My Sweetie Readers

Thursday 20 March 2014

AKU JATUH CINTA LAGI (BAB 12)

AJCL

by ANIA MALNA

BAB 12

Aku meneliti setiap menu yang tertera di atas kertas tebal yang dilaminate.  Mujur juga disediakan gambar sekali jadi ada juga gambaran tentang menu makanan yang disediakan di sini.  Rambang mata pula aku dibuatnya melihat pelbagai menu menarik dan yang paling penting semuanya Halal kerana ini salah sebuah restoran Halal yang terdapat di kawasan ini.  Aku tahu tentang restoran ini melalui blog seseorang.
Mindaku pada menu tiba-tiba teralih.  Walau aku cuba buang jauh ingatan terhadap status Facebook Ikhwan, ia tetap jua hadir.  Bila diingat, hatiku jadi bertambah sakit dan pedih.  Tiba-tiba aku rasakan dadaku sebak dan nafasku mula turun naik.  Terasa degupan jantungku selaju 180km/j.  Aku jadi bimbang, adakah aku akan menangis seperti semalam juga? 
Tak mungkin!!!  Tak boleh!!! Aku di tempat awam sekarang.  Mana mungkin aku boleh menangis sesuka hati di tempat awam.
Makan!  Ya makan banyak-banyak.  Bila makan tentu aku akan dapat mengalihkan mindaku daripada teringatkan Ikhwan.  Aku menarik nafas panjang dan bersedia untuk memanggil pelayan.  Tangan kulambai ke arah seorang lelaki yang hanya memakai T-shirt putih kosong dan berseluar denim.  Aku tidak dapat melihat keseluruhan wajahnya kerana dia memakai topi.  Biarlah tidak dapat melihat wajahnya, janji dia nampak lambaianku.  Dia berjalan laju ke arahku.
            Can I take your order?  Bahasa Inggerisnya fasih.
            Aku mengalihkan wajah ke menu di hadapan dan tanpa suara aku hanya menunjuk menu yang aku sendiri tidak tahu apakah ia.  Sekadar menunjuk ke arah gambar yang terdapat pada kertas menu.  Lima jenis menu kupilih dan kelihatan pelayan lelaki di hadapanku ligat mencatit pesananku di atas kertas kecil berwarna merah jambu.
            Anything else you want to add?  Lain macam benar suaranya.  Aik, perli aku?
            Add this…”  Jari telunjukku diketuk-ketuk pada kertas menu.  …and this.”  Jariku menunjuk ke gambar pau berwarna hijau dan merah jambu.  Sengaja tidak mahu kalah dengan perlian halus daripada pelayan lelaki ini.
            Tanpa memandang pelayan lelaki yang mengambil pesananku, aku terus menuang air putih yang sudah disediakan di atas meja ke dalam gelas.  Aku dapat mendengar bunyi tapak kaki pelayan lelaki tadi pergi meninggalkanku.  Pasti lama masa yang diambil untuk menyiapkan pesananku, maklumlah banyak.  Biarlah banyak pun, aku bayar kan?  Aku meraba ke dalam beg tangan Gucci yang diletakkan di atas riba, mencari I-Phone.  Tiba-tiba terasa hendak selfie.  Sengaja, dah tak ada kerja sangat.
            Jari telunjuk dan jari tengahku membentuk  V.  Aku tersengih memandang I-phone dan klik.  Sebenarnya tiada bunyi klik pun, sengaja hasilkan sound effect.  Pose kedua, aku meletakkan jari telunjuk ke pipi kiri.  Belum tamat lagi.  Pose ketiga, aku membulatkan biji mata sambil mulut dimuncungkan.  Berlagak comel tapi memang aku comel pun.  Syok sendiri.
            Aku bersedia dengan pose keempat iaitu mengenyitkan mata kiri namun belum sempat snap kedengaran satu suara berdeham.  Aku buat muka selamba dan meletakkan I-phone ke dalam beg.  Wajahku diangkat dan pelayan lelaki tadi kini berdiri di hadapanku.  Di tangannya ada pinggan yang terisi dua biji pau.  Satu berwarna hijau dan satu lagi berwarna merah jambu.
