AJCL (bab 8)
by ANIA MALNA
BAB 8
Hari ini, aku terasa ada sedikit
kekuatan mula datang. Seawal enam pagi
aku telah bangun, mandi dan menunaikan solat Subuh. Aku sempat juga membaca al-Quran sebanyak
tiga mukasurat. Terasa sudah lama aku
tidak memegang kitab suci ini. Terakhir
sekali ketika hari terakhir Ikhwan di hospital. Bermakna sudah hampir tiga minggu aku tidak
membaca al-Quran. Ya ALLAH, hamba-Mu ini
sesungguhnya lemah dan seringkali melupakan-Mu.
Zikir Subuh yang diajar oleh papa
sejak aku kecil juga aku alunkan berkali-kali.
Sambil berzikir, air mata juga turut sama gugur. Menangisi diriku yang melupakan ALLAH hanya
kerana ujian yang menimpa diriku ini. Kerdilnya
aku sebagai hamba-Nya. Aku terlalu
ikutkan perasaan sedangkan aku seharusnya sentiasa berbaik sangka dengan ALLAH
kerana pastinya ujian ini terselit hikmah yang tidak aku sedari.
Firman
ALLAH dalam surah al-Baqarah, ayat 286 :
ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Aku masih lagi terperuk di dalam
bilik dengan langsir yang tidak kubuka.
Membiarkan suasana bilik suram.
Mama datang ke bilik membawakan sarapan dan kali ini aku tidak lagi
degil menolak suapan mama. Suapan demi
suapan kuterima, mama nampak sungguh lega dan gembira dengan perubahanku.
“Mama…” Aku akhirnya bersuara. Panggilan yang sudah lama tidak keluar dari
bibirku. Mama bagaikan terpegun. Mangkuk di tangan diletakkan ke meja di tepi
katil. Mama merenungku dan di wajahnya
penuh rasa syukur dan bahagia.
“Anak mama.” Mama memelukku erat dan aku membalas pelukan
mama. Bahu mama mula terhinggut-hinggut
dan aku dapat mendengar esakan mama.
“Ampunkan adik, mama.” Tangisanku kini bersatu dengan tangisan mama.
………………………………………………………………………………………………………
“Adik, Kak Nadia dengan Abang Aidil
ada kat bawah. Mereka datang nak tengok
adik.” Ujar papa sambil membelai lembut
rambutku. Aku membalas dengan senyuman
dan mengangguk. Syukur kerana mereka
sudi datang dan pastinya untuk memberikan kata-kata semangat buatku.
“Adik pakai baju ni ya?” Di tangan mama tergantung blaus dan sehelai
selendang.
“Mama dengan papa turun dulu.” Ujarku lembut, tiada nada manja dan
mengada-ngada seperti dulu. “Nanti adik
turun.” Aku menambah, memberikan jaminan
yang aku akan turun. Perlahan-lahan aku
mengensot ke birai katil dan bangun berdiri.
Lemah dan perlahan pergerakanku, tidak seagresif dulu namun ia lebih
baik daripada terbaring kaku tidak bergerak di atas katil.
Baju di tangan mama kuambil. Setelah itu mama dan papa sama-sama keluar dari
bilikku. Lima minit kemudian aku sudah
menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah.
Kelihatan mama dan papa sedang berbual dengan Kak Nadia dan Abang
Aidil. Kesemua mereka terus berpaling ke
arahku saat melihatku. Aku menghadiahkan
senyuman yang cukup manis untuk Kak Nadia dan Abang Aidil.
Aku mendapatkan Kak Nadia. Tangan Kak Nadia kusalam dan kukucup
lembut. Setelah itu, mama dan papa
berlalu meninggalkan kami bertiga di ruang tamu.
“Terima kasih Kak Nadia, Abang Aidil,
sebab sudi datang tengok Rina.” Aku
memulakan bicara. Aku memandang wajah
Kak Nadia dan Abang Aidil secara silih berganti.
“Sama-sama.” Kak Nadia dan Abang Aidil menjawab serentak.
“Rina nampak makin susut.” Tangan Kak Nadia dibawa ke wajahku. Pipiku dibelainya lembut. Terasa cukup selesa dengan keadaan ini.
“Rina, Abang dengan Akak tak ada
niat nak masuk campur hal Rina cuma kami rasa kami terpanggil untuk datang
tengok Rina dan cuba beri kata-kata semangat untuk Rina.” Aku tersenyum manis mendengar kata-kata Abang
Aidil walau di hati hanya ALLAH yang tahu.
