AJCL
BAB 4
by- ANIA MALNA
HCT
“Saya mintak maaf tentang semalam,
saya tertinggi suara dengan awak.”
Ikhwan memulakan bicara.
Nasib baik mintak maaf, kalau tidak
alamatnya memang merajuk berpanjangan aku.
Eh kejap, aku bukannya merajuk tapi terasa hati. Terasa hati kerana Ikhwan membela Fatin
sehingga sanggup meninggikan suara terhadapku.
Salahkah aku kerana risau kehilangannya?
“Saya datang sebab nak clearkan semuanya. Saya tak nak ada apa-apa perasaan yang tak
elok antara kita B.” Lembut sekali tutur
kata Ikhwan dan aku dapat rasakan dia benar-benar ikhlas memujukku.
Perasaan bersalah terus
menyerbuku. Jahat sangatkah aku
melayannya sebegini sedangkan dia terlalu baik terhadapku. Sifatku terlalu menjengkelkan, jadi tidak
salah jika dia kadang-kadang tidak mampu menerimanya. Dia tidak bersalah apa-apa, aku yang terlalu
ikutkan emosi. Berfikir yang bukan-bukan
dan yang paling teruk, aku pastinya telah melukakan hati Ikhwan.
Namun aku punya alasan yang kukuh
untuk beremosi. Aku takut, takut yang
amat sangat. Aku bimbang akan
kehilangannya. Perkara yang bila
difikirkan akan membuatkanku resah gelisah, tidak tentu arah dan juga
membuatkanku tidak tidur malam. Fatin,
gadis yang sangat sempurna bagiku, mana tahu tiba-tiba aje kasih sayang Ikhwan
berubah daripada abang kepada sebaliknya.
Entah bila air mata berkumpul di
kelopak mataku, tahu-tahu aje mutiara jernih sudah mengalir ke pipi. Terasa hangat pipiku dek air mata. Terbukti aku sememangnya takut kehilangan
Ikhwan. Aku tidak mampu untuk
menerimanya jika ia benar-benar terjadi.
Ya ALLAH, janganlah pisahkan aku dan Ikhwan. Sesungguhnya, aku amat mengasihi, menyayangi
dan mencintai lelaki di hadapanku ini.
Satukanlah kami dengan ikatan yang sah.
“Sayang.” Ikhwan memanggilku dengan cukup lembut. Dia beranjak mendekatiku. Bahuku dipegangnya lembut dan kali ini aku
tidak pula marah.
“Saya mintak maaf.” Dalam sedu
sedan, aku akhirnya membuang ego. Maaf
kupohon.
“Shhh, awak tak perlu mintak
maaf. Saya tahu awak sayangkan saya,
sebab tu awak boleh fikir bukan-bukan.”
Ikhwan merenung wajahku. Satu
senyuman nipis dihadiahkan untukku.
Cukup manis dan menenangkan senyumannya.
Terasa sungguh bahagia.
“Saya tak nak awak nangis dah dan
jangan fikir bukan-bukan ya sayang. Lagi
tiga minggu kita akan kahwin dan tak ada siapa-siapa yang mampu pisahkan
kita. Yakinlah. Hanya Kuasa Allah yang dapat pisahkan
kita.” Ikhwan mula menyapu air mata di
pipiku. Air mataku sudah berhenti
mengalir namun sedu sedan masih kedengaran.
“Tapi saya tak mahu berpisah dengan
awak.” Aku merenung Ikhwan, penuh
mengharap. Aku mahu dia tahu yang aku
sememangnya tidak mampu hidup tanpanya.
“Kita takkan berpisah. Berdoa pada Allah moga ikatan kita akan
berakhir sebagai suami isteri dan ia akan kekal hingga ke akhir hayat.” Ikhwan seperti memujukku. Aku mengangguk lemah.
“D.”
Aku memanggil Ikhwan dengan cukup lembut.
“Ya, apa dia?”
“Tangan You.” Aku menjuihkan bibir
ke tangan Ikhwan yang melekat di bahuku.
Ikhwan tersenyum dan perlahan-lahan mengalihkan tangannya.
“Sorry.”
“Lagi tiga minggu tau.” Aku ketawa kecil. Memberi peringatan yang cukup halus. Hakikatnya, aku dan Ikhwan masih belum sah
jadi kami tidak boleh sewenang-wenangnya bersentuhan walau beralas. Batas-batas pergaulan masih kukuh antara
kami. Tidak boleh diambil ringan kerana
ia tetap hukum agama yang sangat suci.