            Aku cuba mengintai wajah di sebalik topi yang sengaja diturunkan.  Bukan ingin sangat mahu tengok wajahnya tapi manalah tahu dia sedang tersenyum dek kerana telatahku tadi.  Sengaja hendak menyiasat.  Aku hanya nampak mulut dan hidungnya.  Tiada segaris senyuman di bibirnya, lega aku.  Pinggan berisi pau diletakkan ke atas meja dan dia terus berlalu pergi.  Kali ini aku memerhatikan langkahnya, agak laju.  Dari belakang jelas kelihatan badannya yang sasa.  Ishh, apa aku ni?  Melalut sampai ke situ pulak.  Astaghfirullahalazim.
            Mataku dialihkan ke pau di hadapan.  Nampak menyelerakan dan sama seperti pau di Malaysia.   Mestilah sama, bukankah pau memang asalnya dari negara China.  Pau?  Hmmm, bukankah Ikhwan suka makan pau?  Aduh!!!
 
Rasa sakit hati dan geram tiba-tiba bersatu.  Aku teringatkan peristiwa di hospital.  Ikhwan menuduhku sesuka hati.  Masih segar lagi di ingatanku kata-kata yang dilemparkan kepadaku.  Aku mengetap bibir.  Pau di dalam pinggan kutenung bagai hendak telan.  Mengapa aku memesan pau?  Ikutkan hati, ingin sahaja aku tumbuk-tumbuk pau yang masih belum diusik ini tapi mengenangkan ia makanan, tak elok dibuat begitu.
            Aku mengambil pau berwarna merah jambu lalu didekatkan ke mulutku.  Mataku tidak berkerdip-kerdip memandang pau.  Mulut aku buka luas dan pau kumasukkan ke dalam mulut atau lebih tepat kusumbatkan.  Separuh pau selamat ke dalam mulutku dan aku mula mengunyah perlahan.  Penuh mulutku dengan pau.  Terasa tegang kulit pipi.  Entah bagaimanalah rupaku ketika ini?
            Belum sempat pau di dalam mulut habis kutelan, aku sudah memasukkan baki pau di tangan.  Besar juga mulut aku, muat masuk kesemua pau.  Dengan mulut yang penuh aku mengunyah perlahan-lahan.  Hendak kunyah laju memang tidak boleh dek kerana tiada ruang langsung di dalam mulutku.  Jika dikunyah laju, boleh mati tercekik aku.
            Kunyahanku terhenti saat terdengar suara lelaki berdeham lagi.  Suara yang sama seperti tadi.  Aku mendongak dan pelayan bertopi sedang berdiri di hadapanku dan di tangannya dulang yang penuh dengan pesananku.  Aku cepat-cepat menutup mulut dengan kedua-dua belah tangan.  Beria tutup, padahal dia pastinya sudah nampak pipi kembungku yang disumbat pau.  Mulutku kembali mengunyah dengan kepala sedikit ditundukkan, langsung tidak memandang pelayan bertopi yang sedang meletakkan makanan ke atas meja.  Malu!
            “Terima kasih.”  Ujarku dengan mulut yang masih penuh dengan pau, lucu benar suaraku.  Eh, terima kasih?  Mana dia faham.
            “Sama-sama.”  Mataku membulat mendengar suara pelayan bertopi.  Aku merenung wajahnya di sebalik topi.   Tahu pula dia berbahasa Melayu.  Mungkin sudah selalu sangat mendapat pelanggan dari Malaysia.  Dia kemudiannya berlalu pergi dan menghilang ke bahagian dalam restoran, dapur mungkin.

            Ya ALLAH, banyaknya.  Di atas meja penuh dengan makanan yang kupesan tadi.  Cukup untuk makan lima orang.  Mampukah aku menghabiskannya?  Itulah, tamak sangat!!!
