BAB 1
by ANIA MALNA
Mataku teralih ke sebelah kiri setelah hampir lima
minit memandang tasik. Walau sepasang
mataku mengarah ke tasik namun mindaku fokus kepada lelaki yang duduk berjarak
di sebelahku kini. Sejak tiba tadi
memang tiada suara antara kami. Aku
lewat setengah jam dari waktu yang telah dijanjikan dan aku sangka dia sudah
tiada namun salah jangkaanku. Dia tetap
setia menungguku. Salam yang aku berikan
lima minit lalu dibalasnya tanpa perasaan.
Setelah aku duduk, langsung tiada suara di antara kami. Sepertinya perang bisu telah kami
isytiharkan.
Lima saat mataku terpaku ke wajahnya. Aku tarik nafas sedalam-dalamnya dan
perlahan-lahan aku lepaskan. Bersedia
untuk ‘menegurnya’ dahulu. Jika
dibiarkan, mahu sampai habis waktu lunch
hour kami akan berkampung di sini.
Mulut aku terbuka sedikit, bibir bergerak- gerak dan otak pula ligat
menyusun ayat untuk aku lontarkan.
“Amal redha dengan apa yang berlaku.” Perlahan sekali nada suara lelaki di sebelahku
ini namun entah kenapa aku merasakan tiada iringan kecewa dalam nadanya. Seperti tawar dan tiada apa-apa rasa, tanpa
emosi mungkin.
“Auni mintak maaf bagi pihak Julia. Auni…”
Aku mati kata-kata. YA ALLAH,
mengapa lidahku bagaikan memberat.
Terasa lebih berat daripada satu tan batu. Bibirku kembali bertemu dan aku alihkan
pandangan ke tasik semula. Mungkinkah
aku sebenarnya takut untuk meneruskan ayat kerana bimbang ia akan mencalar
jantung dan hati Amal yang sememangya sedang berduka saat ini?
Tawa kecil yang kedengaran membuatkan aku cepat-cepat
berpaling ke arah Amal. Aku tidak silap
dengar kerana saat mataku kembali menjamu wajah Amal, dia sememangnya sedang
ketawa. Tadinya sekadar tawa kecil kini
tawanya makin besar pula. Sudah! Aku mula fikir yang bukan-bukan. Mana mungkin Amal Yusuf terlalu tertekan
dengan apa yang berlaku hingga membuatkan dia menjadi… Tidak sanggup aku menyebut perkataan
itu. Bulat mataku memandang Amal.
“Auni Marjan… janganlah buat muka macam tu. Kelakar tau tak?”
“Apa Amal ni?
Tak faham betullah dengan awak ni.
Kenapa ketawa? Sekarang patutnya
kena serius. Awak betul ke tidak
ni?” Geram pula aku dibuatnya dengan
bekas bakal adik ipar aku ini. Ada juga
yang makan beg tangan kejap lagi.
“So, what do
you expect? Nak suruh Amal menangis
air mata darah sebab adik Auni tu mintak putus tunang. Macam tu?”
Tawa Amal mati dan wajahnya kembali tanpa perasaan.
“Bukanlah macam tu cuma sekurang-kurangnya ada lah
nampak kesedihan tu. Macam tipikal putus
tunang. Setidak-tidaknya jumpa dengan
Julia dan berbincang elok-elok dengan dia dan pujuk dia untuk batalkan
keputusan putus tunang tu. Mana tahu
Julia akan lembut hati dan terima semula Amal.
Auni bukan tak cuba pujuk Julia tapi dia tetap berdegil dan langsung tak
nak bagitahu kenapa dia nak putuskan pertunangan dengan Amal. Auni tak sedap hati sebenarnya. Auni tahu yang Julia sangat cintakan Amal,
jadi pelik bila tak ada angin tak ada ribut Julia buat keputusan mendadak untuk
putuskan pertunangan. Melainkan…” Aku mencerlung tajam Amal. Cuba menyelidik sesuatu di sebalik mata
hitamnya. Mungkinkah Amal…
“Auni, jangan fikir yang bukan-bukan.” Amal cepat sekali menembak fikiran negatifku
dan ia terus mati.