Cuba berlagak kuat.
“Akak tahu apa yang berlaku ni
terlalu berat untuk ditanggung tapi percayalah setiap yang berlaku ada
hikmahnya. Allah dah aturkan sesuatu
yang lebih baik untuk Rina. Lebih baik
dari sebelum ni. Akak faham perasaan
Rina, akak faham dik.” Entah mengapa
kata-kata yang keluar dari mulut Kak Nadia bagaikan ada aura yang meniupkan
semangat buatku namun aku tetap tidak mampu menahan air mata. Ia tetap jatuh membasahi pipiku walau aku
cuba sedaya upaya untuk menahannya.
Aku percaya Kak Nadia betul-betul
memahami perasaanku kerana dia juga pernah kehilangan insan yang hampir sahaja
menjadi suaminya. Kisahnya jauh lebih
tragis daripada kisahku. Lelaki yang
dicintai sepenuh hati rupa-rupanya musuh dalam selimut dan memperguna dirinya
hanya disebabkan harta keluarganya.
Pasti pada mulanya ia terlalu sukar untuk diterima tetapi kini Kak Nadia
kulihat sangat bahagia, terlalu bahagia.
Adakah kebahagiaan akan menjadi milikku juga nanti?
“Tangisan tu memang tak boleh dipisahkan
daripada seorang wanita tapi… tangisan bukanlah pengubat kelukaan. Rina kena kuat terima ujian ni, ALLAH takkan
uji kita melebihi kemampuan kita.”
Kata-kata hikmat daripada Abang Aidil juga memberikan sedikit kekuatan
untukku.
“Terima kasih Kak Nadia, Abang
Aidil.” Ujarku beserta esakan.
“This
is not the end of your life, dear. Teruskan
hidup Rina dengan tabah dan sabar. Allah
sayangkan hamba-Nya yang ikhlas, redha dan tabah dalam menempuhi ujian.” Kak Nadia menggenggam kemas tanganku. Terasa kekuatan menjalar ke dalam tubuhku.
“Kami tahu memang susah untuk Rina
lupakan Ikhwan tapi percayalah jodoh itu rahsia ALLAH. Yakinlah yang ALLAH dah janjikan lelaki yang
lebih baik untuk Rina. Lelaki yang
selayaknya.” Haruskah aku pegang
kata-kata Abang Aidil. Yakinkah aku ada
lelaki yang lebih baik untukku?
“Rina dah tak percayakan cinta
daripada seorang lelaki.” Entah datang
dari mana kekuatanku, lancar sahaja aku menyebut perkataan itu. “Rina takut akan kecewa lagi.” Tambahku lagi, tanpa menghiraukan Abang
Aidil.
“Jangan cakap macam tu Rina. Rina tak boleh tutup pintu hati Rina untuk
seorang lelaki. Fitrah manusia hidup
berpasangan. Akak dulu pernah tutup hati
untuk lelaki sampailah Abang Aidil muncul dalam hidup Akak. Masa tu barulah Akak sedar yang ALLAH tarik
lelaki lain dalam hidup Akak sebab ALLAH nak kurniakan seorang lelaki yang jauh
lebih baik untuk Akak.” Kata-kata Kak
Nadia membuatkan air mataku berhenti.
Aku memandang wajah Kak Nadia dan
Abang Aidil silih berganti, berkali-kali.
Aku dapat melihat sinar kebahagiaan jelas terpancar di wajah mereka
berdua. Kata-kata Kak Nadia benar namun
aku tidak tahu adakah aku juga akan dikurniakan lelaki yang lebih baik daripada
Ikhwan sedangkan selama ini bagiku dialah lelaki yang terbaik untukku.
Kerana kebaikannya jugalah aku
kecewa dan aku tahu dia juga kecewa.
Pengorbanannya terlalu besar dan tidak semua orang sanggup berkorban
hingga ke tahap itu. Jujur aku katakan,
tidak sedikitpun terlintas perasaan benci terhadap Ikhwan namun aku tidak mampu
menerima apa yang berlaku ini dengan seikhlas hati. Terlalu pedih dan menyayat hati. Terasa hatiku hancur berkecai.