            I-phone di dalam beg aku keluarkan semula.  Kali ini aku mahu mengambil gambar makanan yang sarat di atas meja pula.  Bimbang beria aku pose maut sekali pelayan bertopi tadi datang semula ke mejaku.  Setiap  pinggan dan mangkuk yang berisi makanan aku snap gambarnya, satu persatu.  Dan akhir sekali aku beralih pula kepada pau yang tinggal satu di dalam pinggan. 
            “Kesian pau hijau, kawan kau dah selamat masuk dalam perut aku, kejap lagi kau pulak yang aku ngap.  Sebelum aku ngap, meh aku usap dan belai kau dulu.  Jangan sedih-sedih tau, aku kena makan jugak kau sebab kau sedap.”  Aku membebel sendirian.  Mentang-mentanglah tiada yang faham.  Pau di dalam pinggan kubelai berkali-kali.
            “Itu makanan, bukannya teddy bear.”
            Mama!  Terkejut babun aku dibuatnya.  Tiba-tiba muncul suara itu dan aku tahu itu suara pelayan lelaki bertopi tadi.  Suara serak basah yang berlemak dan sedap didengar di telinga.  Suara yang begitu mudah untuk diingat walau aku baru sahaja mendengar beberapa perkataan keluar dari mulutnya.  Itu bukan menjadi persoalannya tetapi yang menjadi persoalanku adalah… dia baru sahaja berbahasa Melayu!
            Aku tidak pula garu kepala tetapi mencubit sedikit pau hijau dan dibawa ke dalam mulut sambil mata memandang pelayan bertopi.  Cuba mengintai lagi wajahnya dan kali ini dia menaikkan topi sedikit.  Jelas terserlah sepasang mata sepet.  Cina!
            “Apa lagi yang awak nak hantar?”  Aku dengan selamba bertanya.  Di tangannya ada dulang berisi mangkuk yang sederhana besar.
            “Sup yang cik pesan tadi.”
            Pandai pula dia bercik ya?  Hebat benar Bahasa Melayunya.  Belajar di mana?  Aku tiba-tiba jadi busybody.  Ishhh, syiuhhh, apa ni Afrina Imani???  Sibuk hal orang!  Lantak dialah dia belajar kat mana.  Apa aku peduli, tak ada kena mengena pun.
            Sup di dalam mangkuk diletakkan di hujung meja.  Meja yang boleh memuatkan dua orang ini penuh dengan makanan yang kupesan, mujur juga masih ada ruang untuk mangkuk tapi besar benar mangkuknya.  Mana mungkin aku mampu menghabiskan sup di dalam mangkuk itu.
            “Ada apa-apa lagi yang cik mahukan?”
            Perli lagi!!!  Marah namun aku tetap menggelengkan kepala.  Tiada senyuman terukir di bibirku.  Arghhh, lelaki memang menjengkelkan.
            “Kalau ada apa-apa, cik boleh panggil saya di kaunter.”  Pelayan bertopi menghadiahkan senyuman buatku dan tangannya dihalakan ke kaunter.
            Aku mengukir senyuman nipis, senyum paksa!  Dia berlalu pergi meninggalkanku dan benar dia berada di kaunter.  Tadinya kaunter dijaga oleh seorang gadis Cina dan mungkin ini syifnya pula.  Aku beralih memandang makanan di atas meja.  Baru satu pau masuk ke mulutku dan aku rasa sudah kenyang.  I-phone di tangan kudekatkan ke pau hijau yang terusik secubit dan aku snap gambarnya.
            Aku mengeluh apabila kedengaran bunyi I-phone menandakan bateri sudah low.  Aku lupa untuk mengecaj I-phone sebelum keluar tadi.  I-phone kuletakkan di sebelah pinggan pau.  Muat sempurna ruang kecil yang tinggal untuk I-phoneku.  Aku merenung satu persatu makanan di hadapanku.  Tidak tahu mana satu yang perlu dimakan, semuanya nampak sedap dan menyelerakan namun mampukah untuk aku habiskan kesemuanya?  Macam tidak aje. 
Aku langsung tidak tahu nama kesemuanya.  Aku melilau ke meja di sebelahku yang kosong dan kelihatan ada menu di atas meja itu.  Menu itu kuambil.  Selang dua meja dari meja yang kududuk, ada dua orang wanita dan mereka tertawa sambil curi-curi memandangku.  Pasti kerana makanan yang penuh di mejaku.  Suka hati akulah, aku bayar sendiri bukannya minta duit orang .
