BAB
13
Hari ini genap tiga minggu aku tidak berjumpa Min
Hyuk. Panggilannya tidak pernah
kuangkat, mesejnya juga tidak dibalas.
Auntie Syafiqah juga menelefonku tapi aku akan cuba mengubah topik
perbualan apabila Auntie Syafiqah cuba mencari penjelasan di atas layananku
terhadap Min Hyuk.
Aku perlukan masa untuk memikirkan semua yang pernah
dikatakan oleh Syakila. Aku tahu Min
Hyuk pasti terseksa dengan apa yang aku lakukan ini namun aku juga terseksa dan
sesungguhnya aku amat merindui lelaki yang bernama Son Min Hyuk.
“ Aimin, ada orang nak jumpa Aimin kat bawah. Katanya Uncle Yusuf dan Auntie
Syafikah.” Aku terperanjat mendengar
kata-kata Kak Bai. Pasti mereka datang
untuk menghuraikan segal-galanya. Aku
menyarung sweater berwarna merah jambu dan seterusnya menyarung
tudung di kepala.
Aku turun perlahan-lahan ke tingkat bawah. Kak Bai memberitahuku bahawa Uncle dan Auntie
duduk di meja batu di perkarangan rumah.
Aku menapak keluar dari rumah dan tersenyum memandang Uncle Yusuf dan
Auntie Syafiqah. Auntie Syafiqah
memelukku agak lama.
“ Aimin, Uncle dan Auntie dah tahu kenapa Aimin
bertindak macam ni.” Uncle Yusuf memulakan kata.
“ Salah seorang pekerja di restoran terdengar
perbualan antara Syakila dan Aimin.” Tambah Auntie Syafiqah. “ Auntie dan Uncle
minta maaf dengan apa yang Syakila dah buat tu.”
“ Syakila tak salah Auntie, Uncle. Apa yang Syakila cakap semuanya betul. Jangan salahkan dia. Aimin tahu dia sayangkan Min Hyuk, sebab tu
dia cakap semua tu.”
“ Auntie tak mahu Aimin mengalah. Auntie nak Aimin dan Min Hyuk kuat untuk
tempuhi segala dugaan dalam hubungan kamu berdua.”
“ Tapi Autie, keluarga Min Hyuk takkan terima
Aimin. Maafkan Aimin Uncle.” Aku
cepat-cepat memohon maaf, aku hampir terlupa bahawa keluarga Min Hyuk juga
keluarga Uncle Yusuf.
“ Tentang keluarga Uncle, Aimin jangan risau. Uncle akan tolong sedaya upaya untuk
terangkan pada mereka. Uncle dan Auntie
sentiasa menyokong hubungan kamu berdua dan Uncle tahu kamu berdua
masing-masing terseksa sekarang.”
Kata-kata Uncle Yusuf membuatkan aku tersedar.
“ Aimin risaukan Min Hyuk dan Uncle dengan Auntie
tak perlu risaukan Aimin, Aimin kuat je.”
“ Aimin jangan bohong kami. Mata Aimin bengkak, badan semakin susut. Itu yang Aimin kata kuat. Jangan seksa diri sendiri Aimin.” Auntie
Syafiqah menggenggam tanganku. Uncle
Yusuf memandang wajahku sayu. Aku
bersyukur kerana dipertemu dengan kedua-dua mereka yang telah memberikan
semangat dalam aku menempuhi hubungan cinta aku bersama Min Hyuk.
“ Tentang hal Syakila, Aimin jangan risau, kami akan
uruskan. Sekarang Aimin tukar pakaian
dan kita ke hospital tengok Min Hyuk.”
Aku terkejut mendengar kata-kata Auntie
Syafiqah. Benarkah apa yang kudengar
ini? Min Hyuk berada di hospital
sekarang. Apa yang telah berlaku kepada
Min Hyuk?
………………………………………………………………………………………………………
Aku menghampiri katil Min Hyuk. Wajahnya kelihatan lesu. Dia tersenyum ke arahku. Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah meninggalkan
kami berdua. Aku duduk di kerusi yang
disediakan. Wajah Min Hyuk kutenung
lama.
“ Mianhae (Saya minta maaf).” Min Hyuk hanya tersenyum.