“Rina, kuatkan semangat dan teruskan
hidup Rina macam dulu. Walaupun Abang
baru kenal Rina tapi abang tahu Rina jenis yang ceria dan suka bahagiakan orang
dan kembalikan sifat sebenar Rina tu.
Fikirkan mama dengan papa Rina.”
Air mataku kembali berlinangan.
Kali kedua aku diingatkan tentang perasaan mama dan papa.
Benar, aku telah mengabaikan
perasaan mama dan papa. Pasti mama dan
papa sangat terluka melihat keadaanku.
Aku telah melukakan hati mama dan papa namun mereka tetap setia
melayanku, menemaniku setiap hari.
Akulah satu-satunya anak mereka, akulah harapan keluarga dan aku tidak
boleh terus hidup dalam duniaku sendiri.
“Kak Nadia, Abang Aidil. Terima kasih sebab sedarkan Rina…sedarkan
Rina daripada tidur yang terlalu panjang, sedarkan Rina daripada mimpi yang
takkan berpenghujung, sedarkan Rina tentang apa yang Rina dah abaikan.” Perlahan-lahan tubuh Kak Nadia kupeluk. Kak Nadia menepuk lembut bahuku.
Terima kasih YA ALLAH kerana
mengurniakan dua insan mulia ini, yang prihatin akan nasib yang menimpa diriku,
yang sama-sama mengalirkan kekuatan dan semangat untuk kuteruskan hidup. Dengan adanya mama, papa, Wan, Fika, Sara dan
kini Kak Nadia dan Abang Aidil, ia cukup untuk membawa kujauh daripada mimpi
ngeri yang kuhantui ini.
………………………………………………………………………………………………………
“Assalamualaikum.” Sara menghulurkan salam. Dia nampak sungguh ceria pagi ini.
Tetamu pertama yang bertandang ke
rumahku pagi ini ialah Fika dan Sara.
Walau baru tiga hari lepas mereka datang melihatku, rasa rindu terlalu
cepat bersarang. Rindu untuk bergelak
tawa bersama-sama mereka. Rindu untuk
berceloteh hingga penat mulut. Rindu
untuk memeluk mereka dan sesungguhnya mereka benar-benar sahabat sejatiku. Setia melawatku walau menerima layanan atau
lebih tepat langsung tidak mendapat layanan daripadaku semasa kali pertama
mereka melawatku.
Aku tetap di katil, tidak bergerak
dan wajahku kosong tanpa sebarang reaksi.
Melihat kedua-duanya masuk dan mendekatiku lalu duduk di birai
katil. Tanganku dicapai oleh Fika dan
dia merenungku dengan penuh rasa kasih.
Sara pula memegang pipiku.
“Waalaikumusalam.” Aku menjawab perlahan. Sara dan Fika saling berpandangan dan
kemudiannya tersenyum gembira.
“Bila kita nak tengok wayang?” Tanyaku sambil menghadiahkan senyuman yang
cukup manis.
Air mataku mula berjuraian di
pipi. Kali ini tangisanku kerana
kegembiraan. Gembira kerana terasa aku
baru sahaja mendapat sahabatku semula.
Aku mahu kembali ke dalam dunia kami bertiga yang penuh dengan
warna-warni dan keceriaan.
“Rina, Fika dengan Sara rindu Rina
sangat-sangat.” Air mata mula membasahi
pipi Sara.
“Happy
sangat Rina dah kembali.” Fika juga
tidak mampu menahan air matanya. Aku
mendepangkan tangan dan dalam sekelip mata, kedua-duanya sudah berada di dalam
pelukanku.
………………………………………………………………………………………………………
Aku merenung siling. Puas kupejam mata namun tetap sukar untuk
melelapkan mata. Mataku cukup
degil. Fikiranku bercelaru, tentunya
memikirkan seseorang. Sukar benar hendak
membuang jauh perasaan ini. Sudah hampir
dua minggu sejak aku kembali ke kehidupanku yang ceria dan berseri-seri namun
hatiku sebenarnya masih belum pulih sepenuhnya.
Bukan mudah untuk memadamkan
seseorang yang telah terpahat di hati dan sememangnya tidak dapat dipadamkan
melainkan dengan mengikisnya. Mengikis
namanya dari hati, ternyata sangat pedih dan sakit. Sakitnya ALLAH sahaja yang tahu, tidak
terdaya ditanggung namun aku harus tabahkan diri. Sesungguhnya Ikhwan Hafizi tidak mungkin
menjadi milikku.