………………………………………………………………………………………………………
Aku leka membelek baju-baju yang
tergantung. Berfikir-fikir mana satu
yang harus kubeli untuk dihadiahkan kepada papa. Ada pelbagai warna dan setahuku papa suka
warna hitam dan hijau. T-shirt berjenama
Polo di hadapanku semuanya menarik cuma tidak tahu yang mana satukah paling
sesuai untuk Papa. T-shirt ini nanti
bolehlah dipakai papa semasa bermain golf dengan rakan-rakannya. Kali ini untuk hari jadi papa, aku
berkira-kira untuk menghadiahkan baju T-shirt, topi, jeans sebagai pakaian
kasual dan juga satu set pakaian untuk ke pejabat yang terdiri daripada kasut,
kemeja dan blazer.
Aku tersenyum saat memandang sehelai
baju berwarna hitam. Ringkas aje rekaannya,
tentulah ringkas, nama pun T-shirt namun bagiku cukup menarik. Baju itu digantung tinggi dan tentulah aku
tidak sampai untuk mencapainya dan aku berkira-kira untuk memanggil pembantu
kedai. Mataku melilau ke sekitar kedai
mencari pembantu kedai. Tiada.
Aku terus ke kaunter dan di kaunter
terdapat dua orang pekerja sedang berbual.
Panas pula hati ni, boleh pulak mereka berbual kat kaunter. Makan gaji buta ke apa? Aku mula meregus di dalam hati. Inilah orang Melayu, layan sangat sikap
malas. Sampai bila hendak berjaya, asyik
di takuk lama. Sempat pula aku
berfalsafah.
“Excuse
me.” Aku menegur kedua-duanya.
“Ye dik?”
Apa??? Adik dia panggil aku? Ingat aku ni budak sekolah menengah ke? Hello!
I’m 19 years old! Mentang-mentanglah aku rendang, dia ingat aku
budak kecil. Sabar aje lah. Aku marah di dalam hati. Geram betul!
Angin tadi belum habis tambah angin baru pulak.
“Boleh tolong ambik kan saya baju
yang tergantung tu?” Jariku menuding ke
arah baju tadi namun….
“Mana baju tadi?” Baju yang kumaksudkan sudah tiada.
“Baju yang mana ye dik?” Pekerja wanita yang memanggilku ‘dik’ tadi
bertanya.
Belum sempat aku membuka mulut,
seorang lelaki yang tinggi lampai tiba di kaunter. Kedua-dua pekerja wanita tadi terus memandang
lelaki yang sudah berdiri di sebelahku, mereka tidak mengendahkanku. Di tangannya!!! Baju tadi!!!
Patutlah baju tadi sudah tiada, rupa-rupanya sudah diambil orang lain.
“Saya nak baju yang sama macam ni.” Kataku tegas sambil jari menuding ke arah
baju T-shirt berwarna hitam yang telah diletakkan di kaunter.
“Maaf dik, baju ni limited edition jadi ada satu je.”
Panas hatiku mendengar kata-kata
pekerja di hadapanku ini. Itu baju yang
kuinginkan! Aku yang nampak baju itu dulu!
Aku yang mahukan T-shirt itu dulu!
Dia tak boleh ambik sesuka hati.
Keinginanku tiada siapa boleh menghalangnya dan permintaanku tidak
pernah ditolak, sentiasa ditunaikan.
“Saya tak kira, saya nak yang ni
jugak.” Aku tetap bertegas dengan wajah
yang masam mencuka.
Lelaki yang berdiri di sebelahku
tadi diam seribu batu. Aku sempat
menjelingnya dan dia hanya tersenyum.
Tak ada perasaan gamaknya mamat ni atau sebenarnya dia tak berapa betul. Orang tengah marah-marah boleh pula dia
tersengih-sengih rupa siput busuk.
“Tak bolehlah macam tu dik. Abang kacak ni kan dah ambik dulu.”
Aik, pandai pulak nak berabang
dengan lelaki, dengan aku adik. Siap
memanggilnya abang kacak lagi. Ini yang
buat api marah aku makin marak. Memang
menempah maut mereka semua, tornado bakal melanda sekejap lagi. Tengoklah!
“Oh, abang. Umur berapa!”
Aku bertanya dengan kasar dan mataku mengarah kepada lelaki di
sebelahku.
“19.” Jawabnya pendek.
“Oh 19, abanglah sangat.” Nadaku memerli. Mataku menjeling kedua-dua pekerja tadi.
“Samalah umur kita awak.” Seorang pekerja mula menggatal. Nadanya sedikit manja.