“Amal buat hal, jangan ingat Auni akan lepaskan
Amal. Julia tu adik Auni. Amal sakitkan hati dia, bererti Amal sakitkan
hati Auni jugak. Ingat tu.” Jari telunjukku menuding tepat ke wajah Amal. Memberikan amaran yang sekeras-kerasnya. Biar nampak kasar dan biadap asalkan Amal
gentar.
“Sampai hati Auni fikir Amal macam tu.”
“Sedangkan pantai pun berubah, inikan pula hati
manusia. Boleh dibolak-balikkan seandainya
Iman tak kuat. Amal ada orang lain sebab
tu Julia mintak putus tunang kan?” Sinis
nadaku. Mahu Amal mengaku sekiranya
tekaan aku ini tepat.
“Astaghfirullahaladzmin. Amal bukan ajak Auni jumpa untuk terima
tuduhan sebegini. Auni kenal Amal sejak
kita darjah satu lagi dan Auni Marjan kenal sangat dengan Amal Yusuf.” Kata-kata Amal seperti menembak tepat ke
jantungku. Terdiam aku tidak mampu
membalas tembakan itu atau lebih tepat, aku sudah kehabisan peluru. “Mungkin Amal yang salah selama ni. Amal salah sangka dan sememangnya semua
jangkaan Amal pada Auni semuanya salah.”
Mendalam sekali kata-kata Amal Yusuf.
Aku sendiri tidak faham apa yang dimaksudkannya.
“Amal pergi dulu, terima kasih sudi pinjamkan masa
Auni untuk jumpa Amal.” Habis sahaja
ayat, terus sahaja dia bangun dari kerusi panjang dan melangkah
meninggalkanku. Aku pula hanya mampu
menghantar pandangan sebagai pengiring kepergian Amal. Dalam hati mengharapkan Amal akan berpaling
memandangku, persis dalam drama namun ini bukan drama mahupun novel kerana ia
adalah realiti. Setelah Subaru XV
berwarna merah milik Amal bergerak meninggalkan kawasan taman mini ini, barulah
aku bangun berdiri.
“Auni mintak maaf, Amal Yusuf.” Perlahan suaraku. Sekadar mampu didengar oleh telingaku. Tiada guna untuk meminta maaf sedangkan
orangnya sudah pergi. Ya ALLAH, terasa
perasaan bersalah menghujani aku tika ini, lebat sekali hingga terasa hendak
rebah. Aku sudah bersalah terhadap Amal
dan apakah aku berpeluang untuk meminta maaf dengannya?
………………………………………………………………………………………………………
“Adik, tolonglah jujur dengan
Akak.”
“Akak boleh tak jangan sibuk-sibuk
tanya. Kan Ju dah cakap itu keputusan
muktamad Ju, tolong hormat keputusan Ju.”
“Bukan Akak tak hormat keputusan
adik tapi akak nak tolong selamatkan pertunangan adik dengan Amal.”
“Akak, Ju rimas tau tak. Ju bukannya budak kecik, dah dewasa pun jadi
tolonglah jangan sibuk hal Ju. Leave me alone!” Pedas sekali kata-kata Julia. Bohong aku katakan yang aku tidak ambil hati
namun kucuba tendang jauh rasa itu kerana misi aku adalah untuk sehabis daya
menyelamatkan hubungan Julia dengan Amal.
“Adik, tolong ya fikirkan tentang
Amal. He’s a good man for you.”
Aku tidak mudah mengalah walau Julia bersungguh-sungguh marahkan aku.
“Kalau dah rasa dia tu baik sangat,
Akak je la kahwin dengan dia. Jangan nak
paksa-paksa orang pulak.” Julia
hadiahkan jelingan padu buatku dan terus sahaja masuk ke dalam biliknya. Pintu dihempas kuat. Terasa bergegar rumah teres dua tingkat ini.
“Auni, kenapa yang kuat sangat
bunyi pintu tu?” Entah bila ibu naik ke
tingkat atas. Tahu-tahu sudah berada di
belakangku. Pasti aku tidak sedar kerana
terperanjat dengan tindakbalas kasar Julia.
“Tak ada apa, Ibu.” Seperti biasa, memang tugasku untuk
menyembunyikan ‘kenakalan’ Julia terhadapku.
“Adik buat hal lagi ke?” Ibu cepat benar menghidunya.