Aku akhirnya mengalah dengan
mata. Sudah penat memaksa diri untuk
tidur maka aku bangun dari katil.
Membuka lampu meja dan ke meja solek.
Meja solekku cukup besar dan bukan sahaja mampu memuatkan alat solek
tetapi tiga buah frame gambar juga
diletakkan. Ada gambarku, gambar aku
bersama-sama mama dan papa dan yang terakhir gambarku bersama-sama Ikhwan. Frame yang
terisi foto aku bersama Ikhwan ketika majlis pertunangan kami kucapai. Lama aku merenung foto itu dan tidak sedar
air mata juga mula berguguran dan jatuh tepat mengenai wajah Ikhwan di dalam
foto.
Aku membiarkan sahaja air mata
membasahi frame gambar di tangan
sehinggalah aku merasakan aku sudah puas menatap foto kami berdua atau lebih
tepat menatap wajah Ikhwan. Benarkah aku
sudah puas menatap wajahnya? Aku
berharap ia bukan sekadar puas tapi juga jemu.
Biarlah aku jemu menatap wajah lelaki yang tidak dapat kumiliki ini agar
aku tidak lagi terseksa. Pergilah jauh
Ikhwan Hafizi, ingatan terhadapnya, cinta dan kasih terhadapnya, rindu
terhadapnya. Pergilah semuanya dari
hidupku. Aku sudah tidak sanggup lagi
untuk menanggung perasaan ini.
Laci meja solek kutarik dan aku
meletakkan foto aku bersama-sama Ikhwan ke dalamnya. Aku bukanlah seperti di dalam drama yang akan
mengoyakkan gambar bekas kekasih hati atau juga akan membakarnya. Bagiku itu tidak memberi apa-apa makna. Bukannya dengan membakar gambar, akan
terbakar segala rasa cinta terhadap orang itu.
Bukannya dengan mengoyakkan gambar hingga sekecil-kecilnya, akan hilang
rasa kasih pada orang itu. Biarlah
kusimpan gambar ini, mungkin juga gambar ini akan menjadi satu-satunya
kenanganku dengan Ikhwan.
………………………………………………………………………………………………………
“Mama, papa.” Aku memanggil mama dan papa dengan lembut
sekali.
“Ya sayang, kenapa?” Mama berhenti mencedokkan nasi goreng ke
dalam pingganku.
“Apa dia sayang?” Papa merenungku dan menghadiahkan senyuman.
“Hari ni adik nak pinjam Pak Mail
boleh tak?” Aku mengukir senyuman dan
memandang mama dan papa silih berganti.
“Adik nak ke mana, sayang? Biar papa je yang hantarkan.” Papa menawarkan diri.
“Tak payahlah pa, papa kena pergi
pejabat. Biar Pak Mail je yang hantar,
nanti lepas Pak Mail hantar papa ke pejabat, adik terus suruh Pak Mail hantar
adik ya?” Aku cuba menolak pelawaan papa
dengan cukup baik.
“Sayang nak ke mana?” Giliran mama pula bertanya ke mana tempat
yang ingin kutuju.
“Adik...” Aku tidak meneruskan kata-kata. Memandang mama dan papa silih berganti. Menarik nafas panjang sebelum menyambung
kata. “… Adik nak ke hospital, tengok
Fatin, boleh kan?”
Mama dan papa saling
berpandangan. Mereka bagaikan tidak
percaya dengan apa yang baru sahaja keluar dari bibir nipisku. Lama mama dan papa terdiam. Aku pula setia menunggu jawapan daripada mama
dan papa.
“Adik betul ke nak melawat
Fatin?” Mama nampak teragak-agak untuk
menuturkan kata-kata. Aku membalas
dengan anggukan. Mangkuk yang berisi
nasi goreng dihadapan mama kuambil dan aku mencedok nasi goreng ke dalam
pinggan.
“Biar mama temankan adik ya?” Papa memberi cadangan.
“Tak apa pa, adik pergi
sendiri. Percayakan adik ya ma, pa. Adik takkan buat perkara yang bukan-bukan.” Aku ketawa kecil, cuba membuang resah di
wajah mama dan papa.
“Adik…” Mama membuka mulut namun aku cepat memintas.
“Ma, please percayakan adik.