“Umur kita pun sama!” Aku pula yang membalas namun dengan nada yang
agak tinggi.
Tidak mahu terus berada di dalam
situasi ini, aku terus mengatur langkah keluar.
Bimbang juga perang bakal tercetus.
Sudahlah apa yang kuinginkan tidak dapat, ini karang tak pasal-pasal
tornado melanda kedai berjenama Polo ini.
Lebih baik aku beredar dengan hati yang panas membara.
“Awak tunggu dulu!” Terdengar suara lelaki tadi memanggilku namun
tidak kuendahkan. Aku laju mengatur
langkah keluar dari kedai. Berkira-kira
untuk mencari mama dan papa yang memilih untuk masuk ke kedai hiasan dalaman yang
terletak selang beberapa buah kedai dari kedai Polo.
Aku hampir melangkah ke kedai hiasan
dalaman yang dimasuki mama dan papa namun langkahku terhenti. Di hadapanku, berdirinya lelaki tadi. Dia termengah-mengah, berlari mungkin dan di
tangannya baju T-shirt Polo yang kurebutkan tadi.
“Nah, awak ambiklah.” Dia menghulurkan baju di tangan kepadaku. Aku tergamam.
“Eh Ikhwan, apa kamu buat kat
sini?” Mataku membulat apabila papa
menegur lelaki di hadapanku.
“Uncle.” Ikhwan menyalami papa dan tangan papa
dikucupnya.
“Saya nak berikan baju ni
pada…” Ikhwan memandang ke arahku.
“Ini anak Uncle, Afrina Imani.” Papa memaut bahuku. Aku masih terkebil-kebil macam katak pisang.
“Anak uncle? Ya Allah kecilnya dunia. Sebenarnya tadi kami berebut baju ni.” Kata Ikhwan dengan jujur. Lurus macam tiang lampu rupanya lelaki
bernama Ikhwan ini.
“Berebutkan baju?” Papa bertanya kehairanan. Dahi papa berkerut-kerut.
“Kami berdua nak baju yang sama tapi
saya bertindak lebih cepat dan ambil baju ni untuk dibayar. Mula-mula saya dah nampak Imani tengok baju
ni tapi saya ingatkan dia tak nak sebab dia prgi tanpa ambik baju ni. Jadi saya pun ambik baju ni dan bawa ke
kaunter untuk bayar. Tak sangka pulak
rupanya dia masih nak baju ni cuma dia tak sampai nak ambik. Waktu tu saya memang nak mengalah dah tapi
belum sempat bayar baju ni dia dah lari.”
Ishhh, mengantuk aku dengar si
Ikhwan ni bercerita. Boleh buat bedtime story cerita dia ni. Memang terlebih jujur mamat sorang ni. Ceritanya lengkap daripada A sampai Z. Tiada yang kurang, cukup rencahnya. Sebijik macam peristiwa yang berlaku tadi.
“Anak papa buat hal lagi ya? Ini mesti adik mengamuk kat kedai tadi
kan?” Papa laju aje menghidu
tingkahku. Aku tertunduk tidak berani
berkata-kata.
“Taklah Uncle, salah pekerja tu
jugak tadi. Imani tak buat hal
pun.” Ikhwan membelaku. Ada aku suruh? Memandai aje.
“Memang…” Aku membuka mulut. Ingin berterus-terang akan kejadian aku naik
angin puting beliung tadi.
“Memang Imani betul-betul nak baju
ni, sebab tu saya kejar dia Uncle.”
Ikhwan cepat mencelah. Aku
menjelingnya tajam. Sibuklah!
“Maaflah Ikhwan, anak Uncle ni
memang kalau satu benda dia nak, kalau tak dapat mahu bergegar mall ni.” Papa ketawa kecil.
“Papa.” Aku merengek manja sambil kepala dilentokkan
ke bahu papa.
“Depan Ikhwan pun nak manja-manja
dengan papa. Malulah.” Papa menegurku lembut.
“Biarlah pa, bukan adik bermanja
dengan papa orang lain. Dengan papa adik
sendiri kan.” Aku sudah muncung.
“Ikhwan datang dengan siapa?” Papa pasti sudah malas melayan kerenahku dan
beralih kepada Ikhwan.
“Saya datang dengan adik. Kami cadang nak belikan hadiah untuk daddy.
Minggu depan hari jadi daddy.” Jelas Ikhwan sambil menghadiahkan senyuman
yang cukup manis. Lembut sekali tutur
katanya, sopan gitu. Boleh cair kalau
tidak kuat, mujur juga hatiku keras macam batu.