“Taklah, Ibu. Janganlah risau.” Aku paut lembut lengan ibu. “Jom ibu, kita turun bawah. Dah pukul sebelas ni, kita prepare untuk makan tengahari.” Aku memang bijak mengalihkan perhatian ibu
namun berjaya atau tidak? Selalunya aku
akan gagal. Ibu kenal benar dengan anak
yang dikandungnya sembilan bulan itu.
“Sampai bila Akak nak bela adik
tu? Ibu kesian tengok anak ibu yang
seorang ni. Selalu sangat kena dengan
adik. Ini ibu ada lagi, bolehah ibu
tengok-tengokkan kamu berdua. Nanti bila
ibu dah tak ada macam mana?” Sayunya
nada suara ibu. Tiba-tiba aku jadi
sebak.
“Ibu, janganlah cakap macam
tu. Akak nak ibu sentiasa ada dengan
Akak.” Spontan aku memeluk ibu
seeratnya. Laju Kristal cair pecah
berderai jatuh menurun ke pipi dan aku sedikit teresak. Aku memang sensitif bila perkara begini
diungkap oleh ibu. Memikirnya juga sudah
boleh buat nangis.
“Ya, sayang. Selagi Allah pinjamkan nyawa untuk ibu, ibu
akan sentiasa ada menyokong akak. Ibu
sayang anak ibu setiap detik, dunia dan akhirat.” Kata-kata ibu mencetuskan esakanku. Sungguh!
Aku terharu dengan layanan ibu walaupun…
“Tak habis-habis nak
berdrama.” Suara Julia membunuh momen
indah yang baru sahaja dibina oleh aku dan ibu.
Kami sama-sama meleraikan pelukan.
“Adik, sudah-sudahlah tu. Tak habis-habis nak sakitkan hati Ibu dengan
akak.”
“Ibu memang, selalu sangat bela
Akak, padahal akak tu bukannya…”
“Julia!” Tegas sekali panggilan ibu. Julia pamer wajah kurang puas hati dan
kembali ke biliknya.
“Akak…”
“Ibu, janganlah risau. Akak okay, lagipun adik sekarang tengah kusut
fikiran. Tentu dia susah hati fikirkan perihal pertunangan
dia dengan Amal, sebab tu emosi tak stabil.”
Cepat aku memotong kata-kata ibu.
Ya ALLAH, mengapa hatiku ini begitu lembut untuk gadis bernama Julia
itu? Mungkin kerana kasih sayangku
terhadapnya terlalu hebat hingga mampu memadamkan api marahku. Kerana aku ikhlas kasihkannya sebagai seorang
adik.
………………………………………………………………………………………………
Aku membuka Fail Rancangan
Pembelajaran (FRP) dan terus membuka bahagian subjek Industrialised Building
System. Mataku terpaku pada syllabus subjek namun hatiku ke
lain. Jujurnya, aku teringatkan Amal
Yusuf. Sudah seminggu berlalu sejak
pertemuan kami yang akhirnya membawa luka di hati Amal. Terasa aku agak jahat kerana langsung tidak
meminta maaf di atas apa yang telah terjadi.
Perlukah aku minta maaf?
“Cik, cik…”
“Ya, awak panggil saya ke?” Mataku terarah kepada pelajar yang berdiri di
hadapan mejaku.
“Ya, cik. Maaflah kalau saya ganggu. Saya dah bagi salam tapi mungkin cik tak
dengar.” Pelajar itu gelak kecil. Pasti sekadar mengambil hatiku, mana boleh
lukakan hati pensyarah kan?
“Sorry ya, kenapa awak datang?”
“Saya nak ambik nota Bab 3. Tadi masa kelas cik ada suruh datang ofis
ambik nota sebab cik lupa nak bawak nota tu.”
Kata-kata pelajar itu membuatkan aku beristighfar di dalam hati. Inilah padahnya bila buat salah dengan orang,
kemudian tidak minta maaf. Jadi aku
sudah dapat jawapan untuk soalan tadi.
Setelah nota diberikan dan pelajar itu berlalu pergi, aku mengeluarkan
telefon bimbit di dalam beg tangan dan hujung jari telunjukku mula menari di
atas skrin, mencari nombor telefon Amal.
Panggilan dibuat namun tidak berangkat.