            Aku mengalihkan pandangan daripada dua wanita itu dan beralih ke menu di hadapanku.  Cuba meneliti satu persatu gambar-gambar di dalam kertas menu untuk mencari nama menu yang kupesan.  Terangguk-angguk kepalaku melihat menu.  Setelah itu, aku mencuba setiap makanan yang dipesan namun sekadar merasa.  Tidak luak langsung makanan yang kupesan.
Muatanku benar-benar sudah penuh.  Aku bersandar pada kerusi sambil mata memandang makanan yang penuh di atas meja.  Membazir?  Entah, aku langsung tidak merasa begitu kerana aku memang sudah tidak mampu menelannya.  Biarlah ia ditinggalkan, sekurang-kurangnya aku sudah merasai kesemuanya.  Aku mengangkat tangan sambil memandang kaunter.  Pelayan bertopi tadi datang ke arahku dengan gaya jalannya yang nampak tenang.  Tidak selaju tadi.
            I want to order this.  Take away.  Ujarku setelah dia berada di hadapan mejaku.  Jari telunjukku menunjuk ke pau di dalam pinggan.
            Okay, tunggu sekejap ya.”  Fasih benar Bahasa Melayunya.
            Aku tidak membalas dan hanya mengangguk.  Setelah itu dia berlalu pergi dan menghilang.  Maaf ya makanan, Rina betul-betul tak larat nak makan awak semua.  Jangan sedih, jangan nangis.  Nanti kita jumpa lagi.  Selamat tinggal.  Aku sempat berdrama bersama-sama makanan.  Pau hijau kucubit lagi dan kusuapkan ke mulut.  Memang sedap paunya.  Lembut dan terasa sedikit berlemak.  Intinya pula kacang merah.  Ikhwan memang suka pau kacang merah.
            Ikhwan!!!!   Arghhh, mengapa aku boleh teringatkan dia lagi?  Tolonglah pergi jauh!  Aku jadi benci dengan diri sendiri.  Sukar benar melawan perasaan ini.  Aku menolak pinggan berisi pau.  Jadi sakit hati pula bila melihat pau itu.  Maaflah pau, walau pau tak bersalah tapi Rina tak boleh tengok pau lagi.  Sakit hati tau!!!
            Pandangan kini dialih ke tempat lain.  Tidak mahu lagi memandang pau.  Mataku beralih ke arah pintu di mana pelayan bertopi menghilangkan diri.  Aku percaya dia masuk ke bahagian dapur.  Sabar menunggu pau yang kupesan tadi.  Di kaunter pula sudah ada pengganti, gadis Cina yang menjaga kaunter pada mulanya tadi.  Aku sebenarnya cuba mengalihkan perhatian daripada teringatkan Ikhwan.
            Kurang lima minit setelah itu, pelayan bertopi tadi muncul dan di tangannya ada plastik.  Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain.  Bimbang pula lain yang difikirnya nanti.  Apabila dia benar-benar berada di hadapanku, barulah aku memandangnya kembali.  Wajahnya selamba dan tiada senyuman.
            “Pau, cik.”  Dia menghulurkan plastik di tangannya.
            “Terima kasih.”  Aku ambil tanpa sebarang senyuman dan terus sahaja bangun dari kerusi.  Mencapai beg Gucci dan bersedia melangkah untuk membuat bayaran di kaunter.
            “Cik.”  Aku tidak jadi melangkah dan menoleh ke arah pelayan bertopi.  “Makanan ni semua?”  Soalannya membuatkan dahiku berkerut. 
            “Kenapa?”  Tanyaku dengan dahi yang masih berkerut.
            “Cik nak tinggalkan saja?”
            “Ya lah, tinggalkan.  Kenapa tanya macam tu?”  Aku membalas dengan pertanyaan juga.
            “Tapi masih banyak lagi.  Kalau cik nak, saya boleh bungkus.  Cik bawak balik, rugi tinggalkan.”