Tidak mudah cair.
“Oh ye ke? Cakap pasal hari lahir, kebetulan hari esok birthday uncle. Afrina beria nak buat majlis
kecil-kecilan, jemputlah datang. Ajak daddy dengan mummy. Lama dah Uncle tak jumpa mereka.” Aku membantah keras pelawaan papa namun cuma
di dalam hati, tidak terkeluar di mulut.
“In Sha Allah Uncle, saya berbesar
hati untuk datang.” Ikhwan nampak senang
dengan pelawaan papa.
“Papa, mama mana?” Aku melencongkan topik perbualan papa dan
Ikhwan.
“Mama ada kat dalam lagi, tengah
memilih barang-barang yang hendak dibeli.
Biasalah mama tu kalau pilih barang, mahu berjam.”
“Papa, masuklah tengok mama. Nanti adik masuk.” Arahku lembut dan papa mengangguk.
“Uncle masuk dulu ya Ikhwan. Jangan lupa esok malam datang ke rumah.” Papa sempat mengingatkan Ikhwan. Setelah itu papa melangkah masuk ke dalam
kedai hiasan dalaman.
“Awak! Tahu tak baju ni saya nak hadiahkan pada papa
saya.” Aku membulatkan biji mata sambil
jari menuding ke arah baju T-shirt hitam di tangan Ikhwan.
“Oh yeke, awak tak bagitau saya.”
“Apa kes pulak saya nak bagitahu
awak. Saya dah tak nak baju ni, lagipun
papa pun dah nampak baju ni. Awak ambik
je la.”
“Are
you serious?”
“Seriuslah, tak kan nak main-main
pulak. Just take it and leave.”
Amboi, sombongnya Afrina Imani.
Aku bercekak pinggang sambil menjeling tajam.
“Okay,
I will take it and leave. See you
tomorrow night.” Ikhwan terus sahaja
mengatur langkah sebelum aku sempat berkata apa-apa. Aku mengetap bibir. Geram!!!
………………………………………………………………………………………………………
Aku tersenyum melihat papa memakai
baju T-shirt berjenama Polo yang dihadiahkan Ikhwan lima tahun yang lalu. Baju itu antara salah satu baju kegemaran
papa. Tidak disangka rupa-rupanya dari
sekadar anak rakan seperniagaan akhirnya Ikhwan menjadi bakal menantu papa dan
tentunya papa menerima Ikhwan dengan hati yang lapang. Iyalah, siapa tidak mahukan menantu seperti
Ikhwan. Cukup semuanya, tiada cacat cela
mahupun kekurangan.
Entah bila cinta antara kami
berputik aku sendiri tidak sedar. Sedar
tidak sedar, hatiku berdetak laju saat melihatnya. Pertemuan pertama kami yang tidak
disengajakan diikuti pertemuan kedua yang kurang sempurna. Di majlis hari jadi papa aku tertumpahkan air
ke baju Ikhwan dan dek kerana silapku sendiri terciptanya pertemuan
ketiga. Ia tidak berhenti di situ
apabila kami rupa-rupanya beajar di universiti yang sama iaitu Universiti
Malaya.
Dari situlah, pertemuan demi
pertemuan terjadi dan akhirnya kami akur dengan rasa cinta yang sudah terbit di
hati masing-masing. Cinta yang
dihulurkan oleh Ikhwan kusambut dengan bahagia dan gembira. Pada mulanya aku menyangka, aku cuma bertepuk
sebelah tangan dan ternyata sangkaanku silap.
Aku tidak pernah menyangka Ikhwan jatuh cinta padaku. Iyalah, aku sudahlah serba kekurangan
ditambah pula sikap yang entah apa-apa jika dibandingkan dengannya. Dia terlalu sempurna di mata manusia.
Setelah empat tahun berkawan dan
atas persetujuan bersama kami memutuskan untuk bertunang selama setahun
setengah. Saat bahagia kami akan tiba
tidak lama lagi. Aku sudah tidak sabar
untuk menunggu saat indah itu. Melayari
bahtera rumahtangga bersama dengan yang tercinta pastinya impian setiap wanita
di dunia dan aku bersyukur kerana aku dapat bersama-sama dengan lelaki yang
ikhlas kucintai.
“Adik, yang tersengih sorang-sorang
ni kenapa?” Mama mematikan lamunanku.
“Ya ma.” Aku termalu sendiri. Mujurlah ada mama dan papa sahaja saat ini.