Setelah suara operator kedengaran, aku terus matikan panggilan. Agaknya dia sibuk. Aku tidak mahu berfikiran negatif.
“Auni jom.” Kak Dihah yang datang tanpa salam tersengih
memandang ke arahku.
“Jom ke mana akak?”
“Pergi senangkan perutlah, apa
lagi. Dah pukul satu ni.”
“Dah pukul satu ke?” Aku tanya semula walau mata sudah tepat
melihat jam di skrin komputer.
“Yalah dik oiii. Jomlah, karang perut akak merajuk
pulak.” Tanganku ditarik oleh Kak
Dihah. Aku sempat mencapai beg tangan
dan mengikut langkah kaki Kak Dihah.
“Kau ni kenapa dik? Akak tengok semacam aje seminggu ni. Ada apa-apa masalah ke?” Kak Dihah sudah mula menjalankan tugasnya
sebaga wartawan tidak berbayar. Aku
tidak jadi menyuap nasi ke dalam mulut.
“Semacam yang macam mana akak? Sama aje Auni tengok cermin muka Auni
ni. Tetap mata sepasang, hidung satu,
mulut pun satu.” Aku ketawa geli hati
dengan lawak yang aku reka sendiri namun Kak Dihah tayang wajah serius. Tawaku mati, bukan takut melihat wajah serius
Kak Dihah tetapi bersedia untuk membuang jauh kerisauannya. Sudu dan garfu aku letakkan ke atas pinggan.
“Sebenarnya…” Aku ceritakan daripada A-Z perkara yang
menyebabkan hari-hariku sedikit terganggu.
Kak Dihah khusyuk mendengar ceritaku.
Hanya sekadar mengangguk dan langsung tidak mencelah.
“Lega rasa dapat ceritakan pada
akak.”
“Sesuatu perkara yang membebankan,
kita kenalah share dengan seseorang. Walau
orang tu tak dapat nak tolong selesaikan, sekurang-kurangnya mampu bagi nasihat
sedikit sebanyak.” Tangan kiri Kak Dihah
ke bahuku dan bahuku ditepuknya lembut.
“Ya kak, Auni bukannya apa. Auni cuma tak nak bebankan akak. Nak kena fikir pasal hal anak-anak dan suami,
tiba-tiba Auni pergi tambah beban bercerita pulak kat Akak.” Aku ukir senyuman nipis.
“Ya Allah dik oiii. Sikit pun Akak tak rasa terbeban malah akak
rasa berbesar hati nak dengar luahan Auni tu.
Lepas ni, kalau ada apa-apa masalah cerita aje pada Akak. Jangan nak tunggu akak paksa baru nak
cerita. Akak dah anggap Auni ni macam
Adik akak dah. Bukannya setahun dua kita
kenal. Dah dekat sepuluh tahun.”
Benar kata Kak Dihah, sudah hampir
sepuluh tahun kami mengenali diri masing-masing. Aku mengenalinya ketika di Tingkatan 2 dan
waktu itu Kak Dihah tingkatan 4. Kami
mula rapat apabila sama-sama dilantik menjadi Pengawas Sekolah dan ukhwah yang
dibina tidak pernah putus walau masing-masing menyambung pelajaran di tempat
yang berbeza. Syukur Allah pelihara
ukhwah kami kerana aku ditakdirkan ditempatkan di organisasi yang sama dengan
Kak Dihah.
Usai makan tengahari di kafe, kami
pulang ke Jabatan dan sungguh aku kembali bersemangat melaksanakan
tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Terima
kasih Allah kerana menemukan aku dengan seorang insan sebaik Kak Dihah. Tempat aku mengadu selama ini selain
daripada-Mu dan Ibu. Ibu tentunya tempat
mengadu selepas Allah namun perkara ini tidak sanggup untuk aku ceritakan
kepada Ibu, tidak mahu Ibu terbeban dan susah hati.
………………………………………………………………………………………………
Telefon di dalam beg tangan
menjerit minta diangkat. Aku berhenti
memulas kunci kereta. Peluh sudah
menempat di dahi. Mana tidaknya, terasa
berada di sauna saat masuk ke kereta.
Sudahlah enjin tidak hidup walau sudah lebih 10 kali aku mencuba. Mataku membaca nama yang tertera di skrin
telefon dan rahangku sedikit jatuh melihat nama itu. Dua saat aku berfikir samada untuk menjawab
panggilan ini.