Min Hyuk dimasukkan ke hospital setelah pengsan
semasa bermain bola keranjang di universiti pagi tadi. Kata Uncle Yusuf, Min Hyuk sudah beberapa
hari tidak makan dan hanya minum air sahaja dan semuanya kerana aku. Rasa bersalah terbuku di dalam hati.
“ Saya dah maafkan awak.” Sifat pemaaf Min Hyuk tidak pernah berubah
dari dulu hingga kini. “ But I have one request.”
“ Apa dia?” Tanyaku lembut.
“ Tolong suapkan saya bubur yang Auntie bawakan.” Mata Min Hyuk teralih kepada mangkuk yang
telah diisi bubur nasi.
“ Okay, saya suap ni sebab awak sakit je. Kalau tidak jangan harap.” Aku bangun dan kini duduk di birai katil.
(Nak bermanja
la pulak Min Hyuk ni.)
Aku mencapai mangkuk di atas meja. Belum sempat aku menyuap bubur ke dalam mulut
Min Hyuk tiba-tiba satu bunyi asing kedengaran.
Bunyi itu datang dari perutku.
Mukaku tiba-tiba menjadi merah.
Itu bunyi perutku.
(Ya ALLAH,
malunya aku. Perut ni pun macam tak ada
waktu lain nak berbunyi.) Perutku berbunyi kerana aku langsung tidak
menjamah apa-apa hari ini. Minum juga
tidak. Dah macam puasa pun ada.
Min Hyuk ketawa kecil. Dia mengambil mangkuk di tanganku dan
menyuakan sudu yang berisi bubur ke mulutku.
Aku tidak membuka mulut, perasaan malu masih belum hilang.
“ Mokgo (Makan).
Aaaa…” Min Hyuk mengangakan
mulutnya. “ Saya tahu awak tak makan lagi hari ni dan hari-hari sebelum ini
awak makan sikit. Awak rindukan saya?”
Kata-kata Min Hyuk memang benar. Siapa
yang punya selera makan sekiranya berada dalam keadaan sepertiku.
“ Ppalli mokgo (cepat makan).” Min Hyuk masih
menyuakan sudu ke mulutku. Aku akhirnya
membuka mulut. Setelah itu Min Hyuk
menyuap bubur ke mulutnya pula. Bermakna
kami berkongsi satu sudu yang sama namun aku sedikit pun tidak merasa
jijik.
Jelas sekali Min Hyuk memang sekadar ingin bermanja
denganku kerana dia nampak cukup kuat untuk menyuap makanan ke mulutku dan ke
mulutnya bergilir-gilir sehingga habis semangkuk bubur yang dibawa oleh Auntie
Syafiqah.
………………………………………………………………………………………………………
“ Aimin, siapa Uncle dengan Auntie tadi?” Pertanyaan
Kak Lia mematikan langkahku. Aku tidak
jadi naik ke tingkat atas.
“ Ibu bapa angkat Aimin Kak Lia.” Satu lagi pembohongan lahir setelah sudah
beberapa kali pembohongna tercetus gara-gara untuk menyembunyikan hubunganku
dengan Min Hyuk.
“ Kenapa muka Uncle tu tak macam Melayu pun. Cina ke?” Soalan Kak Lia tidak kujawab.
“ Kak Lia, Aimin naik atas dulu ya. Nak solat Asar dulu.” Aku terselamat daripada menjawab soalan Kak
Lia.
………………………………………………………………………………………………………
Hari ini Min Hyuk dibenarkan keluar dari
hospital. Walaupun pada mulanya, Uncle
Yusuf dan Auntie Syafiqah yang mahu menjemput Min Hyuk di hospital namun aku
berkeras ingin mengambil alih ‘tugas’ itu dan akhirnya Uncle Yusuf dan Auntie
Syafiqah akur dengan permintaanku.
Min Hyuk akan
tinggal di rumah Uncle Yusuf dan Auntie Syafiqah untuk beberapa hari. Mereka agak bimbang akan Min Hyuk dan mahu
anak saudara mereka itu betul-betul pulih sepenuhnya sebelum balik ke rumah
sewa.
“Sayang, we
need to talk about that matter.” Aku
memulakan bicara setelah Uncle Yusuf dan Aunite Syafiqah berlalu ke tingkat
atas dan meninggalkan aku bersama Min Hyuk di ruang tamu.
