.
“Syonok, nak keluar dengan abang lagi.” Teruja benar Aqif.
“Nanti abang bawak pergi Zoo boleh? Nak tengok panda.” Boleh pula Afiq buat permintaan.
“Boleh, cakap aje nak pergi mana. Abang bawak.”
“Yeayyyy!”
Afiq dan Aqif bersorak riang dengan tangan diangkat, ditambah pula
melompat-lompat. Gembira sakan adik-adik
aku namun kakaknya kurang perencah gembira.
“Twins behave.
Ini bukan kereta kita.” Aku mula
menyerlahkan kegarangan. Jari-jariku
laju mengepit lengan Aqif. Mata
dibulatkan tanda marah. Aqif pandang
wajahku dua saat dan dia sudah tersebek-sebek menahan tangis. Kurang daripada lima saat, Range Rover Evoque
milik Amru bergema dengan alunan kurang merdu atau lebih tepat tangisan Aqif.
“Kenapa Aqif?”
Laju Amru bertanya. Matanya
mencuri pandang melalui cermin pandang belakang.
“Kakak tubit…”
Aqif kembali melaung.
“Kenapa You cubit Aqif?”
“Suka hati sayalah, adik saya bukan adik Abang. Dia buat perangai mestilah saya marah. Cubit sikit je pun. Abang sibuk kenapa?” Karang aku cubit kau pulak baru tahu.
“Eh, kita pulak dimarahnya. I bukannya nak sibuk cuma I rasa tak patut
You buat macam tu. I am fine with
it. Budak-budak biasalah bila excited
mesti melompat-lompat.” Amru cakap macam
dia ada anak pulak.
Aku diam, malas hendak membalas. Bukan bererti aku mengalah dan merelakan apa
yang Amru buat namun tidak mahu bergaduh di hadapan si kembar.
………………………………………………………………………………………………......
“Aiskrim untuk orang yang tengah panas hati.”
Saat bola mata tertangkap dua kon aiskrim di tangan
Amru. Tanganku serta merta
menggeletar. Darah bagaikan terhenti
mengalir dan pastinya wajahku pucat lesi.
Aku hanya mampu menggeleng dan laju aku melangkah meninggalkan Amru. Mendekat kepada Afiq dan Aqif yang seronok
bermain buaian.
“Jom balik kembar.”
Tangan kedua-duanya aku tarik agak kasar.
“Airin You nak ke mana pulak?” Amru sudah berada di hadapanku.
“Nak balik!”
Tengkinganku tentu sekali memeranjatkan gegendang telinga Amru. Adik-adikku sudah mula menangis. Pasti ketakutan melihatku berkeadaan begini.
“You memang pelik.
Kadang-kadang I tak faham dengan perangai You yang entah apa-apa
ni. Kalau You menyampah sekalipun dengan
I, tak perlu nak tunjukkan biadap tu.”
Tinggi suara Amru. Makin kuat si
kembar menangis. Wajah Amru yang sudah
memerah kutenung sedalamnya. Saat ini
aku berperang dengan perasaan dan juga Amru.
Jantung hatiku bagai sedang membadai di dalam sana. Nafasku laju turun naik. Memori luka menyapa ingatanku dan…
No comments:
Post a Comment