            What???  Suruh bawak balik, maksudnya tapau kesemua makanan?  Hello!  Seumur hidup, aku tak pernah bungkus makanan yang tak habis dan bawak balik.  Siapa dia  tiba-tiba menyuruhku?  Suka-suka hati aje.  Bukannya aku tak bawak balik, aku tak bayar.  Aku nak bayarlah ni. 
Marah benar aku tapi tidak dizahirnkan, masih berlagak tenang.  Wajah pelayan bertopi yang tinggi lampai ini kutenung.  Tidak tahu apa yang harus dibalas sebenarnya.  Mati kata-kata.  Dia merenungku semula dan akhirnya aku mengalah.  Pergi terus ke kaunter tanpa sebarang kata.
            Di kaunter aku terus membuat bayaran dan setelah itu aku laju menuju ke pintu keluar.  Langsung tidak memandang pelayan bertopi tadi.  Aku sempat melirik dan dia masih berdiri di tempat yang sama.  Tidak tahu sama ada dia memandangku atau tidak.  Biarlah, bukannya selepas ini kami akan berjumpa lagi.
………………………………………………………………………………………………………
            Aku meraba-raba ke dalam beg Gucci, mencari I-phone namun tanganku tidak pula terpegang I-phone.  Kesudahnya, aku curahkan semua barang-barang di dalam beg ke atas katil namun I-phoneku tiada.  Mana pulak?  Seingatku tadi aku letakkan di dalam beg.  Hilangkah?  Oh tidak!!!  Aku sayangkan nombor-nombor telefon di dalamnya.       
Afrina Imani, tolonglah ingat mana kau letak!!!  Okay, chill out, cool down and relax.  Chicalax!  Jangan gelabah.  Cuba ingat betul-betul bila kali terakhir aku pegang I-phone itu.  Mindaku mula menerawang mengingat bila kali terakhir aku memegang i-phone.  Tengahari tadi sebelum keluar ada lagi dan aku bawa bersama ke restoran makanan halal.  Snap gambar makanan dan akhir sekali.  Ya itu kali terakhir aku memegang I-phone.  Tertinggal di restoran itu???
            Aku kurang yakin.  Entah-entah tercicir di mana-mana atau dicuri?  Tak mungkin juga.  Aku memang memegang begku sebaik mungkin dan begku dihalakan ke hadapan.  Bermakna, memang aku tertinggal i-phone di restoran tadi.  Aku melihat jam di tangan, sudah pukul 10.00 malam waktu tempatan China.  Mana mungkin aku keluar lagi untuk ke restoran itu.  Bermakna esok aku harus ke sana?  Harap-harap pelayan bertopi tiada esok.  Tak kuasa tengok muka dia.  Tiba-tiba aje rasa meluat.  Betul fakta aku, lelaki memang menjengkelkan!
………………………………………………………………………………………………………
            Seawal jam 9 pagi aku sudah keluar dari hotel.  Terus sahaja menaiki teksi ke restoran halal semalam.  Harap-harap i-phone benar-benar tertinggal di situ.   Jika tidak, susahlah aku.  Hendak mendapatkan nombor-nombor yang kusimpan satu hal, hendak tunggu pulang ke Malaysia untuk mengaktifkan semula nombor lagi satu hal sedangkan aku tidak tahu bila aku akan pulang ke Malaysia.  Yang pasti setelah hari pernikahan dia!  Cuma tidak tetapkan tarikhnya lagi.
            Aku leka berangan sewaktu di dalam teksi.  Sedar tidak sedar, teksi sudah tiba di hadapan restoran halal semalam.  Setelah membayar tambang teksi, aku terus keluar dan menapak ke restoran.  Aku sempat melihat papan tanda kedai.  Tulisannya berwarna merah dan berlatarbelakangkan warna putih.  Ada tulisan Cina, Romanji dan Jawi.  Nama restoran ini ialah ‘Love Treat’.  Ada tanda halal pada papan tandanya.  Nama restoran, soooo sweet tapi pekerjanya langsung tidak.