“What matter?”
Tanya Min Hyuk kehairanan, aku tidak tahu samada dia benar-benar tidak tahu apa
yang aku maksudkan atau memang pura-pura tidak tahu.
“About us and
our family. Kenapa awak tipu saya
tentang keluarga awak? Mereka tak pernah
tahu tentang saya pun kan?” Aku mengharapkan jawapan yang tulus ikhlas daripada
Min Hyuk.
“Saya……..” Seperti ada sesuatu yang tersekat di
kerongkong Min Hyuk. Dia tidak dapat
meneruskan kata-kata.
“Kejujuran tu penting, kalau saya boleh jujur
tentang keluarga saya tak tahu tentang hubungan kita, kenapa tidak awak?”
“Saya takut, takut hilang awak.”
“Awak takkan hilang saya. Selagi saya masih bernafas, saya tetap akan
cintakan awak tapi saya tak boleh terima awak bohong saya.”
“Saya tahu
semua tu dan saya betul cintakan awak sebab tu saya takut hilang awak. Saya mintak maaf.”
“Saya maafkan awak, lagipun saya pun dah buat salah
dengan awak. Tak hiraukan awak sampai
awak sakit. Awak kena janji dengan saya
yang awak takkan pernah tipu saya lagi dan awak kena jujur dengan saya. Tak perlu ada rahsia apa-apa antara
kita. Kalau awak buat lagi, saya tak
tahu samada saya boleh maafkan awak atau tidak.”
“Yaksok (Janji).”
Min Hyuk mengangkat tangan kanannya sambil tersenyum. Aku membalas senyumannya.
…………………………………………………………………………………………………..
Aku menunggu Adha di kafeteria tempat kerjaku. Kami sudah berjanji akan berjumpa di
sini. Entah apa yang ingin dikatakan
oleh Adha kepadaku. Aku tidak dapat
menolak permintaannya kali ini kerana dalam mesej yang dihantar kepadaku malam
tadi, katanya ia sangat penting. Kak
Lia, Kak Bai dan Maisarah pula makan tengahhari di luar.
“ Assalamualaikum.”
Adha memberi salam sejurus selepas tiba di meja tempat aku menunggu.
“ Waalaikumussalam.”
“ Dah lama awak tunggu?”
“ Tak, baru je.” Adha sudah melabuhkan punggungnya
di hadapanku.
“ Awak dah makan?”
“ Saya puasa sunat hari Isnin.”
“ Yeke, kalau macam tu kita ke tempat lainlah.”
“ Tak payah, kita kat sini je, saya okay.”
“ Tapi….”
“ Kita duduk sini je.” Tegas sekali kata-kataku dan Adha akur. “ Apa
perkara penting yang awak nak cakapkan tu?”
“ Perkara ni dah lama saya pendamkan dan sekarang
saya dah tak mampu nak simpan.
Sebenarnya saya dah jatuh hati pada awak.” Aku tidak menunjukkan reaksi terkejut kerana
aku sudah tahu tentang perkara itu semasa mendengar perbualan ibu dan ayah
dahulu.
“Saya mintak maaf Adha, saya tak boleh terima
awak.” Wajahku cukup tenang.
“Saya tahu yang awak masih belum dapat terima
saya. Awak selalu cuba jauhkan diri
daripada saya. Tak pernah nak terima
pelawaan saya bila saya ajak awak keluar sebelum ni tapi saya yakin satu hari
nanti pasti akan lahir perasaan cinta awak pada saya.”
“ Adha, saya tak nak beri apa-apa harapan pada
awak. Awak mungkin cukup sempurna
sebagai seorang lelaki dan saya yakin ramai gadis kat luar sana yang sukakan
awak dan jauh lebih baik daripada saya.”
“ Cinta tu boleh dipupuk Aimin. Saya akan tetap tunggu awak membalas cinta
saya.”
“ Jangan.
Awak tak perlu tunggu saya sebab saya tak mungkin akan mencintai awak.”
“ Tapi kenapa?”
(Kerana hati
saya milik Son Min Hyuk.)
………………………………………………………………………………………………………
go aimin..never give up!
ReplyDeleteyes,she cant give up..fight for her love...
Delete