Jangan risau ya?” Lembut sekali
kata-kataku, mahu melegakan perasaan mama dan papa. “Pa…” Aku beralih memandang papa minta
kebenaran. “Papa, you should trust your daughter.”
Aku menambah, cuba meyakinkan papa dan akhirnya papa mengangguk lemah.
“Terima kasih papa, mama.” Aku menghadiahkan senyuman, membaca Bismillah
dan terus menyuap nasi goreng ke mulut.
………………………………………………………………………………………………………
“Hello.”
“Hello Auntie.” Aku membalas dengan
cukup lembut. Kedengaran suara Datin
Diana agak sayu di hujung talian.
Mungkinkah dia terkejut dengan panggilan telefon daripadaku? Atau juga masih bersarang rasa bersalah di
hatinya atas apa yang telah terjadi?
“Ada apa Rina telefon Auntie?”
Lembut sekali tutur kata Datin Diana.
“Rina nak mintak izin melawat
Fatin.”
“Kenapa mintak izin, Rina. Mestilah boleh.” Tawa kecil Datin Diana dapat kudengar. Tawa yang mungkin dipaksa untuk melindungkan
rasa. Aku diam tidak membalas
kata-katanya. Lama.
“Rina nak pergi sekali dengan Auntie?
Auntie pun nak ke hospital ni,
biar Auntie singgah rumah Rina dan kita pergi sekali ya?” Akhirnya Datin Diana menamatkan zon sepi
kami. Daripada nadanya, dia ternyata
senang dengan perkhabaranku.
“Tak apa Auntie, Rina dah ada kat hospital ni?” Aku menjelaskan dan sememangnya aku sudah
berada di hospital dan sekarang sedang berdiri di luar bilik Fatin.
“Kat hospital?” Datin Diana pasti terkejut.
“Ya, Rina cuma nak mintak izin dan Auntie jangan risau, Rina tak ada niat
buruk pada Fatin.” Aku meluahkan apa
yang ada di minda. Bukan bersangka buruk
terhadap Datin Diana tetapi bimbang juga terbit rasa risau di hati ibu angkat
Fatin itu walau hakikatnya aku ikhlas melawat Fatin.
“Ya ALLAH, tak terlintas sikit pun
di hati Auntie, sayang malah Auntie berbesar hati Rina sudi datang
tengok Fatin.”
“Terima kasih Auntie, Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Aku mematikan talian. I-phone aku letakkan kembali ke dalam beg
tangan dan aku merenung pintu bilik Fatin.
Tertera namanya di pintu bilik, Fatin Syahirah binti Syakir. Entah bila Fatin boleh dikeluarkan dari
hospital. Sudah lebih sebulan dia di
sini. Mungkin ada beberapa rawatan lagi
yang perlu dijalaninya sebelum dibenarkan pulang.
Aku membuat keputusan untuk tidak
mengetuk pintu bilik. Dengan seperlahan
mungkin aku menguak pintu bilik. Fatin
sedang meraba-raba sesuatu di atas meja sisi.
Aku yakin dia tidak dapat mendengar pintu dikuak kerana jarak antara
katil dan pintu agak jauh. Wad yang
cukup mewah ini agak luas.
Aku menapak mendekati Fatin dengan
seperlahan mungkin. Tangannya masih
meraba-raba dan aku meneka dia cuba mengambil cawan yang berada di meja
sisi. Aku mahu membantunya namun aku
tidak mahu dia tahu kehadiranku. Hanya
tinggal kira-kira dua langkah sahaja sebelum tiba di katil, cawan yang ingin
diambil Fatin jatuh ke lantai dek kerana tangannya tertepis cawan itu. Aku menghentikan langkah, bukan kerana tidak
mahu membantunya namun lebih kepada terlalu sayu dan pilu melihat keadaan ini.
Fatin turun dari katil dan tangannya
tergapai-gapai. Dia duduk bersimpuh di
atas lantai dan tangannya meraba lantai mencari cawan yang jatuh tadi. Aku melangkah mendekati Fatin, cawan yang
cuba dicapai Fatin kuambil dan perlahan-lahan aku mendekatkan cawan ke tangan
Fatin namun belum sempat cawan sampai ke tangan Fatin, tanganku ditarik
seseorang.
Aku cepat-cepat melihat pemilik
tangan yang melekat di pergelangan tanganku.