“Hello.” Aku angkat juga.
“Hello, Auni. Kenapa Auni telefon tadi? Mal betul-betul mintak maaf. Telefon tertinggal dalam kereta. Amal ke tapak projek tadi. Amal baru tengok telefon ni.” Senafas sahaja Amal menerangkan. Aku pula yang rasa serba salah kerana
membuatkan Amal rasa bersalah padahal aku yang sebenarnya mahu minta maaf atas
kesalahanku. Banyak benar ‘salah’.
“It’s okay Amal, Auni faham. Sikit pun tak marah.” Aku cuba mengawal nada suara. Mahu berlembut dengan Amal kali ini. Sedar diri yang sudah bersalah terhadapnya.
“Auni call Amal sebab nak mintak
maaf kan tentang hal hari tu?” Tepat
sekali tekaan Amal. Aku mengangguk,
macamlah Amal nampak. “Tak perlu pun nak
mintak maaf, Amal faham situasi Auni.
Julia tu adik Auni jadi Auni nak pertahankan adik Auni. Hampir seminggu Amal aasyik fikirkan perkara
ni dan akhirnya Amal buat kesimpulan macam tu.
Tunggu jugak Auni call Amal tapi tak call-call pun.” Amal gelak kecil.
“Sor…”
“Syhhh, janganlah mintak maaf.”
‘Syhhh’ Amal buatkan jantungku
bergetar hebat. ALLAH, ALLAH,
ALLAH. Aku sebut nama Allah di dalam
hati dan kemudian beristighfar sebanyak mungkin. Sekadar bibirku yang bergerak dan tiada suara
yang keluar. Tanganku terasa sedikit
menggeletar.
“Hello…hello… Auni, are you okay?”
“Huh, okay. I’m okay.”
“Risau Amal, ingatkan kenapa. Auni kat mana tu?”
“Dekat Poli lagi.”
“Dah dekat pukul 6, tak balik lagi
ke?”
“Memang nak balik dah tapi kereta
buat hal.” Opsss, adakah aku tersalah
kata?
“Kenapa? Kereta tak hidup ke?”
“Tak ada apa-apa lah. Bye Amal.”
Laju aku laihkan telefon dari telinga dan talian terus aku matikan. Kurang lima saat, telefonku menjerit minta
diangkat. Daripada Amal dan tentunya aku
biarkan panggilan itu sepi. Enjin kereta
aku hidupkan semula dan tetap gagal.
Sepuluh kali cuba akhirnya aku putus asa.
Mahu telefon ibu, ibu ke rumah
Maksu di Nilai. Telefon Julia pulak,
entah dia nak datang atau tidak? Pasti
alasannya menggunung. Bukan aku tidak
tahu perangai Julia macam mana. Tapi belum
cuba belum tahu kan? Lima kali aku telefon
dan hampa yang aku dapat. Aku taip mesej
dan hantar kepada Julia. Dialah satu-satunya
harapanku.
Jariku menari di atas skrin
telefon. Pergi ke playlist dan mencari
River Flows In You, petikan piano oleh Yiruma.
Badan disandarkan ke seat, telinga fokus kepada petikan piano yang merdu
dan mata ditalakan tepat ke hadapan.
Menunggu Julia sampai, andai dia datang.
Tapi andai dia tidak datang, siapa lagi yang aku boleh harapkan? Mana mungkin aku bermalam di dalam
kereta. Esok pagi pergi ke kelas dengan
baju yang sudah rupa belacan ini?
Fikir punya fikir hinggalah tingkap
kereta diketuk dari luar. Ya Allah, aku
sangat bersyukur kerana Julia datang juga.
Bibirku meleret dengan senyuman dan pandangan dialihkan ke tingkap.
“Adik…”
interesting dear :)
ReplyDeletetq so much weeda... :) :) :)
DeleteBoleh tahan.. ^_^
ReplyDeletetq dear :) :) :)
Deleteyiruma! hero dia kah kali ni Nia? by da way...best! menanti bab seterusnya ^^,
ReplyDeletex la dear.. heroin minat yiruma itu yg tepek pict yiruma. :) :) :) ..tq for ur support... masih d peringkat awal cerita ni.. doakan yg terbaik ya...
Delete