            Aku melangkah mendekat ke pintu Love Treat dan ada tanda open pada pintu.  Fuhhh!  Aku menarik nafas lega.  Perlahan-lahan pintu restoran kutolak dan kelihatan beberapa meja sudah diduduki oleh pelanggan.  Hebat juga Love Treat, pagi-pagi begini sudah ramai pelanggan.  Aku sempat memuji di dalam hati.  Mataku menghala pula ke kaunter sambil kaki melangkah menuju ke kaunter.  Tiada sesiapa di kaunter.
            Mana orangnya?  Takkanlah dibiarkan kaunter tanpa dijaga oleh sesiapa, nanti pelanggan hendak buat bayaran?  Baru puji, sekarang kutuk pulak.  Maaflah, aku memang jujur.  Aku kini sudah berdiri betul-betul di hadapan kaunter.  Menunggu dengan tidak berapa sabar.  Iyalah mahu cepat bertanyakan I-phoneku.
            Hampir hendak terkeluar biji mataku saat seseorang muncul secara tiba-tiba dihadapan mataku.  Aku memegang dada, berdegup kencang, bererti aku benar-benar terkejut.  Dia juga nampak sedikit terkejut pada mulanya namun dia menutupnya dengan berlagak tenang.  Mungkin tadinya dia mengambil sesuatu dan menunduk jadi aku tidak dapat melihatnya.  Bila dia bangun berdiri semula, itu yang membuatkanku terkejut babun. 
            Wajah lelaki yang muncul tiba-tiba ini aku amati seketika.  Macam pernah kulihat tapi di mana ya?  Dia juga seperti merenungku, adakah dia juga berperasaan yang sama?  Aku sudah ingat!!!  Dia lelaki yang melanggarku ketika di Beijing Capital Airport.  Aku masih ingat lagi raut wajahnya.  Aku berkalih seketika dan kembali memandang wajahnya.  Sekali tengok seperti Melayu, bila tengok dua kali macam muka Cina, tengok semula macam Cina juga.  Pasti Cina, mungkin mataku sahaja yang tersalah pandang mukanya ala-ala Melayu.
            “Cari telefon?”
            Suara itu!  Aku kenal!  Itu suara pelayan bertopi semalam.  Aku ingat benar suara itu.  Unik dan seksi pula bila didengar di pagi hari.  Tapi, lelaki yang berdiri di hadapanku ini ialah lelaki yang melanggarku sewaktu aku mula-mula sampai di Beijing.  Lelaki yang sama dengan lelaki bertopi semalam tapi lelaki di hadapanku tidak memakai topi.  Apakah!!!  Aku jadi bingung pula dibuatnya. 
            “Cik, telefon cik ada di dalam.  Saya ambikkan.”
            Lamunanku mati tatkala mendengar suaranya lagi.  Aku yakin ini memang pelayan bertopi semalam.  Jadi benarlah, orang yang sama.  Faktaku tepat, lelaki di hadapanku ini memang seorang yang menjengkelkan kerana dia lelaki yang melanggarku dan dia jugalah pelayan bertopi semalam.  Wajahnya kuamati lagi.  Aku fokus kepada matanya.  Mata sepet yang bundar.  Semalam aku hanya dapat melihat mata ini sekejap sahaja ketika dia menaikkan sedikit topinya.
            “Cik.”  Petikan jarinya membuatkan lamunanku yang kedua terhenti.
            “Umar…”
            Satu suara wanita membuatkanku berpaling ke kiri kerana datangnya dari arah kiriku.  Lelaki di hadapanku juga berpaling ke arah suara itu.  Seorang wanita separuh abad sedang berjalan menuju kaunter.  Wajahnya Melayu tulen.  Melayukah?  Siapa Umar?
            “Ya, mama.”  Lelaki di hadapanku menjawab dengan cukup lembut dan sopan.