Mataku membulat saat melihat pemiliknya ialah Ikhwan. Ikhwan meletakkan jari telunjuk di bibirnya
dan aku faham maksudnya. Dia tidak mahu
Fatin tahu kehadiran kami berdua. Aku
tidak sedar bila dia masuk ke bilik Fatin.
Mungkin dia juga sepertiku, masuk dengan sesenyap mungkin.
Cawan di tanganku diambil Ikhwan dan
cawan itu diletakkan betul-betul di hadapan Fatin dan setelah itu tangan Fatin
terlanggar cawan di hadapannya. Aku
dapat membaca gerak bibir Fatin. Dia
menyebut Alhamdulillah. Ikhwan
melepaskan pegangan tangannya dan dia bangun berdiri. Aku turut bangun berdiri.
“Fatin, abang ni.” Ikhwan bersuara.
“Eh abang bila sampai? Fatin tak sedar pun.”
Ikhwan membantu Fatin berdiri dengan
memegang bahu adik angkatnya yang tidak lama lagi akan bergelar isterinya. Aku pula hanya menjadi pemerhati. Bohong jika aku katakan aku tidak cemburu
dengan apa yang kulihat ini. Perasaanku
terhadap Ikhwan masih lagi kuat, tentunya aku tidak dapat membuang jauh rasa
cemburu.
“Abang baru je sampai. Lain kali kalau nak minum air, panggil je nurse, sayang.”
Luluh hatiku mendengar perkataan
sayang yang baru sahaja keluar dari mulut Ikhwan. Dahulunya ‘sayang’ itu hanyalah untukku dan
dalam sekelip mata pemilik ‘sayang’ telah bertukar kepada Fatin. Mengapa Ikhwan memanggil Fatin dengan
panggilan itu di hadapanku?
Sengaja? Sengaja untuk mengguris
hatiku. Aku menggenggam kemas jari
jemari. Menahan perasaan membuatkan
dadaku terasa sungguh sakit dan nafasku semakin laju.
“Fatin boleh buat tapi tadi tertepis
cawan tu.”
Fatin sudah duduk di atas katil dan
Ikhwan meletakkan bantal ke kepala katil dan tubuh Fatin ditolaknya lembut agar
bersandar pada bantal itu. Kemudian
Ikhwan mengambil cawan di tangan Fatin lalu cawan itu diletakkan ke atas
meja. Dia menuang air ke dalam cawan
lain yang juga diletakkan di atas meja.
“Air, Fatin.” Ikhwan memegang tangan Fatin dan tangan itu
dibawa ke cawan.
Aku setia melihat babak antara
Ikhwan dengan Fatin. Terasa diriku bagai
tidak wujud di sini. Sekadar sebagai
pemerhati.
“Terima kasih, abang.” Fatin mula meneguk air.
“Sama-sama, abang nak keluar
kejap. Nanti abang datang semula.”
Ikhwan berpaling dan
menghadapku. Pergelangan tanganku
dipegangnya lagi dan aku menarik tangan dengan kasar. Apa hak dia untuk memegangku sesuka
hati? Aku bukannya semudah itu dan aku
juga tidak rela untuk disentuh olehnya.
Aku menghadiahkan jelingan tajam buat Ikhwan. Masih lagi marah dengan tindakan Ikhwan. Ikhwan membuat isyarat mata agar kami keluar
dari bilik Fatin dan dia terus melangkah.
Aku membuntutinya.
………………………………………………………………………………………………………
“Kenapa awak datang?” Soalan yang sudah kujangka akan keluar dari
mulut Ikhwan. Kami kini sedang berdiri betu-betul
di hadapan pintu bilik Fatin.
“Kenapa?” Aku membalas soalan Ikhwan dengan pertanyaan.
“Awak cuba nak apa-apakan Fatin?”
“Ppang…”
Tanpa teragak-agak, aku menghadiahkan
satu tamparan di pipi kiri Ikhwan. Entah
datang dari mana kekuatan untukku bertindak sedemikian. Mungkin juga dek kerana hatiku yang
panas. Panas dan sakit kerana Ikhwan
baru sahaja menuduhku. Menuduhku cuba
mengapa-apakan bakal isterinya. Bakal
isterinya yang pernah dianggap seperti adiknya sendiri.
“Imani...” Ikhwan memegang pipi kirinya. Kesakitan yang dirasainya tidak sehebat
kesakitan yang aku alami sekarang.