“Pukul berapa adik nak keluar dengan
Fika dan Sara?” Mama bertanya sambil
tangan sibuk mencedokkan nasi lemak ke dalam pinggan papa.
“Pukul 9 ma.” Aku sudah mula mencedok sambal ke dalam
pinggan walau nasi belum diletakkan. Tak
sabar nak makan nasi lemak yang dimasak mama, baunya pun sudah harum wangi
buatkan semua tergoda. Ini sah tiga
pinggan aku makan kejap lagi.
“Apa kata ajak Fika dan Sara main
golf sekali dengan papa?”
“Papa, ada pulak ajak main
golf. Papa pergi je lah dengan menantu
kesayangan papa tu. Nanti kalau kami
pergi bimbang bukan bola golf yang ke depan tapi kayu golf.” Mama dan papa sama-sama ketawa mendengar
alasan tidak munasabahku.
“Ishh ada pulak macam tu. Belajarlah, lagipun Ikhwan tu suka sangat
main golf, nanti bolehlah adik temankan dia.”
Mama memberi cadangan yang sudah tentu aku tolak mentah-mentah.
“Temankan dia? Haruslah tidak ma. Baik adik pergi tengok wayang. Entah apalah yang bestnya main golf tu.
Bosanlah, ketuk bola lepas tu tunggu dia golek dalam lubang.” Sesedap hati aje aku mengutuk sukan kegemaran
papa dan Ikhwan.
“Ehem. Amboi, kutuk tak agak-agak.” Hampir tersedak aku dibuatnya. Iyalah, mana tidaknya tiba-tiba aje muncul
suara Ikhwan.
“Selamat pagi Uncle, Auntie.” Ikhwan sudah berada di meja makan dan dia
bersalam dengan papa dan seterusnya mama.
Setelah itu, dengan selamba dia menarik kerusi di sebelahku dan duduk.
“Mari pinggan, Auntie cedokkan
nasi.” Mama menghulurkan tangan dan
Ikhwan memberikan pinggan di hadapannya.
“Sedapnya Auntie, bau pun dah
menyelerakan. Belum masuk mulut
lagi.” Ujar Ikhwan dengan nada yang
riang.
“Nak cakap bumbung rumah bocor, tak
bocor. Ingatkan jatuh dari langit
tadi.” Aku mendongak ke siling. Sengaja memerli Ikhwan.
“Saya datang naik roket tadi.” Ikhwan sempat bergurau. Mama dan papa ketawa kecil.
“Eiii awak ni kan. Tiba-tiba aje muncul. At
least bagilah salam dulu, ini tidak main redah je masuk rumah orang. Lepas tu, tiba-tiba datang sarapan kat sini
kenapa?” Mulutku sudah gaya bertih
jagung marahkan Ikhwan.
“Adik, ada pulak cakap macam tu, tak
baiklah.” Papa menegur kelakuanku.
“Mama yang ajak Ikhwan sarapan
sekali. Ikhwan dah lama sampai tapi
duduk kat luar tengok taman baru kat depan tu.
Adik je yang tak sedar Ikhwan sampai.”
Mama menjelaskan perkara sebenar.
“Tak mesej atau call saya pun.” Aku mula
memberontak sambil menjeling Ikhwan.
“Tak mesej? Tak call? Phone awak
mana?” Ikhwan tersengih-sengih.
“Entah, kat atas kot.” Aku mengerutkan dahi, cuba untuk mengingat di
mana aku letakkan telefon.
“Telefon tu lain kali letak dalam
cermin, buat perhiasan je.” Perli mama.
“Adik tertinggal telefon kat bawah
semalam. Mujur juga pagi tadi Mak Jah
jumpa kat atas sofa.” Papa menggelengkan
kepala mengenangkan anaknya yang sangat pelupa ini.
“Oh ya ke? Sorry.” Aku beralih memandang Ikhwan di sebelahku. Mataku dikedip-kedipkan berkali-kali. Minta simpati
kononnya.
“Maaf diterima tapi tolong cedokkan
saya sambal.” Ikhwan mengangkat
pinggannya dan aku patuh mencedokkan sambal ke dalam pinggannya.
“Ma, nasi adik.” Aku merengek manja, baru tersedar rupa-rupanya
nasi belum diletakkan ke dalam pinggan namun pingan sudah sarat dengan sambal,
timun dan telur goreng. Mama ketawa
kecil melihat keletahku.
“Auntie, biar saya cedokkan nasi
untuk Imani.” Ikhwan menawarkan
diri.
No comments:
Post a Comment