            Jadi lelaki di hadapanku ini namanya Umar dan bermakna dia seorang Muslim?  Wanita Melayu ini pula ibunya?  Tapi wajah mereka langsung tidak sama?  Wanita ini matanya besar dan bulat.  Hidungnya kecil dan mancung.  Keningnya juga nipis.  Tidak mungkin ibunya, sedangkan lelaki ini, hidungnya besar, mata sepet, kening pula lebat dan bibirnya agak nipis.  Lain benar mereka berdua.  Jadi anak angkat?  Aku mula membuat andaian sendiri.  Menganalisa tanpa suara.
            “Dari Malaysia?”  Soalan daripada wanita yang sudah berdiri di hadapanku ini tentunya ditujukan buatku.  Fasih benar Bahasa Melayunya, bermakna memang wanita ini Melayu.
            “Ya.”  Jawabku pendek sambil mengangguk perlahan.  Aku mengukir senyuman, sekadar sebagai tanda bersopan dan menghormati orang yang lebih tua.
            Auntie orang Malaysia.  Boleh panggil Auntie Salina.  Sorang je?”  Ramah sekali wanita yang ingin dipanggil Auntie Salina ini.
            “Saya sorang je.  Memang datang Beijing sendiri.”  Jawabku dengan jujur.
            “Oh ya ke?  Bagusnya, berdikari.  Auntie suka orang macam kamu, badan kecil tapi berjiwa besar, berani datang bercuti sorang dan pandai jaga diri di tempat orang.”  Pujian Auntie Salina bagiku kurang tepat.  Terasa diri kurang layak menerima pujian itu. 
            Jika aku benar-benar berjiwa besar, tidak mungkin aku kini berada di Beijing dan tentunya aku dapat menghadapi tragedi yang berlaku diantaraku dengan Ikhwan.  Kerana jiwaku kecillah aku membawa diri sendirian hingga ke Beijing.  Mahu sahaja aku meluahkannya namun tidak mampu.
            “Maaflah nak, Auntie ni gembira sangat bila jumpa orang Malaysia.  Maaflah kalau anak macam tak selesa.”  Suara Auntie Salina berbunyi tenang namun aku tetap rasa bersalah.  Dia menghadiahkan senyuman buatku.  Pasti dia tersalah anggap kerana aku tiba-tiba diam dan tidak memberi sebarang reaksi.
            “Eh taklah Auntie.  Saya pun gembira dapat jumpa dengan Auntie.  Saya Afrina Imani, panggil Rina je.  Restoran ni Auntie punya ya?”  Aku mula bersikap ramah.
            “Ya Rina.  Oh ya, kenalkan ini Umar…”  Auntie Salina berpaling ke kaunter.  “Eh mana pulak dia?”  Auntie Salina kembali memandangku.  Entah bila dia menghilangkan diri, aku dan Auntie Salina tidak sedar.  Dia memang hebat, boleh muncul dan hilang bila-bila masa.
            “Marilah duduk dulu, order sesuatu ya?”  Pelawaan Auntie Salina terlalu sukar untuk ditolak.  Ikutkan hati, aku ke sini hanya untuk menanyakan I-phone tapi terasa tidak sopan jika aku menolak pelawaan Auntie Salina.
            “Terima kasih, Auntie.”  Aku tidak tahu apa yang patut dibalas dan kesudahnya aku ucapkan terima kasih.
            “Duduk ya, Auntie kena masuk ke dapur dulu.”   Kata-kata Auntie Salina kubalas dengan anggukan.  Dia meninggalkanku dan masuk ke dapur.
            Aku menuju ke meja yang kupilih semalam.  Menarik kerusi dan terus sahaja duduk.  Auntie Salina menyuruhku memesan sesuatu namun aku tidak rasa hendak makan.  Perutku masih kenyang kerana bersarapan di hotel tadi.  I-phone!  Aku hampir terlupa i-phone.  Umar!  Di mana dia?  Dia pergi mengambil i-phone?  Ishhh, mengapa aku merasa dia begitu menjengkelkan?

 

1 comment:

  1. Online Casinos | Best Baccarat Sites & Bonuses 2021
    Learn all about งานออนไลน์ online casinos febcasino and learn the best online casino bonuses you can claim for free from most sites! Roulette, kadangpintar Sic Bo, and craps, plus more.

    ReplyDelete