Pedihnya, terasa jantung hatiku dicungkil dengan pisau tajam apabila
Ikhwan menuduhku begitu.
“Jangan sebut nama saya kalau
sekadar nak sakitkan hati saya.” Suaraku
ditinggikan dan sekaligus air mata mengalir ke pipi. Sesungguhnya aku terlalu lemah dalam
mempertahankan mutiara berhargaku ini.
Mudah sangat ia tumpah kerana lelaki bernama Ikhwan yang berdiri di
hadapanku ini.
“Saya tak berniat…”
“Tak berniat nak sakitkan hati
saya?” Aku laju memotong kata-kata
Ikhwan. “Panggil Fatin ‘sayang’ depan
saya, itu yang awak kata tak berniat?
Jujur saya cakap, saya rasa saya dah tak kenal siapa awak! Saya rasa kita dah terlalu jauh!” Air mataku makin deras mengalir dan esakanku
juga tidak dapat ditahan lagi. Esakan
bersatu dengan air mata, membuatkan dadaku sesak dan sakit. Terasa hendak pecah dadaku.
“Saya mintak maaf, Imani.” Wajah Ikhwan keruh dan tangannya sudah
dialihkan dari pipi. Dia cuba mencapai
tanganku namun aku cepat-cepat melarikan tangan.
“Jangan sentuh saya! Awak tak ada hak untuk pegang saya!”
“Saya bersalah, Imani.” Ikhwan merenung wajahku, penuh
mengharap. Adakah mengharap aku akan
memaafkannya?
“Alangkah bagus kalau kata-kata maaf
awak dan juga rasa bersalah awak pada saya boleh ubat hati saya yang sakit
ni.” Perliku dan wajah Ikhwan kutenung
dalam. Ikhwan tewas dan dia tertunduk
memandang lantai.
“Rina.” Datin Diana datang menghampiriku dan
Ikhwan. “Ikhwan kenapa ni? Rina kenapa menangis, sayang?” Datin Diana mendekatiku dan tanganku
dicapainya. Aku dan Ikhwan diam membisu.
“Ik, cakap dengan mummy apa yang berlaku? Apa yang Ik dah buat pada Rina?” Datin Diana menggoncangkan bahu anak
lelakinya.
“Ik salah mummy. Ik bersangka buruk
pada Rina.” Ikhwan berkata jujur. Aku pula hanya terpacak tidak bergerak.
“Ik, Rina berniat baik nak melawat
Fatin. Rina dah telefon mummy pagi tadi yang dia nak tengok
Fatin. Kenapa dengan Ik ni huh?” Tegas kata-kata Datin Diana.
“Auntie,
jangan salahkan Ikhwan. Kalau orang lain
di tempat dia pun tentu akan fikir yang bukan-bukan.” Aku membela Ikhwan? Aku tidak tahu mengapa masih ada perasaan
belas kasihanku kepadanya sedangkan dia baru sahaja menuduhku.
“Rina, Auntie mintak maaf.” Datin
Diana menyapu air mata di pipiku dengan lembut.
“Auntie
jangan mintak maaf.” Tangan Datin Diana
kucapai lembut. “Auntie tolong bagi ni pada Fatin.”
Aku menghulurkan bungkusan yang berada di tangan kiriku.
Bungkusan ini memang sudah berada di
tanganku sejak tadi dan aku sebenarnya ingin menyerahkannya sendiri ke tangan
Fatin namun jelas keadaan tidak mengizinkan.
Di dalam bungkusan ini ada telekung, al-Quran dan tasbih sebagai hadiah
daripadaku untuk Fatin. Niatku baik
namun tidak disangka ia telah disalah tafsir oleh Ikhwan.
“Rina, Auntie..”
“Auntie,
satu lagi permintaan Rina. Tolong jangan
rasa bersalah atas apa yang berlaku ni.
Rina hormat dan kasihkan Auntie
sama macam dulu.” Perlahan-lahan tangan
Datin Diana kubawa ke wajah dan tangan itu kukucup lama.
“Rina sayang.” Datin Diana sudah mula teresak.
Aku dibawa ke dalam pelukannya dan
tangisan kami bersatu. Ikhwan hanya diam
membatu melihat kami berdua. Wajahnya
tidak dapat kutafsirkan kerana aku dapat rasakan aku sudah tidak mengenali
lelaki yang bertakhta di hatiku selama lima tahun ini.
No comments:
Post a Comment